Home Novel Thriller/Aksi MONSTER
MONSTER
#mystrill
21/11/2019 15:23:29
944
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 5
KES kehilangan dikalangan remaja perempuan berusia di antara 10 sehingga 15 tahun masih lagi menjadi satu isu yang hangat di ibu kota. Kes pertama yang berlaku adalah pada lima tahun yang lepas. Seorang remaja perempuan berusia 12 tahun hilang tanpa dikesan sewaktu keluar bermain. Ibu bapa si mangsa mendapati anak mereka tidak pulang-pulang ke rumah selepas keluar bermain di taman permainan berdekatan dengan rumah mereka. Pihak polis telah menjalankan siasatan namun tiada sebarang petunjuk pun yang mendorong kepada kehilangan remaja perempuan itu.

    Kes kehilangan itu tidak berhenti di situ sahaja. Semakin lama semakin banyak kes kehilangan remaja perempuan di bawah umur 15 tahun dilaporkan hilang tanpa dikesan. Bukan hanya di ibu kota sahaja bahkan di beberapa tempat disekitarnya telah mencatat angka yang tinggi kes dilaporkan. Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan dengan lebih terperinci terhadap kes tersebut. Beberapa kenyataan media telah dikeluarkan supaya ibu bapa yang mempunyai anak perempuan berusia bawah 15 tahun harus memainkan peranan yang penting dalam menangani kes kehilangan itu. Selagi si pelakunya belum lagi dapat ditangkap, beberapa tindakan tegas perlu diambil.
Muncul pelbagai spekulasi daripada masyarakat tentang kes tersebut. Ada yang mengatakan remaja-remaja perempuan yang hilang itu telah dijual ke luar negara untuk dijadikan sumber perkhidmatan seks oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Yang lebih teruk lagi ada yang membuat khabar angin kononnya remaja-remaja yang hilang itu telah dibunuh oleh mereka yang memperdagangkan organ dalaman manusia secara haram. Kesemua mayat yang telah dibunuh akan dibakar sehingga menjadi abu sebelum dicampakkan ke dalam laut.

Hartini melepaskan satu keluhan yang amat berat. Dia meramas rambutnya berkali-kali sehingga membuatkan rambutnya kelihatan berserabut. Di atas mejanya penuh dengan artikel-artikel tentang kes kehilangan remaja perempuan yang masih menjadi tanda tanya. Kes itu merupakan kes pertamanya apabila dia mula bergelar wartawan berita jenayah. Hartini berasa sangat kesal kerana masih lagi tidak dapat merungkai misteri disebalik kes kehilangan tersebut.

“Hartini!” laung Encik Alias.

Hartini terperanjat. Dia melihat ketuanya sedang bercekak pinggang sambil memandang ke arahnya dari tempat duduknya. Lelaki berambut separuh botak itu melambaikan tangan menyuruh Hartini datang ke tempatnya. Dengan rasa malas, Hartini bangun lalu ke tempat kerja ketuanya. Pasti kena bebel lagi, bisik hatinya penuh sebal.

“Mana artikel yang saya minta tu?” tanya Encik Alias sebaik sahaja Hartini berada di hadapannya.

“Artikel apa, bos?” tanya Hartini terpinga-pinga. Dia menggaru-garu kepalanya.

Lelaki berambut separuh botak itu merengus. “Artikel pasal Tuan Jailani lah. Dah siap ke belum?” Marah lelaki itu.

Hartini terdiam. Dia terlupa hendak menyiapkan artikel itu kerana sibuk mencari maklumat pasal kes kehilangan remaja perempuan baru-baru ini.

“Err...” Dia tergagap-gagap.

“Kenapa tergagap-gagap? Mana artikel tu?” bentak lelaki itu lagi.

“Belum siap lagi...” jawab Hartini perlahan.

“Apa! Dah seminggu majlis ulangtahun tu berlalu, awak masih lagi belum siapkan artikelnya? Awak ni nak kerja ke tak nak?” jerit Encik Alias sampai boleh dengar satu pejabat.
Wajah Hartini merah padam apabila rakan sejawatnya mendengar Encik Alias memarahinya.

“Saya sibuk dengan kes budak perempuan yang hilang minggu lepas sebab tu saya terlupa nak siapkan artikel tu,” jawab Hartini, cuba pertahankan diri.

“Saya tak mahu dengar sebarang alasan. Saya nak awak siapkan artikel tu hari ni jugak! Saya tahu, sebelum petang artikel tu dah ada kat meja saya.”

Hartini hanya menganggukkan kepala. Dia tidak berani merenung wajah ketuanya yang sudah menyinga. Dia kembali ke mejanya. Sebaik sahaja dia melabuhkan punggungnya dia melepaskan satu keluhan yang sangat berat. Dia sedar salahnya kerana terlalu obses dengan kes kehilangan remaja perempuan yang masih belum mendapat jawapan sehingga mengabaikan tugasan yang lain. Beberapa orang rakan sejawatnya menepuk lembut bahunya sewaktu melalui tempat kerjanya untuk memberi tanda semangat.

Hartini menyumpah-nyumpah di dalam hati. Jika dia tidak heboh tentang jemputan ke majlis ulangtahun galeri Tuan Jailani pasti ketuanya tidak meminta untuk membuat satu artikel tentang kejayaan lelaki itu. Tak pasal-pasal dia terpaksa membuat artikel tentang kesenian penghasilan tembikar sedangkan dia merupakan seorang wartawan berita jenayah. Hartini membuka fail yang mengandungi temubual bersama Tuan Jailani di komputer. Dia perlu menyiapkan artikel itu hari ini juga supaya dia dapat meneruskan siasatannya terhadap kes kehilangan remaja perempuan tanpa sebarang gangguan.

Hartini mendengar semula rakaman temubual bersama Tuan Jailani di majlis ulangtahun galerinya yang ke 20 tahun berulang kali. Banyak soalan yang diajukan oleh para wartawan kepada pembuat tembikar itu. Apabila tiba pada soalan yang diajukan darinya tentang rakan baik Tuan Jailani, baru dia teringat tentang e-mel misteri yang dia dapat sebulan sebelum majlis tersebut. Isi di dalam e-mel itu ada mengatakan tentang rakan baik Tuan Jailani yang turut menjadi pengasas terbinanya Galeri Chempaka. Apabila dia cuba membalas balik e-mel itu, e-mel tersebut sudah hilang.

Hartini perasan sewaktu dia menyoal Tuan Jailani tentang rakan baiknya, riak wajah lelaki itu berubah. Sebagai seorang wartawan jenayah dia dapat membaca riak wajah lelaki itu. Lelaki itu seperti tidak suka dengan soalannya. Hartini membuka laman sesawang internet lalu mencari artikel-artikel lama tentang kes kehilangan rakan baik lelaki itu. Aura sebagai wartawan jenayah mula terjaga dalam dirinya. Dia dapat merasakan seperti ada satu rahsia disebalik kehilangan rakan baik Tuan Jailani itu.
 

Hartini menghirup jus oren di dalam gelas dengan rakus. Dia memandang setiap pelanggan yang keluar masuk ke dalam restoran 24 jam itu. Orang yang dia tunggu-tunggu masih lagi belum memunculkan diri. Dia memandang jam di telefon pintarnya. Sudah lewat 30 minit dari waktu asal mereka sepatutnya berjumpa. Dia merengus kasar. Perasaan geram mula timbul di hati. Inilah orang kita, asal berjanji tak di tepati, sumpahnya berkali-kali di dalam hati.

Tengah hari itu dia ada temujanji dengan seorang kenalan yang bekerja di ibu pejabat polis kontijen cawangan Kuala Lumpur di situ. Dia meminta tolong dari kenalannya itu untuk mencarikan rekod tentang kes kehilangan rakan baik Tuan Jailani di tempat kerjanya. Kenalannya itu memberitahu rekod tersebut masih ada lagi tersimpan di balai polis. Sebab itulah mereka berjanji untuk berjumpa di restoran pada tengah hari itu kerana Hartini ingin melihat rekod tersebut. Hartini mengipas tubuhnya dengan buku notanya berkali-kali. Terasa berasap pula hatinya. Dia cukup pantang bila terpaksa menunggu orang. Sewaktu dia berkira-kira hendak angkat kaki dari restoran itu, kenalannya itu pun muncul.

“Sorry, beb! Maaf sangat-sangat. Aku ada kes tadi sebelum nak ke sini. Sorry!” ujar Farid sambil meminta maaf kepada Hartini berkali-kali.

Hartini pula tidak jadi pergi dari restoran itu. Dia kembali duduk di tempatnya tadi. Wajahnya masam mencuka. Sakit hati kerana terpaksa menunggu. Kalau seminit dua lambat dia boleh lagi terima, tetapi ini sudah lewat 30 minit. Kalau lewat sampai satu jam, dia boleh jadi tugu di restoran itu agaknya.

“Lama tau aku tunggu! Masa rehat aku pun dah nak habis dah sebab tunggu kau lambat sangat sampai,” marah Hartini.

“Maaflah. Bukannya aku sengaja. Tadi ada kes kat balai masa aku nak keluar jumpa kau. Kebetulan tak ada orang yang nak handle kes masa tu, terpaksalah aku yang handle,” terang Farid tentang punca kelewatannya.

Farid merupakan seorang pegawai polis bertaraf inspektor yang sudah berkhidmat hampir 10 tahun dalam dunia kepolisan. Sudah banyak penjenayah yang dia sumbat ke dalam penjara. Lelaki berusia 35 tahun itu sangat minat dengan kerjayanya itu sejak kecil lagi. Mungkin kerana ayahnya merupakan seorang polis pencen dan itu yang mendorong dia menceburi bidang tersebut.

Farid dan Hartini saling mengenali sewaktu mereka sama-sama terlibat dalam kes kehilangan remaja perempuan di ibu kota lima tahun yang lepas. Semenjak itu mereka sering bertukar maklumat tentang kes tersebut. Kedua-duanya masih lagi meneruskan siasatan terhadap kes tersebut sehingga ke hari ini. Mereka tidak berputus asa untuk mencari pelaku kepada jenayah tersebut. Dan yang paling utama, mereka ingin mengetahui nasib yang menimpa remaja-remaja yang hilang itu. Sehingga kini, masih tiada lagi sebarang penemuan tentang kehilangan remaja-remaja tersebut.

“Hmm... iyalah! Macam mana dengan yang aku minta tu? Dapat tak?” tanya Hartini bersahaja. Dia malas memanjangkan isu kelewatan pegawai polis itu.

“Mestilah dapat! Kalau tidak, bukan inspektor Farid namanya,” ujar Farid sambil bercanda. Dia menghulurkan sampul surat berwarna coklat yang dipegangnya sedari tadi kepada Hartini.

Hartini bersorak kegirangan. Hilang rasa marahnya sebelum ini. Farid hanya tersengih melihat ulah wanita di hadapannya itu. Walaupun beza usia mereka jaraknya lima tahun, itu tidak menghalang tali persahabatan mereka.

“Tak apa ke kau bawak keluar rekod ni?” tanya Hartini sebelum membuka sampul surat itu. Dia tidak mahu rakannya itu dikenakan tindakan kerana membantunya mendapatkan rekod tersebut.

“Yang aku bagi kau tu fotokopi aje. Gila ke apa nak bagi kau yang original punya? Tak pasal-pasal aku kena panggil dengan orang atas!”

“Hehehe... manalah tahu. Eh, kau tak nak order air ke? Makan? Aku belanja.” Ujar Hartini sambil melambai tangan ke arah pelayan restoran.

Sebaik sahaja pelanggan itu mengambil order, Hartini terus mengeluarkan isi di dalam sampul surat itu. Dia membaca laporan tentang kehilangan rakan baik Tuan Jailani dengan teliti. Mengikut laporan yang tertulis nama rakan baik Tuan Jailani yang hilang itu dikenali sebagai Megat Saifudin bin Megat Halim. Sewaktu dilaporkan hilang, Megat Saifudin berusia 45 tahun. Beliau merupakan seorang pembuat tembikar. Sama seperti Tuan Jailani. Beliau mengusahakan perusahaan tembikar milik keluarganya di Hulu Langat. Menurut laporan itu, Tuan Jailani pernah bekerja di perusahaan Megat Saifudin selama beberapa tahun sebelum membuka bengkelnya sendiri. Beberapa tahun kemudian barulah kedua sahabat itu bercadang untuk membuka galeri yang dikenali sehingga ke hari ini sebagai Galeri Chempaka.

Hartini berhenti dari pembacaannya. Dia teringat tentang e-mel misteri yang dia terima. Di dalam e-mel itu turut menerangkan tentang Tuan Jailani yang pernah bekerja di bawah rakan baiknya sebelum membuka bengkelnya sendiri. Sama seperti yang tertulis di dalam laporan itu. Bagaimana si pengirim e-mel itu tahu tentang masa silam Tuan Jailani? Dan yang lebih menjadi tanda tanya di kepala Hartini ketika itu, mengapa e-mel itu dihantar kepadanya? Apa motif pengirim emel misteri itu? Hartini berteka-teki di dalam kepala. Farid yang berselera menikmati makanannya berasa pelik dengan kelakuan temannya itu.

Hartini meneruskan pembacaannya. Menurut di dalam laporan itu lagi, satu-satunya anak perempuan tunggal Megat Saifudin turut hilang bersama-sama dengannya. Anak perempuan Megat Saifudin dikenali sebagai Puteri Chempaka Alisha. Berumur 13 tahun sewaktu dilaporkan hilang. Orang terakhir yang melihat kedua beranak itu adalah pekerja Megat Saifudin. Pekerja yang dikenali sebagai Usin memberitahu Megat Saifudin membawa anak perempuannya keluar pada suatu petang dan terus tidak pulang-pulang sejak dari hari itu.  

Sekali lagi Hartini terhenti pembacaannya. Dia menyelak muka surat terakhir laporan itu. Orang yang melaporkan kehilangan Megat Saifudin dan anaknya adalah Tuan Jailani. Dia menyambung kembali pembacaannya. Tuan Jailani membuat laporan polis apabila tidak dapat menghubungi rakannya. Mereka sepatutnya berjumpa di satu tempat tetapi Tuan Jailani tidak dapat hadir pada pertemuan itu kerana dimasukan ke hospital selama seminggu kerana mengalami kecederaan sewaktu bekerja. Oleh kerana berasa risau sesuatu telah terjadi kepada rakannya, Tuan Jailani telah ke rumah Megat Saifudin. Namun pembantu rumah Megat Saifudin memberitahu bahawa tuannya itu sudah seminggu tidak pulang ke rumah. Disebabkan itulah, Tuan Jailani mengambil keputusan untuk membuat laporan polis.

Pihak polis telah menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima laporan daripada Tuan Jailani. Namun tiada sebarang petunjuk pun yang menjurus kepada kehilangan Megat Saifudin dan anaknya. Keduanya seperti telah lenyap daripada muka bumi. Tiada sebarang jejak yang diperolehi. Siasatan diteruskan sehinggalah membawa kepada penemuan kereta Megat Saifudin di pinggir hutan Pahang. Satu pasukan khas telah dikerah untuk mencari jejak Megat Saifudin dan anaknya di dalam hutan itu namun tidak mendapat apa-apa hasil. Akhirnya kes kehilangan kedua beranak itu terpaksa ditutup dan dilabelkan sebagai kes tidak terungkai.

Hartini menamatkan pembacaannya. Dia melepaskan satu keluhan. Entah mengapa selepas dia membaca laporan itu, hatinya merasakan seperti ada sesuatu yang tidak selesai lagi. Dia masih ragu-ragu dengan kenyataan dari Tuan Jailani. Dia merasakan lelaki itu seperti berbohong di dalam kenyataannya. Namun dia tidak dapat menangkap klu yang menunjukkan Tuan Jailani berbohong di dalam laporan itu.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.