28
"BILA kita nak balik? Cuti saya dah nak habis."
Soalnya, sambil membuang
pandang ke arah batang pancing. Izzul Haq juga begitu khusyuk memerhati batang
pancingnya dimakan ikan. Tiada jawapan dari mulut lelaki itu. Lama juga dia
menanti hingga lelaki itu membuka mulut jua akhirnya.
"Balik ke mana?"
"Balik ke rumah mak lah.
Nanti nak balik ke Labuan pulak."
Tekannya, lagi. Izzul Haq sekali
lagi menoleh ke arahnya. Tiada jawapan lagi. Iris Suhayla jadi hairan dengan
gelagat lelaki itu yang kembali menyepi.
"Bila awak nak mintak
balik ke Semenanjung?"
"Err...saya tak terfikir
pun nak balik ke Semenanjung. Lagipun, saya baru aje nak serasi dengan
kawan-kawan di sana."
Jawabnya, jujur. Soalan Izzul
Haq itu langsung tidak dijangka hingga dia pula yang termenung panjang. Kembali
mencari jawapan terhadap persoalan itu. Raut wajah insan-insan di sekelilingnya
terbayang seorang demi seorang. Siti Hajar, Kak Nisa, cikgu-cikgu SKSL, Syahmi
tanpa gigi hadapan, Awang yang suka mengorek hidung, Sofia, Saufi.
"Mungkin dulu awak tak
terfikir tapi sekarang awak dah kena fikir. Saya bukan lagi tunangan awak, saya
ini suami awak."
"Betul... Awak suami saya
tapi saya seorang isteri yang bekerja. Awak kena faham juga."
Tingkah Iris Suhayla, tidak
berpuas hati dengan kenyataan itu. Dia tidak bersetuju jika perkahwinan membawa
maksud duduk di dalam rumah dan melupakan segala-galanya.
"Bekerja hanya jika
diizinkan. Kalau saya tak izinkan?"
Izzul Haq bertanya lagi,
membikin panas di hati. Iris Suhayla terus tidak menjawab. Dia malas hendak
bertekak lalu segera bangun dan menjauhkan diri. Barangkali dia belum memahami
diri Izzul Haq dan barangkali Izzul Haq tidak berniat untuk memperlakukan
ucapannya sebentar tadi. Iris Suhayla berjalan hingga ke belakang dek. Dia
mundar-mandir hingga kepenatan.
IRIS Suhayla masih tiada suara ketika mereka menjamu
makan malam di sebuah restoran di Pantai Cenang. Malam itu mereka kembali ke
darat setelah dua malam berada di atas bot. Pesanan mereka telah tiba. Izzul
Haq lantas memimpin bacaan doa makan sebelum mereka berdua sama-sama menikmati
hidangan malam bertemankan cahaya lilin dan bunga segar.
"Senyap aje...marah lagi
ya?"
"Tak marah pun. Lapar
aje."
Dia menjawab perlahan.
Kemudian dia melorek sedikit senyuman, supaya nampak lebih manis di mata
seorang suami. Tiada guna memanjangkan pertelingkahan itu. Benar kata Izzul
Haq. Dia kini bukan tunangan yang dahulu boleh diperlekeh. Dia kini seorang
suami yang juga pemimpin serta wajar dihormati.
"Kan comel kalau senyum
macam ni selalu."
Iris Suhayla senyum sahaja,
kemudian dia mengerdipkan matanya beberapa kali, mengundang tawa sang suami.
"Memanglah saya comel.
Untung awak, kan?"
"Ha ah...untung kan!
Sedap mata memandang. Harap-harap, muka yang comel ni masih comel tiga puluh
tahun nanti."
Usik Izzul Haq. Iris Suhayla
mengangkat muka. Dia membayangkan dirinya selepas tiga puluh tahun. Ada kedut
di bawah dagu serta mata, lalu mata memandang tepat wajah si suami. Menyesal
pula terlepas kata.
"Kalau tak comel?"
"Eh, bukan tadi
awak yang cakap saya beruntung sebab awak comel?"
"Tarik balik."
Selamba dia membalas sambil
menyua nasi ke dalam mulut. Kemudian, seorang pelayan menghampiri lalu
menghidangkan sesuatu kepada Iris Suhayla.
"Apa ni?"
"Aiskrim goreng perisa
vanila,
Lepas makan jangan over gumbira,
La la la la."
Iris Suhayla membaca pantun
dua kerat dengan kening yang keruh. Kemudian, terdengar tawa si suami yang
meletus tiba-tiba. Lelaki itu menolak pinggannya ke tepi. Iris Suhayla sengih
sahaja.
"Sempat lagi dia tulis
pantun...mengenakan orang pulak tu."
Kata Iris Suhayla. Perlahan-lahan dia memotong aiskrim goreng yang masih panas itu.
Kemudian, dia menyua ke mulutnya sekali sebelum mempelawa Izzul Haq
untuk sama menikmati kenikmatan aiskrim goreng namun lelaki itu menolak.
"Perjalanan hidup kita
tak panjang mana. Tiada alasan untuk menikmati hidup asalkan tidak melanggar
batas-batasNYA."
"Iya, awak betul! Thanks, Izzul. Bawa saya bersiar-siar di
Langkawi, naik feri dan aiskrim goreng."
"Thanks to Iris Suhayla, kerana sudi jadi isteri saya."
Ucapnya lalu mengajak sang
isteri menikmati pemandangan malam di Pantai Cenang. Iris Suhayla akur. Dia
menyudahkan suapan terakhir sebelum berdiri, namun matanya sempat menangkap ros
cantik yang menyeri meja makan itu. Izzul Haq sempat memerhati lagak isterinya
menarik sekuntum bunga.
"Nak buat apa bunga
tu?"
"Nak buat main."
Balas Iris Suhayla, lalu
ketawa kecil. Izzul Haq menggeleng namun dia tertawa juga di penghujungnya.
AINI melihat dari jauh sikap Dianah yang asyik termenung
semenjak keluar dari persembunyiannya tempoh hari. Cakapnya sepatah sepatah,
menungannya panjang. Sekejap-sekejap dia menangis. Kekadang dia nampak kecewa.
Begitulah, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
"Kak Aini nak ke balai
raya. Ada kelas memasak. Diah nak ikut?"
"Tak apalah. Kak Aini
saja yang pergi."
"Marilah ikut Kak Aini.
Kita jalan-jalan, hirup udara kampung."
Ajak Aini, tidak mahu cepat
melatah. Kali ini dia lebih bersungguh. Dia menarik tangan Dianah yang masih
belum mahu mengikut. Beberapa kali juga dia melakukan hal itu sehingga berjaya.
Dianah bangun juga, lambat-lambat.
"Saya ke dalam dulu, nak
pakai tudung."
Ujar Dianah, perlahan. Aini
mengangguk dan menghantar langkah Dianah masuk ke dalam rumah melalui pintu
dapur. Lama juga dia menanti sehingga kelibat yang dinanti muncul juga. Dia
tersenyum dari jauh. Dalam hati, dia memanjat kesyukuran. Sekurang-kurangnya
Dianah tidak lagi berkurung di dalam rumah. Ketika mereka mula menapak, kelibat
kereta menantunya kelihatan dan berhenti tidak jauh dari mereka. Iris Suhayla
muncul selepas itu. Dia memeluk emak kemudian memegang tangan Mak Su Dianah.
"Mak nak ke kelas memasak
ke?"
"Iyalah nak oi. Awak tu
seronok sangat ke makan aiskrim sampai berhari-hari tak jumpa jalan balik ke
rumah?"
"Su makan aiskrim kat
Langkawi. Mak Su sihat ke? Su rindulah dengan Mak Su."
Dia mengalih perbualan itu dan
bertanya khabar Mak Su Dianah. Izzul Haq sudah berdiri di sisi, bersalaman
dengan emak dan Mak Su Dianah.
"Sihat. Mak Su pergi dulu
ya."
Jawab Mak Su Dianah, bersisa
duka. Iris Suhayla dapat mengesan perasaan yang terbuku itu. Emak di sebelah
memberi isyarat supaya dia segera masuk ke dalam rumah.
"Iz rehat dulu, ya. Malam
nanti kita sembang panjang."
"Baik, mak. Iz ke dalam
dulu."
Jawabnya penuh tertib, seperti
selalu. Dia mengikut langkah Iris Suhayla, namun tertanya-tenya juga tentang Mak
Su Dianah yang muram sejak mereka berkenalan tempoh hari.
SELEPAS pulang dari kelas memasak, emak segera ke dapur,
menyediakan bahan untuk makan malam mereka sekeluarga. Mak Su Dianah membantu
juga ketika dia masuk ke ruang dapur. Walaupun tidak tahu memasak, tetapi dia
perlu membantu juga.
"Bila Su nak memasak?
Along dah nak balik Miri lepas kenduri di rumah Izzul nanti. Tak dapat rasalah
jugak masakan Su."
Ujar Hafiy, seakan berjauh
hati. Dia duduk di atas anak tangga, menanti reaksi si adik. Tidak lama
kemudian, muncul Izzul Haq di antara mereka.
"Along pun tak pernah
rasa? Agaknya kalau aku ni, bila pulak boleh rasa air tangan isteri?"
Tanya Izzul Haq sambil duduk
di tepi Hafiy. Iris Suhayla menjeling ke arahnya namun tangannya masih ligat
mengopek bawang.
"Jangan kau mimpilah Iz.
Aku yang dah tiga puluh pun tak dapat. Kau tambah lah tiga puluh tahun lagi."
"Aku sebaya kau, along.
Tambah tiga puluh equal to sixty.
Entah hidup entahkan tidak."
Sambung Izzul Haq, sengaja
memancing reaksi Iris Suhayla. Emak ketawa kecil, tidak pula berniat untuk menokok.
Mak Su Dianah juga belum membuka mulut.
"Itu yang aku maksudkan
tadi. Nak tunggu Su masak, entah hidup lagi ke tidak kita ni."
"Oh. Nak makan sangat,
kan? Su nak goreng ikan masin untuk Mat Abu berdua ni. Kalau tak makan,
siap!"
Bentak Iris Suhayla, laju
mencari ikan masin yang biasa disimpan emak di dalam peti ais. Dia bisa
menegakkan keadilan tetapi tewas apabila Izzul Haq ada bersama. Yang termampu
dilakukan hanya memprotes secara tingkah laku.
"Cari apa pulak tu? Habis
digeledah satu rumah."
Tegur emak, walaupun dia tahu
Iris Suhayla sedang mencari kuali. Izzul Haq dan Hafiy ketawa bersambung-sambung.
Telatah Iris Suhayla mencuit hati.
"Tu punggung hitam atas
kepala tu bukan yang dicari ke?"
Hafiy menyambung apabila
tawanya kembali reda sedang Izzul Haq terus ketawa. Iris Suhayla tidak membalas
tetapi dia merentap kuali itu dengan kuat lalu menghidupkan api dapur.
"Aku rasa baik kita
cabut, Iz. Memang dia sedang mengotakan janji tu. Dia nak goreng ikan masin
untuk kita."
Cadang Hafiy sambil menepuk
bahu iparnya. Dia tahu Iris Suhayla seorang yang cepat melenting tetapi dia
harus menanganinya secara matang apatah lagi mereka berada di kalangan
keluarga.
"Aku dah lama tak makan
ikan masin. Kalau ada nasi, aku nak makan dengan nasi."
Balas Izzul Haq pula. Iris
Suhayla tetap meneruskan misinya. Sekejap sahaja ruang dapur itu dipenuhi
dengan aroma ikan masin sehingga menggamit kemunculan Riyad secara tiba-tiba.
"Lapar nasi lah pulak
petang-petang ni. Terbau pulak ikan masin goreng. Lah, Su yang goreng ke? Mimpi
apa?"
"Shhhh. Kalau tak nak
kena denda dengan Cikgu Su, baik kau tutup mulut dan jangan komen."
Tegah Hafiy sambil menoleh ke
arahnya. Riyad tidak peduli lantas dia menolak bahu kedua-dua lelaki yang duduk
di atas anak tangga itu menuju ke dapur. Ikan masin di dalam kuali dijelingnya
lantas dia menutup api.
"Tak payah goreng
lama-lama. Nanti jadi ikan pahit pulak."
Pesannya kepada Iris Suhayla.
"Nasi ada lagi,
mak?"
"E'eh. Dah lapar? Tak
menyempat-nyempat. Kalau nak sangat makan, tu nasi sejuk tu. Habiskan, lepas tu
cuci periuk tu sekali."
Balas emak, menunjuk periuk
nasi dengan kangkung yang belum selesai disiangnya. Dia mengikut sahaja
perintah emak tanpa banyak bicara.
"Kau tak nak makan, duduk
senyap-senyap. Aku nak makan nasi dengan ikan masin."
Pesan Izzul Haq, bingkas
berdiri. Dia mendekati si isteri yang masih panjang muncungnya.
"Turun sikit muncung tu,
tak comel."
Usik Izzul Haq hampir tidak
kedengaran. Kalau dia mengusik kuat, nanti mereka bakal mendengar apa isi
ceritanya. Iris Suhayla akur. Kemudian, dia bertanya,
"Awak nak apa?"
"Nak makan nasi lah,
dengan ikan masin goreng. Tak kisahlah awak reti masak apa pun, asalkan awak
masak untuk saya."
Beritahu Izzul Haq sambil
memandang tepat mukanya, kemudian dia menghadiahkan sebuah senyuman di
hujungnya. Iris Suhayla terpaku melihat reaksi selamba sang suaminya.
"Sini Iz. Aku bentang
tikar, kita makan di bawah. Kau okay tak?"
"Apa tak okay pulak?
Macam aku tak biasa makan atas tikar."
"Mak, Mak Su. Kami makan
dulu, ya. Hafiy, kau menganga lah atas tangga tu."
Tambah Izzul Haq lagi. Hafiy
bagai tersedar dari lamunan ketika suara Izzul Haq menyebut namanya. Perutnya
mendidih pula melihat suapan pertama adik dan iparnya lalu dia bangun
menghampiri mereka berdua.
"KE mana kau
berdua tuju ni? Tiga hari tak jumpa jalan balik rumah."
Soal Hafiy ketika semua ahli
keluarga berkumpul di ruang tamu. Mereka sedang sembang kosong sementara menanti
ayah untuk sama-sama ke masjid. Iris Suhayla ketawa kecil. Dia menoleh ke arah
suaminya di sisi sedang Izzul Haq berpura-pura tidak mendengar.
"Tengok tv tak
berkelip-kelip mata tu. Tengok berita aje kut."
Riyad menyakat dari belakang.
Sebagai abang, dia dapat melihat kebahagiaan dari wajah masing-masing, walaupun
Iris Suhayla menentang pada awalnya. Dan dia yakin, Izzul Haq punya cara
memikat hati isterinya dengan pantas.
"Su, makan aiskrim kat
mana?"
Soal Hafiy, tidak puas hati.
Dia duduk di tepi Iris Suhayla, memaksa adik bongsu itu mengesot lebih dekat ke
arah suaminya. Izzul Haq menahan hati dari ketawa.
"Apa ni? Sibuk berhimpit
dengan orang."
"Jawablah dulu, Su
honeymoon ke mana? Mesej tak, telefon tak. Tup-tup menghilangkan diri selepas
kahwin?"
"Kan hari tu Su dah cakap
nak makan aiskrim. Kami ronda satu Malaysia lah, cari aiskrim paling
sedap."
Jawab Iris Suhayla, masih
berahsia. Kali ini Izzul Haq memuji Iris Suhayla dalam diam kerana berjaya mematahkan
serangan dua orang abangnya. Biarlah memori di Langkawi mereka simpan bersama.
"Kau percaya Su ni,
along?"
"Huh, tak percaya
langsung! Macam aku tak kenal Su. Jawapan tak pernah lurus."
"Mana boleh bagi jawapan
lurus. Yang kena dengan labi-labi dua ekor ni Su jugak nanti."
Izzul Haq ketawa kecil lalu
bagun. Dia tidak sanggup berhimpit lama. Kasihan pula Iris Suhayla yang duduk
di bahagian tengah. Jadi papan barangkali.
"Jom kita!"
Ayah memanggil dari depan daun
pintu. Hilang sembang kosong sebaliknya mereka berempat bersegera mengambil
peralatan masing-masing untuk berjemaah di masjid.