"AKU nak cari
handbag kejap,"
"Tak habis cari barang
lagi kau ni? Tiap-tiap minggu keluar cari barang. Berapa kontena kau nak bawak
pergi ke Teluk Intan ni?"
Tanya Iris Suhayla, hairan
melihat gelagat Afiqah yang cukup gemar menambah koleksi pakaian dari hujung
rambut hingga ke hujung kaki. Kalau hari ini warna temanya kuning, kasut dan
beg tangan pun boleh disuaikan dengan warna bajunya.
Dia pula? Jangankan
beg tangan, beg duit pun tiada. Semua barang dilambak dalam beg galas. Kad
pengenalan, duit, kad bank, resit-resit, tiket bas, tiket wayang. Sebulan
sekali, kalau ingat baru dia akan mengemas dan membuang mana yang patut. Bila
dirasa beg itu ringan, dia akan memenuhkan kembali harta pusaka yang boleh
didapati di mana-mana. Senang dan cepat. Tiada istilah bergaya kerana dia
memang seorang yang ringkas. Lipstik? Oh, tak sempat nak dicalit pada bibir
pun! Semulajadi katanya!
"Aku suka beg yang boleh
saut pada lenganlah Su, cantik kan?"
"Kalau aku jadi kau, aku
beli je beg yang boleh kepit kat ketiak. Senang, nak ambil duit, depa je tangan
luas-luas. Nak simpan, turun balik tangan,"
Cadang Iris Suhayla sambil
membuat gaya. Sekejap didepa, sekejap dikuncupkan semula tangannya. Afiqah
ketawa kecil.
"Isy, dengar pun geli
dah,"
"ha ha ha!"
"Kau ni kan? Ada aje!
Cantik ke tak beg ni? Cakaplah betul-betul!"
Tanya Afiqah sambil
memuncungkan bibirnya, panjang. Iris Suhayla menyudahkan senyuman lalu
mengambil beg yang ditunjukkan oleh Afiqah. Dia membelek beg tangan itu dari
luar hingga ke dalam.
"Entahlah! Bukan tasteaku,"
"Aku tengok
cantiklah!"
"Dah tahu cantik,
belilah. Tapi aku tak fahamlah dengan taste
kau ni, Fiqah. Minat beg besar-besar macam bertujuan nak letak diapers
dengan botol susu anak je. Tastemakcik-makcik!"
Beritahu Iris Suhayla, cuba
menarik muncung panjang Afiqah. Benar! Sekejap sahaja bibir itu meninggi.
"Hey, lasernya mulut! Cili giling
karang!"
"Marahnya! Tu kan sekadar
pendapat. Kau jugak yang mintak pendapat aku, kan?"
"Aku tanya cantik ke
tidak?"
Jawab Afiqah menekankan
soalannya yang mula-mula tadi.
"Takkan sekadar nak
nampak cantik aje. Fungsinya tetap kena ada. Nak bergaya, tak kena gaya tak
padan jugak,"
HAKIMI menghulurkan satu keratan akhbar kepadanya.
"Pemilik Empayar
Kenderaan Mewah Sudah Berpunya,"
"Wow, cepatnya berita
tersebar! Impressive!"
Ulas Izzul Haq sambil membaca
isi cerita tentang dirinya. Dia mengebalikan keratan akhbar itu kepada Hakimi
yang menanti reaksinya sejak tadi.
"Siapa sumber berita
ni?"
"Mana aku tahu!Frustlah awek-awek kau kat luar tu bila
baca cerita ni,"
Usik Hakimi. Izzul Haq senyum
cuma. Ketika ini, fikirannya ligat berfikir tentang Iris Suhayla. Bimbang juga
jika tunangnya itu menjadi mangsa media secara tiba-tiba. Pasti itu kejutan
baru buat Iris Suhayla. Oh!
"Aku tak kisah pasal aku.
Yang aku kisahkan pasal tunang aku. Pasal aku pun dia tak tahu, ini bertambah
pulak pasal laporan akhbar,"
"Kenapa pulak dia tak
tahu pasal aku? Eh, pasal aku pulak! Pasal kau? Tulah banyak sangat pasal aku,
dah ter-aku dah aku,"
Ujar Hakimi, menumbuk perlahan
dahinya. Izzul Haq ketawa kecil. Lama dia menyimpan rahsia mengenai Iris
Suhayla, cinta pertamanya namun belum tiba waktunya untuk dia mendedahkan hal
itu. Asalkan keluarga merestui, hal yang lain ditolak ke tepi.
"Dia tak tahu pasal aku?
Biarlah rahsia, Kimi! Biar aku saja yang tahu ceritanya,"
"Hmm, tak nak cerita tak
apa, cuma aku nak ingatkan kau aje, beringat bila buat apa-apa. Nanti jadi
bualan seantero dunia. Yang aku bimbangkan, mesti ada sambungan lagi cerita kau
ni di media. kau ni ibarat usahawan selebriti. Selalu jadi bahan berita
media."
"Aku tak nak pun semua
tu, aku nak berniaga aje. Hobi aku dari kecil lagi berniaga, sampai sekarang
atau bila-bila, itulah kerja aku."
Terang Izzul Haq. Suaranya
relaks sahaja. Apa yang disampaikan Hakimi bukan perkara baru buatnya. Lalu
belum masanya untuk dia tergesa-gesa melakukan tindakan.
"Ya, aku tahu. Tapi
kejayaan kau berniaga yang buatkan orang kejar kau selalu. Bagus apa masuk
media, melariskan lagi produk kau."
"Masuk media pasal bisness aku setujulah,"
"Oh, aku lupalah! Majalah
Media Selebriti nak satukan kau dengan pelakon filem yang tengah meletup tu
dalam satu photoshoot minggu depan,
siapa namanya...emmm...Putri Ariyana,"
Beritahu Hakimi tentang
panggilan telefon yang diterimanya awal pagi tadi. Rasanya isu di media yang
menyebabkan Izzul Haq menjadi pilihan.
"Nak 'satukan' aku dengan
pelakon meletup? Oh, terima kasih! Hati tunang aku kena jaga,"
Tolak Izzul Haq tanpa berfikir
panjang. Baginya, banyak lagi usaha yang boleh dilakukan untuk melebarkan sayap
perniagaannya ke persada tanah air daripada memilih populariti singkat seperti
itu.
"Pelakon hot tu. Rugilah kalau tak cuba. Media
bersungguh-sungguh nakkan kau jadi covermajalah
mereka untuk bulan depan,"
"Tidak maksudnya No! No
maksudnya tidak!"
"Iyalah, iyalah. Nanti
aku telefon balik dan maklumkan keputusan kau,"
PAKAIAN yang akan dibawa pergi sudah dilipat dan
dimasukkan ke dalam beg travelnya.
Sebuah beg lagi telah dipenuhkan dengan barang keperluan peribadi. Rasanya dua
beg itu sudah cukup untuk diheret ke lapangan terbang hari Sabtu ini. Tempat
yang bakal dituju pun tidak diketahui lagi, jadi wajar kiranya dua beg itu yang
menemaninya nanti. Jika ada keperluan lain, barulah dia akan menguruskannya
kemudian.
Beg sandang yang
mengandungi buku-buku rujukan ketika di maktab telah disusun di tepi katil.
Rasanya persiapan awal itu perlu memandangkan dia bakal menyeberangi Laut Cina
Selatan nanti. Kalau tertinggal, payah pula hendak mengambilnya semula. Kalau
tiket kapal terbang murah, barangkali mudah buatnya. Ini tidak, harganya
mencecah ratusan ringgit. Tidak mampu rasanya hendak pulang selalu.
"Dah siap kemas semua
barang Su?"
"Dah siap semua,"
"Baguslah bersiap awal.
Emm, esok mak dan ayah berhajat nak buat kenduri tahlil sikit,"
"Untuk Su ke?"
Cepat dia menyahut. Emak
mengangguk walaupun wajahnya tidak ceria. Barangkali emak terasa dirinya sedang
ditinggalkan sedikit-sedikit lantas dipeluknya emak dengan penuh rasa kasih dan
sayang. Tak mungkin terbalas jasa emak mengandung, melahir dan membesarkannya.
Tanpa didikan emak dan ayah, tak mungkin dia mampu melangkah sejauh ini.
"Terima kasih mak untuk
segala-galanya,"
"Su satu-satunya anak
perempuan mak. Lepas ni, rumah kita akan kembali sepi. Along dan angah pun
bakal berangkat, Su juga begitu. Pada siapalah mak nak bercerita selain ayah?
Kalau dulu, tengok tv, ada jugak kelibat Su atas sofa tapi lepas ni?"
Tanya Puan Aini, menyelak
sedikit rasa gundah di hati. Iris Suhayla memeluk emaknya lebih kejap. Entah
sempat entahkan tidak dia memeluk emak lagi selepas ini. Kalau ditakdirkan
umurnya panjang, barangkali boleh tapi jika itu pertemuan terakhir, bagaimana
agaknya?
"Su sayang banyak sangat
pada mak! Walau jauh manapun Su pergi, Su bawa kasih sayang mak bersama-sama
Su. Mak doakanlah yang terbaik untu Su, ya?"
"Doa mak sentiasa bersama
anak-anak. Tak pernah tidak, Su!"
"Terima kasih, mak!"
USAI Majlis Tahlil, Iris Suhayla membantu emaknya di
dapur. Habis pinggan dan periuk belanga disental dan akhirnya dia kepenatan
lalu berehat di sudut dinding.
"Su belum pernah berjumpa
dengan Izzul ke?"
Tanya mak, tiba-tiba membuka
cerita mengenai Izzul Haq. Iris Suhayla hanya memandang wajah mak. Mengiyakan
tidak, menidakkan pun tidak. Teringat pertemuan yang sengaja dirancang oleh
abang-abangnya. Akhirnya, dia mengangguk jua.
"Along dan angah yang
perkenalkan Su dengan dia,"
"Macam mana
orangnya?"
Soal mak lagi. Kali ini
berkerut-kerut dahi Iris Suhayla. Tertanya-tanya di dalam hati, mengapa emak
tiba-tiba mengutarakan persoalan itu. Istimewa sangatkah pilihan emak dan ayah
itu?
"Entah. Baru sekali
jumpa. Tak berbual pun dengan dia. Angah dengan along je yang sibuk tanya itu
ini dengan dia,"
"Iya ke? Patutlah satu
malam tu rancak sangat abang-abang tu mengusik Su. Agaknya lepas pertemuan tu
lah ya?"
"Saja nak cari modal.
Padahal dia orang yang aturkan perjumpaan tu. Sakit hati, Su!"
"Kenapa nak sakit hati
pulak?"
Tanya emak lagi. Semakin
berminat untuk mengetahui kesinambungan kisah anak bongsunya. Dia ingin tahu
reaksi Iris Suhayla. Tambahan pula Hafiy ada bercerita tentang pertemuan itu
kepadanya. Lantas, kepada Iris Suhayla dia bertanya sendiri. Barangkali Iris
Suhayla mahu berkongsi perasaan dengannya.
"Sakit hatilah, mak!
Dahlah kena paksa bertunang, nanti kena paksa berkahwin, nak jumpa pun dipaksa
jugak. Tak sakit ke hati Su ni, mak?"
"Teruk sangat ke pilihan
mak tu, Su?"
"Teruk bila Su tak sedia.
Kan bagus kalau mak bagi peluang pada Su untuk tentukan sendiri calon suami
Su,"
Jawab Iris Suhayla, meluahkan
perasaan tanpa segan silu. Kalau ditanya ketika ini, jawapannya masih sama
seperti dahulu. Dia tidak sukakan keputusan emak dan ayah!
"Su tak mahu beri peluang
pada diri Su. Yang Su tahu, bantah, bantah, bantah! Cuba Su beri peluang pada
diri sendiri, buka hati untuk terima pilihan mak dan ayah sebagai yang terbaik
untuk kehidupan Su nanti. Mak rasa, tak seteruk ni perasaan tu nanti. Selagi Su
tak redha, selagi tu lah Su akan terbeban dan terpaksa,"
Panjang lebar nasihat emak
buatnya namun Iris Suhayla cuma mendiamkan diri. Benar, dia membantah apa yang
ditentukan emak dan ayah untuk dirinya namun adakah bantahan itu dipedulikan?
Menangis air mata darah sekalipun rayuannya belum tentu diterima. Lantas,
salahkah jika dia terus membantah? Kalau membantah itu mewakili perasaannya,
biarlah dia terus membantah kerana apabila sampai pada waktu dan ketikanya, dia
tetap disuruh berkahwin dengan pilihan emak dan ayah itu.
"Entahlah, mak! Yang
pasti dalam kepala Su, Su nak berkhidmat untuk anak bangsa.
kahwin bukan dalam perancangan
Su,"
"Baguslah, Su tak mahu
uruskan, biar mak aje yang uruskan majlis Su. Sampai masa dan ketika, kita
langsungkan aje majlis tu,"
"Eeeee, mak ni!"
Iris Suhayla protes lalu
bangun. Emak ditinggalkan dengan rasa sebal di hati. Cepatlah masa berlalu
kerana dia begitu tidak sabar lagi hendak meninggalkan bumi Selangor. Tidak
mahu lagi persoalan kahwin disua ke telinganya.
AFIQAH memeluk Iris Suhayla. Tidak dapat tidak, air
matanya tumpah jua di pipi. Sekian lama bersama Iris Suhayla, ketika senang
mahupun susah, kini mereka akan terpisah jauh. Bilakah lagi pertemuan
seterusnya akan berlangsung? Pasti rentak hidup mereka jauh berbeza selepas
ini, ditambah pula dengan jarak yang jauh. Oh, peritnya perpisahan ini.
"Jangan lupakan aku,
ya?"
"Takkan aku boleh lupa
kau, atas bawah kuning! Satu dalam sejuta,"
Usik Iris Suhayla, lantas
memeluk kembali sahabatnya. Semakin menjadi pula sedu-sedan Afiqah bila dia
mengusik begitu. Sebenarnya dia cuba menghiburkan hati, menggembirakan diri
sendiri walaupun perit hendak meninggalkan sahabat dan keluarga yang dikasihi.
Namun apakan daya, dia memilih untuk berkhidmat di dalam bidang pendidikan.
Jauh atau dekat, ke mana sahaja dia ditempatkan, dia harus akur akan dugaan
itu.
"Maafkan semua salah
silap, usik mengusik, kata mengata kau,
ya Fiqah?"
Afiqah mengangguk dan
tersenyum
"Aku pun sama, ya
Iris?"
Afiqah mengesat air mata
dengan tisu. Kemudian, dia menyerahkan sampul surat putih kepada Iris Suhayla.
"Apa ni?"
"Memori,"
"Thanks, Fiqah!"
Ucapnya, menepuk lembut bahu
Afiqah. Ramai yang menghantar pemergiannya ke Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur. Bukan hanya Afiqah, seluruh adik beradik ada bersamanya.
"Angah, nanti datang
jenguk Su tau!"
Pesannya, menyalami Riyad.
Abangnya itu dipeluk sekali. Seperti selalu, Riyad akan memeluk bahunya pula.
Adik itu akan meneruskan perjalanan hidupnya lagi. Dia harus akur itu.
"Su pun jangan lupa
jenguk angah di Brunei,"
"Angah banyak duit,
angahlah jenguk Su kat sana. Along pun sama! Asyik duduk kat pelantar tu.
Sesekali baliklah kampung, bagi makan ayam itik,"
"Ewah-ewah, sedap aje dia
memberi arahan. Dia tak tahu kita susah nak cuti. Bukan macam cikgu! Cuti aje
memanjang,"
"Eh, siapa kata cikgu
banyak cuti? Along dah pernah jadi cikgu ke?"
"Dah, dia dah mula dah.
Sempat lagi bercakaran masa ni,"
Ayah yang menunggu dari tadi
menyampuk. Iris Suhayla ketawa lantas memeluk ayah. Tangan tua itu dikucup
sekali. Keras sekali tekstur tangan ayah. Barangkali itulah yang dinamakan
kerja keras untuk menyara kehidupan anak dan isteri. Tangan tua itulah yang
pernah menyuap nasi ke dalam mulutnya. Kalau tidak kerana gigihnya tangan tua
itu memerah kudratnya, tak mungkin mereka semua mampu berjaya seperti itu.
"Terima kasih, ayah!
Terima kasih, mak!"
IRIS Suhayla menyapu minyak angin ke sebelah tepi
keningnya, di kiri dan kanan. Rasa pening masih belum hilang akibat pesawat
yang baru berlepas, memecut bagai kereta lumba di litar perlumbaan sedangkan ia
hanya mengambil lajak sebelum terbang di udara.
"Mintak sikit minyak
angin tu, sedap pulak baunya,"
Pohon seorang lelaki di
sebelahnya. Iris Suhayla memandang ke sebelah, dan alangkah terkejutnya dia
mendapati Izzul Haq yang duduk di sebelahnya. Waktu bila dan bagaimana, tidak
pula disedarinya.
"Kenapa? Terkejut?"
"Emm, awak buat apa kat
sini?"
"Sama macam awak, nak ke
Labuan,"
Selamba dia menjawab, namun
semakin berkerut dahi Iris Suhayla. Sesungguhnya dia tidak menduga langsung
pertemuan kedua kali itu.
"Mintak lah sikit minyak
angin tu,"
Tidak menjawab, namun Iris
Suhayla menghulur juga minyak angin itu seperti yang diminta Izzul Haq. Iris
Suhayla membuang pandang ke luar namun tidak ada apa yang dapat dilihat. Hanya
awan sahaja dan sesekali terasa gegarannya.
"Angah suruh awak ikut
saya, ya?"
"Apa dia?"
"Angah yang suruh awak
ikut saya, ya?"
Ulang Iris Suhayla ketika
menyambut minyak yang dihulur Izzul Haq kepadanya. Ketawa kecil Izzul Haq
dibuatnya.
"Tak ada siapa-siapa yang
suruh. Saya yang suka dan rela. Lagipun sebelum ni kita belum ada peluang
bertemu mata, kan?"
"Tak perlu menyusahkan
diri,"
Sahut Iris Suhayla perlahan.
Dia tidak selesa sebenarnya. Pertemuan yang tidak diduga sedang dia langsung
tak bersedia dengannya.
"Tak ada yang susah pun
dalam hidup ni. Mahu sesuatu, usahakan sahaja,"
"Ikut suka awaklah, saya
nak tidur sekejap. Sakit kepala belum hilang lagi ni. Tambah sakit jumpa
awak,"
"Amboi, teruk sangat ke
jumpa saya?"
"Babai,"
Balasnya sambil menutup mata.
Berdenyut-denyut dirasakan kepalanya hingga tiada perasaan untuk melayani Izzul
Haq berbual. Tambahan pula, lelaki itu orang yang sangat baru dikenalinya.
Wajarlah kiranya lelaki itu dibiarkan bersendirian apatah lagi pertemuan itu
tanpa undangan.