Home Novelet Thriller/Aksi Saving Kluang in Seven Days (Penulis: Kid Haider)
Saving Kluang in Seven Days (Penulis: Kid Haider)
Kid Haider
23/6/2025 18:38:32
7,177
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 2

BAB 2: GUNUNG LAMBAK DAN PETANDA AWAL

Angin pagi yang segar menyapu wajah Aiman ketika dia berdiri di kaki Gunung Lambak. Meskipun matahari sudah mula meninggi, kawasan persekitaran gunung masih diselubungi kabus nipis, menjadikan suasana kelihatan sedikit suram. Sekumpulan pelajar sedang berkumpul berhampiran pintu masuk trek pendakian, bersiap sedia untuk aktiviti luar yang merupakan sebahagian daripada persidangan mereka.

“Kenapa kita kena mendaki seawal pagi begini?” rungut Liam sambil mengetatkan tali kasutnya. “Kita datang untuk hadiri persidangan, bukannya untuk Survivor: Kluang Edition.”

“Kau asyik merungut sahaja,” balas Zara sambil menepuk bahunya. “Sekurang-kurangnya, ini peluang untuk kau bakar kalori daripada semua Mamee Monster yang kau makan malam tadi.”

Liam menjeling Zara, tetapi Nico tertawa kecil sebelum mencelah, “Zara ada hujah yang baik, tetapi aku rasa dia sepatutnya cakap itu semua kepada diri dia sendiri. Kau faham maksud aku? Cakap sambil melihat ke dalam cermin.”

Zara menjegilkan mata. “Ada sahaja idea untuk sakitkan hati aku.”
Nico segera berlindung di belakang Risa, yang hanya menggeleng kepala sambil menyemak fon Sony Walkman MP3-nya. “Aduh... kenapalah kamu semua gaduh pagi-pagi begini? Aku hendak cuba dengar lagu Apologize dengan tenang.”

Aiman hanya menghela nafas, biasa dengan kerenah mereka. “Baiklah, semua. Kita ikut kumpulan lain dahulu. Jangan tersesat.”

Mereka mula mendaki, menelusuri laluan tanah merah yang berliku-liku di celah pokok-pokok tinggi. Udara semakin dingin dan suasana di dalam hutan terasa lebih sunyi daripada biasa. Aiman cuba fokus pada jalan di hadapan, tetapi rasa janggal itu semakin kuat. Sunyi yang ganjil, angin yang tiada dan bayang pokok yang seperti bergerak sendiri. Dia tidak pasti kenapa, tetapi nalurinya berbisik mengatakan yang mereka sedang diperhatikan.

Risa, yang berjalan sedikit di belakang, tiba-tiba berhenti. Matanya tertumpu ke arah kedalaman hutan.

“Ada apa, Risa?” soal Aiman.

Dia terdiam seketika sebelum menjawab perlahan,

“Kamu semua sedar sesuatu? Hutan ini... terlalu sunyi.”
Aiman mengerutkan dahi. Benar juga. Lazimnya, hutan dipenuhi dengan bunyi serangga dan burung, tetapi kali ini, yang kedengaran hanyalah desiran daun serta derapan tapak kaki mereka di atas tanah.

“Eh, jangan buat seram pagi-pagi,” kata Liam. “Aku takut nanti tiba-tiba berubah jadi macam The Mist.”
Mereka meneruskan perjalanan, tetapi selepas kira-kira lima belas minit, Nico tiba-tiba menahan kumpulan mereka.

“Tunggu sebentar!” katanya sambil mengeluarkan telefon bimbit Nokia N95 miliknya.

“Apa yang terjadi?” tanya Zara.

“Dengar ini,” ujar Nico sebelum menekan butang main, memperdengarkan satu rakaman bunyi berdesir, seakan-akan gangguan elektrik, bercampur dengan dengungan rendah yang aneh.

“Aku rakam sewaktu kita berjalan tadi. Aku rasa aku terdengar sesuatu, tetapi bila dengar semula... bunyi ini tidak masuk akal,” jelasnya.

Liam mengambil telefon Nico dan mendengar dengan teliti. “Bunyi ini... kedengaran macam mesin. Tetapi dari mana datangnya?”

Risa menunjuk ke arah kiri trek, ke dalam kawasan hutan yang lebih tebal. “Dari sana.”

Zara mendengus perlahan. “Oh hebat, maksudnya sekarang kita perlu menyiasat? Dengan aku pakai kasut Converse sekarang ini. Ini bukan Tomb Raider, ya.”

Aiman menarik nafas panjang. Dia sedar, mereka sepatutnya mengikut laluan yang telah ditetapkan, tetapi nalurinya kuat mengatakan bahawa ada sesuatu tetapi jauh di dalam hatinya, Aiman tahu yang tempat ini sedang berbisik sesuatu.

“Kita periksa sebentar,” katanya. “Kalau keadaan jadi berbahaya, kita berpatah balik.”

Dengan berhati-hati, mereka menyusup masuk ke kawasan hutan yang lebih gelap. Dedaunan dan dahan berselirat di sekeliling mereka, sementara bau tanah lembap semakin kuat. Selepas beberapa minit berjalan, mereka tiba di satu kawasan lapang kecil yang dipenuhi pokok-pokok tumbang serta tanah yang kelihatan seperti pernah digali.

Zara menunduk dan menyentuh permukaan tanah. “Ini bukan kesan tanah runtuh biasa. Seperti ada sesuatu yang menyebabkan tanah ini bergegar.”

Tiba-tiba, satu kilatan cahaya hijau samar muncul dari celah-celah pokok di hadapan mereka. Cahaya itu berkelip seketika sebelum lenyap begitu sahaja.

“Kamu semua nampak itu?” bisik Liam.

“Nampak sangat ada sesuatu yang tidak kena,” kata Nico sambil menekan butang rakaman pada telefonnya sekali lagi.

Aiman menelan liur. “Aku rasa kita baru saja menemui sesuatu yang tidak sepatutnya kita temui.”

Namun sebelum mereka sempat bertindak lanjut, kedengaran bunyi ranting patah di belakang mereka.
Serentak, mereka berpaling. Tetapi, hanya bayang-bayang pokok bergoyang ditiup angin. Mungkin hanya haiwan kecil. Atau… mungkin bukan.

 

Di satu masa lain. Di tempat yang sama. 1990.

 

Angin bertiup perlahan di lereng Gunung Lambak, membawa bersama bau tanah lembap selepas hujan petang. Di kaki gunung, sebuah kem sementara telah didirikan, dipenuhi khemah putih, kenderaan berat dan kontena penyelidikan. Beberapa saintis berkumpul di sekeliling model tiga dimensi yang dipancarkan di atas meja kaca, memperlihatkan struktur bawah tanah gunung itu dengan butiran geologi yang rumit.

Di tengah-tengah kumpulan itu, Dr. Johan, seorang lelaki berusia 35 tahun dengan kemeja putih yang sudah renyuk, menekan butang pada panel sentuh. Paparan itu berkelip seketika sebelum menampilkan titik merah yang berkelompok di bawah gunung.

“Inilah sumbernya,” katanya, suaranya penuh semangat tetapi terkawal. “Kita panggilnya Lamina, tenaga geomagnetik yang tidak stabil tetapi boleh dikawal… jika kita tahu cara yang betul.”

Di belakangnya, seorang pegawai kerajaan berdiri dengan tangan bersilang, wajahnya serius. Dato’ Rahim, orang kepercayaan kerajaan dalam projek ini, mengangguk perlahan.

“Dan kau pasti tenaga ini selamat digunakan?”

Dr. Johan menoleh ke arah seorang lagi saintis di sisinya, Dr. Fariza, pakar fizik kuantum yang telah menghabiskan masa bertahun-tahun mengkaji sumber tenaga alternatif.

“Selamat? Kepastian tentang itu bergantung kepada kawalan. Tetapi yang pasti, tenaga ini sesuatu yang amat berpotensi,” jawab Dr. Fariza. “Jika kita dapat menstabilkannya, ini boleh jadi sumber tenaga bersih yang mengubah dunia.”

Suasana dalam khemah menjadi hening. Beberapa saintis bertukar pandangan, sedar akan risiko yang terlibat.
Dato’ Rahim menarik nafas panjang, memandang sekeliling. Di luar khemah, pasukan penyelidik sedang menggali dan memasang peralatan sensor. Sebuah helikopter kerajaan melintas di atas, membawa lebih banyak peralatan dari Kuala Lumpur.

“Kerajaan sudah bersetuju untuk membiayai fasa pertama projek ini,” kata Dato’ Rahim akhirnya. “Tetapi kita perlu pastikan tiada sebarang kebocoran maklumat. Ini projek rahsia. Faham?”

Dr. Johan mengangguk. Dia faham maksudnya. Projek ini bukan sekadar eksperimen sains. Ini satu pertaruhan politik dan ekonomi. Jika berjaya, Malaysia akan menjadi negara pertama yang menemui sumber tenaga baharu yang boleh menggantikan minyak dan gas.

Namun, jauh di dalam fikirannya, ada sesuatu yang tidak kena. Dia sudah melihat bacaan awal dan daripada bacaan itu, dia menyedari sesuatu tentang apa yang sedang dikerjakannya. Tenaga ini bukan tenaga yang biasa. Ada sesuatu yang lebih kompleks mengenainya. Sesuatu yang mungkin asing.

Tetapi buat masa ini, dia memilih untuk diam. Di luar khemah, langit malam semakin gelap. Cahaya dari kem penyelidikan mencipta bayang-bayang panjang di tanah. Gunung Lambak kekal berdiri megah, menyimpan rahsia yang belum terungkap. Dan ini baru permulaan.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.