Home Novel Thriller/Aksi BADUT - KETAWA MEMBAWA MAUT
BADUT - KETAWA MEMBAWA MAUT
#mystrill
21/11/2019 21:32:39
41,982
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 5-1

Malam itu seperti biasa Zaril menjalani aktiviti harian iaitu membuka gerai burgernya di sisi jalan besar di hujung kampung. Segala kelengkapan perniagaan dibawanya kemas dengan van. Zaril mengatur satu per satu alatan itu di tempat nya. Daging burger dan sosej yang berada dalam penyejuk beku yang diperbuat dari polysterin diletakkan di atas meja yang berlainan. Kuali leper dihangatkan terlebih dahulu setelah gas memasak disambungkan ke dapur.

Suasana malam itu sepi setelah Zaim pulang ke rumahnya. Bulan langsung tidak kelihatan. Awan pula tidak mendung tapi cukup tebal menutupi langit.Lampu jalan masih menerangi sesetengah tempat walaupun cahayanya malap dan terhad. Kereta pula jarang melalui jalan itu memandangkan cuti am pada keesokan hari. Mungkin ramai yang hanya berada di rumah daripada berkeliaran pada malam itu.

Sambil menunggu daging burger itu masak, Zaril mengangkat kerusi plastik dari dalam vannya dan menyusun berdekatan gerai. Kerusi itu khas untuk pelanggan yang akan menunggu sementara pesanan disiapkan. Semasa mengatur kerusi-kerusi itu kedengaran bunyi kaki orang sedang berjalan melalui jalan besar di situ. Zaril tidak melihat orang tersebut walaupun dia mendengar bunyi itu. Sibuk mengelap kerusi yang diaturnya.

Ketika kembali meninjau daging yang dimasaknya Zaril melihat sekali imbas ke arah orang yang berjalan tadi. Agak jauh dan tidak jelas rupa dan keadaan orang itu. Hanya bayang yang nampak setelah melintasi lampu jalan. Zaril ternampak orang tersebut membawa beberapa biji belon.Zaril hairan siapa pula malam-malam ni membawa belon. Setahu dia, tiada pesta atau sebarang keraian hari ini. Mungkin majlis hari jadi dari rumah berdekatan fikirnya. Zaril kembali memerhati daging yang dimasak dan lantas dialihkan daging yang separa masak. Zaril meletakkan rempah dan perasa di daging tersebut sementara menunggu orang tadi datang berdekatan untuk melihatnya dengan lebih jelas.

Orang tadi datang melintasi gerainya. Dia berada di seberang jalan. Zaril melihat orang tadi dengan jelas iaitu seorang lelaki dewasa berpakaian badut. Kasutnya sedikit besar dengan kostum yang berwarna agak terang. Namun wajah lelaki terbabit sukar dilihat kerana dihalang oleh belon-belon yang dipegangnya. Zaril kehairanan.

“Assalamualaikum cik, nak ke mana?” tegur Zaril dari jauh. Lelaki badut itu berhenti dari berjalan. Hanya berdiri tegak.

“Kalau cik nak naik bas, kawasan ini bas tak lalu!” tambah Zaril lagi. Lelaki itu hanya tercegat di situ. Zaril bertambah hairan.

“Dekat simpang sebelah sana adalah sebuah stesen bas” kata Zaril saja mendapatkan reaksi dari lelaki itu. Namun segalanya kembali sunyi.Tiada suara. Lelaki tadi masih tidak bergerak di seberang jalan.Zaril tidak berkata-kata lagi. Matanya hanya melihat lelaki terbabit tanpa berkelip mata. Zaril berasa pelik. Perasaan berdebar-debar singgah di hati nya. Apa yang dibuat lelaki itu? Apakah mungkin diatersilap kata menyebabkan dia berkelakuan demikian?

Sebelum sempat Zaril berkata apa-apa lagi lelaki tersebut menoleh sedikit demi sedikit. Zaril terkejut besar setelah wajah lelaki itu semakin jelas kelihatan setelah belon-belon itu dialihkan. Wajah badut itu sangat mengerikan. Matanya tersembul keluar merah-merahan. Mulut badut itu pula terbuka besar dan semakin lama semakin luas sehingga dagunya mencecah lantai. Kulitnya pula semakin merekah dan keluar darah di sebalik mekap putih yang mewarnai mukanya.

“Astaghfirullahalazim!” Zaril sempat beristighfar lalu menundukkan kepalanya. Mulutnya takhenti menyebut kalimah Allah. Jantung Zaril berdegup kencang. Tak sanggup meratapi badut jelmaan iblis itu. Ayat kursi di selangi denganAl-Fatihah menjadi bacaan di bibir Zaril. Jelas badut itu ialah hantu yang menyerupai seorang badut dan mempunyai wajah yang ngeri. Mainan iblis yang sentiasa mencari peluang bila malam menjelma. Malam itu giliran Zaril pula diganggu oleh makhluk itu ketika suasana sangat sepi. Mujur Zaril cepat membaca ayat Al-Quran mengelak daripada dimainkan oleh hantu itu.

“Zaril!” Zaril tersentak ketika namanya dipanggil. Sejurus kepalanya diangkat, tubuh Rafi betul-betul berada di depannya.

“Kau kenapa ni?” tanya Rafi yang melihat Zaril kelihatan tercungap-cungap dan dibasahi peluh di dahinya.

Zaril melihat ke arah tempat badut tadi berdiri tetapi tiada apa-apa disitu. Jelmaan itu telah pergi. Zaril kembali merenung ke arah Rafi yang kelihatan bingung.

“Aku demam sikit hari ini. Dah makan ubat tadi tapi masih rasa pening-pening sedikit.” Zaril mengelak dari beritahu perkara sebenar kepada Rafi. Risau akan keadaan Rafi yang baru menerima kematian Lisa. Tidak mahu nanti Rafi memikirkan pula kejadian yang menimpanya tadi.

“Iya ka? Kau ok?” Zaril hanya menggangguk. Rafi risau keadaan Zaril yang sejak dari tadi menunduk. Wajahnya pula kelihatan pucat sedikit.

“Eh, daging burger!” Zaril pantas mengangkat daging yang mengeluarkan bau hangit itu dari atas dapur. Zaril terlupa akan daging itu bila kejadian tadi berlaku. Daging itu diletakkan di dalam satu bekas. Daging itu masih elok cuma hangit sedikit di bahagian tepi.

“Kalau tak sihat kenapa buka gerai!” kata Rafi yang menolong Zaril mangambil daging yang lain untuk dimasak.

“Mari sini aku tolong kau!” Risau Rafi yang melihat tiga biji daging burger hangit yang dimasak Zaril. Zaril rasa bersalah membohongi Rafi. Tapi Rafi tidak perlu tahu akan perkara tadi. Maka Zaril merelakan Rafi menolongnya tanpa sebarang kata.

“Kau nak pesan burger ke” tegur Zaril sambil memotong roti burger dan membiarkan Rafi memasak daging burger.

“Ya, aku ingat nak makan burger hari ini. Farhan pon kirim nak beli burger. Tapi aku tengok kau lain macam je hari ni. Aku temanlah kau hari ini. Lagipun esok cuti.” Rafi pantas mengalihkan daging burger.

“Habis tu Farhan macam mana?”

“Nanti aku call dia bagi tahu yang aku nak lepak sini. Biar dia beli dekat tempat lain.”

Mereka berdua bersama-sama menyiapkan tempahan yang dibuat oleh zaim tadi. Disebabkan hantu badut tadi, Rafi menolong Zaril berniaga burger. Zaril memikirkan perkara badut tadi ketika menguruskan burgernya. Mungkin hantu itu agaknya yang Aria nampak tempoh hari ketika di sarkas lama. Jadi memang betul apa yang dicakapkan oleh Aria. Badut itu ingin mengganggu hidup Aria dan dia atas sebab yang belum pasti. Itu merupakan pertama kali dia terlihat hantu yang menyerupai badut. Selalunya yang dilihat oleh kebanyakkan orang ialah hantu yang berambut hitam panjang dan berpakaian putih. Lain pula keadaan yang dialami oleh Zaril. Hantu yang menjelma di gerainya itu berpakaian badut. Mungkin ada kaitan dengan kunjungan mereka ke sarkas lama itu.Tapi mungkin tiada kaitan dengan pembunuhan Lisa. Fikir Zaril jauh walaupun tangannya pantas meletakkan sayur dia atas roti yang telah dimasak.


 

Previous: Bab 5
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh #mystrill