Home Novelet Thriller/Aksi Saving Kluang in Seven Days (Penulis: Kid Haider)
Saving Kluang in Seven Days (Penulis: Kid Haider)
Kid Haider
23/6/2025 18:38:32
7,177
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 7

BAB 7: MAKLUMAT RAHSIA

 

Malam di Kluang semakin larut dan selepas insiden sistem keselamatan makmal bawah tanah yang tiba-tiba aktif, mereka berlima tahu yang mereka bukan lagi hanya penyiasat remaja yang teruja dengan misteri. Mereka kini sedang menjejak sesuatu yang mungkin tidak sepatutnya mereka temui.

Selepas keluar dari kawasan Gunung Lambak dengan bantuan Pak Karim, mereka berlima pulang ke rumah inap dalam keadaan separa trauma, separa teruja. Pak Karim, yang sebelum ini kelihatan tenang dan berpengalaman, kelihatan agak goyah sewaktu menghantar mereka semula. Namun sebelum berpisah, dia memberikan satu nama kepada Aiman, dengan nada yang lebih berat daripada biasa.

“Kalau kamu semua masih mahu tahu lebih lanjut... cari Hadi. Dia tahu lebih daripada saya. Dan dia tidak terikat macam saya. Dia tinggal di bengkel kayu tepi landasan, belakang stesen Kluang.”

“Siapa dia sebenarnya?” tanya Aiman.

Pak Karim hanya menatap langit malam sebelum menjawab, “Dulu kami sama-sama jaga projek itu... sebelum semuanya dibatalkan.”

Itu sahaja. Tiada maklumat tambahan, tiada nombor telefon. Hanya satu nama dan satu lokasi.

Maka malam itu, tanpa banyak bicara, mereka menuju ke sebuah warung kecil berhampiran stesen kereta api Kluang. Warung itu hampir kosong, kecuali satu susuk lelaki berjaket lusuh yang sedang mengacau kopi O-nya perlahan-lahan.

“Encik Hadi?” sapa Aiman berhati-hati.

Lelaki itu mendongak. Renungan matanya tajam. Bukan marah, tetapi seperti menilai setiap satu daripada mereka.

“Pak Karim yang suruh kamu datang?” soalnya perlahan, suaranya parau tetapi penuh kawalan.

Aiman mengangguk. Yang lain diam, hanya bunyi motosikal dari jalan besar dan dentingan sudu pada cawan yang memecah sunyi.

Encik Hadi menghembus nafas panjang, lalu menepuk kerusi kosong di sebelahnya. “Kalau kamu sudah sejauh ini... mungkin sudah tiba masanya seseorang bongkar kebenaran.”

Liam membongkok ke hadapan, penuh minat. “Apa maksud encik? Ini projek gila yang golongan rahsia elit dunia cuba sorokkan?”

Encik Hadi merapatkan jaket lusuhnya, seolah-olah bimbang ada yang sedang mengintai. “Dr. Johan... dia bukan orang gila. Semua orang anggap dia terlalu obses dengan teori yang mustahil. Hakikatnya, dia berjaya.”

Aiman bertukar pandangan dengan Zara. “Berjaya? Maksud encik, eksperimen dia betul-betul menjadi?”

Encik Hadi mengangguk perlahan. “Sumber tenaga bumi. Itulah yang dikajinya selama ini. Kalau dikawal dengan betul, tenaga ini boleh menjana kuasa tanpa had. Tetapi kalau tersilap langkah, kesannya boleh jadi gempa bumi, gangguan elektrik... malah sesuatu yang jauh lebih dahsyat.”

Liam bersiul perlahan. “Ini macam jenis eksperimen yang boleh buat satu bandar ghaib. Macam tidak pernah wujud.”

Encik Hadi menundukkan kepala. “Dan itulah yang aku takut akan berlaku sekarang.”

“Kamu semua dengar bunyi itu?”

Tiba-tiba, Risa yang sejak tadi diam mencuit lengan Aiman. Dia menoleh ke arah jalan kecil di belakang warung.

Kedengaran deruman enjin motosikal. Dua individu berpakaian serba hitam berhenti di seberang jalan, seolah-olah sedang memerhati mereka.

“Masa kita sudah tidak banyak,” kata Encik Hadi cemas. “Aku ada sesuatu yang boleh membantu kamu semua, tetapi kita perlu pergi ke tempat yang lebih selamat.”

Liam berseloroh dalam nada berbisik, “Susah hendak percaya. Tetapi aku teringat sesuatu... Kalau ini Prison Break, aku harap aku bukan watak yang jatuh longkang sebelum sempat lari.”

Mereka bergerak laju menyusuri lorong-lorong sempit, berlampukan cahaya malap dari kedai-kedai lama yang hampir semuanya sudah tutup. Setiap langkah seperti dipandu oleh naluri untuk bersembunyi, mengelak daripada bayangan misteri yang mungkin sedang mengekori mereka.

Bunyi tapak kasut mereka bergema di lorong bata yang basah dek hujan siang tadi. Sekali-sekala, Aiman menoleh ke belakang dan Risa pula asyik menoleh ke sisi, seolah-olah deria keenamnya memberi amaran.

Nico, yang sejak tadi cuba kekal cool dengan gaya tangan dalam poket hoodie dan langkah longlai, tiba-tiba tersadung pada sebuah batu longgar.

“Argh! Stupid Crocs!” jeritnya sambil hampir terpelanting ke hadapan.

Zara yang paling hampir, sempat menarik lengannya. “Kau memang,” gumamnya. “Lari pun dengan gaya selekeh.”

“Maaflah. Aku tiada kasut mendaki RM300 macam kau,” Nico membalas sambil memicit lutut. “Crocs aku edisi terhad.”

“Edisi terhad atau tidak, kalau jatuh dalam longkang, tetap masuk hospital,” Liam menyampuk sambil melintasi satu tong sampah besar.

Mereka terus melangkah pantas, nafas makin berat dan langkah makin laju. Seolah-olah bahaya hanya beberapa lorong di belakang.

Mereka akhirnya tiba di sebuah kedai perabot usang. Di dalamnya, debu dan bau kayu memenuhi udara. Encik Hadi menarik salah satu rak kayu, lalu sebuah pintu rahsia terbuka di belakangnya.

Mereka masuk ke sebuah ruang kecil yang dipenuhi kertas berselerakan serta sebuah komputer lama. Skrinnya memaparkan logo Windows XP dengan ikon My Computer yang bersepah.

“Semua data ini aku simpan sejak dahulu,” kata Encik Hadi sambil membuka sebuah fail tebal. “Ini bukti yang Dr. Johan berjaya mencipta prototaip alat kawalan tenaga bumi.”

Zara membelek helaian kertas di hadapannya. Ada lakaran mesin pelik, graf tenaga yang meningkat mendadak, serta sekeping gambar Dr. Johan di dalam makmal.

Aiman menatap monitor lama itu dengan rasa cemas. “Tetapi... komputer ini boleh ke buka fail rahsia? Ini Windows XP. Silap-silap, kau klik satu benda, terus kena virus.”

“Biar aku cuba,” kata Liam, mula menaip sesuatu pada papan kekunci.

Komputer berbunyi kuat. Satu pop-up tiba-tiba muncul:

WARNING: LOW MEMORY

Please close some applications to continue

Liam menepuk dahi. “Ya Tuhan, komputer ini kalah Pentium 3.”

Aiman menarik nafas dalam. “Kau boleh buka fail ini?”

Liam tersenyum nipis. “Kalau aku boleh godam Friendster orang lain untuk intip gambar, aku boleh buat apa sahaja.”

Semuanya menunggu dengan penuh debaran. Jika mereka berjaya membuka fail ini, mereka mungkin akan tahu siapa sebenarnya dalang di sebalik semua ini.

Dan lebih penting lagi, apakah yang Dr. Johan cuba sembunyikan sebelum dia menghilang?

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.