Home Novelet Thriller/Aksi Saving Kluang in Seven Days (Penulis: Kid Haider)
Saving Kluang in Seven Days (Penulis: Kid Haider)
Kid Haider
23/6/2025 18:38:32
1,903
Kategori: Novelet
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5

BAB 5: GANGGUAN DAN AMARAN

Hari kelima di Kluang bermula dengan suasana sunyi yang aneh. Udara pagi lebih lembap dari biasa. Pokok-pokok di sekitar rumah inap seperti tidak bergerak. Tiada angin. Tiada burung. Tiada bunyi cengkerik yang biasanya menyambut mereka sebelum sarapan. Aiman bangun lebih awal dan duduk di anjung rumah, menatap skrin telefon Nokia lamanya. Mesej malam tadi masih belum dipadam.

"Kamu hampir tahu kebenaran. Jangan terlalu dalam, Aiman. Sesetengah pintu lebih baik dibiarkan tertutup."

Dia sudah biasa dengan amaran, tetapi kali ini terasa lain. Bukan sekadar provokasi. Ada nada personal dalamnya. Seolah-olah si pengirim mengenalinya.

“Bangun awal nampak,” tegur Risa sambil duduk di sebelah. Dia membawa dua cawan kopi tiga dalam satu yang baru dibancuh.

Aiman senyum nipis dan mengambil cawan itu. “Tak boleh tidur. Aku rasa kita semua dalam bahaya.”

Risa memandangnya lama sebelum berkata, “Bahaya dah pun mula.”

*****

Pukul sepuluh pagi, mereka berlima keluar berjalan kaki ke bandar. Kononnya mahu ‘membeli keperluan dapur’, sekadar alasan untuk menjauhkan diri dari pandangan Encik Azmi yang sedang mengurus persiapan untuk hari ketiga persidangan. Sebenarnya mereka mahu kembali ke perpustakaan awam untuk menyemak mikrofilem dan rekod arkib tempatan berkaitan Projek Lambak.

Namun, baru beberapa minit mereka melangkah ke jalan besar, Aiman menerima satu lagi mesej, kali ini lebih pendek.

"Berhenti. Atau bersedia."

Dia tunjuk mesej itu kepada yang lain. Reaksi mereka bercampur. Zara mencemuh. Nico kelihatan teruja. Liam meneguk air kotak Milo dalam diam. Risa hanya menunduk.

"Siapa pun dia, dia memang sedang perhatikan kita," kata Aiman. "Mungkin dari semalam."

“Dan mungkin juga sejak kita jejak kaki ke Kluang,” tambah Risa.

Tiba-tiba, sebuah kereta hitam jenis Proton Perdana meluncur perlahan di hadapan mereka. Cermin gelap. Plat nombor ditampal kertas putih. Kereta itu berhenti di simpang, enjin masih hidup, tetapi tiada siapa keluar.

“Eh, kenapa rasa macam filem mafia?” Liam berseloroh, cuba meredakan suasana.

Kereta itu terus bergerak setelah beberapa saat. Tetapi kesannya melekat dalam fikiran mereka.

“Dah sah, ada orang perhati,” kata Zara. “So, what now?”

“Kita teruskan,” jawab Aiman. “Kalau mereka cuba takutkan kita, itu bermakna kita sedang dekat dengan sesuatu.”

*****

Perpustakaan Kluang agak tenang pagi itu. Pengunjung tidak ramai. Di bahagian belakang, Risa dan Aiman menyelak fail mikrofilem, manakala Liam dan Nico menghadap komputer lama dengan paparan Windows XP. Zara, seperti biasa, berdiri sambil berpeluk tubuh, memerhati suasana dengan mata tajam.

“Aiman, aku jumpa berita tahun 2005,” kata Liam. “Satu penemuan sistem pembinaan tidak berdaftar di kaki Gunung Lambak. Tapi pihak berkuasa kata itu hanya stor simpanan barang binaan. Tapi gambar yang keluar... bentuk bangunan dia pelik.”

Aiman mengambil keratan itu dan salin ke dalam buku nota. Kemudian, di bahagian bawah mikrofilem, dia temui satu artikel pendek dari majalah sains tahun 2006 bertajuk “Sumber Tenaga Alternatif dan Bahayanya terhadap Geografi Tanah”.

Penulisnya? Dr. Johan Yusof.

Isi kandungan artikel itu penuh dengan istilah teknikal, tetapi konklusinya jelas.

“Jika tenaga bawah tanah diganggu secara agresif, ia mampu menghasilkan getaran mikro dan ketidakstabilan geologi yang tidak dapat dikawal. Kesan jangka panjang terhadap kawasan bandar kecil boleh menjadi bencana.”

“Dia dah bagi amaran sejak dulu,” kata Aiman perlahan.

“Dan tak siapa dengar,” balas Risa.

******

Dalam perjalanan balik ke rumah inap, mereka sedar mereka sedang diekori. Sebuah motosikal EX5 hitam dengan penunggang berjaket kulit, bertopi keledar cermin gelap, mengikuti mereka sejak keluar dari perpustakaan. Bila mereka berhenti di kedai fotostat, motosikal itu berhenti juga. Bila mereka melintas ke gerai burger, motosikal itu sekadar berpusing dan menunggu di simpang.

“Kau rasa dia kerja untuk siapa?” tanya Nico.

“Aku rasa dia bukan polis, sebab polis pakai motor lain,” kata Zara.

“Kita cuba perdayakan dia,” cadang Aiman. “Kita jalan ke kawasan masjid lama, lepas itu belok ikut lorong ke tempat Pak Karim. Kalau dia ikut, sah dia tengah perhati kita.”

Mereka berpura-pura berbual dan ketawa sambil berjalan. Namun jelas, penunggang motosikal itu tetap berada di belakang. Apabila mereka sampai di kawasan sunyi berhampiran masjid lama, Aiman membuat isyarat tangan. Mereka berpencar ke tiga arah.

Zara dan Nico lari ke kanan, Liam teruskan ke kiri, Aiman dan Risa pula masuk ke semak belakang masjid.

Beberapa minit berlalu. Tiada sesiapa muncul. Bunyi enjin motosikal hilang.

“Dia pergi,” bisik Risa.

“Buat masa ini,” kata Aiman.

*****

Malam itu di rumah inap, ketika semua kembali ke bilik, Aiman menyemak gambar-gambar yang diambil sepanjang hari. Tetapi bila dia buka folder terakhir dalam kamera Liam, dia terkejut.

Ada satu gambar yang tidak mereka rakam.

Ia menunjukkan wajah mereka berlima di luar perpustakaan.

Sudut gambar itu tinggi, seolah-olah dirakam dari atas pokok atau bangunan.

Dan pada masa yang tertera, gambar itu dirakam seminit sebelum mereka sedar sedang diekori.

Aiman menekan butang delete, tetapi mesej ralat muncul di skrin.


"Fail dilindungi sistem. Tidak boleh dipadam."


Dia menoleh ke arah tingkap biliknya. Tirai ditiup angin perlahan.

Aiman akhirnya sedar, permainan ini semakin menenarik. Mereka bukan lagi pelajar yang menyiasat makmal lama. Mereka sudah menjadi sasaran dalam konspirasi yang lebih besar daripada yang mereka bayangkan.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.