Home Novel Thriller/Aksi CATUR
CATUR
#mystrill
21/11/2019 21:23:18
655
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
BAB 4
SYAFIQA leka bermain ting-ting bersama-sama dengan Nadia dan Awal sehinggakan masing-masing tidak sedar bahawa hari semakin menghampiri senja. Bagi mereka, selagi Tok Mah tidak melaungkan perkataan ‘balik’, selagi itulah tidak akan ada di antara mereka yang berganjak daripada kedudukan masing-masing.

    “Ha, Iqa! Aku nampak kau ada langgar garisan dekat petak nombor 9 tu. Kau dah kalah. Cepat keluar. Giliran aku pula yang main,” sergah Nadia. Dia terus menerpa ke arah Syafiqa tatkala sepupunya itu langsung tidak mempedulikan sergahannya itu. Habis garisan petak yang telah dilukis sendiri oleh Awal mula menghilang dek terkena langkah kaki Nadia yang agak kasar itu.

    Awal yang sejak tadi lagi menunggu di bahagian tepi mendengus perlahan. Geram pula dengan sikap terburu-buru Nadia yang juga merupakan adik tunggalnya itu. Nak lukis petak tersebut bukanlah senang lebih-lebih lagi bagi orang yang sangat mementingkan kesempurnaan seperti dirinya. Boleh ambil masa setengah jam, okey!

    “Isy, mengarutlah kau ni, Nad. Aku tak langgar apa-apalah! Tengoklah sendiri. Elok aje aku tengok garisan dekat petak tu. Tak ada pula garisan yang nampak terputus-putus,” balas Syafiqa tidak mahu mengalah.

    “Argh! Aku tak peduli. Depan mata aku sendiri aku nampak kaki kau terkeluar daripada petak tu. Sekarang ni giliran aku main pula.”

    “Mana satu kau ni, Nad. Tadi kau cakap kaki aku terpijak garisan. Lepas tu, tuduh kaki aku terkeluar daripada petak pula. Cuba jangan jadi macam…”

    “Nadia, Syafiqa, Awal, balik cepat! Hari dah nak gelap ni,” laung Tok Mah sambil menjengukkan kepalanya dari tingkap rumah atas.

    Mulut Syafiqa dan Nadia yang sebentar tadi becok macam mulut murai terus terdiam. Serentak, masing-masing terus menoleh ke arah Tok Mah yang sedang tersenyum menyeringai ke arah mereka. Sudahlah rambutnya kelihatan tidak terurus. Bukan tidak ada daripada anak-anaknya yang cuba merapikan penampilan wanita tua itu, tetapi Tok Mah sendiri yang tidak membenarkan dirinya disentuh oleh sesiapa. Entah apa yang ada dalam kepala Tok Mah itu tidak ada sesiapa yang mampu meneka. Mana tahu kalau memang ada emas permata yang tersimpan di situ …

    Awal terus meloncat bangun daripada duduknya setelah mendengar laungan suara Tok Mah. Tangannya mula sibuk menepuk-nepuk bahagian seluarnya yang penuh dengan debu-debu tanah. Sepantas yang boleh. Lambat gerak tak pasal-pasal ada yang kena tidur di luar pula malam ini...

    “Dah, jom kita masuk cepat. Sebelum… Tok Mah datang!” Awal memecut laju meninggalkan Syafiqa dan Nadia yang masih lagi terpinga-pinga. Mereka sempat berbalas pandangan sebelum turut berlari masuk ke dalam rumah kayu dua tingkat itu.

    Seperti biasa, setiap kali tiba waktu makan, tak kisahlah sarapan pagi, makan tengah hari atau malam. Mulut Syafiqa dan Nadia pasti tidak henti-henti daripada bertanyakan soalan mengenai papan catur lama yang disimpan oleh Tok Mah di dalam bilik stor. Nama sahaja bilik stor. Namun, tidak ada satu pun barang-barang yang kelihatan di dalamnya melainkan hanya papan catur.

    “Tok Mah, kenapa pula kami tak dibenarkan langsung sentuh papan catur tu? Kami tengah kebosanan ni. Kalaulah Tok Mah ajar kami main catur. Kan best!” ujar Nadia sambil mulutnya sibuk mengunyah mi goreng mamak. Tok Mah kan daripada keturunan mamak. Konfemlah semua makanan kena ala-ala mamak juga.

    Tok Mah yang baru sahaja hendak menyuap mi goreng ke mulutnya terus terhenti. Satu per satu wajah di hadapannya direnung tajam. Namun, bibirnya tetap tidak putus-putus menguntum senyuman.
    “Boleh. Tapi Tok Mah tak nak kamu menyesal nanti,” tutur Tok Mah lembut.

    “Menyesal? Nad lagi suka adalah. Nad bosanlah asyik main permainan ting-ting. Asal balik kampung aje, main ting-ting. Asal cuti sekolah mesti kena menghadap muka Iqa. Tak ada muka lain ke?” ujar Nadia separuh berseloroh. Suka benar dia dapat mengenakan Syafiqa yang muncungnya sudah panjang sedepa.

    “Boleh. Lepas makan nanti, Tok Mah akan ajar Iqa dengan Nad cara bermain catur, ya.” Perlahan-lahan Tok Mah mengalihkan pandangannya ke arah Awal.

    “Kau pun ikut sekali, Awal. Senanglah nanti…,” Tok Mah sengaja tidak meneruskan kata-katanya. Segaris senyuman mula terukir pada bibir tua itu. Senyuman ada makna.

    Tangan Awal terus menggeletar tatkala pandangannya perlahan-lahan mula bertaut dengan pandangan Tok Mah. Entah mengapa tiba-tiba sahaja perasaan takut mula menerpa masuk ke dalam benak hatinya. Tidak pernah Awal mengalami perasaan seperti itu. Lebih-lebih lagi ketika dia berada di rumah Tok Mah.

Sejak Awal berusia 12 tahun lagi ibunya, Puan Maria telah menghantar dia dan Nadia ke sini setiap kali cuti persekolahan berlangsung. Sepatutnya tidak ada apa yang perlu ditakutkan lagi. Tok Mah bukannya hantu yang kena makan orang untuk terus hidup! Entah mengapa malam ini dirasakan sangat berlainan sekali. Apa yang lain dia sendiri kurang pasti.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.