20
SITI Hajar membulatkan mata apabila terbaca gosip Izzul
Haq dan Putri Ariyana di internet. Ketika Iris Suhayla duduk di sebelahnya, dia
cepat-cepat menolak komputer riba ke arah Iris Suhayla.
"Apa pulak ni?"
"Bacalah gosip pasal buah
hati kau ni."
Katanya apabila Iris Suhayla seakan
meminta penjalasan ketika komputer riba Siti Hajar sengaja ditolak ke hadapannya.
"Buah hati aku?
Siapa?"
"Siapa? Bukan CEO kereta
yang kau asyik duk tanya dua puluh empat jam tu ke?"
Tanya Siti Hajar pula. Gosip
apakah yang dimaksudkan Siti Hajar? Gosip tentang skandal dengan Putri Ariyana
kah? Tangannya pantas menyentuh papan sentuh sebelum terlihat sekeping gambar
yang terpampang dengan jelasnya di dada skrin komputer itu.
Gambar itu bukan
gambar yang sengaja ditampal atau gambar yang telah disunting tetapi dia pasti
gambar itu memang gambar Izzul Haq dan Putri Ariyana. Terbit rasa cemburu yang
tak diundang lantas dia menolak kembali komputer itu ke arah Siti Hajar.
"Macam pinang dibelah
dua."
Komen Siti Hajar, sengaja mahu
mencungkil perasaan teman serumahnya. Iris Suhayla tidak menjawab. Tiada
perkataan yang mampu diluahkan sebagai respons kepada Siti Hajar lantas Iris
Suhayla bangun menuju ke bilik tidurnya.
"Kenapa aku nak marah
pulak?"
Soalanya kepada diri sendiri.
Dia mencampakkan tubuhnya ke atas tilam empuk itu. Tanpa diminta, lembaran
memorinya menyelak kembali gambar Izzul Haq dan Putri Ariyana yang sempat
dirakam oleh lensa matanya sebentar tadi.
"Aku bukan nakkan dia dan
dia bukan nakkan aku. Kami berkahwin sebab pilihan keluarga."
"Oh! Tolonglah!"
"Su!"
Panggil Siti Hajar sambil
mengetuk pintu bilik sahabatnya. Reaksi Iris Suhayla yang mendiamkan diri
setelah melihat gambar itu membingungkannya. Kemudian, Iris Suhayla mengunci
diri di dalam bilik. Bertambah pula kebimbangannya. Tak disangka perbuatannya
yang sekadar ingin melihat reaksi Iris Suhayla membawa kesan.
"Su! Kau marah aku ke?
Aku mintak maaf, ya?"
"Aku okaylah, Siti. Nak
baring-baring aje ni."
Jawabnya, tidak mahu Siti
Hajar salah sangka. Kemudian, suara Siti Hajar tidak kedengaran lagi di luar. Iris
Suhayla melepaskan keluhan panjang. Jika dirinya bukan pilihan Izzul Haq, pasti
bahtera perkahwinan mereka sukar untuk dikemudi kelak. Lantas, apa perlunya
ikatan perkahwinan itu?
"Perlukah aku berserah
dan tutup mata sahaja?"
"Sedangkan bertunang pun
dah dibelakangkan, ini kan pulak lepas menjadi isteri dia yang sah."
Katanya, membuat kesimpulan.
Dia mengeluh lagi sebelum mendail nombor telefon emaknya.
AINI duduk di atas
pangkin buluh sambil melihat suaminya mengupas kelapa. Meskipun teknologi
berkembang pantas, namun mereka masih menggunakan kaedah tradisional, iaitu
penyadap. Bagi Idris, mengopek kelapa cara begitu lebih memberi kepuasan.
Renik-renik peluh yang keluar seaakan memberi kelegaan padanya.
"Iris mintak kita
putuskan pertunangannya."
Kata Aini, setelah
mempertimbangkan hal itu semalaman untuk diutarakan kepada suaminya. Tidur
malamnya tidak lena apabila Iris merayu agar ikatan pertunangannya dibatalkan.
Idris terkejut lantas buah kelapa yang sedang dikopek itu terlepas dari
cengkamannya. Tapak tangannya terguris dek mata penyadap itu.
"Astaghfirullahal
azim."
Idris beristighfar sambil
melihat luka yang dialaminya.
"Abang!"
Jerit Aini lantas mendekati
suaminya. Dia memegang tangan kanan suaminya yang luka. Timbul penyesalan
kerana membuka cerita itu di kala suaminya sedang berurusan dengan alat yang
tajam.
"Nanti, nanti! Saya
ambilkan ubat luka."
Katanya, cepat-cepat masuk ke
dalam rumah. Dia keluar semula sambil membawa air suam dan kain bersih.
Suaminya sudah duduk di atas pangkin, mengambil tempatnya sebentar tadi. Aini
terus membersihkan luka di tapak tangan suaminya dengan air suam. Luka itu
mesti dipastikan bersih supaya kuman tidak mendiaminya.
"Sayang jugak awak pada
saya, ya?"
Usik suaminya usai kerja
membersihkan luka itu. Aini ketawa kecil. Barangkali sudah bertahun lamanya dia
tidak menyebut perkataan sayang lantaran usia yang semakin meningkat, namun di
dalam hatinya, perasaan sayang itu tidak pernah lupus.
"Takkan tak sayang."
"Takkan tak sayang, ye
dak?"
Aini ketawa lagi bila diusik
buat kesekian kalinya oleh suami yang telah dinikahi lebih tiga puluh tahun
yang lepas. Selepas anak-anak mendapat tawaran bekerja di perantauan, kini
hanya mereka berdua yang tinggal di rumah, mengisi hari-hari tua bersama-sama.
" Emm...Terima kasihlah
tolong cucikan luka saya ni."
"Abang ni, macam tak biasa
pulak."
Balas Aini, menepuk perlahan
paha si suami sebelum bangun untuk menyimpan kembali peralatan membersihkan
luka itu. Selesai tugas itu, dia menyusun kuih kaswi ke dalam piring sementara
menunggu air mendidih.
"Bila Su telefon
awak?"
"Malam tadi."
Jawabnya sambil meletakkan
dulang perak di sebelah suaminya. Mereka sama-sama menjamah kuih kesukaan Riyad
itu. Alangkah baiknya kalau anak-anak ada bersama. Suasananya tidaklah sesepi
itu.
"Suka hati dia aje mintak
itu ini dari kita. Apa dia ingat saya ni tak ada hidung ke nak mintak
dibatalkan pertunangan dia berdua tu?"
Rungut Idris akhirnya. Jika
tidak kerana denyutan luka itu, pasti sudah dihubungi Iris Suhayla untuk
mendengar sendiri penjelasan anaknya.
"Kita ni keras sangat
dengan dia tak?"
"Habis tu, nak ikut semua
kehendak dia? Apa yang kita tak pernah ikut? Tak boleh sekali ni dia ikut kita
pulak?"
Tanya Idris, agak keras.
Sebenarnya perasaan marah itu hendak dihambur pada Iris Suhayla, namun si
isteri yang tidak bersalah pula yang menjadi tempat untuk dilepaskan perasaan
itu.
"Dia tak mahu suaminya
nanti kaki perempuan."
"Eh, pandai pulak dia
mereka cerita. Awak telefon dia malam ni. Saya nak cakap dengan dia sendiri.
Jaga dia!"
Pesan Idris, menekan suaranya.
Dia rasa marah dengan karenah Iris Suhayla yang hanya mementingkan diri sendiri
namun marahnya tidak lama. Apabila melihat wajah isteri di sisi, hatinya sejuk
kembali.
"I nak
jumpa you hari ni. Boleh tak?"
"Sounds great. I akan freekan
jadual I malam ni. Pukul berapa dan
di mana?"
Balas Putri Ariyana, bertanya
kembali kepada Izzul Haq. Senyumannya berkembang mekar sejak mula menerima
panggilan lelaki itu lagi.
"After Isya'. Pukul sembilan malam, Restoran Sri Minang."
"I'll be there...for you."
Ujar Putri Ariyana sambil
menyilangkan kakinya. Usai perbualan itu, dia segera masuk ke dalam bilik.
Beberapa helai gaun labuh dikeluarkan dari almari setinggi enam kaki itu. Dia
memilih gaun labuh berwarna peach.
Gaun yang terbelah luas di bahagian dada itu pasti bakal memaku penglihatan
Izzul Haq terhadapnya. Ketika dia sedang sibuk menggayakan gaun itu di hadapan
cermin, Christine menjenguk di pintu biliknya.
"Macam ada special date aje."
"Cuba you teka?"
Balas Putri Ariyana, gembira.
Dahi Christine berkerut lantas dia duduk di birai katil Putri Ariyana biarpun
tidak dipelawa.
"Obama?"
"Gila kau."
Balas Putri Ariyana, terus
ketawa gelihati. Christine masih mengerah minda, berfikir tentang lelaki yang
menjadi sebutan Putri Ariyana sejak akhir-akhir ini.
"Aaron Aziz?"
"Hello. Suami orang ni I tak mainlah."
"Hah, Idah tahu. CEO The Speeds, kan?"
Jerit Cristine sambil memetik
jari. Raut seorang lelaki muncul di mindanya setelah sekian lama memerah
ingatan.
"Brilliant lah you ni, Christine."
"Eh, betul ke you nak date dengan dia? I dengar gambar you dengan dia dah tersebar ke entire
Malaysia."
"Betullah! Apa pulak tak
betulnya? Ramai yang kata kami pasangan sepadan."
Ujar Putri Ariyana lagi,
berbangga. Christine tumpang seronok. Selama dua tahun menjadi teman serumah
Putri Ariyana, dia tahu wanita itu dikelilingi insan terpilih sahaja. Tiada
yang tiada nama. Dan, walaupun dia dikelilingi ramai jejaka, Putri Ariyana tidak
pernah pula dikaitkan dengan mana-mana lelaki kecuali Izzul Haq seorang.
PUTRI Ariyana menghayati alunan piano sambil menikmati steak yang dilimpahi kuah cendawan. Dia
sengaja mengunci mulut, menunggu pembuka bicara lelaki itu. Semenjak hidangan
malam mereka tiba, tiada sepatah kata yang keluar dari ulas bibir lelaki itu.
"You tak minat makanan Melayu?"
Tanya Izzul Haq memecah
kebisuan antara mereka. Sebenarnya dia tidak selesa menjadi perhatian, tambahan
pula, gosip antara mereka sedang hangat diperkatakan. Barangkali pertemuan ini
juga bakal menghangatkan lagi cerita itu, namun dia perlu juga berhadapan
dengan Putri Ariyana supaya isu itu dapat dijernihkan semula.
"Sesekali I nak tukar selera juga."
"Oh. Tapi you tak nampak kekok makan steak. I kagum dengan you."
Puji Izzul Haq, sekadar
menduga. Putri Ariyana ketawa kecil. Dia tahu Izzul Haq tidak memaksudkan
pujian itu. Walaupun lelaki itu bertutur penuh adab, namun isi hatinya dapat
juga dibaca.
"Practise makes perfect."
"Perhaps. Selebriti terkenal macam you mesti dah menjelajah banyak tempat untuk makanan sedap."
"Tak kurangnya, you. Mesti you dah jumpa banyak makanan sedap around the world."
Balas Putri Ariyana, tidak
mahu mengalah. Izzul Haq ketawa. Dia mengangkat tangan tanda kalah. Putri
Ariyana turut ketawa dengan reaksi spontan Izzul Haq. Izzul Haq menyudahkan
suapan terakhir ke mulutnya sebelum menyambung bicara.
"Honestly, my late mother's
cooking is the best among the best."
"Really? Mesti you cari
calon isteri yang pandai memasak, kan?"
"Hopefully she is capable to cook."
Jawab Izzul Haq jujur. Di kala
itu, terlakar bayang Iris Suhayla sedang memasak buatnya. Tatkala kembali ke dunia
nyata, dia senyum akan lakaran minda yang sengaja dibuat-buat itu.
"Kalau tak boleh?"
"Tak boleh? Takkan
selepas setahun pun tak boleh masak jugak, kan?"
"Kalau tak boleh
jugak?"
"Lama-lama mesti
boleh."
Jawab Izzul Haq, begitu yakin
akan pendiriannya. Entah mengapa, dia benci akan sikap menolak sebelum mencuba.
Padanya, orang yang kuat berusaha, pasti akan beroleh kejayaan pada akhirnya.
"Patutlah you become a CEO in young ages. You ada keyakinan diri yang tinggi
rupanya."
"Tak jugak. Arwah atuk I yang trained I berniaga. Kalau tak, I
tak jadi apa yang I jadi
sekarang. Sampai terpaksa berdepan dengan gosip, cerita I terpapar di dada akhbar. Gambar dengan artis tersebar di
internet. Itu semua, terpaksa I lalui
untuk jadi apa yang Ijadi
sekarang."
Kata Izzul Haq, tiba juga pada
topik yang hendak dibincangkan dengan Putri Ariyana. Riak wajah itu tidak
berubah, bersahaja, sedangkan Izzul Haq yakin Putri Ariyana faham akan maksudnya.
"Lebih lama I berbual dengan you, lebih banyak I kenal
you. Rupanya you lelaki yang berbudi bahasa.
I tertunggu-tunggu dari tadi, bila you
nak serang Ipasal gambar tu tapi
jangkaan I meleset. You are different. I adore you, Izzul!"
IZZUL Haq berbaring sahaja. Pertemuan dengan Putri
Ariyana nyata tidak berakhir seperti yang dikehendaki, sebaliknya wanita
dambaan jejaka Malaya itu meluahkan perasaan terhadapnya pula. Masih
terngiang-ngiang lagi sebaris ayat yang menyelubunginya semenjak pertemuan itu.
"You are different. I adore you, Izzul!"
Dadanya berdegup kencang,
matanya tak terlelap dek sepotong ayat itu. Kini, menjelma pula bayangan wajah
Putri Ariyana di dalam mindanya. Senyumannya, lenggoknya, wajahnya, matanya.
Oh, adakah perasaanku sudah teralih dek sepotong ayat itu?
"Aku dah bertunang. Dah
lama aku mengimpikan Iris Suhayla sebagai isteri. Bukan setahun dua aku
menunggu. Hatiku terpaut padanya semenjak tiga belas tahun yang lepas. Tapi
kenapa semenjak tadi aku tidak teruja lagi?"
Tanyanya, perlahan dan
kebingungan. Tak pernah terkalih wajah dan nama itu dari hatinya walau berpuluh
wanita cuba mendampinginya. Bukan hatinya sahaja yang terpaut, arwah atuk juga
pernah menyebut tentang manisnya gadis yang bernama Iris Suhayla.
Sehingga pada suatu
hari, sebelum dirinya dibawa pulang oleh papa, arwah atuk mendekatinya lantas memberitahu
yang dia sudah mengikat janji dengan Pak Deris untuk mengikat cucu dan anak
masing-masing dalam ikatan perkahwinan suatu hari nanti.
Sedar akan diri yang
masih mentah, dia hanya berdoa dari jauh, moga Iris Suhayla menjadi miliknya
suatu hari nanti. Dia mengimpikan bahagia dengan gadis yang baru mengenjak usia
remaja. Hari demi hari berlalu, dia melewati usia remaja dengan perasaan
cemburu yang membuak tatkala melihat teman seangkatan bahagia dibuai cinta. Dia
menutup pintu hati dari cinta remaja dan meneruskan lagi perjalanannya dengan niat
yang dijulang tinggi. Iris Suhayla akan diperisterikan suatu hari nanti.
Iris Suhayla sendiri
antara ingat atau tidak akan dirinya yang hanya dikenali ketika mengikut
ayahnya ke dusun arwah atuk tiga belas tahun yang lepas. Malang tidak berbau,
Iris Suhayla tergelicir ke dalam sungai. Dia terjun serta merta apabila
mendapati seorang gadis remaja hampir lemas di dalam sungai. Kaget dengan
situasi itu, dia terus melakukan bantuan pernafasan dari mulut ke mulut tanpa
disangka-sangka. Sekali, dua kali, tiga kali dan berkali-kali sehingga gadis
itu memuntahkan air dari mulutnya.
Laungan keras arwah
atuk dan Pak Deris mengejutkannya lantas dia melarikan diri, menyusuri sungai,
terus ke hujung kampung. Dia bersembunyi di dalam kebun getah milik Pak Tam.
Berjam lamanya dia menyorok di sebalik tunggul tua, dan hanya pulang ke rumah
menjelang tengah malam apabila perut berbunyi minta diisi. Dia jalan
berjungkit, dengan perlahan melintasi ruang tamu. Kebimbangannya hanya satu.
Dia bimbang akan kemarahan atuk. Pasti atuk salah sangka dengan apa yang
berlaku siang tadi.
"Haq ke mana petang
tadi?"
"Err...err. Ada. Haq ke
rumah kawan."
Balasnya, takut-takut. Atuk
menyalakan lampu sebelum meyendukkan nasi ke dalam pinggan. Layanan arwah atuk
mesra sekali, tidak seperti yang dibayangkannya.
"Tak usahlah menipu, Haq.
Tak padan dengan nama Haq. Atuk tahu Haq takut."
"Atuk tak marah Haq
ke?"
"Buat apa atuk nak marah.
Haq selamatkan nyawa orang. Kalaulah Haq tak ada di situ tadi, entah apa yang
jadi pada anak Pak Deris."
Kata-kata arwah atuk tiga
belas tahun yang lepas masih kedengaran di telinganya. Tak semena-mena, air
mata lelakinya luruh. Dia rindukan arwah atuk. Arwah atuk yang banyak
mengajarnya tentang erti hidup. Tanpa perhatian dan kasih sayang arwah atuk,
entah ke mana dirinya tercampak sekarang.