Home Novelet Thriller/Aksi Saving Kluang in Seven Days (Penulis: Kid Haider)
Saving Kluang in Seven Days (Penulis: Kid Haider)
Kid Haider
23/6/2025 18:38:32
7,177
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 8

BAB 8: RISA DITANGKAP

 

Malam di Kluang lebih sunyi daripada biasa. Udara dingin berhembus perlahan, membawa bersama bunyi cengkerik yang berirama dalam kegelapan.

Mereka semua duduk berkerumun di ruang tamu rumah inap mereka, menatap peta kasar yang Liam lakarkan di atas kertas kajang, berserabut dengan garisan merah dan tulisan yang semakin lama semakin mirip tulisan doktor.

“Aku yakin laluan ini yang kita nampak siang tadi,” kata Liam sambil menunjuk satu garisan yang menuju ke arah Gunung Lambak. “Jika kita ikut kembali jejak itu, kita boleh sampai ke makmal rahsia tanpa perlu mendaki melalui trek biasa.”

“Tetapi kita belum pasti sama ada tempat itu masih aktif atau tidak,” balas Aiman, berpeluk tubuh. “Dan jangan lupa, ada pihak yang sedia tahu kita sedang menyiasat.”

Mesej ancaman yang diterima Aiman beberapa jam lalu masih menghantui fikiran mereka. Bunyi pesanan SMS dari telefon Nokia miliknya tadi bagaikan dentuman gendang perang.

“Berhenti menyiasat atau bersedia menghadapi akibatnya.”

Liam mengerutkan dahi. “Kalau betul ada orang yang ancam kita, kenapa dia guna SMS? Kenapa tidak MMS terus?”

Nico menjeling. “MMS mahal, Liam. Bukan semua orang sanggup bazir kredit Maxis Hotlink.”

“Siapa kau rasa yang hantar mesej itu?” tanya Nico, menyandarkan tubuh pada sofa lusuh yang sudah senget sebelah, mungkin sebab sudah terlalu lama menyerap penat ribuan tamu sebelum mereka.

“Jika Dr. Johan masih hidup, boleh jadi dia yang cuba memberi amaran secara halus.”

“Atau seseorang yang tidak mahu kita meneruskan penyiasatan,” Zara menyampuk, suaranya serius. “Setiap kali kita dapat petunjuk baru... rasa macam ada yang lebih dulu tahu langkah kita.”

Risa, yang sejak tadi diam, tiba-tiba bersuara.

“Macam kita tengah main catur, tetapi tidak nampak siapa lawan kita.”

Semua berpaling ke arahnya. Risa duduk bersimpuh di atas lantai, merenung ke luar tingkap dengan pandangan tajam.

“Aku rasa... ada seseorang atau sesuatu yang mengikuti kita sejak tadi. Semasa kita ronda Kluang siang tadi, aku perasan ada kereta yang lalu tiga kali di tempat kita makan. Apabila kita berjalan pulang, aku nampak bayang-bayang dalam pantulan tingkap kedai.”

Sunyi.

Liam menjeling. “Kau perasan semua ni, tetapi tidak bagitahu awal-awal?!”

Risa mengangkat bahu. “Aku tidak mahu nampak paranoid,” balas Risa. “Tetapi sekarang aku yakin.”

Zara bangun dan melangkah ke pintu depan. Dia mengintai melalui lubang kecil, kemudian berpaling ke arah mereka. “Tidak ada sesiapa di luar. Kosong. Tetapi senyap dia bukan senyap yang tenang.”

Aiman menarik nafas panjang. “Baiklah, kita perlu lebih berhati-hati. Aku cadangkan kita buat giliran berjaga malam ini, kalau...”

KREEEKKK.

Pintu dapur tiba-tiba terbuka sedikit.

Mereka semua berpaling serentak.

“Mungkin hanya angin,” kata Nico perlahan, tetapi nada suaranya sendiri tidak kedengaran yakin.

Zara mencapai kayu hoki yang bersandar di tepi dinding dan melangkah ke dapur. Dia menolak pintu itu dengan lebih luas dan pada saat itu, satu bayang-bayang melintas pantas di luar.

“Ada orang!” jeritnya.

Mereka semua bergegas ke belakang rumah, tetapi terlambat.

Bayangan itu sudah hilang dalam kegelapan malam.

Namun, mereka segera menyedari sesuatu yang lebih buruk.

Risa sudah tiada.

*****

SATU JAM KEMUDIAN

Angin malam menerpa wajah Risa, yang kini berada di dalam sebuah van gelap yang bergerak laju menuju ke Gunung Lambak. Tangannya diikat dengan zip tie dan mulutnya disumbat dengan kain.

Namun, Risa tidak panik. Tidak menangis. Sebaliknya, mindanya ligat berfikir. Siapa yang menangkapnya? Dan kenapa?

Dari ekor mata, dia sempat melihat seorang lelaki duduk di bahagian hadapan van. Lelaki itu bercakap di telefon dengan suara perlahan tetapi jelas.

“Ya... kami sudah dapatkan dia. Tunggu arahan selanjutnya.”

Tiba-tiba, lelaki itu berpaling dan bertentang mata dengan Risa.

Sekilas, dia tersenyum. Senyuman itu lebih dingin daripada udara malam.

Dan ketika van itu membelok ke arah jalan sunyi di kaki gunung, Risa tahu. Apa yang menanti bukan sekadar jawapan, tetapi juga bahaya yang belum pernah mereka hadapi.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.