BUNYI riuh rendah di luar mengundang resah dan gelisah.
Terdetik juga di hati hendak melarikan diri dari kesulitan itu namun akal
warasnya tidak membenarkan. Dia tidaklah begitu degil untuk menidakkan
permintaan ibu bapanya walaupun hati kecil keras menolak. Senyumlah walau
terpaksa. Barangkali senyuman itu ubat mujarab yang bisa membahagiakan biar
cuma seketika.
"Orang lelaki dah
datang!"
Beritahu Riyad sambil
mengenyit mata buat adiknya. Nampak riak terkejut pada wajah itu namun dia
tidak mahu menalah apa yang bermain di fikiran adiknya. Barangkali menerima
lebih baik pada ketika itu.
Hafiy mendekati Riyad
dari belakang lantas mengangkat tangan, memberi isyarat supaya Iris Suhayla
menenangkan diri namun dibalas dengan isyarat ke arah kakinya yang bengkak
akibat terseliuh semalam. Hafiy gelak sebelum menutup mulutnya. Kemudian, dia
menepuk bahu Riyad, isyarat untuk beredar ke ruang tamu. Selepas itu, Afiqah
pula mengambil tempat di celah pintu, mengintai dengan susah payahnya.
"Tak payahlah, bukan
nampak apa pun celah pintu tu,"
"Tak dapat tengok pun tak
apa, at least dapat dengar!"
Jawabnya bersahaja. Iris cuba
mengalih kakinya yang masih membengkak, perlahan-lahan. Penat melabuh sauh di
atas tilam empuk, dia mahu beralih sebentar, cuba bergerak walaupun susah.
berdikit-dikit dia menapak namun apabila terasa susah dan sakit, dia duduk
kembali.
"Menyesalnya aku. Kalau
tahu hari ni nak sakit, tak kujejak kaki ke dapur,"
"Buas sangat, tak padan
dengan tua! Minggu depan lapor diri pakai tongkatlah kau, ya?"
Usik Afiqah sebelum duduk di
sebelah Iris Suhayla. Dia mengeluarkan kamera dari beg sandangnya sebelum
mengambil gambar Iris Suhayla. Sekeping, dua keping, tiga keping, gambar mereka
berdua dan akhir sekali lensa kamera itu menghala ke kaki Iris Suhayla.
"Aku nak pos gambar kaki
ni pada Nad lah! Muka cantik tapi kaki sakit. He he he"
Usik Afiqah lantas Iris bangun
spontan untuk merampas kamera yang dipegang Afiqah. Berlaku tolak menolak
hingga terkeluar jeritan kecil dari mulut Iris Suhayla.
"Jangan!!!"
Pintu bilik terbuka di saat
mereka berdua masih berebutkan kamera itu. Iris Suhayla terkejut. Afiqah
terpinga-pinga. Terlupa akan majlis yang sedang berlangsung lantas muka tidak
dapat diangkat lagi. Terasa bahang panas menyerbu naik ke muka. Afiqah mengecil
lalu memberi laluan pada tetamu yang baru berada di dalam kamar itu.
"Inilah Iris Suhayla,
anak dara bertuah saya ni!"
"Manis orangnya! Mari
sayang, makcik sarungkan cincin ni sebagai tanda tunangan orang,"
Iris Suhayla mengangkat muka
tetapi tidak lama. Rasa malu ketika pintu bilik dibuka tadi pun masih belum
padam lagi namun senyuman wanita yang dikira belum mencecah usia lima puluhan
itu menyejukkan hati. Bakal ibu mertuakah? Muda dan manis! Ah!
"Salam, Su!"
Bisik Mak Su Dianah di tepi.
Iris bagaikan robot, mengikut setiap arahan buat dirinya lantas menyalami
tangan wanita berbaju kurung biru itu.
"Kita jumpa enam bulan
lagi. InsyaAllah!"
* * * * *
* * *
"KITA jumpa enam bulan lagi. InsyaAllah!"
Dari siang hingga ke malam,
sebaris ayat itu ibarat rakaman, terputar di dalam kotak fikirannya tanpa
henti. Puas dijauhkan, puas diusir namun ia tidak jemu-jemu mengusiknya.
Akhirnya Iris Suhayla bangun dari baringan. Dia berjalan menuju ke arah jendela
lalu menarik selak yang mengunci jendela itu. Dengan sedikit tenaga, daun
tingkap itu ditolaknya.
Irama cengkerik di luar tidak mampu menenangkan fikiran
yang sedang berselirat. Dia terus mencongak apa yang bakal berlaku selepas enam
bulan itu. Berkahwin, punya suami untuk diuruskan, mengemas rumah, menyapu
sampah, memasak. membasuh pakaian. Oh, tidak!
"Aku belum bersedia untuk
semua itu. Aku masih remaja!"
Rungutnya. Menggeleng sambil
menekup muka. Hendak ditangisi perkara itu, air mata langsung tidak sudi
mengalir.
"Tutup tingkap tu! Nyamuk
banyak tengah malam ni,"
Suara ayah mengetuk
lamunannya. Iris Suhayla mencari kelibat ayah di kiri kanan rumah namun tidak
kelihatan.
"Takkan suara ada tuan
tak ada? Ishh,"
Komennya sendiri. Dia
menggosok bulu roma yang meremang tiba-tiba sebelum laju menutup daun tingkap.
Dengan lampu bilik yang tidak tertutup, dia terus berselubung sambil memeluk
bantal golek.
* * * * *
* * *
PANGGILAN telefon yang berdering segera dijawab. Ada
wartawan di luar sedang menunggu untuk menemuramah kata setiuasahanya. Dia
menolak sebelum mumutuskan talian.
Pantas berita tersebar. Dia
pasti wartawan bukan ingin mendapatkan maklumat mengenai perniagaan sebaliknya
mereka berjaya menghidu kisah peribadinya.
Dari mana mereka
mendapat tahu? Pasti dari sumber terdekat dengan dirinya sendiri tetapi dia
tidak boleh cepat melatah. Semua ini telah diduga dari awal sebenarnya dan dia
perlu bersedia untuk menanganinya. Ketukan di luar mengajaknya berhenti
mengelamun lantas diizinkan tuan punya diri muncul di hadapannya.
"Kau ada dengar apa yang
aku dengar?"
"Apa yang kau
dengar?"
"Aku dengar wartawan cari
kau tadi. Emm, nak tanya pasal status kau,"
Beritahu Hakimi. Izzul Haq
terus ketawa. Walaupun berdebar juga pada mulanya namun dilindungi perasaan itu
dengan ledakan tawa.
"Masih lagi bujang.
Kenapa? Mereka nak risik aku ke?"
Tanyanya pula kepada Hakimi.
Giliran sahabatnya itu pula untuk ketawa. Izzul Haq beralih ke arah sofa. Dia
sedang bersedia. Mungkin lebih baik berterus terang tentang hal itu.
Sekurang-kurangnya dengan Hakimi.
"Memang aku ada attendmajlis bertunang pun
kelmarin,"
"I'm getting more confused. Kau attend
sebagai orang yang bertunang ke kau attend
sebagai tetamu?"
"Sebagai tetamu....tak
jugak! Mungkin lebih tepat sebagai orang yang bertunang,"
Jelas Izzul Haq. Hakimi nyata
terkejut sebelum memicit kepala yang tidak sakit. Dia mengambil tempat di hadapan
Izzul Haq.
"Kalau betul kau dah
bertunang, kenapa mesti menyembunyikan hal yang benar? Takkan kau buat salah
kot?"
"Kenapa pulak mesti aku
dedahkan hal peribadi aku pada orang luar?"
"Kau kan businessman berjaya!"
Ulas Hakimi, cuba mengukuhkan
alasan walau sebenar dia hanya ingin menduga apa yang bermain di fikiran Izzul
Haq. Ternyata lelaki itu punya pendirian yang tidak pernah berubah dari dulu
lagi.
"Siapa saja boleh tanya
aku soal businesstapi bukan hal
peribadi aku. Siapa kawan aku, aku tinggal di mana, hujung minggu aku ke mana,
dengan siapa aku keluar. Semua tu karut. Nak interview, cerita mesti berkisar pasal kerja. Tak ada temujanji,
tak ada masa aku nak layan sembang kosong,"
Jelas Izzul Haq dengan panjang
lebar. Hakimi mendengar dengan penuh minat. Dia mendengar penjelasan Izzul Haq
sebelum merencana nasihat terbaik buat sahabatnya.
"Aku faham tapi kau pun
kena tahu juga situasi kerja wartawan yang sangat sukakan berita segar-bugar
untuk melariskan jualan produk mereka,"
"Itu bukan masalah aku,"
"Betul, bukan masalah kau
pun tapi aku takut jadi masalah kau jugak satu hari nanti. Ingat, selagi tak
dapat selagi tu mereka memburu. Tak suka kena buat cara tak suka. Jangan selalu
keluar depan public. Kalau pun nak
keluar kena cari pilihan yang terbaik,"
Beritahu Hakimi, cuba memberi
peringatan. Besar harapannya agar Izzul Haq memberi perhatian yang serius
terhadap perkara itu.
"Pilihan terbaik?
Contoh?"
"Keluar secara
berkumpulan,"
"Double date maksud kau?"
Sampuk Izzul Haq, cuba
memahami saranan Hakimi. Sudah terbayang di layar mindanya tentang pertemuan
secara double date! Oh, tidak!
"Taklah sampai double date. Seeloknya ajaklah
kawan-kawan keluar sekali. Mungkin keluar bersukan atau keluar makan,"
"Dateapa namanya tu kalau ajak kawan-kawan. Nak bikin malu sama
kawan ke?"
Sanggah Izzul Haq, membantah
pendapat Hakimi yang dirasa terlalu keanak-anakkan.
"Kata tak suka orang
kacau hal peribadi kau!"
"Terima kasih banyak di
atas cadangan mesra alam tu. Dah pukul sepuluh pagi. Aku nak keluar
sekejap,"
DIA menyuap lagi sesudu aiskrim BR ke dalam mulutnya.
Kali ini, dia memilih perisa Mint
Chocolate Chip sebagai halwa mulut. Rasanya pedas dingin seperti ubat gigi
namun dia sukakan perisa itu.
"Asal keluar aje dengan
adik bongsu kita ni, mesti melantak aiskrim dulu. Tengah hari buta ni orang
lapar nasi, dia lapar aiskrim,"
Rungut Hafiy kepada Riyad.
Iris Suhayla buat-buat tidak dengar tentang rungutan abang sulungnya malahan
dia sudah lali dengan rungutan itu kerana ia akan berlaku setiap kali mereka
keluar bertiga. Dia tidak kisah dirungutkan berbakul-bakul sekalipun asalkan
anak tekaknya dapat dibasahkan dengan kelazatan aiskrim BR!
"Along and angah nak rasa lagi, sedap!"
"Tak mahu aku, rasa ubat
gigi,"
Tolak Hafiy cepat-cepat.
Mula-mula tadi Iris Suhayla sudah menyuapkan mereka berdua dengan perisa pudina
itu. Sekali makan, terasa hingga kini peliknya perisa itu.
"Ha ha ha!Bukan ubat
gigi, rasa pudinalah!"
"Sama aje!"
"Kalau begitu, hari ni
tak payah gosok gigi dah. Mulut dah wangi."
Iris Suhayla menjawab sambil
menyuap sesudu lagi aiskrim itu. Riyad menepuk dahi tanda pusing dengan karenah
adik bongsunya.
"Mulut tu tahu nak
menjawab aje,"
"Dua je kerja mulut, satu
untuk makan, satu lagi untuk menjawab segala tohmahan orang. Tak gitu,
angah?"
"Patutlah kau kena kahwin
awal Su, along rasa mak dah tak larat nak tutup mulut Su yang tak
berhenti-henti menceceh,"
Beritahu Hafiy pula. Walaupun
sekadar mengusik namun wajahnya sengaja dikeruhkan, petanda dia benar-benar
memaksudkan apa yang dikatakan tadi.
"Itulah, angah pun pelik
juga. Umur angah dah dua puluh lapan, along dua puluh sembilan, tak ada pulak
sibuk-sibuk mak nak menjodohkan kita. Nampak sangat sebab mulut dia becok
ni,"
Tambah Riyad pula. Iris
Suhayla terus menyuap aiskrim. Tercuit juga dengan provokasi si abang berdua
namun dia berusaha untuk tidak cepat melatah. Baru hendak menjawab, terdengar
jeritan buyi di telefon bimbit Riyad.
"Walaikumussalam. Ada,
kami dekat Baskin Robbins ni,"
"Okay!"
Jawab Riyad ringkas sebelum
mematikan perbualan. Dua pasang mata melihat ke arahnya, meminta penjelasan.
Apa kata jika dia buat tidak tahu dahulu. Dengan pantas dia menyedut air yang
sudah separuh membasahi anak tekaknya. Kemudian, dia buat-buat sibuk membelek
telefon, membaca pesanan ringkas, memadam mana yang perlu hinggalah terdengar
sapaan satu suara, terus senyumannya berbunga.
"Assalammualaikum,"
"Walaikumussalam,"
Jawab Riyad dan Hafiy, hampir
serentak. Iris Suhayla berhenti menyua aiskrim ke dalam mulutnya.
Tertanya-tanya juga di hati, siapakah gerangan lelaki yang memberi salam ketika
orang lain sedang menjamu selera. Belum belajar adabkah?
"Eh. tak tahu pulak along
kita ada jemputan istimewa hari ni,"
"Su pun tak tahu
jugak,"
"Saja, konon-konon nak
buat surprise! Perkenalkan bakal adik
ipar along and angah, Izzul
Haq!"
"Izzul!"
Izzul Haq memperkenalkan
dirinya lantas menghulur tangan untuk berjabat dengan Hafiy. Iris Suhayla pula terkedu,
mungkin tidak menjangka perjumpaan itu bakal berlaku secepat ini.
"Jemput duduk Izzul! Nak order apa-apa ke? Along belanja tapi
harap maklum saja lah, ya. Kedai aiskrim, aiskrim sajalah yang kita boleh
makan. Favourite Su katakan,"
Riyad di sebelah ketawa kecil.
Iris Suhayla pula semakin terkedu dan tidak tahu bagaimana hendak mendepani
situasi baru dan tidak dijangka itu. Terbayang di layar minda bagaimana dua
orang abang itu dipulas seratus lapan puluh darjah kelak. Jaga!
"Eh, tak apa! Rasanya last saya makan aiskrim masa kecil-kecil
dulu. Lepas tu arwah mama larang dan sampai sekarang saya tak makan lagi,"
"Oh, lega. Selamat duit
along!"
Usik Hafiy lantas ketiga-tiga
lelaki itu ketawa bersama.
SIARAN televisyen yang sedang ditonton bagai tidak
memberi sebarang makna buat dirinya dikala itu. Entah mengapa, kuat benar babak
pertemuan bersama Izzul Haq petang tadi. memang tidak dapat dinafikan wajah
kacak itu mencuri juga perhatiannya namun cukupkah sekadar berbekalkan wajah?
Tidakkah kelak pelayaran bahtera perkahwinan hanya bersandarkan paras rupa
tanpa wujud rasa cinta? Abadikah ia? Oh!
"Tengok tv ke tengok Izzul?"
Suara Hafiy kedengaran jelas
di tepinya. Usikan merangkap provokasi itu lebih mendatangkan marah lantas
perut si abang dipulas tanda geram. Terdengar jeritan kasar Hafiy, Riyad keluar
dari biliknya. Rasanya dia tahu apa yang berlaku. Pasti Hafiy mengusik Iris
Suhayla.
"Oh, along ingat Su tak
tahu? Along yang berpakat dengan angah, kan? Lepas tu, lancar serangan gorila.
Bijak, bijak!"
Marah Iris Suhayla lantas
menutup butang off pada alat kawalan
jauh. Dia mengacah hendak mengetuk kepala Hafiy dengan alat kawalan jauh itu
sebelum mencampakkan alat itu ke sebelah tempat duduk Hafiy. Bila dia menapak
meninggalkan ruang tamu, tertangkap dek telinganya ketawa dua orang abangnya.
"Alah, padahal Su suka. Sajalah
tu buat marah depan kita,"
"Nanti kita buat kejutan
lain pulak, along! Tadi kita bagi peluang dia bersembang tadi, mulut murai
tiba-tiba jadi mulut simen. Tiba-tiba jadi pemalu. Buang tabiat, buang
tabiat!"
Sakat Riyad lagi. Dalam
kepalanya, banyak lagi yang hendak direncanakan untuk mengusik Iris Suhayla
kelak. Tambahan pula adik bongsunya bakal berlepas ke Labuan seminggu lagi. Dia
akan menjadikan hari-hari akhir itu sebagai kenangan manis buat Iris Suhayla.
"Okey! Along setuju.
Rupanya ada cara menjinakkan burung merak ni,"
"Letak aje tunang dia kat
depan, comfirm terkebil-kebil
lagi,"
Riyad menjawab dengan kuat.
Hampir melaung. Barangkali dia memang sengaja mahu memberi tekanan ke atas adik
bongsunya itu.
"Wah, seronoknya dapat
'menjinakkan' adik kita yang seorang tu!"
Kata Hafiy sambil menepuk tangan.
Iris Suhayla bertambah sakit hati. Dia berbaring di atas katil sambil berfikir
cara membalas serangan mereka berdua.
"Apa yang dua beradik ni
bersembang?"
Puan Aini yang mendengar gelak
ketawa dua bersaudara itu datang menjenguk ke runag tamu. Barangkali ada
sesuatu yang boleh dikongsi bersama, tambahan pula dua anak lelakinya pulang ke
kampung jarang sekali. Riyad berkerja di Brunei manakala Hafiy bekerja di Miri.
Kelak, Iris Suhayla bakal menjejaki abang-abangnya. Yang tinggal nanti hanya
dia dan suami. Pasti hari-hari selepas ini lebih sunyi tanpa suara dan keletah
anak-anak.
"Tak ada pun, mak! Saja
mengusik Su! Bilalah anak mak yang seorang tu nak membesar dengan
jayanya?"
"Hai, lain macam aje
bunyinya? Tak cukup besar lagi ke adik along tu? Dah nak kahwin pun,"
"Along nampak Su yang
dulu lagi, Su sepuluh tahun yang dulu!"
"Baguslah tu, awet
muda!"
Jawab Iris Suhayla dari daun
pintu biliknya. Dari tadi dia mendengar usikan abang yang berdua itu. Terasa
panas cuping telinganya, tak sabar rasanya hendak membalas balik
serangan-serangan mulut mereka. Cukup berkesan provokasi mereka hingga dia yang
mulanya bertekad malas melayan terpanggil lagi untuk menjawab.
"Eh, ada! Ingat dah
bermimpi naik pelamin dengan Izzul,"
Usik Riyad. Hafiy disebelah
menyahut sambil tertawa sedang emak cuma menggeleng kepala. Anak-anaknya sedang
kecil atau ketika dewasa, sama sahaja nakalnya, tidak cuma Iris Suhayla.
Baginya, itulah sifat mereka yang membahagiakan hari-hari tuanya yang
jarang-jarang sekali terisi dengan keriuhan keletah anak-anak.
"Yang mengigau nak kahwin
sangat tu angah, kan?"
"Su kan? Su malu nak
mengaku, kan? Esok angah panggil Izzul lagi, ya?"
"Panggillah kalau berani.
Su takkan malu-malu 'mengerjakan' along dengan angah tau kalau angah berani
buat macam tu,"