Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 52

Dahlia gelisah tidak dapat melelapkan mata, dia berguling ke kiri ke kanan dengan kerap. Dengkuran Sarah dapat didengari dengan jelas, cemburu rasanya kerana rakannya dapat tidur dengan nyenyak sedangkan dirinya masih lagi berusaha untuk tidur. Dia melihat jam pada skrin telefon pintar, sudah menjengah ke 3:00 pagi. Habislah dia esok pagi di tempat kerja, pasti tersengguk-sengguk dan tidak dapat fokus dengan sepenuhnya.

Akhirnya, selimut ditarik lalu dibuang jauh dari badannya. Dia mahu membuka balkoni bilik, menghirup udara awal pagi. Mana tahu dia mampu untuk melelapkan mata selepas ini. Badannya direngang dengan senaman ringan sambil memandang bangunan-bangunan lain yang dipasang lampu dalam kadar yang terhad.

Nafasnya terhela berat sambil memegang palang besi. Beralun-alun rambutnya ditiup angin dingin. Dia melihat ada beberapa kenderaan ringan dan berat melalui jalanraya berhampiran, pasti mereka dalam perjalanan pulang mahupun pergi ke kerja pada saat-saat begini, tekanya.

Dahlia mendapat idea, dia masuk kembali ke dalam bilik mengambil telefon pintar dan earphone. Dia kembali semula ke balkoni, mahu mendengar lagu yang menyegarkan di situ. Earphone dipasang ke telinga, dia memilih lagu berentak rancak. Mata terkatup rapat menghayati muzik, kepalanya tergoyang-goyang perlahan.

Dahlia sudah terleka dengan dunianya sendiri, dunianya tidak akan sama di saat matanya terbuka nanti.


Cuping telinga Dahlia mendengar hiruk-pikuk kota yang mulai hidup di awal pagi. Bunyi kenderaan lalu-lalang dengan rancaknya menganggu tidurnya yang aman dan tenteram. Kelopak mata terasa berat, dia tidak mampu untuk membuka mata walaupun terasa silau disuluh cahaya matahari. Dia berpeluh-peluh akan tetapi tidak mempunyai daya mengangkat tangan untuk mengelap dahi yang mulai kebasahan.

“Dahlia…” suara Sarah perlahan-lahan menyinggahi telinga.

Dahlia mendapat kekuatan sedikit demi sedikit, dia berjaya mengangkat kelopak mata. Terserlah Sarah di depan yang sedang menggoncangkan badannya. Terpinga-pinga Dahlia melihat dirinya mungkin terlelap di balkoni dalam keadaan tidur duduk sambil bersandar pada dinding. Selimut membaluti tubuh diketepikan, dia tidak ingat mahupun tahu siapa yang menyelimutinya.

“Kenapa kau tidur di sini?” soal Sarah, baru Dahlia teringat akan dirinya yang berdiri di balkoni sambil mendengar lagu kerana tidak dapat tidur sepanjang malam.

Earphone ditarik keluar dari lubang telinga, pemain muzik dalam telefon pintar sudah berhenti. Dia memisat-misat mata, cerah sekali pagi ini di luar sana. Masing-masing sudah sibuk menuju ke tempat kerja masing-masing. Sempat lagi Dahlia mengeliat, lenguh-lenguh satu badan tidur dalam keadaan tidak selesa.

“Dah cerah,” komen Dahlia dengan teruja semasa memerhati matahari tinggi menerangi bumi. “Cantiknya…” cahaya matahari mulai menyirami wajah Dahlia, bersinar-sinar matanya seperti sedang memerhatikan sesuatu yang membahagiakan jiwa.

Dahlia tidak mempedulikan Sarah bercekak pinggang memerhatikan tingkah anehnya.

“Mestilah… dah nak 7:00 pagi! Aku ingat kau lari rumahlah tadi. Bangun-bangun tak ada dekat katil. Buat cuak je!” rungut Sarah, agak menjengkelkan melihat Dahlia tidak bersiap-siap untuk pergi kerja.

“Biarkan… biarkan aku menikmati keadaan sekarang ni,” pinta Dahlia, tidak peduli mahupun beralih pandangan membuatkan Sarah mengeluh.

“Okey… tapi, jangan lupa kau tu masih perlu pergi kerja. Kau punya cuti untuk semalam je… bukan hari tau! Encik Antonio pesan kalau dah sihat, sila masuk pejabat, ya?” bebel Sarah sebelum mahu melangkah pergi.

Tiba-tiba Sarah berpatah balik untuk berkata, “Perlakuan kau ni pun dah macam orang tua… suka termenung memandang matahari terbit.”

“Tak ada kaitan pun dengan usia,” bantah Dahlia, dia menjadi kasar pada pagi-pagi begini kerana moodnya untuk menikmati suasana sebegitu tidak habis-habis diganggu oleh Sarah.

Sarah mencebik sambil menjeling mendengar jawapan itu. Dia tidak mempunyai rasa untuk berdiri lama-lama di situ. Makin dilayan, makin lambatlah jawabnya dia bersiap menuju ke pejabat.

“Cantik… pagi ini aku mendapat kehidupan yang baru. Sinar matahari… sinar dalam kehidupan aku,” luahnya akan sesuatu yang terdalam dari lubuk hati.

Kicauan burung bersama dengan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa menemani Dahlia di balkoni. Tangan kanan diangkat melebihi kepala, seekor rama-rama entah dari mana hinggap di jari telunjuknya.

Dahlia semacam dapat mengesan dirinya diperhatikan seseorang dari suatu tempat tersembunyi di bawah apartmennya. Dia menghadiahkan senyuman yang sukar ditafsirkan maksudnya ke tempat seseorang yang sedang memerhatikannya. Dia seperti tahu, seseorang itu turut membalas senyumannya juga. Bezanya, senyuman seseorang diiringi dengan jatuhnya air mata ke pipi.


“Sunyi je hari ni rasanya,” kata Dahlia, meletakkan beg di atas meja kaunter sambil memerhati kawasan sekeliling.

Bermula daripada pintu pagar lagi, dia tidak dapat melihat pengawal bertugas di dalam pondok pengawal. Memasuki ke dalam bangunan Galeri Seni Antonio, dia belum terserempak dengan mana-mana staff ibarat hanya dia seorang sahaja yang datang ke tempat kerja. Jarum jam berdetak dapat didengari dengan jelas memberi isyarat tempat itu terlalu hening.

Senaskhah surat khabar yang terletak dihujung meja kaunter, dicapai. Selalunya pembantu kurator akan meletakkannya di ruangan santai buat pengunjung. Dahlia berasa hairan, surat khabar itu masih ada di situ, mungkin sahaja Alia lewat tiba hari ini namun, dia tetap sahaja berasa pelik dengan keadaan itu.

Dahlia tertarik untuk membaca tajuk akhbar hari ini, tidak semena-mena dia tersengih sebelum berdengus halus. Dia berjalan perlahan-lahan menuju ke ruangan santai, dengan selamba surat khabar itu dicampakkan ke atas meja.

“Dahlia…” panggil seseorang yang kedengaran mirip suaranya sendiri membuatkan dia menoleh ke belakang. 

Belum sempat mengenal pasti kelibat yang memanggil, dia mendengar bertalu-talu namanya diseru. Bergaung-gaung sampai tidak terkira banyaknya namanya diseru menyebabkan dia menjerit secara tiba-tiba sambil menekup telinga.

“Dahlia!” Suara lelaki pula kedengaran, menyentap tangan yang digunakan untuk menekup telinga.

Terus suara yang menyakitkan tadi hilang, dia mengangkat pandangan. Terlihat Aniq Zafran berdiri di hadapan memegang tangan Dahlia.

“Awak…” ujar Dahlia dengan lemah sambil kebingungan.

“Betul, Dahlia. Pertemuan kita bukan kebetulan. Memang ada perkara yang berkaitan antara kita,” balas Aniq Zafran, lagilah membingungkan kurator muda itu.

“Bukan kebetulan?” Soal Dahlia kembali dengan masih berasa keliru.

Aniq Zafran tersenyum, “Cuba lihat sekeliling awak…”

Terpinga-pinga disuruh berbuat sedemikian, Dahlia terus mengangkat pandangan melihat suasana sekeliling. Terbeliak besar matanya sambil terlopong dengan perasaan tidak percaya. Dia melihat Aniq Zafran semula.

“Selamat kembali daripada lena yang panjang,” kata Aniq Zafran, menghulurkan tangan kepada Dahlia.

Dahlia hanya memandang sahaja dengan pandangan kosong.


Mereka tidak bersuara, hanya saling merenung antara satu sama lain tanpa berkelip. Aniq Zafran dalam keadaan berdiri sambil memeluk tubuh manakala Dahlia dalam keadaan duduk di atas kerusi Sunshine Café. Mereka saling berhadapan, suasana biasa untuk barista dan pelanggan di Sunshine café.

“Hmmm… awak perlukan apa-apa minuman?” ujar Aniq Zafran, orang yang memulakan kembali perbicaraan mereka.

Ligat tangan Aniq Zafran menuangkan air kosong ke dalam gelas kaca. Apabila diletakkan gelas di hadapan Dahlia, perempuan itu hanya memandang sahaja. Muzik Jazz rancak menemani ketika ini tidak mampu memberikan rasa gembira kepada Dahlia.

Hujan renyai-renyai di luar Sunshine Café diperhatikan dalam 10 saat. Dahlia dapat mendengar bunyi kenderaan di luar di samping pejalan kaki dengan payung masing-masing, melindungi diri daripada kebasahan.

“Kebelakangan ni hujan je. Dah masuk musim tengkujuh agaknya,” komen Aniq Zafran berjaya membuatkan Dahlia menoleh memandangnya kembali.

Dahlia bagai tiada apa-apa perasaan ketika ini. Sebuah kalendar terletak begitu hampir membuatkan dia berasakan kalendar itu sengaja diletakkan di situ untuk dibeleknya. 

‘Apa yang terjadi dengan hari-hariku sebelum ini?’ soalnya dalam hati, masih lagi memandang kalendar.

Dahlia terkaget, dia dapat membayangkan helaian kalendar terselak secara mengundur dengan begitu laju seakan-akan mengajaknya kembali ke masa silam. Dahlia terbangun dari duduk untuk menjauhi fenomena pelik sebegitu. Dadanya berombak, menahan rasa takut dan cemas.

“Apa yang awak lihat?” soal Aniq Zafran kepada Dahlia yang ketakutan.

Terkebil-kebil Dahlia, dia tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan.

“Saya nampak… nampak kalendar ni terselak sendiri!” balas Dahlia, bibirnya bergetaran hebat.

“Di mana tarikh iya berhenti?” soal Aniq Zafran dengan laju, dia sudah serius.

Dahlia melihat kembali kalendar tadi, tiba-tiba kembali terselak sebelum terhenti pada suatu bulan. Dia dapat melihat terdapat satu tarikh yang dipangkah dengan pen oleh seseorang.

“Kenapa dengan tarikh itu?” ujar Dahlia, mengikut naluri hati.

“Tarikh yang menarik. Awak ada apa-apa kenangan tarikh tu?”

Terus Dahlia mengigit ibu jari, dia menjadi gementar tanpa sebab.

“Tak apa kalau awak tak ingat,” kata Aniq Zafran, sebenarnya mahu mencabar ingatan Dahlia.

Tenaga Dahlia semakin berkurangan, dia kembali duduk lalu meneguk air kosong yang terhidang. Ekor mata terpandang permukaan lantai diperbuat kayu dipenuhi dengan kaca gelas yang pecah. Selain itu, laju sahaja dia melihat gelas kaca di dalam sinki yang masih belum dicuci Aniq Zafran.

“Ada… ada pelanggan lain ke sebelum saya?” soal Dahlia, ingin tahu.

Dengan munculnya soalan itu, tahulah Aniq Zafran apa yang diperhatikan oleh Dahlia sebentar tadi. 

“Awak memang seseorang yang terlalu ingin tahu. Patut awak jadi partner dalam kes penyiasatan saya.”

Kata-kata Aniq Zafran tidak diendahkan, Dahlia meneguk minumannya yang masih tersisa sambil menunduk pandangan. Dia sempat termenung sebentar, fikirannya menerawang ke tempat lain.

“Ada apa-apa lagi yang awak nak tahu atau nak luahkan apa-apa? Anything… you can tell me.”

Pertanyaan itu membuka ruang kepada Dahlia untuk merungkai persoalan bermain di minda. Dia memerhati sekali lagi ruangan dalam Sunshine café yang terasa aneh kepadanya. Selama hidupnya, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke mari.

“Tempat ni… saya pelik kenapa saya berada di sini? Saya… saya sepatutnya di tempat kerja, Galeri Seni Antonio,” cerita Dahlia namun terjeda sebentar kerana mengingati semula peristiwa lalu.

“Jadi? Awak tak habis cerita, betul?” duga Aniq Zafran.

“Saya bermimpi yang bukan-bukan. Mimpi bertemu dengan orang yang aneh. Paling tak boleh dipercayai, saya… saya nampak diri saya sendiri yang merompak masuk ke dalam Galeri Seni Antonio? Tapi saya… saya tak boleh nak kawal perbuatan saya sendiri? Saya macam…”

“Macam kerasukan watak?” komen Aniq Zafran dengan memek muka yang masih ceria, mengelirukan Dahlia sama ada dirinya sedang disindir ataupun tidak.

Dahlia terkejut, sudah dua individu mengatakan dia sedemikian. Kata-kata sedemikian bagai kena pada batang hidung sendiri.

“Dahlia… you want to know something? Tentang kalendar yang berhenti pada suatu tarikh… tentang cawan yang masih belum dicuci saya dan tentu sekali kaca pecah bawah kaki awak tu?”

Laju-laju Dahlia menghabiskan terus minumannya, tekaknya terasa kesat mendengar kata-kata itu. Dahinya tidak semena-mena berpeluh. Dengan rakus, dia menyeka peluh menggunakan hujung baju. Dia inginkan minuman lagi namun, tidak menuruti nafsunya. Gelas dielus-elus dan Aniq Zafran perasan akan itu.

“Awak mahu air lagi? Jangan malu-malu… kita bukan baru kenal pun.”

Gelas dari tangan Dahlia diambil Aniq Zafran. Dia menuangkan air kosong ke dalam gelas kosong itu lalu diberi kepada Dahlia.

“Awak boleh minum seberapa banyak awak nak. Ambil… saya tak akan kerugian pun kalau awak minum air masak banyak kali. Kalau awak nakkan air manis lain yang sedap-sedap pun… saya boleh buatkan. Demi nama persahabatan, saya belanja awak.”

Terus Dahlia mengambil gelas berisi air lalu diteguk sampai habis. Dia tidak siap untuk menghadapi kenyataan yang bakal diberitahu Aniq Zafran.

Tidak semena-mena Aniq Zafran berkaca menggunakan cermin bulat yang diambil dari dalam laci. Dia bangga melihat wajahnya sendiri dalam cermin, rambut pendek berjuntaian di dahi diusik-usik menggunakan jari-jemari.

“Nak tengok wajah awak pada cermin? Awak tak nak kemaskan wajah awak yang comot tu? Banyak betul peristiwa awak hadapi kebelakangan ni, tentu fikiran kusut. Nak?” 

Cermin bulat dihulurkan kepada Dahlia. Apabila Dahlia tidak menyambutnya, Aniq Zafran terus meletakkan di depan perempuan itu. Dahlia tidak berani untuk melihat imej sendiri dalam cermin seseolah akan melihat makhluk menakutkan di situ sekaligus menjadi mimpi ngeri yang sukar lupakan selama berhari-hari.                                                

Mungkin ketakutannya sudah sampai kemuncaknya, dia mengambil cermin itu lalu dibaling dengan kuat mengenai mesin kopi di belakang Aniq Zafran. Habis berterbangan serpihan kaca, nasib tidak mengenai mana-mana tubuh mereka berdua.

“Wow… nice shot!” jerit Aniq Zafran kepada situasi tidak terjangka sebegitu.

Dalam hati hampir menangis melihat mesin kopi diperlakukan sedemikian, ‘Not my baby!’

Dahlia terus bangkit dari duduk, dia keluar terus dari bangunan Sunshine Café. Dia sudah tidak betah berada di situ. Sepanjang perjalanan, dia mengelakkan diri daripada melihat pantulan wajah pada mana-mana permukaan kaca.

“Jumpa lagi,” ucapnya, sempat melambai tangan mengiringi pemergian Dahlia.

Aniq Zafran hanya membiarkan Dahlia pergi. Biarlah wanita itu menenangkan diri agar perlahan-lahan dapat menghadam realiti.


Previous: Bab 51
Next: Bab 53

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.