13
"BILA Su nak
balik?"
Tanya Aini sebaik anak
bongsunya menjawab salam. Si bongsu Iris Suhayla, membalas dengan tawa. Bukan
emak seorang yang mempunyai perasaan itu namun dia turut merasa ketiadaan emak
di sisi.
"Tak mampu lagi, mak!
"Tak mampu apa pulak? Su
kan dah kerja!"
"Dah kerja pun, tiket
bukan sepuluh dua, mak!"
Jawabnya, teringat akan harga
tiket yang pernah ditinjaunya bulan lepas. Dalam keadaan diri yang masih
berjimat-cermat, tabungan untuk pulang ke kampung masih belum dapat disediakan.
Dia sendiri masih mendapat tajaan dari
angah. Jika bukan angah yang membantu kewangannya dua bulan ini, pasti
sukar hidupnya memandangkan gaji belum diterima lagi. Namun, dia sudah berjanji
pada angah untuk membayar balik segala 'tajaan' yang diberi apabila menerima
gaji pertama kelak.
"Amboi, banyak pulak cekadaknya! Kalau nak tiket sepuluh ringgit...tu, pergi beli kapal terbang sendiri."
Balas Aini, sakit kepala dengan jawapan anak bongsunya. Sudah tua begini pun, masih perlu melayan kerenah Iris Suhayla.
"He he he."
"Balik aje. Nanti mak
hantar duit tambang Su."
"Tak naklah! Kenapa mak
pulak nak bayarkan tambang Su?"
Tolaknya, tidak mahu lagi
menerima bantuan emak setelah memiliki kerjaya sendiri. Mungkin dahulu dia suka
dibiayai namun bukan setelah memiliki gaji sendiri.
"Kata tadi tak mampu. Mak
rindukan Su! Su baliklah cuti sekolah ni, ya?"
"Kalau mak bayarkan
tambang tiket, Su tak mahu balik. Kalau Su nak balik, Su akan ikhtiarkan. Bila
Su akan balik pun, mak janganlah tanya."
"Kalau Su tak balik,
urusan kahwin Su nanti macam mana? Mana sempat nak uruskan dalam masa dua tiga
hari sebelum kahwin!"
Balas emak pula, mengingatkan
kembali akan status yang dipegangnya kini. Iris Suhayla mengeluh panjang. Emak
masih setia mengingatkan tentang hal perkahwinan yang tidak pernah diingininya.
"Mak kan suka sangat
dengan Izzul tu! Mak suruh ajelah dia uruskan semua. Su kan jauh ni. Takkan nak
berulang-alik ke sana. Bukannya dekat, mak!"
"Eh, budak bertuah ni!
Macam ambil kesempatanlah pulak duduk jauh sana. Baik! Nanti mak mintak Izzul
bawak Su balik cuti sekolah ni. Jangan nak pergi mana-mana pulak dan jangan nak
bagi alasan. Banyak pulak cekadak dia, ya!"
Marah mak, terus membangunkan
Iris Suhayla dari baringannya. Teringat akan sikap lelaki itu yang misteri,
muncul dan hilang tiba-tiba, Iris Suhayla menjadi gelisah.
"Su dengar tak ni?"
"Dengar! Mak ni...nak
suruh sangat Su balik. Rindulah kononnya, tapi tak lepas jugak pasal
kahwin!"
"Su balik cuti sekolah
ni, ya?"
Pujuk emak. Suaranya yang
keras tadi kembali lentur. Barangkali emak sedar akan sikapnya yang agak kasar
sebentar tadi tidak mendatangkan apa-apa manfaat terhadap perbualan itu.
"Su tak janji, mak! Kalau
Su ada duit lebih, InsyaAllah, akan Su usahakan."
Iris Suhayla membalas, juga
mahu menyejukkan perbualan yang agak panas sebentar tadi. Jarak dan perhubungan
sesekali itu harus dijaga agar kekal mesra.
"Mak, ayah ada?"
"Ayah baru balik dari
masjid. Su nak cakap dengan ayah ke?"
"Boleh jugak."
"Awak ajelah yang cakap
dengan dia. Saya nak cakap apa?"
Tolak ayah, sayup-sayup
kedengaran dari jauh. Barangkali emak sudah memberitahu tentang perbualan
mereka.
"Ayah tak mahu Su. Ayah
kata orang bandar aje yang sesuai cakap dalam telefon ni."
"Ha ha ha."
"Cakap aje pada dia saya
sihat. Saya kirim salam. Dah!"
"Ha ha ha."
Iris Suhayla menyambut dengan
ketawa yang berpanjangan. Begitulah ayah setiap kali mahu berbicara dengannya.
Entah apa yang digelikan sangat berbual dalam talian telefon tetapi Iris
Suhayla tidak berkecil hati. Dia tahu ayah hanya nampak dingin namun sangat
menyayangi dirinya.
"ASSALAMMUALAIKUM, cikgu!"
"Waalaikumussalam."
Jawab Iris Suhayla sambil
menoleh ke arah tetamu yang baru sebentar memberi salam. Dia yang sedang
menyusun buku murid di atas rak usai menyemaknya didekati seorang wanita
berusia lingkungan pertengahan tiga puluhan. Resah sekali wajah itu kelihatan.
"Ya, puan! Ada yang boleh
saya bantu?"
"Cikgu, saya nak tanya.
Atif dah balik ke?"
"Atif? Eh, dah lama puan!
Dia berbaris sama dengan murid lain. Pembantu murid pun ada mengiring masa
murid balik tadi. Saya rasa Kak Nisa pun mungkin masih menungggu di pondok
pengawal."
Jawab Iris Suhayla
cepat-cepat. Terbayang di dalam kepalanya wajah Atif yang putih kemerahan.
Orangnya kecil dan comel. Karenah juga tidak banyak, yang diingat hanya minggu
pertama yang penuh dengan tangisan air mata. Kemudian, Atif dapat menyesuaikan
diri dengan pantas di kelas barunya.
"Oh, saya sebenarnya dari
pondok pengawal juga. Nisa yang minta saya ke sini. Katanya mungkin Atif ke
tandas."
"Setahu saya, tak ada
murid yang masuk semula ke sini tadi tapi mungkin jugak saya tak perasan.
Sekejap saya tengokkan, ya?"
Irsi Suhayla bergegas ke
tandas. Dia mengetuk pintu tandas satu per satu namun tidak ada murid yang
menjawabnya. Ibu Atif yang berada di belakangnya turut menolak pintu tandas
perlahan-lahan. Panjang lehernya menjenguk anak yang disangkakan berada dalam tandas
di kelas itu.
"Tak adalah, puan!"
"Ke mana pulak budak ni
pergi?"
Rungut ibu Atif sambil
mengikut Iris Suhayla kembali ke ruang kelas.
"Rumah puan jauh tak?
Maksud saya, ada kemungkinan tak dia balik ke rumah sendiri?"
"Rumah saya dekat saja
tapi biasanya dia tunggu saya di pondok pengawal, cikgu. Tak apalah, cikgu!
Saya tengok dia di rumah. Takut-takut dia balik sendiri. Terima kasih,
cikgu!"
"Sama-sama. Kalau ada
apa-apa, puan tolong beritahu saya segera, ya?"
Pinta wanita berbadan
sederhana lebar itu. Mukanya nampak keruh sekali. Barangkali khuatirkan keadaan
Atif yang tidak menampakkan diri.
"InsyaAllah.
Assalammualaikum!"
"Waalaikumussalam."
Jawab Iris Suhayla, pantas
menyambut tangan yang dihulur ibu Atif untuk bersalam dengannnya.
IRIS Suhayla tiba di sekolah pagi itu dengan kejutan yang
amat besar. Anak muridnya dilaporkan hilang selepas waktu persekolahan semalam.
Berita itu disampaikan sendiri oleh guru besar yang memang menunggu ketibaannya
pagi itu.
"Semalam Atif memang
hadir ke sekolah, cikgu. Dalam kelas pun, sikapnya macam biasa. Tak ada yang
pelik. Dia pulang dalam barisan, bersama murid lain. Nisa akan hantar sehingga
ke pondok pengawal, kemudian Nisa akan menunggu di sana lebih kurang lima belas
minit untuk pastikan murid pulang bersama
penjaga masing-masing."
Terang Iris Suhayla selepas
ditanya mengenai keadaan Atif di kelas semalam. Menurut guru besar, dia dan
Nisa merupakan orang terakhir yang dilihat bersama Atif semalam.
"Saya bukan nak
menakutkan Cikgu Iris tapi saya harap Cikgu Iris bersedia untuk menghadapi
masalah ini. Beruntung murid tidak hilang semasa waktu persekolahan. Tetapi
saya tetap mahu ingatkan cikgu, cikgu kena bersedia untuk menjawab sebarang
soalan jika murid masih belum ditemui hari ni."
Jelas guru besar, tidak
mengalih sedikit pun perhatian darinya. Kemudian, lambat-lambat wajah itu
mengukir senyuman. Dirinya didekati lantas bahunya dipaut mesra.
"Saya faham perasaan,
cikgu. Saya pun tak mahu anak buah saya ditimpa masalah. Tujuan saya panggil
cikgu hari ni bukan sebab nak menakut-nakutkan cikgu tapi saya mahu cikgu
bersedia fizikal dan mental."
Tambah guru besar lagi. Iris
Suhayla dari tadi mengunci mulutnya. Hanya Allah yang tahu betapa gusar dirinya
saat diberitakan tentang kehilangan Atif. Anak murid yang sangat rajin berusaha
itu sedang bergelut dalam musibah. Allah, selamatkanlah dia.
"Terima kasih atas
keprihatinan, puan. InsyaAllah, saya akan buat apa yang termampu."
"Pertama sekali, cikgu
kena bertenang. InsyaAllah, bila cikgu boleh atasi emosi sendiri, urusan yang
lain akan bertambah mudah."
BAIK Iris Suhayla mahupun Nisa, mereka berdua sama-sama
tidak ceria seperti selalu. Masing-masing barangkali sedang melayani emosi
sendiri. Jika satu sekolah gempar dengan berita kehilangan seorang murid prasekolah,
mereka berdua yang secara langsung berhadapan dengan situasi itu lebih
merasainya lagi. Pagi tadi, dia tiba di kelas prasekolah bersama linangan air
mata yang tidak semena-mena tumpah. Pertanyaan anak murid yang hairan dengan
sikap guru mereka yang tiba-tiba berubah suram juga langsung tidak dihiraukan.
Salam yang diberi oleh anak-anak murid hanya dijawab
dengan anggukan. Kemudian dia meneruskan pelajaran tanpa hati dan keinginan
sehinggalah tamat sesi persekolahan.
"Assalammualaikum."
"Waalaikumussalam."
Jawabnya perlahan sambil
melihat kelibat tetamu di muka pintu. Siti Hajar menapak ke arahnya bersama
Zakwan.
"Su okay ke?"
Tanya Zakwan apabila berada
betul-betul di hadapan Iris Suhayla. Jelas sekali gadis itu terkesan dengan
peristiwa yang sedang berlaku.Wajah itu nampak kusut benar.
"Okay."
"Tak semangat aje."
Sampuk Siti Hajar pula.
"Emm... Tengah sakit
kepala."
"Dah makan ubat ke?"
Tanya Zakwan, mencari jawapan
di sebalik wajah muram itu. Gusar hati melihat tingkah laku Iris Suhayla
begitu. Dia lebih rela melihat wajah yang masam kerana marahkannya dari melihat
wajah yang muram kerana dibebani masalah. Siti Hajar menoleh ke arah Zakwan
sebelum mengeluarkan sesuatu dari dalam beg tangannya.
"Nah, makan ubat tahan
sakit ni dulu! Kejap lagi okaylah tu."
"Aku nak melawat keluarga
Atif boleh tak?"
Tanyanya, tidak mengendahkan
nasihat teman serumah apatah lagi menyambut ubat yang diberi. Zakwan dan Siti
Hajar saling berpandangan.
"Guru besar dah pergi
melawat pagi tadi. Kalau kau nak melawat jugak, biar aku temankan, ya?"
"Saya pun boleh
temankan."
"Emm... Saya nak ajak Kak
Nisa jugak. Rasanya Kak Nisa mesti nak melawat jugak."
"Mana Kak Nisa?"
Tanya Zakwan apabila dia sedar
Iris Suhayla keseorangan di dalam kelas itu.
"Ada ni. Baru ja hantar
budak-budak ke pondok pengawal."
Sahut Nisa dari jauh. Dia
masih berdiri kaku di muka pintu. Antara mahu masuk dan tidak, namun kaki
melangkah ke dalam jua.
SETIBA di pejabat, dia dipanggil masuk ke dalam bilik mesyuarat
bersama Nisa. Hajat hendak melawat keluarga Atif tidak kesampaian. Ketika
melangkah masuk ke dalam bilik mesyuarat, dia dapat melihat beberapa orang
lelaki berada bersama guru besar. Iris Suhayla dan Nisa saling berpandangan.
Seakan dapat menduga apa yang bakal berlaku sebentar lagi, mereka berdua
meneruskan langkah sehingga dipersilakan duduk oleh guru besar. Debaran jantung
semakin kencang apabila guru besar memperkenalkan dua orang lelaki itu sebagai
pegawai polis yang bakal mengambil keterangan mereka berdua mengenai kehilangan
Atif.
"Barangkali cikgu dan
pembantu murid sedia maklum akan kes yang sedang pihak polis siasat sekarang.
Untuk makluman Cikgu Iris Suhayla dan Puan Annisa, anda berdua merupakan orang
terakhir yang berada bersama mangsa sebelum kehilangan berlaku."
"Cikgu tolong ceritakan
sedikit tentang hari terakhir mangsa di sekolah? Bagaimana sikapnya atau
perkembangannya pada hari kejadian."
Tanya seorang pegawai polis
yang memakai tanda nama Sulaiman. Rambutnya pendek dan disikat kemas namun
kekemasan itu belum dapat melegakan perasaannya yang sedang kacau bilau
sekarang. Baru bertugas selama dua bulan, dia sudah diduga dengan satu ujian
yang dikira besar buat dirinya.
"Emm... saya nak mulakan
bagaimana?"
"Ceritakan sahaja apa
yang mangsa buat pada hari tersebut atau lebih tepat sikapnya di dalam kelas.
Barangkali mangsa ada menyebut nama sesiapa atau bercerita tentang sesiapa
dengan cikgu."
"Murid seorang yang kuat
berusaha, sama seperti hari-hari sebelumnya. Dia bergaul dengan rakan-rakan
seperti biasa, sentiasa patuh pada arahan. Saya tak nampak sebarang perubahan
pada dirinya sebab tu saya sangat terkejut dengan berita yang saya terima pagi
tadi."
"Mangsa tak pernah
bercerita pada cikgu tentang pergaulannya di luar waktu persekolahan? Dengan
siapa dia bermain atau berkawan?"
Tanya pegawai polis itu lagi.
Iris Suhayla mengerutkan keningnya tanda cuba mengingat sesuatu.
"Tak ada, encik. Dia
sangat suka bermain dengan rakan-rakannya dan kebanyakan murid yang berada di
dalam kelas saya tinggal di kawasan kejiranan yang sama. Jadi, murid-murid ini
jugalah yang jadi teman sepermainan mangsa di luar waktu persekolahan."
"Cikgu pernah menghantar
murid ke pondok pengawal?"
"Sekali atau dua kali
dalam tempoh seminggu."
Jawabnya sambil memandang
wajah pegawai polis yang sedang menyoalnya.
"Bagaimana dengan hari
selebihnya?"
"Puan Annisa yang
menghantar dan menunggu murid di pondok pengawal."
"Mungkin Puan Annisa
boleh menerangkan pada saya tentang tugas puan di pondok pengawal."
Giliran Nisa pula disoal oleh
pegawai polis tersebut. Nisa tidak terus menjawab tetapi memandang wajahnya
terlebih dahulu. Dia mengangguk, cuba memberi keyakinan dan semangat disebalik
itu. Sesekali pandangannya beralih pada guru besar yang setia mendengar dari
awal. Tidak sekalipun beliau mencampuri keterangan mereka berdua.
"Selepas murid berkumpul
dan berbaris untuk pulang, saya akan ambil alih untuk menghantar dan menunggu
murid di pondok pengawal. Di sana, saya akan menunggu murid sekurang-kurangnya
lima belas sehingga dua puluh minit untuk memastikan murid pulang dengan
penjaga masing-masing."
Terang Nisa sambil
keterangannya dicatat oleh seorang lagi anggota polis. Barangkali memang itu
tugasannya, mencatat keterangan saksi bagi kes yang sedang disiasat.
"Dalam tempoh lima belas
sehingga dua puluh minit, adakah semua murid diambil oleh penjaga
masing-masing?"
"Biasanya akan ada kurang
atau sehingga lima orang murid yang belum diambil oleh penjaga mereka."
"Selepas dua puluh
minit?"
"Saya akan kembali ke
kelas untuk meneruskan kerja-kerja yang lain."
"Maksudnya, murid yang
belum diambil oleh penjaga akan ditinggalkan di pondok pengawal?"
"Ya!"
Jawab Nisa, lancar.
"Menjadi tanggungjawab
ibu bapa untuk mengambil anak masing-masing selepas waktu persekolahan. Waktu
persekolahan bagi murid prasekolah telah ditetapkan dari pukul 8.00 pagi
sehingga 12.00 tengah hari dan waktu tersebut telah dinyatakan dalam surat
edaran kepada ibu bapa."
Tambah Nisa lagi. Ada nada
keras dari suaranya. Barangkali Nisa juga rasa tertekan dengan soalan-soalan
yang seakan mahu menjeratnya. Pegawai polis yang menyoalnya mengangkat wajah
dengan senyuman. Faham barangkali dengan emosi saksi yang disoalnya.
"Terima kasih Cikgu Iris
dan Puan Annisa atas keterangan dan kerjasama yang diberi. Itu sahaja soalan
dari saya."
"Tapi kalau cikgu atau
puan ada maklumat tambahan baru yang cikgu dan puan rasa boleh membantu
siasatan kes ini, tolong hubungi saya secepatnya."
Beritahu pegawai polis itu
sambil menghulur kad namanya. Iris Suhayla menyambut tanpa sebarang suara.
"SU, makan jom!"
Biliknya diketuk berkali-kali.
Suara Siti Hajar memanggil lagi buat kali yang seterusnya. Akhirnya, dia bangun
walau perut tidak berasa lapar apatah lagi hendak menjamah makanan. Wajah Atif
masih bermain di dalam kotak memorinya. Walau hanya seorang guru yang mengajar,
tempias musibah itu turut menghantuinya.
"Iris, cepatlah keluar.
Tengok berita ni cepat. Kes anak murid kau masuk berita ni."
Laung Siti Hajar lagi.
Kemudian, dia terdengar laras suara televisyen dikuatkan. Lambat-lambat dia
memulas tombol pintu.
"Menurut satu sumber, mangsa dipercayai mengikut
seorang lelaki yang tidak dikenali ketika sedang berjalan pulang ke rumah.
Mangsa dilaporkan tidak mahu menunggu ibunya yang kerap menjemputnya lewat di
sekolah."
Suara pemberita itu jelas
kedengaran di seluruh pelusuk rumah. Iris Suhayla mengambil kusyen kecil lantas
berbaring di atas sofa. Dia menekup muka dengan kusyen itu sambil mematikan
siaran televisyen dengan alat kawalan jauh.
"Sorry, Su!"
Ucap Siti Hajar apabila dia
perasan akan sikap teman serumah yang agak tertekan dengan berita tersebut.
Barangkali dia tidak prihatin akan ketenangan yang diperlukan oleh Iris
Suhayla. Pagi petang berdepan dengan asakan soalan dari rakan sejawatan. Bukan
itu sahaja, Iris Suhayla juga telah disiasat oleh pihak polis berkenaan kes kehilangan
muridnya.
"Aku penatlah, Siti! Aku
masuk tidur dulu, ya?"
Balasnya, bangun lalu berjalan
perlahan sambil berjalan lemah ke arah pintu bilik tidurnya.
"Su, sorry ya!"
Ujar Siti Hajar lagi, tidak
berputus asa.
"Okay!"
Jawabnya sambil menutup pintu
biliknya. Dia menghempas badan, kemudian melayani emosi duka namun deringan
telefon membangkit kembali emosi sedarnya.
"Assalammualaikum,
Su."
"Waalaikumussalam."
"Su, Zack ni! Su okay
ke?"
Tanya Zakwan sebaik
memperkenalkan diri. Iris Suhayla hanya mendiamkan diri. Dia tidak perlukan
Zakwan ketika ini namun lelaki itu tidak pernah berputus asa biar layanan
darinya dingin.
"Okay! Mana awak dapat
nombor telefon saya?"
"Pejabat."
"Kalau awak nak tanya
keadaan saya, saya okay. Terima kasih!"
"Saya tengok berita tadi.
Teringatkan Su, mesti Su tengah susah hati sekarang."
Terang Zakwan. Iris Suhayla
kembali menyepi. Jika itu yang mahu disembangkan oleh Zakwan, lebih rela
menutup mata dan dibuai mimpi. Telinganya bingit dengan pertanyaan tanpa henti
tentang apa yang sedang berlaku. Tidakkah mereka faham perasaannya yang
inginkan privasi?
"Zack. Su nak tidur. Maaf
ya. Assalammualaikum."
"Oh, waalaikumus-"
Iris Suhayla terus memutuskan
talian tanpa menunggu Zakwan menjawab salam sepenuhnya. Kemudian, dia menutup
terus telefonnya sebelum memejam mata. Dia mahu tidur dengan lena tanpa
gangguan sesiapa.