Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 61

Seminggu kemudian…

“Puan dah fikir masak-masak ke?” tanya Alia semasa Dahlia utarakan niatnya tadi.

“Dah. Saya takkan menyesal. Insya-Allah rezeki ada di mana-mana,” jawab Dahlia dengan tenang, dia sudah habis fikir. Tekadnya sudah bulat.

Mereka diam seketika. Bunyi derap kasut Encik Antonio dari kejauhan menarik perhatian mereka. 

“Betul ke yang I baca dekat Whatsapp tu?” tegurnya seakan tidak percaya.

Dahlia mengangguk dan sempat menjeling Encik Antonio. Memang benar dia menghantar pesanan di Whatsapp seawal pagi.

“But, why Dahlia? Kerja di sini tak bagus ke?” soal Encik Antonio dengan kesal sambil bercekak pinggang.

“Bukan begitu. Saya cuma nak tukar angin.”

“Yalah tu. Ke… you dah nak kawin lepas tu ikut suami you pindah?” usiknya.

“Betul juga tu, encik,” jawab Dahlia walaupun tidak benar.

“Baiklah kalau begitu. I bukan boleh halang. You memang pekerja yang baik. I sangat bangga ada pekerja seperti you.”

“Saya minta diri dulu encik… Alia,” kata Dahlia terus kepada isi utama, malas mahu panjangkan perbualan.

Barang-barang peribadi miliknya yang sudah dimasukkan ke dalam kotak dibawa bersama sekali. Buat kali terakhir, dia menunduk sedikit kepala sebagai tanda hormat. Jelingan tajam sempat dihadiahkan kepada Encik Antonio. Ada perasaan tidak puas hati dalam diri Dahlia secara tidak langsung.

Surat letak jawatan di atas meja dilihat sekilas sebelum mengatur langkah keluar dari Galeri Seni Antonio. Surat yang ditulis malam hari semalam dengan perasaan bercampur-baur. Sudah kering air mata memikirkan keputusan untuk meninggalkan bidang pekerjaan yang diminati. Akhirnya, setelah mengambil kira semua perkara di samping memohon pertunjuk daripada Ilahi, perpisahan jua yang dipilih.

Dia sempat melihat ruang pameran buat kali terakhir. Untuk dalam masa terdekat, dia berasakan dirinya tidak mungkin akan menjejaki kaki ke situ lagi. Bunyi derap kakinya semakin menghilang dan Galeri Seni Antonio diselubungi kesedihan atas berita pemergian Dahlia.


Beberapa bulan kemudian…

Dahlia tersenyum puas melihat susunan kerusi untuk majlis bual bicara buku miliknya dalam masa beberapa minit sahaja lagi. Dia sangat-sangat bersyukur pemilik kedai buku itu sanggup menjemputnya sebagai salah seorang penulis di majlis yang begitu bermakna buatnya. Maklumlah, dia hanya penulis pemula yang baru mahu mencipta nama. 

Satu persatu para pengunjung mengambil tempat. Wajah masing-masing jelas terpancar keterujaan, siap ada yang sudah mendapatkan buku tulisannya. Mereka berbisik sesama sendiri mengenai isi kandungan di dalam buku itu. 

Dahlia mengambil tempat setelah mendapat arahan daripada pengacara majlis. Masing-masing mulai senyap untuk memberi tumpuan kepada ucapannya. Tidak kurang yang saling berbisik kerana tidak menyangka penulisnya seorang muda belia yang rupawan rupanya. 

“Banyak sekali halangan yang perlu saya terima semasa siapkan buku biografi ini. Yang paling saya ingat, sepatutnya buku ini sudah diterbitkan beberapa bulan lepas. Pada saat akhir, pihak penerbit ketika itu tiba-tiba sahaja menyuruh saya mengedit beberapa info. Kalau saya berbuat sedemikian, saya hanya akan mencacatkan sejarah hidup seseorang. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk menarik balik manuskrip dan mengeluarkan wang sendiri untuk proses penerbitan buku ini. Ternyata, usaha saya terbalas dengan adanya majlis hari ini. Alhamdulillah.”

Seorang pengunjung mengangkat tangan. Dahlia tidak menyangka akan menerima maklum balas begitu pantas memandangkan tidak sampai 10 minit dia bercerita.

“Adakah cik Dahlia tahu siapa tangan ghaib yang menyuruh pihak penerbit berbuat sedemikian? Saya percaya, ada seseorang di belakang mereka yang tak nak rahsia mereka terbongkar.”

Soalan itu berjaya membuatkan Dahlia terkedu. Dia sendiri pernah menyoal diri sendiri apabila hari itu terjadi.

“Soalan yang bagus. Saya berharap para pembaca dapat mencari jawapannya dalam buku ini macam kepingan puzzle. Cantum dan cantum sampai lengkap imej yang ingin disampaikan. Selamat mencuba,” balasnya, sinis sambil mengangkat buku itu.


“Tahniah cik Dahlia. Jauh sekali perjalanan karier cik Dahlia,” ucap Aniq Zafran setelah majlis berakhir. Dia mengikuti dari awal majlis bicara buku. Dahlia yang menjemputnya beberapa minggu lepas.

“Terima kasih. Rezeki saya, Alhamdulillah.”

“Macam mana dengan lepas ni? Maksud saya, perancangan keluarkan buku baru?”

“Awalnya awak tanya. Saya nak rehat pun tak sempat. Bagilah saya cuti sebulan dua,” sindir Dahlia, ketawa-ketawa.

“Kisah yang akan nak tulis ni tak boleh nak tunggu sebulan dua dah. Saya tahu apa dalam kepala otak awak tu. Nampak macam tak buat-buat apa-apa secara luarannya tapi, fikiran tu dah fikir macam-macam idea,” duga Aniq Zafran, merenung tajam ke dalam bola mata bekas kurator itu.

“Menarik. Awak macam nujum Pak belakang. Tengoklah sehari dua ni kalau mood saya okey, saya akan mulakan untuk menulis. Awak tak nak teka tentang apa yang akan saya tulis?”

“Tentang alasan sebenar Cik Dahlia tinggalkan Galeri Seni Antonio. Orang ramai hanya ingat Galeri Seni Antonio terkenal dengan art napping tapi hakikat sebenarnya, ada benda lain yang menarik sedang berlaku. Tunggu masa sahaja bom jangka meletup sebelum semuanya terbongkar.”

“Pintar. Patutlah awak jadi penyiasat.”

“Dan, cik Dahlia jadi penulis.”

Tawa mereka sama-sama terburai. Ada kemiripan dalam kerjaya masing-masing. Mencari, mengumpul dan menyebarkan apa yang mereka tahu.


Encik Antonio mencampak buku biografi kiriman Dahlia. Dia tidak menyangka buku itu berjaya diterbitkan. Belum sempat untuk bertenang, berderu-deru mesej masuk ke dalam telefon pintar. Dengan hanya mengerling, dia sudah tahu akan isi cerita pesanan yang diterima. 

“Habis… habis reputasi galeri aku!” 

Pemilik Galeri Seni Antonio terduduk sambil mencekak rambut. Fikirannya kusut. Bunyi berdenting dari telefon pintar masih tidak berhenti. Lama-lama, dia hilang sabar lalu mencapai alat komunikasi itu sebelum dibaling ke dinding. Senyap namun, berkecai habis akibat impak kuat yang diberikan.

Ting! Peti masuk emel pada komputer pula berbunyi. Lagi sikit sahaja tangannya laju untuk mematikan kuasa komputer. Nama pengirimnya membuatkan dahinya berkerut.

“Dahlia?” 

Cursor mengklik emel diterima daripada Dahlia. Terbutang besar matanya saat membaca pesanan di dalamnya.

‘Encik Antonio ingat saya lagi tak? Semasa Encik Antonio menerima emel ini, saya yakin buku kiriman saya sudah sampai ke tangan encik. Nak saya teka apa reaksi encik? Mesti marah, kecewa dan geram. Macam manalah seorang staff baik seperti saya akan mengkhianati bekas ketuanya dahulu, kan? Sekarang semua orang tahu termasuklah para pengkarya yang selalu menghantar karya di Galeri Seni Antonio… adik encik dan beberapa orang dalam termasuk pengawal keselamatan terlibat dalam art napping. Semua orang tertanya-tanya, takkan Encik Antonio langsung tak tahu apa-apa yang berlaku pada galerinya? Jawapan saya, encik tahu cuma, sengaja menutup mata. Kalau encik bongkarkan semuanya, macam mana dengan rahsia tersimpan rapi selama ini?’

Jantungnya berdegup kencang, dia sangat berdebar-debar membaca isi emel itu. Belum pun lega kegusaran yang melanda, lagi sekali bunyi denting. Dia menerima emel baru daripada pengirim yang sama. 

‘Untuk buku seterusnya, saya akan tulis mengenai riwayat hidup Encik Antonio sebagai pemilik Galeri Seni Antonio. Encik patut berbangga ada penulis seperti saya yang sudi nak bukukan kisah hidup encik. Encik tahukan apa yang akan berlaku kalau kisah hidup encik dibaca orang lain? Sebagai pengakhiran, izinkan saya untuk teruskan niat ni.’

Papan kekunci ditolak kasar sehingga tercampak jauh ke dinding. Dia menjerit sekuat hatinya.

“Apa terjadi Encik Antonio?” tegur Alia, bergegas masuk ke dalam bilik itu setelah mendengar kecoh-kecoh. Bimbang dengan ancaman bahaya menimpa Encik Antonio.

Pembantu kurator itu tergamam melihat keadaan huru-hara. Dia kelihatan mahu bertanya, Encik Antonio mencebik.

“Jangan sibuk jangan tepi kain orang,” herdik Encik Antonio membuatkan Alia kecut perut.


Previous: Bab 60
Next: Bab 62

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.