Home Novel Thriller/Aksi BRIEFCASE
BRIEFCASE
#mystrill
15/11/2019 13:35:00
940
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
BAB 5
12.05 malam, 31 Mac 2023,
Kediaman Rasmi Menteri dan Timbalan Menteri, Precint 20, Pusat Pentadbiran Negara Necropolis.


    Dato’ Shamimi, satu-satunya pemimpin politik wanita yang berjaya memanjat ke dalam kabinet pentadbiran kerajaan Necropolis adalah seorang ahli politik yang sangat disegani.

    Kepemimpinannya selama ini telah melahirkan ramai usahawan wanita malah ada yang telah mencapai ke tahap korporat dengan syarikat-syarikat mega yang berjaya menjana keuntungan berbilion ringgit setahun.  Kerana itulah dia dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Kewangan Kosmopolis dan bekerja di bawah Dato’ Khalil.

    Dato’ Shamimi juga adalah ikon ibu tunggal yang cemerlang yang mana namanya setiap hari meniti di bibir para wanita di Kosmopolis.  Ramai yang ingin menjadi seperti dia, seorang ahli politik yang ikhlas dan tulus bekerja untuk menaikkan martabah rakyat, terumanya golongan wanita.

    Tapi itu adalah Dato’ Shamimi di mata rakyat.  Satu imej yang dipotretkan sebegitu baik, jujur, ikhlas dan mempunyai pesona yang sangat kuat.  Malah sampaikan orang pernah bercakap, Dato’ Shamimi kalau diletakkan di kawasan mana pun untuk bertanding, dia pasti akan menang.  Jasanya terlalu besar untuk diabaikan.

    Tapi di mata pemain politik dan para pencatur, dia hanyalah seorang ahli politik yang biasa.  Penuh dengan penipuan, kecurangan dan penyelewengan.  Tapi rahsia itu disimpan kemas di dalam poket masing-masing kerana jika ianya terbongkar, bukan hanya Dato’ Shamimi yang akan menerima musibahnya.  Tapi ianya akan menjadi seperti teori kejatuhan domino.  Banyak pihak yang akan terkait sekali.

    Jadi disebabkan itulah, segala penyelewengan itu didiamkan.  Walaupun di sebelah pembangkang, pencatur di sebelah sana sedaya upaya mengorek segala rahsia, kadangkala mereka tampil di media sosial beserta dengan bukti-bukti kukuh penyelewengan yang dilakukan.  Tapi tidak semua rakyat mahu menerima fakta dan bukti sebegitu.  Kerana tiada siapa yang dapat membawa ahli-ahli politik ini ke muka pengadilan.  Kerana sistem ini telah  dipegang oleh mereka.  Nokhtah.

    Tapi malam ini, Dato’ Shamimi turut sama terasa bahangnya.  Dia masih lagi duduk termenung di kerusi batu yang diletakkan di halaman banglo mewah 3 tingkat miliknya itu.  anaknya, Zamir yang baru berusia 10 tahun sedang nyenyak tidur di biliknya.  Tapi dia masih lagi di sini semenjak awal malam tadi.

    Selepas saja dia menerima berita kematian Dato’ Khalil dan kehilangan Iqbaal bersama briefcase yang penuh dengan rahsia penyelewengan dan kemusnahan yang dilakukannya, hatinya jadi tak tenteram.

    Dia cuba menghubungi Iqbaal dengan harapan lelaki itu akan datang mencarinya kerana dia tahu, nyawa pegawai kesayangan Dato’ Khalil itu sedang dalam bahaya.  Tapi panggilannya tidak berjaya disambungkan.  Iqbaal menutup telefon bimbitnya.

    Dato’ Shamimi menggigit bibir.  Telefon bimbit di tangannya dibalik-balikkan.  Dia sedang menanti panggilan daripada Ramesh, ketua kumpulan gengster yang diarahkannya untuk mencari Iqbaal.  

    Lebih kurang setengah jam tadi, Ramesh ada memberi laporan.  Tapi negatif.  Iqbaal masih belum berjaya dikesan.  Itulah yang sedang merunsingkannya saat ini.  Dia membayangkan segala dokumen, invois dan perjanjian yang ditandatanganinya yang membabitkan banyak penyelewengan terdedah kepada umum.

    Di mana dia nak letakkan muka.  Imejnya akan menjadi hitam sehitamnya.  Dia tidak akan dipercayai lagi.  Wanita-wanita di Kosmopolis tidak akan menjadikan dia ikon dan idola mereka lagi.  Wanita lingkungan 50-an itu menarik nafas panjang.  Pelbagai perasaan sedang berbaur-baur dalam hatinya.  Sukar untuk dia ungkapkan apa yang dia sedang rasai ketika ini.  Perasaan itu sangat pelik, sangat menakutkan dan entahlah.  Dia tunduk memandang hujung seliparnya yang dibasahi embun yang gugur di hamparan rumput yang sedang dipijaknya ketika ini.

    “Mimi, I percayakan you.  So you jangan risau pasal projek ni.  Ok?”

    Dato’ Khalil meyakinkan dia untuk menandatangani beberapa keping dokumen projek pembinaan kilang dan perumahan untuk golongan usahawan di Aurosis, Kosmopolis.

    Projek itu sebenarnya adalah brain child Dato’ Shamimi dalam usahanya untuk meningkatkan daya saing kaum wanita dalam sektor keusahawanan.  Tapi apabila idea itu dibentangkan dalam mesyuarat kementerian, Dato’ Khalil mengubah sasaran utama projek tersebut.  Fokus kepada golongan wanita hanya tinggal 10% dan kuota itu diserahkan kepadanya untuk diuruskan.

    Masalahnya, kuota 10% daripada 500 unit kilang dan rumah itu tidak mencukupi kerana sebelum ini dia sudah pun melancarkan beberapa program perintis yang mana melalui program tersebut, 300 usahawanita sudah dipilih dan mereka semua sedang menunggu kelulusan kilang dan perumahan terbabit.

    Apa yang dikesalkannya, apabila kertas kerja tersebut tiba di meja pembentangan, segala isi kandungannya diubah dan matlamat utama yang diharapkan, tidak tercapai.  Apabila dia menyuarakan ketidakpuasan hatinya kepada Hafeez, pegawai khas Dato’ Khalil itu dengan pantas menuding jari ke arah Iqbaal.

    “Dato’ takkan you tak kenal Iqbaal?  Ini semua kerja dia.  Honestly I dah baca dan kagum dengan paperwork you tu dato’ dan I dah discuss pun dengan Dato’ Khalil.  Dia pun dah setuju sebenarnya untuk launch projek ni sebab kementerian memang ada banyak lagi dana yang belum release untuk usahawan.  Tapi Iqbaal yang hold benda ni.  I yakin dialah yang ubah paperwork tu.”

    Dato’ Shamimi menelan liur.

    “Takkan Iqbaal nak buat kerja macam tu.  Are you sure Hafeez?  Ke ni semua kerja you?”

    Soalan tersebut membuatkan Hafeez tergelak.

    “Dato’, you boleh check lepas ni siapa yang paling banyak untung atas projek ni.  I malas nak hasut you.  Tapi you tunggu sajalah.  Nanti you akan tahu.”

    Projek itu bernilai $900 juta.  Ianya bukanlah satu jumlah yang kecil.  Jika ada masalah sepanjang projek tersebut dilaksanakan, tak mustahil kosnya akan mencecah $1 bilion.  Kerana itulah ianya menjadi perdebatan hangat di dewan parlimen ketika Dato’ Khalil membentangkan usul untuk mendapatkan kelulusan daripada kerajaan.  Pihak pembangkang menghentam dan menjadikan projek ini sebagai isu di media sosial.

    Namanya turut sama dikaitkan.  Dalam masa yang sama juga, berlaku kebocoran maklumat berkaitan kuota 10% untuk usahawanita sebagaimana yang termaktub dalam dokumen projek tersebut.

    Akibatnya dia dihentam oleh peserta program printis yang dia sendiri laksanakan.  Telah wujud jurang ketidakpercayaan di kalangan wanita-wanita ini terhadap kepimpinannya.  Itulah yang merunsingkan Dato’ Shamimi ketika itu hingga dia menyuarakan hal itu sekali lagi dengan Dato’ Khalil.

    “Dato, I nak kuota untuk wanita dinaikkan.  I dah kena teruk ni.  Entah daripada mana mereka boleh dapat salinan dokumen projek tu.  Macam yang I cakap dengan you, usahawan aperantis yang sedang menunggu dalam program yang I buat tu ada 300 orang.  Susah I nanti dato’ sebab pemilihan dah pun selesai.”

    Dato’ Khalil tersengih sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.  Dia menyandarkan tubuhnya ke kerusi empuk miliknya.  

    “Rilexlah dato’.  Ini kan politik.  Pandai-pandailah you settle dengan budak-budak you tu.”

    Dato’ Shamimi menghela nafas berat sambil menggeleng.

    “Masalahnya, program perintis tu dah selesai.  Mereka semua dah terpilih.  Paperwork yang I bagi kat you tu, untuk projek tersebut tapi you dah utamakan yang lain daripada peserta program I sendiri.  This is not fair dato’.  Benda ni akan efek I punya kredibiliti.  300 orang tu semua pengundi kawasan I.”

    Dato’ Khalil terus tersengih sambil mengangguk-anggukkan kepalanya seolah faham dengan apa yang dikatakannya.  Tapi Dato’ Shamimi tahu sangat yang anggukan itu hanya sekadar untuk menyedapkan hatinya semata.

    “Dato’, pasal ni you tak payah risau.  I faham you nak jaga pengundi kawasan you.  I faham sangat-sangat.  Tapi you kena ingat dato’, perintis program you tu bukan semuanya layak untuk dapat kilang dan rumah yang kita nak bina ni.  I dah check ada antara mereka yang cuma buat industri kecil di rumah.  Buat kerepek, bahulu. So you rasa kilang sebesar tu berbaloi ke untuk industri yang sekangkang kera macam tu?”

    “Dato’ you jangan pandang rendah..”

    Dato’ Shamimi menarik nafas panjang.  Tiba-tiba dia rasa geram apabila segala usahanya selama ini seolah dipermainkan oleh Dato’ Khalil.  Kalau tak nak tolong pun, janganlah menghentam sembrono.

    “Ok..ok.  Sabar. I mintak maaf kalau I tersalah cakap.  Tapi ini realiti yang you kena faham dato’.  Kalau I luluskan projek ni dan masukkan 300 orang usahawanita you tu dalam projek ni, you ingat cyber troopers pembangkang nak diam macam tu aje?”

    Dato Khalil bingkas dari kerusi lalu berjalan ke arah jendela pejabatnya beberapa meter dari situ.

    “Itu, you nampak kat luar tu, berapa pesat membangunnya negara kita ni.  Di bandar tu ada macam-macam jenis perniagaan yang mereka buat.  Banyak lagi yang perlu kita tolong dan kalau nak dibandingkan dengan industri kecil-kecilan di rumah macam tu.”

    Dato’ Shamimi menggelengkan kepalanya.

    “Tapi mereka pun ada hak mereka jugak dato’.”

    “Betul. Memang mereka ada hak.  Tapi bangsa lain pun ada hak yang sama jugak kan?  You sendiri pernah terkena kan?  Bila tolong orang bangsa kita ni, mereka jarang nak hargai.  Berapa banyak laporan buruk pasal usahawanita daripada program-program yang you buat selama ni sampai ke meja I.  Mereka jual mesin, peralatan dan apa saja yang kerajaan bagi kepada mereka.  You rasa kita patut tolong lagi ke manusia jenis macam tu?”

    “Tapi bukan semua jenis macam tu dato’.  Untuk program perintis ni I dah pastikan tiada lagi usahawan yang jenis macam tu.”

    “Itu cuma penilaian you.  Macamana nanti kalau mereka dah dapat kilang-kilang tu semua, tapi kerja tak jalan?  Lepas tu ada pulak yang sewakan kilang tu kepada orang lain untuk dapatkan keuntungan mudah?  Dato’, benda-benda macam ni akan lebih efek kita di masa depan.”

    Dato’ Shamimi menelan liur.  Dia kehilangan kata-kata lagi untuk meyakinkan Dato’ Khalil.

    “Sebab itulah I nak untuk projek ni, kita sama ratakan untuk semua kaum.  Supaya wujud daya saing dalam kawasan perkilangan tu.”

    Dato’ Khalil duduk kembali di kerusinya.  Sebuah fail yang agak tebal dicapai lalu dibukanya.  Dia kemudiannya tersenyum.

    “Soal keciciran daripada 300 orang perintis you, I akan tolong you selesaikan.”

    Dato’ Shamimi mengangkat kening.

    “Ok, ini amount bahagian you.  I give you 10% from the project.  So 10% from 900 milion, you imaginelah sendiri.  It’s yours.  Anggap ini habuan untuk you atas terlaksananya projek mega ni.”

    Dato’ Khalil menghulurkan sekeping cek kosong yang tertulis angka $90 juta di hadapannya.  Dato’ Shamimi menelan liur.  Seumur hidup dia melibatkan diri dalam politik, inilah jumlah wang yang paling besar yang pernah diberikan kepadanya.

    “Besar kan jumlah ni. I yakin, kalau you invest sikit untuk peratis-perantis program you tu, mereka akan tutup mulut.”

    Dato’ Khalil sengih lagi.  Dato’ Shamimi hanya diam.  Cuma matanya saja yang nampak berkedip-kedip.

    “Ala, you spend ajelah dalam seratus dua ratus ribu.  Belikan mereka mesin yang baru.  Kalau ada yang perlukan bantuan repair rumah atau nak bina kilang atau bengkel di sebelah rumah mereka, you bawak kepada I.  I akan cari fund untuk tu semua.  I’ll promise.”

    Manisnya janji yang Dato’ Khalil taburkan membuatkan mulutnya terkunci.  Ditambah pula dengan habuan sejumlah wang yang tidak pernah tercapai akalnya untuk dia miliki.  Dato’ Shamimi menjadi gelap mata buat seketika.

    Hasilnya, projek tersebut dijalankan tanpa mengikut spesifikasi yang dinyatakan di dalam kertas kerja yang dihantarnya.  Malah, kuota 10% itu juga tidak memihak kepadanya.  Daripada 500 usahawan yang berjaya mendapat bantuan kilang dan rumah tersebut, hanya 10 orang saja usahawanita daripada program perintis kelolaannya yang berjaya mendapat tempat.

    Akibatnya, dia dimarahi oleh peserta yang lain.  Ramai yang mengecamkan di media sosial dan cyber troopers pembangkang pula mula memainkan isu perkauman.  Api bangsa dibakar sehingga rentung.  Isu usahawan-usahawan Cina dan India yang menguasai projek tersebut dimainkan hampir setiap hari.

    Malah pihak pembangkang mengeluarkan nama setiap seorang daripada peserta yang mendapat kilang dan rumah di kawasan perindustrian tersebut.  70% adalah berbangsa Cina.  Maka, kementerian mereka dihentam dengan begitu teruk sekali.

    Dato’ Khalil mulanya mengesyakki Dato’ Shamimi sebagai orang yang bertanggungjawab mengeluarkan segala salinan dokumen sulit projek tersebut kepada pihak pembangkang.
    Tapi dia menafikan sekeras-kerasnya.

    “Kalau I nak sabotaj you, bukan sekarang, tapi daripada awal lagi dato’.”

    “Habis tu kalau bukan you siapa lagi yang arif pasal projek ni?”

    Dato’ Khalil membentak.  Dia marah kerana digelar ‘barua Cina’ di media sosial oleh kumpulan cyber troopers pihak pembangkang.  Malah hubungan akrabnya dengan beberapa orang menteri bukan Melayu juga dijadikan isu.  Segala bukti dikeluarkan di media sosial.  Itulah yang merunsingkan Dato’ Khalil.

    “You better tanya pegawai-pegawai khas you.  Mereka saja yang ada semua dokumen-dokumen rahsia tu.  Honestly I sendiri tak pernah tahu pun siapa yang berjaya terpilih dalam program ni.  And in fact, kuota 10% untuk I pun you tipu I.”

    Dato’ Shamimi meninggalkan bilik pejabat Dato’ Khalil dan berlalu ke biliknya.  Hatinya turut sama terasa suam.  Sudahlah dia terpalit dengan bermacam masalah di kawasan sendiri, dituduh pula dengan tuduhan yang bukan-bukan.

    “Dato’..  Ini semua kerja Iqbaal.  Believe me.  You tahu tak siapa yang aturkan kontraktor-kontraktor untuk projek ni?  Iqbaal.  You nak tahu jugak siapa yang uruskan peserta-peserta untuk projek ni?  Iqbaal.”

    Kata-kata Hafeez kepadanya pagi tadi kembali terngiang-ngiang di telinganya.  Sudah banyak kali nama Iqbaal diulang oleh Hafeez sebagai pencatur utama projek ini.  Walaupun dia tahu Hafeez dan Iqbaal memang langsung tak pernah sebulu, tapi dalam keadaan sekarang, sebarang tohmahan dia perlu perhalusi.

    Bak kata Hafeez, “Dato’ mungkin akan fikir yang saya ni cuba nak hasut dato’ supaya bencikan Iqbaal sebab saya sendiri pun memang bermasalah dengan dia.  Ya, dato’ memang perlu fikir macam tu.  Saya tak kisah pun.  Cuma dato’ kena faham satu benda, pokok takkan bergoncang kalau tak ada angin yang bertiup.”

    Dato’ Shamimi menghela nafas panjang.  Lamunan panjangnya terputus bila pembantu rumah Indonesianya memegang bahunya dengan lembut.  Hartini yang sudah bekerja dengannya lebih 10 tahun senyum memandang ke arahnya.

    “Puan, kenapa puan duduk kat sini.  Dah lewat malam ni.  Nanti berembun puan jatuh sakit pula nanti.”

    Pertanyaan Hartini lembut, selembut wajahnya.  Dato’ Shamimi tersenyum tawar.

    “Tak ada apa Tini.  Kamu masuklah dulu.  Saya belum mengantuk lagi.  Saya nak ambil angin luar sekejap, nanti saya masuk.”

    Pembantu rumah dalam lingkungan 30-an itu senyum lalu menganggukkan kepalanya.  Muk berisi kopi panas diletakkan di dada meja.  Dato’ Shamimi hanya perhatikan saja asap putih yang bergumpal-gumpal di permukaan muk tersebut.  Dia membiarkan semula fikirannya bergeluyur mencari memori-memori silam yang masih dikesalkannya hingga kini.

    Cuma sekarang, apa yang paling dirisaukannya bukanlah soal cek 90 juta mahupun dokumen-dokumen berkaitan dengan projek mega 900 juta tersebut.  Ataupun beberapa lagi projek-projek besar selepas itu yang mana dia mendapat habuan yang bukannya sedikit, tapi melibatkan angkat puluhan juta untuk setiap satunya.

    Bukan itu yang dia risaukan kerana dia yakin, selagi gabungan parti mereka masih lagi memerintah, dan memenangi Pilihanraya Nasional bulan depan, isu tersebut bukanlah satu isu besar.  Mereka yang memegang sistem pentadbiran dan mereka jugalah yang mengaturnya.  Jadi dia tak perlu bimbang soal tersebut.

    Cuma yang membimbangkannya sekarang adalah apa yang tersimpan di dalam sebuah pendrive yang turut sama berada di dalam briefcase tersebut.  Itulah yang merunsingkan fikirannya hingga ke saat ini.

    Ramesh!  Nama itu melintas semula di fikirannya.  Pantas dia menekan skrin dan mendail nombor lelaki tersebut yang selama ini banyak membantu kerier politiknya.  Dadanya berdebar menantikan ketua kumpulan gengster India itu menjawab panggilannya.  Harap-harap mereka dah berjaya menemui Iqbaal dan briefcase tersebut.

                        ****

12.25 malam, 31 Mac 2023,
Terminal Bas Berpusat, Precint 33, Kotaraya Kosmopolis.


    Bas Ekspres Sinaran Kosmos berwarna hijau muda berjajar perlahan masuk ke platform 88.  Bas tersebut kemudiannya berhenti dan kelihatan beberapa orang penumpang di dalam bas tersebut turun.  Mungkin mahu ke tandas.

    Iqbaal mencapai briefcase di sebelahnya lalu dipeluknya dengan erat.  Dia memicingkan matanya ke arah gadis bertudung yang sedang memangku anaknya Aryani semenjak tadi.
    Sebaik saja bas berhenti dan pengumuman di buat di lobi terminal, gadis itu mengejutkan Aryani, lalu sebagaimana yang diarahkan kepadanya, dia memimpin anak kecil itu menuju ke arah bas ekspress tersebut.

    Iqbaal menarik nafas lega.  Buat seketika, matanya meliar memerhatikan keadaan sekelilingnya.  Dia mahu memastikan kumpulan-kumpulan lelaki tadi sudah pun meninggalkan kawasan terminal tersebut.

    Dia kemuudiannya mengalihkan kembali pandangannya ke arah platform 88.  Gadis  tersebut sedang mendukung Aryani memanjat tangga bas.  Iqbaal bingkas dan dengan langkah yang terhendap-hendap dia mula berlari ke arah platform tersebut.  Kedudukan platform tersebut tidak jauh dari tempat dia sedang bersembunyi dan lokasinya paling hujung sekali.  Jadi mudahlah sikit untuk dia menyelinap ke situ.

    Beberapa meter melangkah, langkahnya termati.  Beberapa orang lelaki berpakaian serba hitam kelihatan mundar mandir di beberapa buah platform yang sudah pun kosong.  Ketika itu, daripada berpuluh-puluh baris platform yang ada di terminal tersebut, hanya tinggal kurang daripada 10 yang masih ada penumpang.  Bas ekspres yang dinanti juga semuanya sudah selamat mendarat di situ.  Cuma belum ada yang bergerak keluar menuju ke destinasi masing.  Yang kedengaran hanyalah suara pengumuman terakhir kepada penumpang untuk menaiki bas masing-masing.  Malah ada pemandu yang sudah mula membunyikan hon untuk memastikan tiada penumpang yang tertinggal.

    Iqbaal meraup peluh di wajahnya.  Dia bergolek lalu menyembunyikan diri di sebalik rumpun pokok-pokok bunga yang menyubur di situ.  Akalnya mula berjalan memikirkan cara bagaimana untuk dia segera menaiki bas ekspres tersebut.  

                        ****

12.35 malam, 31 Mac 2023,
Ibupejabat Kontijen Polis Kosmopolis.


    Inspektor Irham meletakkan telefon bimbitnya ke dada meja.  Panggilan yang baru diterimanya memberikan dia klu terbaru tentang situasi sebenar yang sedang berlaku.  Jadi kes ini bukan hanya membabitkan kehilangan Iqbaal semata-mata, tapi penuh dengan skandal penyelewengan yang pastinya akan terbongkar selepas ini.  Jadi sebab itulah Iqbaal melarikan diri bersama sebuah briefcase yang dipercayai terisi segala bukti-bukti penyelewengan tersebut.

    Cerdik Iqbaal.

    Bisik hati Inspektor Irham.  Sepanjang bertugas, dia mengenali Iqbaal agak rapat juga.  Banyak kali juga dia berurusan dengan lelaki itu.  Dari segi luarannya, dia akui yang Iqbaal memang seorang pegawai menteri yang sangat baik.  Berbudi bahasa, cepat menyelesaikan masalah dan yang paling penting, jujur.  Orang cakap, lurus buat kerja.  Satu sikap yang susah nak ditemui daripada mana-mana pegawai khas menteri mahupun ahli politik yang lain.  

    Kebanyakkan yang dia kenali, jenis yang hanya fikirkan tentang poket sendiri terlebih dahulu.  Kalau menteri arahkan supaya dihantar dana kewangan atau apa saja, perkara pertama yang pegawai-pegawai ini lakukan adalah mengasingkan wang yang akan menjadi bahagian mereka.

    Ini bukan cerita-cerita kedai kopi, tapi ini adalah realiti yang dia nampak dengan mata kepalanya sendiri.  Semasa berkhidmat sebagai pegawai Polis pengiring kepada menteri kanan kerajaan beberapa tahun yang lalu, perkara itu selalu berlaku di depan matanya.
    Jadi kenapa tak ambil tindakan?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.