Home Novel Cinta Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Abangku, CEO Sengal! a.k.a (Suamiku CEO)
Mastura Abdullah
14/3/2014 15:43:33
1,167,977
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 2

2

DEBARAN di dada terasa semakin kencang. Saat menanti halaman penempatan dimuatkan sedikit demi sedikit, semakin kencang dadanya berdetak. Akhirnya, Iris Suhayla ternganga membaca maklumat itu.

“Sila hubungi Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Labuan untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan penempatan anda,”

“Labuan?”

Tanyanya sendiri, bagai tidak percaya dengan apa yang sedang dibacanya. Iris membaca lagi maklumat penempatan itu. Dia membaca berulang kali sehingga nama Wilayah Persekutuan Labuan dieja seperti kanak-kanak tadika, namun hasilnya tetap sama, Labuan!

“Iris, kau posting di mana? Aku dapat Perak!”

Sapa Afiqah sebaik telefon bimbit berada di telinganya.

“Aku? Err...Labuan!”

“Labuan? Tu dia. Jauhnya!”

“Tak apa, aku suka.”

Jawabnya, melegakan hati yang masih terkejut akan berita itu. Tidak lama berbual dengan Afiqah, dia meletakkan telefon tetapi tidak lama kerana telefonnya berdering lagi selepas itu. Kali ini panggilan datang dari Mak Su Dianah.

“Labuan, Mak Su!”

Jawabnya perlahan.

“Hai, lemah aje suara! Mesti seronok bertugas di Labuan nanti, kan?”

Usik Mak Su Dianah, menyebabkan Iris Suhayla menarik muncung panjang walaupun reaksinya tidak kelihatan di mata Mak Su Dianah.

“Ish, Mak Su ni! Asal ada peluang aje, mesti kenakan Su cukup-cukup,”

“Kenakan? Mak Su ikhlas ni, Su. Seronok tau berada di tempat yang mendamaikan, jauh dari kesibukan kota, dikelilingi laut,”

“Dikelilingi laut? Habis tu, macam mana nak balik kampung?”

“Eh, susah apa, flight ada, kan? Nak murah, tempah setengah tahun awal. Belum cukup bulan sepuluh, cari kalendar tahun baru, setting terus masa balik kampung untuk setahun. Alah, setakat Labuan ke Selangor tu, apalah sangat jauhnya!”

Balas Mak Su Dianah, menjelaskan dengan panjang lebar. Iris Suhayla menghela nafas panjang. Lemah lututnya mendengar pendapat Mak Su Dianah yang belum mampu menyejukkan perasaannya.

“Su, ada lagi ke? Senyap aje ni!”

“Ada, tengah tengok tarikh flight ni! Nak booking setahun terus!”

Balasnya, sedang kepanasan. Terdengar dek telinganya tawa di hujung talian.

“Ha ha ha. Walaupun pahit, ku telan jua!”

“Mak Su niiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii!”

Panggilnya, hampir menjerit.

“Bai bai, Su. Jangan lupa singgah rumah Mak Su dulu sebelum ke Labuan, ya!”

Pesan Mak Su Dianah. Belum sempat dia membalas terdengar bunyi talian ditamatkan. Tut tut tut! Iris Suhayla menongkat dagu sebelum terdengar lagi bunyi panggilan masuk.

“Hello,”

“Iris, kau dapat mana? Aku dapat Melaka!”

“Kau dapat Melaka? Emm, aku Wilayah Persekutuan-“

“KL? Wow, bestlah dapat sekolah sebelah rumah!”

Sambut Liyana, pantas. Iris Suhayla menghela nafas lagi buat sekian kalinya. Menyindir atau mengusik? Ikhlas atau mahu mempermainkan?

“Wilayah Persekutuan Labuan!”

“Hah, Labuan? Jauhnya!”

“Habis yang kau cakap aku dapat sekolah sebelah rumah tu?”

Soalnya, kian kepanasan. Semenjak dia mengetahui keputusan penempatan, tidak putus panggilan yang diterima. Paling menekan perasaan apabila mereka memberi reaksi Labuan itu jauh.

“Err,sorrylah, Iris!”

“Tak apa, aku memang suka sorry naik lorry,”

“He he. Mood kau tak baik, kan? Nanti kau dah sejuk, aku callbalik, ya!”

“Hmm. Sebab tu aku sayang kau, Yana. M-E-M-A-H-A-M-I!”

“Yana, kan! Okay girl, nanti kita chit chat lagi, ya?”

“Hmm,”

Jawabnya malas. Dia mematikan panggilan itu dengan geram sebelum terlihat tiga mesej yang baru masuk ke kotak pesanan ringkasnya. Ketiga-tiga mesej itu dibaca satu persatu. Semua bertanya tentang penempatannya.

“WP,”

Balasnya, malas. Dia menekan butang hantar, memberi jawapan yang sama kepada ketiga-tiga bekas rakan sekuliahnya.

“WP?”

“WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN! LABUAN! LABUAN! LABUANNNNNNNN!L

Balasnya lantas menghantar pesanan ringkas itu dengan sepenuh emosi. Kemudian, dia mencampak telefom bimbit itu ke atas tilam namun lontaran itu terlalu kuat hingga terkena bucu dinding lantas terbelah dua isi telefon bimbit itu.

“Alamak, telefon aku!”

Dia menggigit jari, terkedu sebelum bergegas mendapatkan kembali telefon bimbitnya.

“Oi, Su! Apa lagi yang dibaling ke dinding tu?”

* * * * * * * *

“SUDAHLAH jatuh, ditimpa tangga pula,”

Omelnya sendirian sambil membalut belakang telefon bimbit dengan pita pelekat. Usai membalut, dia cuba menarik pita pelekat itu kembali untuk memastikan kekukuhannya.

“Itu lah, ada handset, dibaling ke dinding. Elok sampai Labuan terus hilang jejak,”

Tegur emak dari belakang. Dia yang leka membaiki telefon bimbit, terkejut dengan sapaan itu lantas mengurut dada beberapa kali.

“Aduh, rasa nak terputus jantung ni. Terkejut Su, mak!”

Balasnya, segera. Masih terasa kejutan yang diterima dari teguran emak sebentar tadi namun seperti biasa, emak hanya menyambut dengan senyuman.

“Su memang, semua terkejut. Tak ada yang tak terkejut!”

“Mahunya tidak, Su tengah fokus baiki handset ni, mak!”

Aini tersenyum cuma. Lagak anak bongsunya yang cepat gelabah dan tertekan sudah difahami semenjak dari dahulu.

“Gaji pertama nanti Su nak tukar handset baru. Su nak pakai Samsung pulak. Lepas tu, Su nak guna ringtone yang paling rancak. Biar seisi Labuan berjoget bila mak telefon Su,”

“Hmm. Berangan! Kerja pun belum tapi cita-cita tinggi melangit,”

Balas emak, terus mencantas senyuman di bibir Iris Suhayla. Dia mencebik sebelum berpusing bila mendengar deheman ayah dari belakang.

“Keluarga bakal tunang Su telefon ayah tadi. Katanya nak percepatkan majlis pertunangan kalian. Hujung minggu ni katanya,”

“Hah? Ayah!”

“Apa ayah-ayah?”

“Janganlah tekan Su, ayah! Berilah Su peluang dulu. Su baru nak mulakan kerjaya. Takkan ayah nak desak Su bertunang secepat ni, dengan orang yang Su tak kenal pulak tu!”

“Bukan ayah yang putuskan. Keluarga lelaki yang mahukan pertunangan ni dipercepatkan. Ayah mengikut aje,”

Balas ayah, bersahaja. Iris Suhayla melepaskan keluhan berat. Kemudian, dia memandang wajah emak, meminta simpati supaya diri dipertahankan namun hampa.

“Su, mak tak mahu menipu sebab berat hati mak nak melepaskan Su ke Labuan tu. Mungkin cara ni lebih baik untuk Su. Sekurang-kurangnya status tunangan orang ni melegakan mak. Cukup masa, Su kahwin dan balik ke rumah suami. Tak perlu menetap lama-lama di negeri orang,”

“Mak! Takkan semudah tu mak tentukan hidup Su,”

“Habis nak tunggu Su tentukan sendiri? Bila? Berapa lama? Dengan siapa?”

Tanya ayah, bertubi-tubi. Geram dengan perihal pilihan calon yang telah dicari, Iris Suhayla bingkas bangun lantas menyarung selipar sebelum menapak pantas meninggalkan emak dan ayah.

“Hah, tengoklah perangai anak bertuah awak tu! Kerjanya merajuk aje memanjang,”

Luah ayah, sayup-sayup. Iris Suhayla tidak peduli. Dia terus melangkah. Dalam kepalanya hanya ada nama Afiqah. Teman sepermainan semenjak zaman kecil hinggalah sama-sama ditawarkan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa.

* * * * * * * *

“APA? Weh, tak salah dengar ke aku ni?”

Tanya Afiqah, mencuit pahanya sekali. Dia yang sedang menongkat dagu di atas meja kopi cuma melepaskan nafas yang terasa berat.

“Entah, mungkin mimpi aku aje kot,”

“Mana boleh main kot-kot!”

“Tak boleh main? Kalau begitu kau pergi lah tanya mak aku pulak, bagi pihak aku,”

Cetus Iris Suhayla, bersahaja. Afiqah yang masih terkejut akan berita itu ketawa sebelum menutup mulutnya.

Opps, so sorry! Aku ketawa dengan tidak sengajanya,”

“Eleh, padahal sangat sengaja!”

“Habis tu, kau macam mana?”

“Aku macam mana? Siapa peduli perasaan aku ni, Fi? Kau sendiri gelakkan aku, apatah lagi keluarga aku. Mesti berguling-guling tengah ketawakan aku,”

Balas Iris Suhayla, menghiburkan hati yang terluka seperti selalu. Afiqah yang serba salah dengan kata-kata bersahaja Iris Suhayla pantas menggenggam tangan sahabatnya. Iris Suhayla pasti perlukan sokongan darinya walau riak wajah itu tampak bersahaja sama seperti selalu.

“Su, aku minta maaf, ya! Aku tak bermaksud nak menambahkan lagi tekanan kau,”

“Hmm, aku datang sini sebab malas nak dengar cerita pasal calon pilihan,”

“Emm. Tapi kan, Su. Bukan ke pilihan mak ayah lebih berkat? Bahagia rumahtangga kau nanti, Su,”

Afiqah cuba menyatakan pendapatnya. Barangkali dengan pendapat itu, hati Iris Suhayla lebih sejuk malah dapat menerima pula kehendak ibu bapanya dengan hati yang lebih terbuka kelak.

“SU dah solat ke?”

“Emm,”

Jawabnya, malas. Dia hendak mogok lagi sebenarnya malah marahnya masih belum reda akan majlis pertunangan yang tetap akan diteruskan walaupun dia enggan dipaksa.

“Mari kita makan malam. Ayah dah tunggu tu,”

“Kenyang lagi,”

“Makanlah sikit. Minggu depan dah nak berangkat, nanti dah susah nak rasa air tangan mak ni,”

“Emm,”

Balasnya, sebak tiba-tiba. Pujukan emak menusuk hingga menyentuh lubuk hati yang paling dalam. Tidak mahu menunjukkan sisi emosi itu, Iris Suhayla pantas melangkah menuju ke meja makan, menarik kerusi sama tentang dengan ayah.

“Cukup-cukuplah tarik muncung angsa tu. Ayah tak main pilih aje, Su. Ayah yakin calon pilihan ayah adalah yang terbaik antara yang terbaik,”

Beritahu ayah sambil menuangkan air ke dalam gelas Iris Suhayla. Sesudah mengaminkan doa, mereka menyuap nasi tanpa sebarang cerita. Senyap. Ruang makan itu sepi langsung dari sebarang suara hinggalah emak membuka suara.

“Tak ada ibu bapa yang berkehendakkan anak-anaknya menderita selepas berkahwin. InsyaAllah, doa mak dan ayah sentiasa bersama Su,”

“Su janganlah tanya kenapa mak dan ayah putuskan begini atau begitu. Mak hanya nak Su tahu, pasti sejuk perut ibu yang mengandungkan anak yang taat pada ibu bapanya,”

Tambah emak lagi. Iris Suhayla tidak menjawab. Emak menutur dengan makna yang berselirat disebaliknya hingga dia tidak mampu membalas seperti selalu. Nasi di dalam pinggan terus disuap walau dia tiada nafsu untuk menjamahnya.

“Tambah lagi nasinya, Su!”

“Su dah kenyang, mak!”

Jawab Iris Suhayla, perlahan sebelum membawa pinggannya ke sinki. Dia mencuci pinggan sebelum beredar menuju ke bilik tidur. Berehat barangkali lebih sesuai untuk menenangkan diri yang dilanda masalah tiba-tiba.

“Nak ke mana laju sangat jalan tu?”

“Tidur!”

Jawabnya laju, namun apabila menoleh, mulutnya ternganga luas. Dia terkedu seketika menatap wajah angah.

“Angah!”

Jeritnya laju sebelum berlari mendakap Riyad, abang keduanya. Riyad ketawa seperti selalu sebelum membalas pelukan Iris Suhayla. Rasanya selepas Iris Suhayla menyambung kursus perguruan, baru kini mereka kembali bertemu.

“Su sihat?”

“Sihatlah, angah. Lama betul Su tak jumpa angah. Rindulah! Kenapa angah tak beritahu nak balik ni? Angah, esok kita pergi Baskin Robbins, ya?”

“Eh, mana satu ni? Rindu angah ke rindu nak makan aiskrim ni? Mulut pot-pet macam dulu jugak. Macam bertih jagung. Tanya macam-macam, nak jawab yang mana ni, Su?”

Bidas Riyad, melegakan pelukan lantas memaut bahu adik bongsunya seperti selalu. Barangkali itu yang terakhir memandangkan Iris Suhayla bakal disatukan dengan jejaka pilihan keluarga, kata emak dua minggu yang lepas.

“Hah, dah balik! Bertuah punya anak, balik senyap-senyap! Tahu-tahu rumah dah riuh dengan suara dua beradik ni,”

Sergah emak. Riyad melepaskan pautan pada bahu Iris Suhayla lantas menyalami emak, kemudian ayah yang mengekor di belakang.

“Riyad balik sebab tak sabar nak tengok adik bongsu ni menyarung cincin di jari manis. Siapalah insan malang tu ya,mak?”

Usik Riyad, bersahaja. Iris Suhayla yang berdiri di tepi memandangnya, meminta jawapan.

“Emak sihat? Ayah?”

Dalih Riyad, selamba. Iris Suhayla geram dengan sikap Riyad lantas dia mencubit abangnya.

“Aduh! Sakitlah! Kuku panjang ke?”

“Padan muka! Siapa suruh mula?”

“Hmm, dia nak mula dah!”

Emak mencelah di antara keriuhan itu.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.