BAB 6: SERANGAN ROBOT PENJAGA
Malam itu, mereka berlima berkumpul di ruang tamu rumah inap. Lampu meja menerangi peta kasar laluan Gunung Lambak yang mereka lukis berdasarkan penemuan siang tadi. Suasana tegang, tetapi Liam tetap bersahaja mengunyah Mamee Monster sambil sesekali mengibas tangannya ke udara.
Zara menjeling. “Kalau kau hendak tabur Mamee macam tengah buat ritual, tolong jangan atas peta kita.”
“Relakslah,” celah Nico, bersandar ke kerusi. “Serbuk itu sumber tenaga, mana tahu kita kena lari esok malam. Lagi pun... ini serbuk, bukan plutonium.”
Aiman menggeleng dan kembali fokus. “Baiklah, esok malam kita akan masuk semula ke makmal itu,” katanya sambil menekan satu titik pada peta dengan jari telunjuknya. “Tetapi kali ini, kita perlu lebih berhati-hati.”
“Lebih berhati-hati?” Nico menyandar ke sofa. “Kita hendak ceroboh makmal rahsia yang tahap keselamatan dia kalah Mission Impossible... dan maaf cakap, tiada sesiapa antara kita Tom Cruise.”
Zara menjeling tajam. “Kalau kau keberatan, lebih baik kau tinggal sahaja di sini.”
Nico ketawa kecil. “Bertenanglah. Aku tetap ikut. Tetapi kalau kita dikejar lagi, jangan harapkan aku jadi hero.”
Sebelum Aiman sempat membalas, Risa tiba-tiba bersuara. “Kita bukan satu-satunya yang tahu tentang tempat ini.”
Semua mata tertumpu pada Risa. Dia duduk di hujung sofa, kelihatan serius. “Tadi aku terima satu mesej.” Dia mengeluarkan telefon Nokia 3310 miliknya dan menunjukkan skrin kecil berwarna hijau.
Mesej Baharu Diterima
Penghantar: Tidak Dikenali
“Jangan pergi ke makmal itu lagi. Ini amaran terakhir.”
Aiman diam seketika, hanya memandang skrin telefon. “Siapa pula yang hantar?”
Risa menggeleng. “Nombornya tidak dikenali.”
Liam bersiul perlahan. “Baiklah... sekarang situasi ini semakin menyeramkan. Aku rasa macam kita dalam episod Lost.”
“Kau serius? Aku lebih rasa macam kita dalam Resident Evil,” balas Nico.
Aiman mengangkat muka. “Dia takut kita tahu. Maksudnya... kita tengah gali benda yang betul.”
Keadaan menjadi sunyi. Tiada siapa yang berkata apa-apa, tetapi pandangan mereka saling bertemu. Cukup untuk tahu bahawa semuanya kini sedar apa yang sedang dipertaruhkan.
Zara akhirnya bersuara. “Kita tetap akan pergi.”
Dan dengan itu, mereka mencapai kata sepakat.
*****
Jam menunjukkan pukul 11:30 malam. Mereka bergerak dalam gelap, hanya berpandukan lampu suluh kecil dan cahaya samar bulan. Angin malam bertiup sejuk dan bunyi cengkerik mendominasi suasana.
“Kalau lampu suluh kita tiba-tiba mati, aku cabut dulu,” bisik Nico, cuba bergurau walaupun nada suaranya jelas bergetar.
“Oh ya?” Zara menyahut tanpa memandang.
“Atau... aku terus uninstall realiti.”
Zara akhirnya menoleh. “Kalau kita memang dalam cerita seram, watak yang bising selalunya yang kena dulu.”
Liam hanya menggeleng perlahan, tidak pasti sama ada hendak gelak atau mula panik.
Mereka akhirnya tiba di pintu masuk terowong yang tersembunyi di antara akar pokok besar. Seperti sebelumnya, pintu besi itu kelihatan usang, tetapi kali ini ada sesuatu yang berbeza.
Lampu merah kecil berkelip-kelip di bahagian atas.
“Lampu itu ada siang tadi?” tanya Aiman.
Liam menggeleng. “Tidak. Ada orang yang menghidupkannya.”
“Ada orang di dalam?” bisik Risa.
Mereka saling berpandangan. Jantung masing-masing berdegup kencang.
Tiba-tiba, bunyi klik kedengaran.
Lampu merah bertukar hijau.
“Okey... dada aku rasa ketat,” kata Liam perlahan, menelan air liur.
Sebelum sesiapa sempat bergerak, sesuatu muncul dari dalam terowong. Sesuatu yang berkilauan dalam gelap.
Seekor robot berbentuk seperti labah-labah logam merangkak keluar, matanya bersinar merah terang. Kaki mekanikalnya bergerak pantas di atas tanah berbatu. Ia mengeluarkan bunyi elektronik berdesing.
“Apa benda itu?!” jerit Nico.
Robot itu tiba-tiba melompat ke arah mereka.
“LARI!” jerit Aiman.
Mereka berpaling dan berlari sekuat hati menuruni denai gunung. Zara, yang paling pantas, mendahului, diikuti oleh Aiman dan Liam. Risa dan Nico ketinggalan di belakang.
Robot itu mengejar, kakinya mencengkam tanah dengan kelajuan luar biasa.
“Liam, lakukan sesuatu!” jerit Aiman.
“Apa yang boleh aku lakukan?! Aku bukan Tony Stark!” Liam membalas sambil berlari.
Mereka melompat merentasi akar-akar pokok besar. Zara mencapai seketul batu dan melemparkannya ke arah robot. Batu itu terkena badan robot, tetapi hanya menghasilkan bunyi klang seperti besi berlaga.
“Tidak berkesan!”
“Macam mana kalau kita pakai kod ini? Up, up, down, down, left, right...”
“Nico, diam!” jerit semua serentak.
Nico tergelak sambil tetap berlari. “Okey, okey, tetapi serius, kita kena cari jalan lain!”
Tiba-tiba, Nico menarik Risa ke satu laluan kecil di tepi. “Ke sini!”
Mereka berlima menyelinap ke belakang pokok besar dan menahan nafas. Robot itu berhenti di tengah laluan utama, sensor merahnya bersinar sambil mengimbas kawasan sekitar.
Mereka menahan nafas.
Robot itu mengeluarkan bunyi beep perlahan.
Kemudian, robot itu berpaling dan merangkak kembali ke arah terowong.
Mereka menunggu beberapa saat sebelum Liam berbisik, “Aku akan senarai hitamkan tempat ini sampai bila-bila!”
Aiman menghela nafas perlahan. “Kita perlukan jalan masuk yang lain.”
Mereka semua angguk perlahan. Namun dalam diam, satu persoalan terus berputar di fikiran masing-masing. Siapa yang menyalakan sistem itu dan siapa yang sedang menunggu di dalam?