Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 51

Kereta Mawar meluncur laju memasuki perkarangan rumah. Jam pada dashboard menunjukkan angka 11:36 malam. Dia berkaca menggunakan cermin bedak padat yang dikeluarkan dari dalam tas tangan. Melihat kesan benjol dan lebam pada bahagian dahi yang agak tersembunyi, membuatkan dia meradang.

Dashboard diketuk berulang kali sambil menghamburkan kata-kata makian. Dalam beberapa saat juga diambil untuk bertenang sebelum masuk ke dalam rumah.

Bedak padat disapukan lebih pada kawasan berkenaan untuk mengelakkan Zaqwan menyedarinya nanti. Mawar sempat mencalitkan lipstick merah menyala ke bibir dan merapikan rambutnya yang sedikit kusut. Minyak wangi disembur keseluruhan badan, biar wangi semerbak satu rumah. Untuk mengembalikan mood ceria dan gembira, dia berlatih senyum di depan cermin. Setelah berpuas hati, barulah dia keluar dari perut kereta.

Saat tangan menolak pintu kereta untuk ditutup, barulah dia sedar lampu tidak terpasang di dalam rumah. Hanya lampu-lampu di kaki lima sahaja menerangi halaman rumah, itupun cahaya agak malap untuk malam yang semakin hitam pekat. Mawar berasa suaminya masih belum pulang ke rumah kerana mereka akan membiarkan sekurangnya lampu di ruang tamu terpasang sewaktu malam.

Memandangkan Mawar menyangka tiada sesiapa di rumah, dia tidak perlu lagi berlakon seseolah tiada apa-apa berlaku di sepanjang hari. Semasa baru sahaja jari-jemari sedikit sahaja lagi menyentuh suis lampu, Mawar terkejut bukan alang kepalang apabila tiba-tiba sahaja muncul goresen api pada batang mancis dinyalakan seseorang.

Goresan api menyentuh sumbu lilin, Mawar pelik melihat sebuah kek di atas meja. Pelakunya menyalakan ketiga-tiga batang lilin di atas kek. 

Hampir gugur jantung Mawar Beethoven no.9 berkumandang memenuhi segenap ruang. Lagu yang paling dibenci. Dia terbayang Zainuddin bersama dengan Manisah menari dengan riang mengikuti melodi.

“Marilah duduk.” Suara seperti Zaqwan kedengaran dari arah belakang.

Terperanjat lagi sekali kedua-dua belah bahunya disentuh seseorang. Cahaya lilin terpasang membantunya untuk melihat siapa pelakunya.

“Sayang… selamat pulang,” ucap Zaqwan dengan penuh romantik, memeluk dari arah belakang sebelum mendorong Mawar untuk menghampiri kek yang sudah disediakan.

“Ada… ada apa… hari ini?” tanya Mawar, tergugup dan tergamam dengan kejutan tidak terduga seperti itu.

Riak wajah Zaqwan kelihatan menakutkan apabila dia mendekatkan wajah kepada nyalaan lilin, mirip sudah yang selalu dilihat Mawar dalam filem-filem horror. Usikan sebegitu terus melenyapkan dan menafikan kekejaman yang tertanam dalam diri Mawar. Dia juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada perasaan takut.

“Tiuplah dulu lilin,” cadang Zaqwan dengan menguntum senyuman menakutkan Mawar.

Terdesak untuk mendapatkan jawapan menyebabkan Mawar menuruti sahaja kata-kata suaminya. Zaqwan menepuk tangan dengan penuh semangat setelah lilin ditiup. Keadaan gelap seketika, Zaqwan teraba-raba dalam gelap untuk membuka suis lampu.

Ruang rumah sudah terang-benderang, Mawar menggosok mata akibat silau. Dia melihat Zaqwan menghulurkan pisau besi kepadanya, gaya pegangan pisau seperti mahu menusuk tubuh Mawar. Seram Mawar melihatnya, dia cuba berlagak tenang agar tidak ketara syak wasangkanya.

“Untuk awak… awak lupa hari ni ulang tahun perkahwinan kita?” 

“Ulang tahun perkahwinan?” soal Mawar, berkerut dahi dan hanya sekadar memerhati huluran pisau tadi.

Sejujurnya, tiada langsung ingatan mengenai ulang tahun perkahwinan dalam fikiran. Mawar gelisah, kalau bukan kerana Zaqwan masih berdiri di depannya, sudah pasti dia menarik rambut dengan kuat kerana terlupakan tarikh keramat cinta mereka termenterai.

“Tak apa, dalam fikiran tu mesti dah fikir macam-macam… tu yang awak lupa. Tak apa, lagipun sesekali pula orang perempuan lupa ulang tahun perkahwinannya,” ujar Zaqwan memujuk diri sendiri, ayatnya mengandungi rajuk.

Mawar berasa bersalah, dia terus mendakap Zaqwan lalu mengusap lembut belakang suaminya. 

“So sorry… banyak sekali yang berlaku kebelakangan ni,” pujuk Mawar dengan suara manja.

Zaqwan meleraikan pelukan, dia menatap wajah Mawar dengan pandangan sayu.

“Awak tak nak cerita?” Sedikit mendesak Zaqwan, dia sebenarnya memberi Mawar peluang terakhir untuk bercerita.

Mawar buat-buat ketawa, mana mungkin dia menceritakan apa yang berlaku. 

“Apa kata… kita potong dulu kek? Dah tengah malam ni… Cinderella pun dah kembali ke sarangnya.” Sempat Mawar bergurau, sambil menjuih bibir ke arah jam dinding, jarumnya sudah menunjukkan ke arah angka 12.

Mawar mengambil pisau tadi terletak di atas meja, dia memotong kek tadi. Baru dia perasan tiada pinggan untuk meletakkan potongan kek. Begitu juga tiada sudu mahupun garpu untuk mencuit kek.

“Saya ambil pinggan dulu tau,” usul Mawar, sukarela.

Zaqwan membalas dengan anggukan. Apabila Mawar pergi, dia menyentuh pisau digunakan Mawar untuk memotong kek. Sebenarnya, dia menahan rasa membuak-buak untuk menikam seseorang dicintai dan disayangi dengan sepenuh hati dengan pisau itu. Dia sengaja menggunakan pisau besi untuk tujuan memotong bahan masakan berbanding dengan pisau pemotong kek.

Zaqwan hampir menangis kerana niat jahat yang muncul dalam hati, tangannya mengigil-gigil menahan daripada melakukan perbuatan di luar kewarasannya.

“Sayang…” tegur Mawar, membawa dua biji pinggan bersama garpu dan sudu dua set.

Air mineral dua botol turut dibawa bersama. Malam-malam begini, tidak elok menikmati air manis, menurut Mawar. Aneh sekali, mereka akan menikmati beberapa suap kek nanti pada malam hari.

Secara automatik, Zaqwan memaniskan roman wajah. Dia mengambil dua biji pinggan lalu meletakkan sepotong kek di setiap pinggan. Sedikit kek dicuit menggunakan sudu lalu disuapkan terus ke dalam mulut Mawar.

“Alahai, hancur diet saya malam-malam makan kek.” Spontan kata-kata Mawar, dia gembira dengan layanan romantik sedemikian.

‘Begitu juga saya yang sudah habis kepercayaan terhadap awak.’ Sambut Zaqwan dalam hati dengan penuh rasa kecewa.

Mereka diam tidak bersuara, Zaqwan terus menyuapkan Mawar. Dia sendiri tidak menjamah kek itu, entahlah… dia tiada selera langsung. Matanya berkaca-kaca, menahan air mata daripada jatuh. Jika ditanya, pasti dia akan menjawab, fenomena itu terjadi kerana ngantuk yang teramat sangat memandangkan sudah tengah malam di mana mereka sepatutnya beradu di dalam ruang tidur.

Akhirnya, pada suapan terakhir, air mata Zaqwan jatuh jua. Kabur-kabur pandangan mata Mawar melihat suaminya menitiskan air mata. Dengan penuh susah payah kerana berasa lemah seluruh tubuh, Mawar berusaha melihat tapak tangannya sebelum dia jatuh lalu terbaring terlentang di atas lantai. 

“Sayang…” Sayup-sayup suara Zaqwan memanggilnya.

Mawar merintih sampai terkeluar air mata, tangannya seakan mahu menggapai Zaqwan yang hanya memerhati sahaja keadaan dirinya yang lemah. Dia berasakan nyawanya di hujung tanduk, nafasnya sesak sampai ketara berombak dadanya menghirup udara.

“Maaf… maafkan saya.” Giliran Zaqwan merintih, melutut di depan Mawar yang sudah terkatup mata meninggalkan sisa bekas air mata pada wajah yang ketara memucat.

Pilu hatinya memikirkan seksaan yang dialami Mawar tadi.



Previous: Bab 50
Next: Bab 52

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.