Home Novelet Thriller/Aksi Saving Kluang in Seven Days (Penulis: Kid Haider)
Saving Kluang in Seven Days (Penulis: Kid Haider)
Kid Haider
23/6/2025 18:38:32
7,177
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 3

BAB 3: PENEMUAN MAKMAL RAHSIA

Dewan utama tempat persidangan yang dihadiri mereka berlima dipenuhi dengan pelajar dari seluruh negara. Lampu neon putih membanjiri ruang, manakala bunyi penghawa dingin yang berdengung perlahan menjadi latar kepada suara-suara kecil yang saling berbisik. Di pentas, kain rentang tergantung kemas:

PERSIDANGAN PELAJAR KEBANGSAAN 2008

“Inovasi, Identiti & Impian Masa Depan”

Aiman dan rakan-rakannya duduk di barisan tengah, masih berpeluh sedikit selepas sesi pendakian pagi. Baju rasmi persidangan mereka sedikit berkedut dan masing-masing kelihatan penat tetapi teruja.

“Aku harap ada kudapan,” bisik Nico. “Lapar betul. Mendaki tadi buat aku terfikir, beginilah agaknya kalau kita kena masuk khidmat negara.”

Zara mengerling tajam. “Kau makan banyak Mamee Monster malam tadi, patutnya tiada alasan untuk rasa lapar.”
Liam menyampuk, “Kalau dia pengsan sebab lapar, kita tinggalkan sahaja.”

Suasana dewan sunyi apabila penceramah pertama, seorang pensyarah kejuruteraan dari IPTA tempatan, melangkah ke podium.

“Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Nama saya Dr. Ramlan. Hari ini saya ingin berkongsi sedikit mengenai teknologi masa depan dan bagaimana teknologi ini boleh mengubah hidup manusia... sekiranya digunakan dengan betul.”

Slid pertama muncul di skrin:

Tenaga Geoterma: Antara Harapan dan Bahaya.

Aiman segera duduk tegak. Dia menjeling Risa yang sedang menconteng sesuatu dalam buku nota kecilnya. Nico dan Liam pula masing-masing menahan kelopak mata daripada tertutup. Zara pula bersandar sambil mengunyah hujung pen, seolah-olah sedang menunggu kejutan dalam cerita daripada Dr. Ramlan.

“Pernahkah anda semua dengar,” sambung Dr. Ramlan, “tentang satu kawasan di Malaysia yang pernah dijadikan tapak penyelidikan tenaga dari perut bumi? Mereka mula dengan satu impian besar iaitu untuk menyalur tenaga dari dalam bumi sendiri. Tetapi projek itu... dihentikan. Bukan kerana kekurangan bajet. Bukan juga kerana bencana alam. Cuma... berhenti.”

Tiba-tiba, lampu di dalam dewan berkelip sebentar. Suasana menjadi senyap.

Dalam diam, Aiman seakan terdengar sesuatu. Bunyi dengungan halus yang sepertinya datang dari arah bumbung. Bunyi dengungan itu berlangsung beberapa saat sebelum hilang begitu sahaja.

“Jangan risau,” suara moderator dari sisi pentas, “cuma gangguan elektrik biasa.”

Aiman merasai bulu roma di tangannya sedikit meremang. Dia memandang Zara. “Kau dengar?”

Zara mengangguk. “Ya, bunyi itu tadi? Macam... mesin?” Dia mengerutkan dahi. “Apa agaknya semua ini? Hmm...”

Selepas ceramah tamat, pelajar pun bersurai. Liam terus ke luar, katanya hendak mencari minuman isotonik. Nico pula hilang entah ke mana.

Baru beberapa langkah Aiman bergerak, seorang lelaki yang tidak dikenali menahannya. Lelaki itu tampak seperti salah seorang urus setia, lengkap dengan tag penganjur tetapi kosong, tiada nama langsung.

“Kamu daripada kumpulan Kuala Lumpur, bukan?” tanyanya, senyum nipis.

Aiman mengangguk.

“Kalau kamu hendak tahu kebenaran tentang kawasan gunung ini...” Lelaki itu menyeluk poket kemejanya dan menghulurkan sehelai kertas kecil. “Jumpa seseorang bernama Pak Karim, lepas jam lapan malam. Di warung kopi lama dekat pekan kecil. Tetapi datang dengan kawan. Jangan datang sendiri.”

Aiman membuka mulut, ingin bertanya tetapi lelaki itu sudah pun melangkah pergi, lenyap perlahan-lahan di sebalik lautan pelajar yang berselerak di pintu keluar.

Aiman membuka kertas itu.

Di situ cuma tertulis satu ayat:

“Apa yang kamu cari... sudah mula mencari kamu.”

 

*****

 

Aiman duduk di tangga luar dewan bersama Zara dan Liam. Matahari petang menyimbah langit dengan warna oren keemasan, tetapi dalam hati mereka, rasa ingin tahu mula menguasai.

“Nota ni... macam betul-betul misteri,” kata Aiman perlahan.

Zara memandang nota kecil itu sekali lagi. “‘Apa yang kamu cari... sudah mula mencari kamu.’ Gila dramatik.”

“Siapa yang bagi kau kertas itu?” tanya Liam.

“Entah. Lelaki pakai lanyard penganjur. Tetapi tiada nama. Lepas bagi, terus ghaib.”

Mereka diam seketika.

“Kalau semua ini sekadar gurauan nakal untuk kenakan kita, aku betul-betul hendak tahu siapa yang rancang,” kata Liam.

Prank?” tanya Aiman ringkas.

“Ya,” Liam mengangguk.

“Kalau bukan?” balas Aiman.

Risa muncul dari belakang mereka sambil menunjukkan buku notanya. “Aku semak balik catatan daripada ceramah tadi. Kau masih ingat nama tempat yang pensyarah itu sebut? Tapak penyelidikan lama itu katanya berdekatan kaki gunung dan kini tertutup kepada umum.”

“Itu sangat mirip dengan tempat yang kita pergi pagi tadi,” kata Zara.

Nico datang menyelit sambil membawa dua botol air 100 Plus. “Aku dengar semua itu. Jadi apa selepas ini? Kita ke tempat yang ditulis dalam nota ini?”

Zara mengangguk. “Di pekan kecil, dekat warung kopi. Nama orang itu... Pak Karim.”

“Nama itu mengingatkan aku tentang seorang guru silat,” kata Liam.

Risa pandang jam tangannya. “Lepas Maghrib nanti kita jalan kaki ke pekan. Warung itu tidak jauh sangat. Tetapi kita pergi sama-sama.”

Aiman menyimpan kertas itu dalam poket. “Kita pergi. Tetapi kalau benda ini jadi lebih pelik... kita berhenti.”

“Setuju,” kata Zara.

*****

Malam di Kluang lebih sunyi daripada yang mereka jangkakan. Angin bertiup perlahan, membawa bersama aroma tanah yang masih lembap hasil daripada hujan yang turun pada siang hari. Bintang bertaburan di dada langit, namun di celah-celah hutan Gunung Lambak, kegelapan terasa lebih tebal dan mencengkam.

Sebelum itu, mereka berlima bergerak ke pekan kecil seperti yang dirancang. Warung kopi yang dicari terletak di hujung deretan kedai lama, dengan papan tanda usang dan bau kopi yang kuat menusuk hidung.

Seorang lelaki bersandar di sudut warung. Berkemeja lusuh, bertopi dan memegang cawan kopi yang sudah suam. Gayanya santai, tetapi renungannya ke luar jendela penuh makna. Bila Aiman sebut Pak Karim, dia berpaling. Matanya redup tetapi menusuk. Seolah-olah dia sudah menjangkakan pertemuan itu akan berlaku.

“Kamu semua datang ikut nota itu?” soalnya perlahan.
Mereka mengangguk.

“Kalau kamu betul-betul hendak tahu... ikut saya.”

 

*****

 

Pak Karim memimpin jalan, lampu suluh di tangannya menebuk gelap malam. Tanpa banyak kata, dia membawa mereka ke arah gunung. Tempat segalanya bermula.
Dulu, dia seorang renjer hutan. Sejak bersara, dia memilih untuk terus tinggal di Kluang. Dekat dengan sesuatu yang sudah sebati dalam hidupnya. Sewaktu Aiman bertanya tentang kilatan cahaya misteri, wajah Pak Karim berubah. Sorot matanya tiba-tiba menjadi kelam. Diamnya bukan kerana tidak tahu tetapi kerana terlalu banyak yang ingin dikatakan.

“Gunung ini memang ada sejarahnya...” ujarnya, menyalakan lampu suluh untuk menerangi jalan di hadapan mereka. “Dulu, ada sekumpulan saintis buat penyelidikan di sini. Tetapi entah macam mana, mereka semua hilang tanpa jejak. Sejak daripada itu, orang kampung selalu dengar bunyi-bunyian aneh dari dalam hutan.”

Liam menelan air liur. “Aduhai... cerita ini bunyinya macam episod X-Files dan aku bukan agen Mulder atau Scully. Kalau boleh, aku lebih rela jauhkan diri.”

“Namun, kita tetap akan menghadapinya,” balas Zara dengan yakin.

“Laluan ini memang wujud, tetapi tidak ramai orang tahu. Tiada dalam mana-mana peta sebab sudah lama ditutup. Aku sendiri tidak pasti apa yang menanti kita di hujung sana. Banyak benda berubah sejak kali terakhir aku ke sini.”

Pak Karim berhenti seketika, lampu suluh di tangannya menyorot dedaun yang bersilang di laluan sempit itu.

“Apa pun yang kita jumpa nanti... jangan cepat buat kesimpulan. Kadang-kadang benda yang kita cari, memilih untuk kekal tersembunyi.”

 

*****

 

Semakin jauh mereka menyusuri laluan tersebut, semakin dingin udara di sekeliling. Bunyi cengkerik dan serangga malam yang biasanya riuh kini semakin berkurangan, digantikan dengan kesunyian yang mencurigakan.

Tiba-tiba, Risa berhenti.

“Ada sesuatu di hadapan,” katanya perlahan.

Mereka menyorot lampu suluh ke depan dan terkesima melihat sesuatu yang tidak sepatutnya wujud di tengah belantara. Sebuah pintu besi besar tersergam kukuh, sebahagiannya terlindung oleh akar pokok serta lumut tebal yang telah menjalar menutupi permukaannya.

“Ini... kelihatan seperti pintu masuk ke sebuah bunker,” bisik Aiman.

Nico menyentuh permukaan pintu, menyapu lumut yang menutupinya. “Kalau kita ketuk, ada kemungkinan orang dalam akan tanya ‘Siapa tu?’ macam dalam Dora the Explorer.”

Zara menjeling. “Ataupun kaunter pandu lalu?”

McDonald’s Drive-Thru?” Liam mencelah.

“Siapa beli nuget dalam hutan ini?” Nico ketawa kecil.

Risa hanya menggeleng. “Misteri Nusantara sangat.”

Mereka semua tergelak kecil.

Tetapi Nico tiba-tiba diam sejenak, renungannya ke arah pintu jadi sedikit kosong.

“Tetapi... kau bayangkan kalau kita ketuk dan memang ada suara jawab balik...” katanya perlahan, hampir berbisik.

Suasana tiba-tiba jadi senyap.

Aiman menoleh. “Oi, jangan cakap bukan-bukan dalam hutan.”

Zara menelan liur, gelaknya tadi hilang. “Ya, benda macam ini tidak kelakar kalau jadi betul.”

Masing-masing terdiam. Hutan kembali sunyi, seolah-olah turut menunggu apa langkah mereka seterusnya.

Liam segera mengeluarkan peranti kecil dari dalam begnya, cuba mengimbas struktur pintu tersebut. “Kalau kita bernasib baik, mungkin ini hanyalah pintu lama yang sudah tidak berfungsi.”

Namun, belum sempat dia menghabiskan ayatnya, lampu kecil di sisi pintu tiba-tiba menyala, memancarkan cahaya merah.

Mereka semua terdiam.

“Err... apa yang kau cakap tadi?” Nico bersuara sambil berundur selangkah ke belakang.
Liam mengangkat tangan tanda menyerah. “Baiklah, aku tersilap. Tempat ini masih aktif.”

“Oh bagus,” kata Liam lagi, suaranya dipenuhi ironi.

“Ini macam dalam filem di mana lepas ini, kita semua kena lari.”

“Ya, lari ke dalam,” balas Nico. “Sebab kita semua pelakon watak sampingan yang selalu buat keputusan buruk dalam cerita seram.”

Zara menggenggam tangannya erat. “Jadi, adakah kita akan masuk, atau kita berpatah balik?”

Aiman berdiri diam, pandangannya jatuh pada pintu besi yang baru saja menyala hijau. Nafasnya berat.

Di fikirannya, segala yang berlaku sejak hari pertama di Kluang melintas kembali. Kilatan cahaya, bunyi mesin, rakaman Nico dan nota misteri di persidangan.
Ini bukan kebetulan.

“Kalau kita undur sekarang, kita takkan pernah tahu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya perlahan, lebih kepada diri sendiri daripada yang lain.

Dia menoleh ke arah mereka semua. “Kita masuk.”

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

© Copyright Portal Ilham. Hakcipta terpelihara Portal Ilham