Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,167,714
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 23

23

IRIS Suhayla dan Siti Hajar menapak beriringan menuju ke Dewan Terbuka Seri Layang. Di sana, hampir kesemua guru dan kakitangan sekolah sudah berhimpun. Mereka berkumpul kerana potluck yang sengaja diadakan sebagai sebahagian dari aktiviti berkala Kelab Guru dan Kakitangan Seri Layang. Masing-masing membawa makanan dari rumah. Tidak ketinggalan juga Iris Suhayla dan Siti Hajar yang berkongsi duit untuk membawa makanan mereka.

"Hah, cikgu bujang hot sekolah kita dah sampai."

Nizam mengusik dari jauh. Suaranya yang sangat kuat menarik perhatian hampir separuh tetamu. Iris Suhayla tersipu malu lantas dia segera meletakkan bekas koktail di atas meja hidangan.

"Hot lah, bujang. Bila dah kahwin macam kau, kahwin dua pulak tu. Apa yang hotnya?"

Cikgu Khadijah menyahut, mengusik Nizam pula. Seisi sekolah tahu yang Nizam beristeri dua lantas isu itu digunakan sebagai senjata untuk mematahkan sikap Nizam yang miang keladi.

"Kahwin dua lagi hot. Menjadi sebutan satu Labuan."

Nizam membalas lagi. Dia berdiri di tepi Iris Suhayla dengan senyuman yang sukar untuk ditafsir.

"Ehemm."

Iris Suhayla dan Nizam pantas menoleh ke belakang. Puan Hajjah Aminah berdiri tidak jauh dari mereka.

" Eh, puan! Dah lama berdiri kat belakang?"

Tanya Nizam, bersahaja. Puan Hajjah Aminah tersenyum cuma. Peluang yang ada untuk berkumpul sesekali digunakan sebaik mungkin untuk beramah mesra dengan anak buahnya. Sesekali diintip juga kelakuan Nizam. Lelaki beristeri dua itu kerap juga mencuri perhatian Iris Suhayla. Dia mempamerkan sikap gatalnya tanpa selindung. Dan sebagai seorang ketua, bimbang juga dek hatinya kalau-kalau Iris Suhayla tertarik dengan Nizam.

"Lama tak lama. Sempat juga lah saya terdengar laungan suara awak tadi tu."

Balas Puan Hajjah Aminah, sesekali melirik ke arah Iris Suhayla. Segan dengan jelingan ketua jabatannya, Iris Suhayla mengalih kedudukannya. Dia beransur menapak ke sebelah kanan Siti Hajar. Dia mengambil pisau pemotong kek lalu memotong puding yang dibancuh Siti Hajar kecil-kecil. Sedang sibuk memotong, sebuah mangkuk kertas dihulur dari belakang.

"Nak rasa sikit air tangan cikgu bujang paling hot di SKSL ni."

Ujar Zakwan. Iris Suhayla mengambil mangkuk plastik itu lantas dihulur pula kepada Siti Hajar di sebelahnya. Berkerut dahi Siti Hajar, hairan dengan permainan baharu itu.

"Zack nak rasa air tangan kau."

Tuturnya, selamba. Siti Hajar berpusing menghadap Zakwan selepas mengisi puding berkuah seperti yang diminta oleh Zakwan.

"Nah! Pergi main jauh-jauh."

Ucap Siti Hajar, bercanda. Usai pekerjaan mereka, masing-masing mengambil tempat duduk sambil menjamu selera.

"Aku rasa kan, this is the best time to announce."

"Announce apa?"

Tanya Iris Suhayla, tidak dapat menangkap tentang saranan yang dimaksudkan oleh Siti Hajar.

"Kau rasa ada apa-apa yang patut ka announce tak pada semua staf kat SKSL ni. Seminggu aje lagi."

Cikgu Khadijah yang duduk di sebelah Iris Suhayla, turut memanjangkan leher. Dia menunggu masa untuk mencelah dalam perbualan dua sahabat itu.

" Ha ah Siti. Nak announce apa? Nak kahwin ke?"

"Siapa nak kahwin? Siti ke Iris?"

Cikgu Sarah di sebelah Siti Hajar pula mencelah. Iris Suhayla terkedu buat seketika. Tiba-tiba perbualan separuh bisik itu menjadi rancak dan bertambah rancak apabila ia menjadi perbualan berkumpulan. Dia tidak tahu di mana hendak bermula? Menafikan atau tidak?

"Wah, dalam diam Siti nak kahwin. Berita baik ni."

Cikgu Rahmat menegur dari belakang. Kali ini giliran Siti Hajar pula yang menjadi mangsa keadaan. Iris Suhayla menarik nafas panjang. Sekurang-kurangnya, pengumuman yang tidak dirancang itu masih tersimpan elok dan menjadi rahsia buat mereka berdua.

"Selamat datang ke kelab la ya."

Cikgu Rahmat menambah lagi. Siti Hajar menggeleng kepala. Dia hampir tersedak dek kerana mahu menolak dakwaan itu. Lantas, Iris Suhayla menghulur air buat sahabatnya. Dewan terbuka itu bergema dek tawa mereka yang gelihati dengan gelagat Siti Hajar.


IZZUL Haq berbaring di atas sofa. Berkejaran antara kerja dan persiapan perkahwinan membuatkan badannya berasa lesu. Dia memejam mata namun membuka kembali matanya apabila Mama Jiya memanggil.

"Iz nak panggil berapa ramai tetamu ni?"

"Kita buat close reception aje, boleh? Untuk keluarga lelaki dan perempuan sahaja."

"Terpulang pada Iz."

Jawab Mama Jiya perlahan. Dia berkira hendak mengajak teman-teman rapat namun hajat itu terpaksa dilupakan memandangkan majlis itu kepunyaan Izzul Haq.

"Tak sempat Mama Jiya. Suntuk sangat masa kita. Iris pun cuti seminggu aje. Next time kita buat majlis lain untuk kawan-kawan dan staf Iz pulak. Mama Jiya jemputlah berapa ramai pun tetamu. Masa tu, we let Iris to chose her favourite theme."

"Hai abang Iz! Dah lama sampai?"

Tegur Lukman sambil menepuk bahunya. Anak muda berusia tujuh belas tahun itu mengambil tempat di sebelahnya.

"Lama betul abang Iz tak jumpa Luke. Asal datang aje, Mama Jiya duduk rumah seorang diri. Sibuk study dengan kawan-kawan ke?"

Lukman terus ketawa. Padanya Izzul Haq sekadar bercanda. Dia bukanlah ulat buku yang hanya memerap di dalam rumah dan mengulangkaji pelajaran sahaja. Sebagai remaja, pasti dia ingin menikmati kehidupannya sepuas hati.

"Sibuk study? Tak ada maknanya. Dari Luke menghabiskan masa membaca buku, lebih baik Luke keluar lepak dengan kawan-kawan."

"Dia bukan dengar cakap Mama Jiya pun Iz. Penat! Berbakul nasihat kita beri, dia bukan kisah pun."

Luah Mama Jiya, terkilan. Lukman ketawa sahaja. Kalaulah mama tahu apa yang terbuku di dalam hatinya. Dia bosan dengan kehidupan di rumah besar itu. Jika punya peluang, dia ingin sekali hidup berdikari di luar. Tak sabar rasanya hendak punya pendapatan sendiri.

"Abang pun tak studysangat masa zaman Luke dulu. Abang sibuk jual burger. Ha ha ha. Luckily I am a smart person. Dapat jugak masuk U."

"Iz! Dia ajar adik dia pulak."

Tegur Mama Jiya. Izzul Haq dan Lukman sama-sama ketawa. Bagi Izzul Haq, sebagai seorang abang, bukan kuasa yang perlu ditunjuk tetapi teladan. Bukan hendak mengajar si adik mengabaikan pelajaran tetapi yang lebih penting keharmonian keluarganya. Cukup ayah seorang yang merosakkan rumah tangganya. Jangan seorang pun anak-anaknya mengikut jejak itu.

"Itulah kan. Mesti seronok kerja kan, abang Iz? Kalau ada kerja kosong dekat officeabang, beritahu Luke, ya? Luke nak cari duit poketlah!"

"Ada kerja kosong tapi perlukan kelayakan SPM. Luke ada SPM?"

Ujar Izzul Haq, memancing perhatian Lukman. Lukman sedikit kecewa dengan pendirian Izzul Haq. Terlalu tegas untuk adik sendiri.

"Alah, takkan tak boleh kowtim dengan adik sendiri kot."

"Emm. suka hati kamulah anak-anak. Mama nak ke dapur."

"Kowtim dengan adik-beradik boleh menyebabkan bussiness lingkup."

Kata Mama Jiya, di tengah-tengah perbualan itu. Izzul Haq senyum sahaja. Dia dan Lukman hanya menghantar langkah Mama Jiya ke dapur. Kemudian, mereka menyambung lagi perbualan mereka.

"Lepas SPM ni Luke boleh tolong abang Iz. Yang penting, habiskan dulu SPM tu."

"Habiskan dengan gred cemerlang."

Izzul Haq menambah lagi. Lukman memandangnya lama, meminta belas kasihan namun Izzul Haq terus ketawa.

"Kalau habis dengan gred cemerlang, tak payah kerja dengan abang lah, ye dak? Baik Luke kerja dengan Donald Trumps."

Balas Lukman. Izzul Haq mahu mengumpan lagi namun Lukman pula mengalih perbualan mereka. Ketika itu, Mama Jiya menghampiri mereka dengan dulang di tangan.

"Abang Iz dengan si Putri tu ada skandal ke? Bagi hadiah kereta bagai."

Soal Lukman lagi. Beberapa orang teman rapatnya ada bertanya tentang hal tersebut lewat beberapa hari ini, namun dia sendiri belum mendapatkan penjelasan itu sendiri dari Izzul Haq. Riak wajah Mama Jiya berubah ketika dia melihatnya. Izzul Haq menarik nafas panjang. Sejak akhir-akhir ini, namanya kerap benar dikaitkan dengan Putri Ariyana. Dan semenjak kebelakangan ini juga dia kerap terserempak dengan Putri Ariyana. Bagai berjodoh pula.

"Senyap aje ni. Mesti ada skandal, kan?"

"Skandal apa? Gosip aje tu."

Izzul Haq menyanggah setelah sekian lama menyepi.

"Kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang."

"Eh, pandai sangat budak sekolah ni korek rahsia orang."

Kata Mama Jiya mencelah. Izzul Haq ketawa kecil. Dia menghirup teh suam setelah dipelawa oleh Mama Jiya.


KOTAK berbalut coklat itu dibukanya dengan cermat. Iris Suhayla melihat dua susunan kad undangan perkahwinan di dalamnya. Tiba-tiba sahaja debaran di dada berdetak dengan lebih cepat. Dia melihat kalendar di hadapannya. Kurang lima hari sahaja sebelum majlis berlangsung. Dia melepaskan keluhan yang sangat berat.

"Kenapa aku kena melaluinya?"

Omelnya sendirian. Tangannya mengambil kad undangan berwarna ungu. Walaupun berat, hari ini dia akan menyelesaikan segala-galanya. Pada guru besar dan pada semua warga sekolah. Dia akan menyerahkan kad itu, menjemput mereka separuh hati.

Iris Suhayla mencapai pen pula. Dia sempat mengambil senarai nama guru dan kakitangan sekolah ketika ustazah masuk untuk mengajar murid. Dia mula menulis nama kakitangan sekolah pada sampul surat itu. Dengan lafaz bismillah dia mula menulis nama Puan Hajjah Aminah. Diikuti dengan nama Encik Osman, Puan Asmah dan Cikgu Fadil.

"Eh, Iris mo kahwin ka?"

Sapa Kak Nisa apabila melihat Iris tekun menulis sesuatu. Iris Suhayla mengangkat kepala. Mahu tak mahu, segan tak segan, hari itu telah ditetapkan sebagai hari pengakuan.

"Iya kak. Kad akak dalam proses ni. Saya tengah tulis nama kakitangan sekolah ni. Nanti akak jemput datang ke majlis saya di Hulu Langat, ya?"

Akui Iris Suhayla, bersama senyuman. Kak Nisa terus menarik kerusi lalu duduk di hadapannya. Kelas sudah kosong, hanya tinggal mereka berdua sahaja di dalamnya.

"Iris nda pernah bilang pun sama Kak Nisa, Iris mo kawin."

"Mana nak cakap. Rancangannya bulan enam ni. Tup-tup minggu lepas dapat panggilan dari kampung. Ayah kata balik cuti sekolah ni kena kahwin."

Cerita Iris Suhayla, terkenang panggilan telefon yang diterima dari ayah tempoh hari. Banyak kali dia bertanya pada diri,adakah dia siap menempuh alam baru bersama seorang lelaki yang sangat asing buat dirinya namun itulah jalan yang akan diharunginya kelak.

"Itu pilihan keluarga ka?"

"Iya kak. Pilihan keluarga."

Jawab Iris lantas menyerahkan sekeping kad undangan yang telah siap ditulis nama Kak Nisa di atasnya. Kemudian, dia memotong nama Kak Nisa dari senarai nama guru dan kakitangan sekolah.

" Dah dekat sangat ni. Lima hari lagi. Bila Iris mo balik kampung?"

"Agak-agaknya, guru besar bagi saya cuti awal tak?"

"InsyaAllah. Lagipun urusan Iris di seberang Laut Cina Selatan. Mesti Puan pertimbangkan permohonan Iris. Isi cepat bah borangnya. Iris kana mohon cuti tu awal sikit. Senang bah Encik Osman bikin relief untuk Iris."

Pesan Kak Nisa sambil membaca kad undangan itu. Iris meneruskan kerjanya. Dia berkira hendak menyiapkan senarai nama jemputan sebelum berjumpa dengan guru besar.

"Tapi Iris, sia mintak maaf. Sia nda dapat hadir bah. Jauh sangat tu! Nda cukup duit sia mo beli tiket kapal terbang."

"Tak apa Kak Nisa. Saya faham. Doakan saja saya, ya?"

Balas Iris Suhayla, kemudian. Kak Nisa mengangguk sebelum menemani dirinya, menyambung tulis nama-nama jemputan dari SKSL.

IRIS Suhayla melihat nama yang terpapar di skrin telefon bimbitnya sebelum menjawab panggilan itu. Nama Izzul Haq tertera di situ. Setelah dikejutkan dengan berita perkahwinan yang datang secara tiba-tiba, baru hari ini Izzul Haq menghubunginya.

"Ya."

Sapanya, malas.

"Nak tak nak aje jawab telefon."

Balas Izzul Haq, membuat andaian. Sudah lama dia tidak menghubungi Iris Suhayla dek kerana kesibukan bekerja. Tambahan pula, urusan kahwin yang datang tiba-tiba. Kesibukannya bertambah-tambah lagi. Namun, dia beruntung kerana dikurniakan ibu tiri yang penyayang dan mengambil berat seperti Mama Jiya.

"Kan saya dah jawab ni."

"Baguslah. kad undangan dah sampai ke?

Tanya Izzul Haq, memulakan cerita. Semenjak Mama Jiya memutuskan tarikh perkahwinan mereka, belum sekali pun dia menghubungi Iris Suhayla. Sekurang-kurangnya untuk memberi penjelasan tentang majlis yang diatur lebih awal itu. Kini, selepas majlis itu kian menghampiri masanya, barulah kesempatan itu ada. Baru hari ini juga, dia berkesempatan mendengar suara gadis itu yang bakal menjadi isterinya kelak.

"Dah."

"Dah agih?"

"Belum."

"Good. Masa agih nanti, tanyakan kehadiran. Saya nak book satu flight untuk kakitangan SKSL. Percuma. Ada 124 tempat duduk termasuk anak kapal lapan orang. Pandai-pandailah kira. "

Jelas Izzul Haq. Iris Suhayla terkedu. Dia tidak percaya Izzul Haq sanggup membelanjakan yang wang yang banyak untuk majlis perkahwinan mereka.

"Amboi, banyaknya duit orang kaya ni!"

Balas Iris Suhayla, sinis.

"Banyaklah...untuk orang yang kuat bekerja macam saya."

"Emm. Flight tu pukul 9.00 pagi dari Labuan. Aturcara perjalanan diorang dah saya emelkan pada awak. Tinggal print out sahaja."

"Saya dah emel juga tiket terbaru awak. Lusa, pukul tiga petang."

Tambah Izzul Haq lagi. Iris Suhayla terkejut lagi dengan keputusan yang telah dibuat di luar pengetahuannya itu.

"Eh, suka hati dia aje. Saya belum ambil cuti lagilah!"

Balasnya, tak dapat mengawal lagi perasaan marah. Kak Nisa yang sibuk menguruskan dapur keluar menjenguk. Apabila dia melihat Iris Suhayla sedang bercakap di dalam telefon, dia kembali meneruskan kerjanya.

"Belum ambil? Awak nak saya ke sana ke? Tolong jumpa guru besar awak tu."

"Ihh...saya boleh buat sendiri lah."

Tolaknya, tegas. Tergambar di layar mindanya betapa marahnya Puan Hajjah Aminah kerana ada orang lain yang datang meminta cuti bagi pihaknya. Oh, tidak! Perkara itu tidak akan berlaku pada dirinya.

"Betul ke? Baguslah, saya bakal dapat seorang isteri yang berdikari."

"Kalau tak ada apa-apa lagi, saya nak tekan butang merah."

Beritahu Iris Suhayla. Tanpa menunggu reaksi lelaki itu, butang merah terus ditekan. Dia meletakkan kembali telefon itu ke atas meja. Dia melihat jam di pergelangan tangan. Hampir mencecah angka satu lantas dia meneruskan kerja yang tertangguh itu. Kerja menulis nama tetamu yang bakal diundang ke majlis perkahwinannya.

SUASANA di bilik guru bertukar menjadi riuh apabila masing-masing menerima kad undangan ke majlis perkahwinan Iris Suhayla. Hari ini merupakan hari yang paling memenatkan. Penat kerana terpaksa menjawab soalan tentang perkahwinan yang diatur keluarga itu. Masih ada beberapa keping yang belum diserahkan kepada pemilik nama dan salah seorang jemputan yang belum diundang ialah Zakwan dan Nizam. Kebetulan mereka dipanggil untuk bermesyuarat di PPD atas bidang masing-masing. Teringat pesanan Izzul Haq, dia mengeluarkan helaian aturcara perjalanan ke majlis perkahwinannya. Dia mencari kelibat Cikgu Suhana, Pengerusi Kelab Guru dan Kakitangan SKSL. Pencariannya berhasil. Kak Suhana sedang berbual dengan Cikgu Fadil.

"Kak Su."

"Ya sayang. Ada apa?"

"Bakal suami saya jemput semua kakitangan sekolah. Dia dah booked satu flight untuk bawa sesiapa sahaja dari sekolah ni ke majlis kami."

"Hah? Booked satu flight? Biar betul?"

Mata Kak Suhana bulat, seakan tidak percaya akan cerita itu. Dia menyambut sekeping kertas yang dihulurkan oleh Iris Suhayla. Salinan emel tentang jadual perjalanan pesawat dibacanya dengan teliti. Kemudian, dia menyerahkan salinan itu kepada Cikgu Fadil pula. Siti Hajar yang baru tahu tentang hal itu turut mendekati Cikgu Fadil. Kemudian, beberapa orang guru yang duduk berhampiran meja Kak Suhana juga mengerumuni Cikgu Fadil.

Iris Suhayla menundukkan muka. Terasa darah panas naik hingga ke muka. Kejutan yang diberi oleh Izzul Haq bukan membanggakan tetapi membuatkan dia berasa malu. Dia bimbang jika mereka beranggapan bahawa dia mahu menunjuk kekayaan bakal suami.

"Oleh kerana kakitangan sekolah ada 42 orang, kita open seorang staf bawak seorang lagi pasangan. Tak kiralah, anak ke isteri ke suami ke. Maksudnya satu keluarga untuk dua orang."

Kata Cikgu Fadil. Cikgu Suhana mengangguk tanda bersetuju.

"Baru isi 84 seats. Ada balance dalam 32 seats lagi."

"Itupun kalau semua nak pergi."

"Ko tulis nama aku, Su. Aku mo pigi."

Balas Cikgu Fadil, mengundang tawa rakan-rakannya.

"Kita kana pigi ni. Kalau Iris suda kawin, mesti dia mintak tukar cepat ni."

Cikgu Fadil menyambung lagi. Iris Suhayla hanya tersenyum. Ekspresi wajah Siti Hajar seakan meminta penjelasan.

"Selamatlah ko Iris dari buaya darat macam si Nizam."

Previous: Bab 22
Next: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.