Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,168,366
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 8

8

HARI Orientasi Prasekolah dan Tahun 1 berlangsung dengan suasana 'panas' apabila ada di antara kanak-kanak yang belum dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah. Tambah memeritkan apabila hari itu berlangsung tanpa pembantu. Kata Encik Osman, pembantunya menyambung cuti apabila mendapati dirinya berbadan dua. Alahan membawa anak sulung, kata Encik Osman lagi. Sebenarnya bukan sekadar anak-anak itu, Iris Suhayla juga merasakan dirinya belum bersedia menghadapi hari persekolahan, apatah lagi ilmu di dadanya kosong. Takut, cemas, bimbang! Perasaan itu menjalar dengan hebatnya pada hari orientasi ini.

"Cikgu Iris okay ke?"

Tanya Encik Osman, ketika da sibuk memujuk seorang kanak-kanak lelaki yang sedang menangis berguling-guling kerana ditinggalkan emak dan ayahnya sebentar tadi.

"Okay tak okay pun, okay jugak Cikgu Osman!"

Jawabnya, lemah.

"Uwaaaaaaaaa. Ibu, ibu! Nak balikkk!!!!"

Jerit kanak-kanak lelaki itu sambil menghentak-hentak kaki. Iris Suhayla yang duduk di tepi kanak-kanak lelaki itu terkejut tetapi cepat-cepat dia menahan tangannya dari terkena hentakan kanak-kanak itu. Tidak cukup dengan jeritan sasa kanak-kanak bernama Atif itu, rakan-rakan yang lain ikut menangis. Akhirnya kelas itu penuh dengan suara kanak-kanak menangis.

"Uwaaa aaaa aaaaa aaa."

Syahdu dan sendu sekali bunyinya.

"Atif sayang ibu, ya? Kalau Atif sayang ibu, Atif tak boleh menangis. Nanti ibu sedih tengok Atif begini."

Pujuk Iris Suhayla, memperkasakan lagi tangisan kanak-kanak itu.

"Uwaaaaaaaaaa. Tak mahu! Nak Ibu jugakkkk!!!!

Encik Osman cuba membantu. Dia duduk di hadapan sekumpulan kanak-kanak yang sedang duduk di atas karpet. Walaupun ada di antara kanak-kanak itu sedang menangis, dia memainkan peranan sebagai seorang guru yang penuh dengan pengalaman. Dia memakai skarf rambut yang ada telinga arnab di atas kepalanya lalu menyarung boneka arnab ke tangan kanannya. Seorang kanak-kanak perempuan yang sedang tersedu-sedu menangis diribanya.

"Baiklah murid-murid, hari ini Cikgu Osman nak bercerita tentang Perlumbaan Arnab dan Kura-kura. Murid-murid nak dengar cerita Cikgu Osman?"

Tanya Cikgu Osman, sambil mengerak-gerakkan mulut boneka arnab, seolah-olah arnab itu yang sedang bercerita. Perlahan-lahan, Cikgu Osman berjaya mencuri tumpuan mereka. Kanak-kanak yang sedang duduk di atas ribanya mula mengesat air mata. Kemudian, dia menggigit jari sambil sebelah lagi tangannya mengesat air mata yang mengalir di pipi. Ada juga yang senyum, barangkali mereka suka melihat karektor arnab yang sedang bercakap pada tangan Cikgu Osman.

"Kita pernah tengok cerita tu, cikgu! Seronok!"

Seorang kanak-kanak lelaki yang berbadan gempal, mencelah. Cikgu Osman tersenyum. Dia memanggil kanak-kanak berbadan gempal itu berdiri di sebelahnya. Mula-mula, kanak-kanak itu malu, namun apabila dipanggil beberapa kali, akhirnya dia bangun dan berjalan menuju ke arah Cikgu Osman. Iris Suhayla yang sibuk memujuk Atif juga bagai terpukau dengan aksi bersahaja Cikgu Osman. Atif ditinggalkan berbaring di atas lantai, lantas dia duduk di belakang barisan tengah. Tindakannya membuatkan Atif terus berhenti menangis.

"Syahmi!"

Cikgu Osman membaca nama kanak-kanak itu. Spontan, kanak-kanak itu menjadi malu lalu menutup tanda namanya.

"Eh, malu pulak! Cuba Syahmi cerita pasal saya dan kura-kura,"

Cikgu Osman menggerak-gerakkan bonekanya, seolah-olah bonek itu yang bercakap dengan Syahmi. Kemudian Syahmi ketawa sambil menutup mulut. Reaksi Syahmi mengundang tawa seisi kelas.

"Hahaha."

Gelak ketawa kanak-kanak itu kedengaran sungguh membahagiakan sedang dirinya dilimpahi dengan rasa bimbang sebentar tadi. Kerana bantuan Cikgu Osman, kelas itu berjaya dikawal akhirnya.


"TERIMA kasih, Cikgu Osman!"

Ucap Iris Suhayla selepas dibenarkan duduk di hadapan Cikgu Osman. Pengalaman pertama itu takkan dilupakan sampai bila-bila. Walaupun pahit, ia berjaya juga diharungi dengan bantuan Cikgu Osman.

"Apalah sangat bantuan saya tu, Su. Lagipun saya faham, bukan senang nak mengawal kelas dalam keadaan seorang diri."

"Itulah, kalau tak ada Cikgu Osman tadi, tak tahulah apa jadi pada saya,"

Akui Iris Suhayla, mengundang senyuman Encik Osman. Dia tahu Iris Suhayla sedang bertatih. Satu persatu akan dilalui kelak kerana tugas mendidik bukanlah perkara yang mudah tambahan pula, yang hendak dididik itu kanak-kanak kecil.

"Setiap insan yang bergelar pendidik akan mengharungi pelajaran yang sama, Iris! Karenah anak murid, macam-macam! Kalau tak tahan, ada yang ambil jalan singkat dengan berhenti tapi bagi orang yang kuat semangat, mereka sanggup mendidik biarpun sudah pencen kerana mendidik itu ibarat darah dan daging mereka. Tak dapat dipisahkan lagi!"

"Agaknya macam tu jugalah karenah saya masa kecil-kecil dahulu. Pening kepala cikgu saya agaknya!"

Balas Iris Suhayla pula. Baru sehari mengharungi perjalanan sebagai seorang guru, terasa banyak sekali tenaga yang telah digunakan. Letih dan sangat memenatkan namun ucapan terima kasih kepada Cikgu Osman tidak boleh ditangguhkan. Banyak jasa yang telah dicurah Cikgu Osman sepanjang hari ini.

"Peringkat pembesaran begitulah, Cikgu Iris! Biasa-biasakanlah. Banyak lagi yang Cikgu Iris akan jumpa selepas ini, tambahan pula setakat ini pembantu cikgu masih bercuti. Kalau ada anak murid yang terkencing, terberak nanti, bertahan dan bersabarlah! Cikgu Iris mungkin dah belajar sesuatu hari ni. Pujuk sahaja tak memberi apa-apa kesan kepada mereka. Kadang-kadang, Cikgu Iris kena alihkan perhatian mereka dengan sesuatu yang lebih menarik. CD, nyanyian, seni, lakonan. Garapkan semua dalam pengajaran Cikgu Iris supaya mereka lebih seronok untuk datang ke sekolah,"

Panjang kali ini nasihat yang diberi oleh Encik Osman. Mungkin nasihat yang diberi ini berdasarkan pengalamannya berpuluh tahun bergelar pendidik. Sebagai orang baru, Iris Suhayla harus akur, nasihat itu harus diambil sebagai pedoman untuk melestarikan kecemerlangan di bidang pendidikan awal kanak-kanak.

"Terima kasih sekali lagi, Cikgu Osman!"


BARU hendak menutup mata, deringan telefon menyanyi-nyanyi minta diangkat. Dengan perasaan yang sangat malas, dia menekan juga punat jawab.

"Iris, kau dah lupa aku, ya?"

Terjah Afiqah, sebaik dia menyapa. Iris Suhayla terus melelapkan mata. Terlalu penat untuk menjawab pertanyaan sahabatnya.Tetapi, dalam mata terkatup itu, dia menjawab juga.

"Apalah kau ni, mudah sangat jatuh hukuman pada aku,"

"Iyalah, sampai sana terus tak hantar khabar berita. Nak kata duduk di hujung tanjung, servis perkhidmatan telefon tak ada, mustahil sekali. Senyap macam nak menghilangkan jejak aje,"

Ulas Afiqah lagi mengenai keberadaan dirinya. Iris Suhayla terus memejam mata, sambil itu sempat juga dia mengira dari awal, kehidupannya sangat sibuk setelah dia melaporkan diri ke Sekolah Kebangsaan Seri Layang. Namun, apa yang dialami belum mahu dikongsi lagi. Barangkali pertemuan empat mata lebih menarik berbanding cerita di telefon.

"Aku sibuklah, Fi. Telefon pun tak sempat pegang,"

Jawabnya malas dan perlahan sekali. Dia mengantuk yang teramat sangat hingga bunyi menguap pun tidak terkawal lagi. Tapi, tak mengapa, Afiqah sudah mengenalinya dari A hingga Z. Bagaimana dia tidur pun pernah dirakam Afiqah suatu masa dahulu. Kata Afiqah, buat bekalan jika Iris Suhayla kerap mengusiknya.

"Sibuk apanya? Kan tengah cuti sekolah lagi?"

"Lain padang, lain belalang. Walaupun belum mula sekolah, tapi sekolah aku dah mula mesyuarat kali pertama. Tugas dah siap agih semua dah,"

"Kau pegang jawatan lain ke selain dari cikgu kelas prasekolah?"

"Hmm?Emm,"

"Aku kat sini dah lepas jugak mesyuarat-mesyuarat kali pertama tu. Tapi alhamdulillah, tak ada apa nak dikejar setakat ni. Kebetulan ada tiga kelas prasekolah. Aku pegang kelas baru. Hehehe. Alhamdulillah, cikgu-cikgu pra yang dua orang lagi tu banyak membantu. Kau dah buat orientasi ke Iris? Orientasi kami hari Selasa minggu depan. Rasa berdebar jugak nak menghadap masa tu. Cikgu-cikgu pra beritahu hari orientasi ni penat sikitlah nak melayan karenah budak-budak. Nak pujuk yang menangis tu susah sikit. Kena ada skill. Kita yang baru kali pertama ni nak skill macam mananya? Tak ada pengalaman lagi."

Omel Afiqah panjang lebar namun tiada suara di hujung sana. Afiqah menanti lagi namun teringat akan suara Iris Suhayla sebentar tadi, ibarat kepala disorong bantal. Entah-entah sahabatnya itu sudah lena diulit mimpi.

"Iris? Iris? Oit, dah tidur ke budak bertuah ni?"


IRIS Suhayla mengikut sahaja langkah Siti Hajar. Sesekali bersiar-siar di Pekan Labuan. Katanya lagi, Labuan sungguh kecil. Mereka boleh selesai meneroka Labuan dalam masa satu hari sahaja.

"Okey, mari kita habiskan satu hari ni dengan berpusing-pusing aje. Penat memutar, kita makan. Penat makan, kita sambung jalan. Malam kita tidur lena-lena."

Sahut Iris Suhayla sambil menyerahkan kunci kereta kepada Siti Hajar. Lebih baik Siti Hajar yang memandu kerana dia pasti sahabat barunya itu lebih arif akan jalan dan lorong di Labuan.


"MAAF, saya tak sengaja!"

Kata seorang pemuda seraya mengambil kembali bungkusan air yang tidak sengaja dijatuhkannya ketika sibuk membuat panggilan sebentar tadi. Cermin mata hitam ditanggalkan tanda menghormati orang yang dilanggarnya. Seorang gadis dengan wajah tanpa senyuman menyambut kembali bungkusan yang dihulurkannya. Alahai, comelnya!

"Tak apa! Lain kali buat lagi,"

Sindir gadis itu sebelum melangkah mencari teduhan. Dia berdiri kejap di bawah sebatang pohon rendang sedang tangannya sibuk menekan-nekan kekunci pada telefon bimbitnya. Bungkusan air yang jatuh tadi mula menitik keluar dari celahan plastik. Sesekali gadis itu menepuk kaki seluarnya. Alah, comelnya dia! Bisiknya sendirian namun gerak-geri gadis itu mengingatkannya akan sesuatu. Sepatutnya dia mengganti kembali air itu lantas dia melangkah pantas menuju ke sebuah gerai menjual makanan dan minuman ringan. Tidak menunggu lama, pesanannya siap lantas dia berjalan cepat menuju ke arah gadis comel itu.

"Cik, maaf pasal tadi. Ini air yang saya terjatuhkan tadi, saya ganti balik,"

"Nama pun ter-, tak perlulah nak mengganti pulak. Cuma saya nak pesan, lain kali, gunalah mata. Jangan guna kaki sahaja!"

Pesan gadis itu, tajam. Dia tidak mengambil hati kerana memang silapnya yang tidak berhati-hati ketika berjalan tadi.

"Sorrylah cik, emm?"

"Su, jom!"

Teriak seseorang di hadapan mereka. Iris Suhayla dan pemuda tadi berpaling serentak ke arah suara yang memanggil. Melihat sahabatnya sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan mereka, Iris Suhayla berjalan pantas menuju ke keretanya.

"Su!"

Seru Zakwan. Iris Suhayla pantas menoleh ke belakang. Lelaki yang terlanggarnya menunjukkan bungkusan air kepadanya dari jauh.

"Siapa suruh awak beli?"

Balasnya, deras sebelum masuk ke dalam perut kereta. Siti Hajar ketawa melihat gelagat sahabatnya. Baru lima minit melepaskan Iris Suhayla berseorangan membeli air, sudah ada orang yang mendekati. Manakan tidak, Iris Suhayla sungguh comel. Kulitnya putih bersih, bibirnya kecil dan comel, alis keningnya pula lebat namun diurus rapi. Sekali melihat wajah itu, pasti mudah tertambat dengan kecomelan wajahnya.

"Yang kau senyum seorang diri ni kenapa pulak?"

"Kaulah! Boleh pulak main wayang dengan mamat tu. Siapa tu?"

"Main wayang? Eee, tak kuasa aku! Mana aku kenal siapa dia tu."

Ulasnya menolak usikan Siti Hajar. Terkenang juga saat akhir lelaki itu memanggil namanya. Su! Terasa begitu dekat sekali bunyi suara itu, seolah-olah dia sudah biasa mendengar suara itu memanggilnya satu masa dahulu.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.