Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,168,189
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 17

17

"KENAPA kau minat sangat pasal CEO kereta tu?"

Tanya Siti Hajar sebelum melabuhkan punggungnya di atas sofa. Dia kehairanan dengan sikap Iris Suhayla yang sangat menunjukkan minat terhadap Izzul Haq. Semenjak terbaca di dada akhbar petang tadi, soalannya bertubi-tubi tentang Izzul Haq. Selama ini teman serumahnya tidak peduli perihal lelaki namun hari ini sikapnya bertentangan pula. Iris Suhayla membawa segelas air masak lantas duduk di sebelahnya. Siaran televisyen dihidupkan lantas dia memilih rancangan televisyen yang menarik hatinya namun pada waktu begitu, hanya berita yang disiarkan di mana-mana saluran pun.

"Kau jugak kata satu Malaya minat kat dia, kan?"

"Aku ingat kau terkecuali."

"Mana boleh terkecuali. Aku jatuh hati tiba-tiba pada dia."

Beritahu Iris Suhayla, sengaja berjenaka. Walaupun Siti Hajar paling dekat dengannya ketika ini, namun dia tidak mahu terlalu berterus-terang. Biar disimpan rapi dahulu rahsia Izzul Haq sebagai tunangannya. Itupun jika benar Izzul Haq itu yang menjadi tunangnya. Jika Izzul Haq lain bagaimana? Tapi takkan ada tujuh Izzul Haq yang sama rupa dan nama begitu? Dan takkan Izzul Haq yang menjadi impian ramai wanita itu memilih dirinya sebagai calon isteri? Oh, mencabar sungguh dugaan baru ini.

"Jatuh hati tiba-tiba pun, macam boleh kahwin dengan dia."

"Kenapa pulak tak boleh?"

Tanya, menguji lagi.

"Lagi mahu tanya. Kau dengan dia ibarat langit dengan bumi. Takkan dia pandang orang macam kita ni, Su. Berbaju kurung tiap hari, bibir pun kau calit lipstik nipis-nipis. Nampak tak nampak aje. Dia tu high class. Pakai baju berjenama, kereta berjenama, seluar berjenama, silap hari bulan yang dalam pun berjenama."

Sinis sahaja Siti Hajar menjelaskan. Iris Suhayla ketawa. Jenaka Siti Hajar yang paling hujung bagai menggeletek tubuhnya. Kemudian, dia mahu menduga lagi. Tambahan pula, mereka jarang bercerita tentang lelaki. Apa salahnya jika hari itu dipilih sebagai hari untuk mendapatkan pandangan tentang lelaki. Selain Zakwan.

"Tapi kalau tengok gambar dia dengan Putri Ariyana, aku tak hairanlah. Takkan lelaki kaya macam dia nak tolak rupawan, jelitawan, selebritiwan macam Putri Ariyana tu. Kan cocok jadi pasangan dia?"

Tambah Siti Hajar lagi. Kali ini giliran Iris Suhayla pula yang diuji. Mengapa perihal Putri Ariyana pula yang dibangkitkan Siti Hajar dalam perbualan mereka? Bukankah cerita mereka tadi sekadar berkisar tentang Iris Suhayla dan Izzul Haq sahaja?

"Putri Ariyana dengan aku, siapa lagi cantik? Aku kan?"

"Kau cantik? Perasannya! Tapi kau memang cantik pun."

"Ha ha ha. Aku tahu aku cantik. Tak solek pun tak apa, tetap cantik."

Balas Iris Suhayla, berlucu. Siti Hajar tidak menjawab, hanya ketawa yang kedengaran mengisi ruang tamu rumah itu.

"Berbalik pada topik-"

"Penyampaian bantuan kepada Rumah Anak-anak Yatim Baitul Hidayah telah disampaikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat The Speeds, Izzul Haq bin Dato' Izhar dalam sebuah majlis kesyukuran yang diadakan di Hotel Grand Wave."

Berita yang dipaparkan itu menarik perhatian mereka berdua, lantas Iris Suhayla menambah laras suara hingga bergema suara pembaca berita itu di segenap ruang rumah mereka.

"Tengok tu, cerita pasal buah hati kau lagi. Aku rasa minggu ni memang berita pasal dia aje lah. Silap haribulan, rancangan Sensasi tu pun bakal tayang muka dia."

"Emm. "

"Murah rezeki dia, melimpah ruah. Aku suka tengok orang kaya yang tak lupa diri, memberi pada yang memerlukan."

"Bila teringat semula kronologi kisah hidupnya, aku rasa, dia memang berhak dapat apa yang dia dapat sekarang."

Siti Hajar bercerita lagi. Iris Suhayla tertarik untuk mengetahui kisah itu, lalu dia mengalih perhatian dari isi cerita sumbangan Izzul Haq kepada kronologi kisah hidup Izzul Haq. Itupun jika benar Izzul Haq yang dimaksudkan itu adalah Izzul Haq, tunangnya.

"Banyak ke yang kau tahu pasal dia?"

"Kisah dia bukan setahun dua. Aku rasa masa aku mula-mula posting dulu, dia baru meningkat naik. Dia cerita, masa kecik-kecik dulu dia duduk dengan datuk dia-"

Siti Hajar membuka cerita namun dia mencelah pula.

"Dato' Izhar?"

"Itu bapak dia! Datuklah! datuk-nenek."

Tekan Siti Hajar pula. Apakah kerana sedikit maklumat yang ada lantas Iris Suhayla meneka sesuka hati? Namun teman serumahnya itu tertawa cuma.

"Oh, okay. Lepas tu?"

"Dia duduk dengan datuk nenek dia. Dari kecik lagi. Bermula umur lima tahun, dia dah ikut datuk dia ke hulu ke hilir naik motor. Datuk dia ada dusun durian. So, dia selalu tolong datuk dia di kebun durian. Bila tiba musim buah, mereka jual buah durian. Nenek dia pulak pandai buat makanan berasaskan durian, macam tempoyak, lempuk durian, pulut manis plus durian. Mereka jual semua tu. Habis tingkatan lima, ayah dia ambil dan bawak dia balik ke KL. Disebabkan terbiasa berniaga dari kecil, dia buat part time, jual burger malam hari. Siang pulak pergi kuliah. Masuk semester akhir, tahun akhir, datuk dia meninggal dunia."

Cerita Siti Hajar, segera menarik minat Iris Suhayla. Timbul kekaguman terhadap lelaki yang sudah menjadi tunangannya semenjak tiga bulan yang lalu.

"Dipendekkan cerita, semua ahli keluarga berkumpul untuk pembahagian harta. And you know what, rupanya dia penerima wasiat yang paling banyak. Bukan setakat dusun durian. Rupanya, semenjak duduk dengan datuk, setiap hari, setiap kali balik rumah, datuk dia simpankan duit dalam tabung buluh tanpa pengetahuan dia. Duit tu sebagai upah tolong datuk di dusun. Dan, oleh kerana terlalu minat akan kereta mewah, dia berdikit dari bawah. Bermula dari engineer. Sambil bekerja, dia jadi orang tengah, dapatkan kereta-kereta yang orang mintak. Eventually, he become a very rich person in Malaysia. An owner of a luxury car's company. Tak padan dengan umur."

Ulas Siti Hajar, menyudahkan ceritanya. Begitu banyak persoalan yang muncul di benaknya tentang kisah hidup lelaki itu namun dipendamkan dahulu. Tak sangka Siti Hajar lebih mengenali Izzul Haq berbanding dirinya yang menganggap Izzul Haq penuh misteri.

"Mesti berganda minat kau pada dia, kan? Habislah Zack! Ada pesaing tak pasal-pasal."


DIA berehat di bawah gazebo sambil membaca sebuah buku bertajuk Iskandar Adalah Zulqarnain. Ketika bacaannya mencecah halaman 200, buku itu ditutup semula.

"Cukup untuk hari ini."

"Apa yang cukup?"

Tanya Mama Jiya, mendekatinya lantas menghidangkan teh o dan sepiring kuih karipap. Izzul Haq hanya menjawab dengan senyuman.

"Air tangan Mama Jiya ke?"

"Iyalah, siapa lagi?"

"Manalah tahu kot bibik yang masak."

Balasnya, sekadar menyerkap jarang. Air teh o yang masih panas dihirup sedikit. Apabila dirasakan takat kepanasan air itu serasi dengan lidah yang merasa, dia menghirup lagi air itu. Kali ini lebih lama dia menghirup.

"Eh, lupa pulak nak jemput Mama Jiya minum!"

"Minumlah Iz. Sesekali Iz balik ke rumah Mama Jiya ni, kan?"

"Minggu ni baru dapat rehat, Mama Jiya. Selalunya hujung minggu pun ada event jugak."

Jelas Izzul Haq sambil membetulkan duduknya. Usai subuh, dia terus memandu ke kawasan kejiranan Bukit Kiara. Dia bimbang, jika melengahkan niat untuk menjenguk Mama Jiya, hasratnya langsung tidak dapat ditunaikan memandangkan hari-harinya yang penuh dengan aktiviti.

"Iris apa khabar?"

Tanya Mama Jiya tentang bakal menantunya. Izzul Haq mengangkat wajah. Bagaimana hendak menjawab? Berpura-pura atau berterus-terang lantaran dia sendiri jarang sekali bertanya khabar tunangnya.

"Emm, Iz tak pastilah Mama Jiya. Sihat kot."

"Macam mana boleh ada kot? Iz tak contact Iris ke?"

"Tak sempatlah, Mama Jiya. Iz sibuk sikit lately ni."

Jawab Izzul Haq. Jawapan yang sudah dapat dibaca oleh naluri keibuannya. Dia faham akan tugas anak tirinya selaku pemilik sebuah syarikat besar. Jadual hariannya pasti padat dengan aktiviti tetapi ada hal-hal tertentu yang harus diberi perhatian juga selain dari perihal kerja. Dan kini, semenjak kejayaan majlis pelancaran kereta Porsche tempoh hari, anaknya menjadi tumpuan media pula. Tidak semena-mena timbul gosip tentang hubungan anak tirinya bersama selebriti terkenal Malaysia ketika ini.

"Putri Ariyana?"

Izzul Haq mengangkat muka sekali lagi. Dahinya berkerut, bukan kerana kepanasan dek bahang mentari yang menyelinap masuk di celah-celah atap nipah, namun persoalan mengenai Putri Ariyana yang bermain di bibir ibu tirinya. Mama Jiya turut mengikuti perkembangan gosipnya jugakah?

"There's nothing between us, Mama Jiya."

"Iya ke?"

"Iz kan tunangan orang. Takkan Iz berani nak menggatal lagi."

"Fitnah mudah menimpa kalau Iz tak berhati-hati. Mama Jiya bukan nak menyibuk sangat hal peribadi Iz tapi Iz jagalah hati Iris tu. Entah apa yang dia rasa kalau terbaca cerita pasal Iz. Berita pasal kejayaan tu memang bagus tapi pasal gosip Iz tu, Mama Jiya kurang senanglah Iz. Lain macam aje Mama Jiya tengok Putri Ariyana tu. Seram sejuk Mama Jiya dibuatnya."

Kata Mama Jiya, tidak berselindung. Izzul Haq ketawa sahaja. Benarlah andaiannya sebentar tadi. Memang Mama Jiya tidak pernah terlepas mengikuti perkembangannya sama ada yang baik atau yang buruk.

"Mama Jiya jangan fikir yang bukan-bukan. Iz dengan Putri sekadar kawan. Hari tu dia bekerja dengan Iz. Takkan selepas bekerja, Iz nak menyombong pulak dengan orang, kan?"

"Betullah apa yang Iz kata tu. Tak salah berkawan tapi jagalah batas-batasnya supaya tiada hati yang tersinggung. Bukan setakat Iris, hati keluarganya pun kita kena jaga. Kita yang bersungguh nakkan anak orang, kan?"


"BOS, Putri Ariyana is here. She wants to meet you."

Beritahu Aina ketika talian telefonnya diangkat. Izzul Haq mencari reaksi Hakimi namun sahabatnya ketawa sahaja. Menyesal pula dia menekan butang pembesar suara pada telefon itu. Jika perbualan itu antara dirinya dan Aina, pasti lebih mudah dia menanganinya.

"Dia nak apa, Aina? Saya busy ni. Tengah berbincang dengan Hakimi."

"Sebentar ya, bos. Saya tanyakan dulu."

Balas Aina. Talian dihujung senyap seketika. Sementara menunggu Aina, dia meneliti minit mesyuarat pengurusan yang telah disiapkan Aina.

"Bos, dia nak jumpa bos personally."

"Business or personal? Kalau business, ask her to wait at the guest room. If not, I ask my apologize because I don't have time for it."

"Amboi, you guna perantara aje untuk cakap dengan I, kan?"

Sapa satu suara. Izzul Haq terkesima. Dia dan Hakimi saling berpandangan. Tak disangka Putri Ariyana begitu berani, mengambil alih telefon dari Aina semata-mata mahu bercakap dengannya.

"Putri Ariyana, I bercakap dengan you ke, sekarang?"

"I am, honey. You tak mahu layan customer you ke? Iminatlah Targa 911 4s tu. Rasa macam nak beli aje tapi tak ada orang nak entertain I. Mungkin I patut balik kot."

Balasnya, dengan intonasi lunak. Suara yang cukup sempurna untuk membuat pendengarnya berasa gelisah.

"You heard me, right? Kalau pasal business, there's a very comfortable guess room. I akan datang nanti."

"Okay."

Balas Putri Ariyana. Selepas itu talian terus terputus. Izzul Haq melepas nafas yang terasa berat. Kot berwarna kelabu ditanggalkan.

"Susah layan orang macam ni. By the way, janganlah kau tolak permintaan aku tu. Siapa nak jaga logistik kalau bukan kau. Banyak benefitnya. One of them, outstation ke luar negara. Sambil kerja sambil makan angin."

"How can I decline? You are the boss."

"Pergilah entertain pelanggan kita dulu. Nanti macam-macam pulak isu yang timbul."

Hakimi menambah lagi. Izzul Haq mengangguk lantas keluar dari biliknya.


"KEVIN, tolong Cik Putri Ariyana. She wants to book a 911 Targa 4s ."

Beritahunya apabila talian disambut. Setelah mendapat jawapan, Izzul Haq memutuskan kembali talian dan melangkah ke arah Putri Ariyana yang sedang menanti.

"Kevin akan tolong you untuk bookkereta tu."

"Okay."

Sambut Putri Ariyana. Kemudian, dengan bersahaja dia mengeluarkan bedak kompak sebelum menilik wajahnya. Lipstik dioles kembali ke bibirnya yang mungil. Anak rambut yang terjuntai di dahi diselak ke tepi. Semua perbuatannya diperhatikan Izzul Haq satu per satu. Usai menyolek, dia mengeluarkan pula telefon bimbit tab. Apabila skrin telefon dihalakan ke wajahnya, tap! satu, dua, tiga barangkali, wajahnya dirakam sendiri. Kemudian, dia mengangkat telefon bimbitnya lebih tinggi, menghala ke arah Izzul Haq. Tap!

"You ambil gambar I, ya?"

"Wajah youyang kacak tu. Siapa tak mahu simpan tanda kenangan?"

"Kenapa you tak minta izin Idulu?"

Tanya Izzul Haq, menduga. Entah mengapa, dia ingin tahu apa yang bermain di fikiran figura penuh pesona itu.

"Tak ada signpun yang suruh Imintak izin. Emm...alang-alang you dah sebut, I nak mintak izin untuk bergambar berdua dengan you."

Pinta Putri Ariyana. Izzul Haq tidak menjawab. Putri Ariyana ketawa kecil lantas bangun menuju ke arah Izzul Haq. Sofa tunggal itu tidak menjadi penghalang buatnya lantas dia mengangkat tangan Izzul Haq sebelum duduk di atas tempat meletak tangan di sisi Izzul Haq. Terlalu rapat hingga menyesakkan nafas lelaki itu. Skrin telefon bimbit dihalakan ke arah mereka berdua namun Izzul Haq bangun cepat-cepat.

"I need more oxygen. Please excuse me."

"Ha ha ha. Udara sejuk ni tak cukup lagi ke buat you?"

Ejek Putri Ariyana lantas ketawa kecil. Dia tahu lelaki itu bukan sembarangan lelaki sebab itu dia ingin mencuba. Mana tahu jika rezeki menyebelahi. Pasti hubungan yang terjalin membawa keuntungan besar buatnya.


"BOS ada skandal dengan Putri Ariyana ke?"

Tanya Aina kepada Hakimi. Persoalan itu berlegar di dalam mindanya semenjak Putri Ariyana dengan selambanya merampas ganggang tefeon ketika dia sedang bercakap dengan Izzul Haq pagi tadi. Wajah Hakimi ditenung untuk mendapatkan reaksi namun lelaki itu menjungkit bahu.

"Bohonglah kau tak tahu. Kau yang paling rapat dengan bos, kan?"

"Kau yang dekat dengan dia. Kau secretarybos, kan?"

"Aku secretary aje, bukan pengawal peribadi dia."

"Dah tu? Sama aje. Aku PR syarikat aje, bukan pengawal peribadi dia."

Balas Hakimi, mengusik. Aina menarik muncungnya tanda tidak berpuas hati. Hakimi ketawa apabila gurauannya berhasil, membuatkan Aina sakit hati.

"Eeeee...geram betul aku cakap dengan kau. Putar sana, putar sini!"

"Muncung panjang macam itik serati."

Tambah Hakimi lagi. Ketika itu, Izzul Haq melangkah mendekati mereka berdua. Aina berdehem, memberi isyarat kepada Hakimi bahawa orang yang dibualkan sedang menghampiri.

"Patutnya saya yang berdehem."

Tegur Izzul Haq. Dari jauh dia mendengar bunyi ketawa Hakimi. Barangkali dia sedang menyakat Aina.

"Sorry, bos!"

"Tak ada apa yang nak disorrykan. Aina, tolong panggilkan staf yang dah awak senaraikan tu esok, pukul sembilan pagi. Saya nak jumpa semuanya dalam bilik mesyuarat."

"Menurut perintah, bos!"

"Kau pun sama Mi. Masuk mesyuarat esok."

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.