Aniq Zafran tekun membaca isi berita dari surat khabar yang baru dibeli tadi. Wajahnya serius sampaikan tidak menyedari Noraini sudah meletakkan secawan kopi panas di atas meja.
“Lukisan yang hilang beberapa bulan lepas ditemui secara misteri di ruang pameran Galeri Seni Antonio.”
“Itu berita yang bagus. Pencurinya dah pulangkan kembali lukisan tu,” sampuk Noraini.
“Kebenarannya… bukan hilang pun lukisan itu melainkan Si gadis pembunuh menyembunyikan lukisan itu di suatu tempat. Dia buat macam tu masa guna tubuh Dahlia. Sekarang dendam dah terbalas. Si gadis pembunuh pulangkan baliklah lukisan-lukisan lain tu,” balas Aniq Zafran.
Aniq Zafran mengeluh lalu sambung membaca, “Pemilik Galeri Seni Antonio, Antonio Cruz ditemui maut akibat serangan jantung di ruang pameran.”
“Haaa, betul ke tu?” soal Noraini, terperanjat besar.
Hampir tersedak air kopi semasa mendengar berita tergempar yang dilaporkan. Melihat Aniq Zafran mengangguk maka, sahihlah berita itu.
“Satu lukisan sahaja yang tak dipulangkan…”
“Lah… pula!”
Noraini menyuap roti makan ke dalam mulut. Sebenarnya dia menunggu untuk Aniq Zafran mengatakan jawapan. Namun, lelaki itu hanya diam dan duduk termenung barangkali sedang berfikir lantas membayangkan situasi yang berlaku untuk kejadian kes dilaporkan dalam akhbar.
“Untuk kes penyiasatan akan datang… adakah awak mahu sertai juga?”
Persoalan ditimbulkan Aniq Zafran memang aneh pada pendengarannya.
“Apa awak ni… mestilah saya nak! Saya sibuk sekalipun dengan kerja saya di Rita Jewellery… saya tetap akan join penyiasatan awak!”
Aniq Zafran tersenyum. Noraini memang nama sebenar kekasihnya. Rita pula, nama glamour yang digunakan oleh Noraini selaku pemilik Rita Jewellery yang baru setahun jagung menapak. Noraini memang mempunyai ijazah dalam rekaan barang kemas. Menyertai siasatan Aniq Zafran merupakan bonus dalam kerjayanya.
Memang mereka sengaja merancang untuk mencuri rekaan syarikat Magical Jewellery. Biar Encik Kamal atau Kidman merasa bagaimana perasaan apabila rekaan milik Magical Jewellery dicuri orang. Terbahak-bahak mereka gelak saat Encik Kamal marah-marah dengan tindakan Rita tempoh hari. Pencuri marah apabila karyanya dicuri. Memang padan muka!
Dan, tentang Rita yang menyukai Michael Angle itu pula… hanya lakonan dibuat oleh Noraini dengan harapan Michael Angle tahu bahawa kekasihnya iaitu Si gadis pembunuh sedang cemburu. Dalam konteks lain, sebenarnya mahu mengembalikan ingatan Michael Angle.