Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
END I

Zaqwan menanti dalam debar akan kedatangan Mawar. Kali pertama dia meluangkan masa melawat Mawar setelah berbulan-bulan isterinya dipenjara. Selama itu juga, hidupnya tunggang-langgang mujur sahaja ibunya sentiasa memberi kata-kata semangat. Paling penting, Manisah menekankan rasa ingin memaafkan sama seperti arwah ayahnya, cikgu Zainuddin. Mereka hanyalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesalahan.

Pintu engsel pintu besi mematikan lamunan Zaqwan. Dia berdiri, perasaannya bercampur-baur. Gembira, rindu, rasa bersalah bersatu. Sebaik sahaja Mawar muncul, hatinya terasa damai melihat air mukanya tenang bagai tiada secebis dendam tersimpan.

Masing-masing mencapai ganggang telefon. Zaqwan gementar untuk bersuara, tangannya menggeletar. Dia datang sebagai suami, kekasih, pencinta dan perindu kepada wanita itu. Selain itu, dia turut mempunyai peranan untuk menyampaikan berita menyedihkan kepada Mawar. Dia sangat berharap untuk merangkul erat tubuh wanita itu.

“Apa khabar, abang?” 

Mawar bersuara dahulu. Zaqwan pula terkelu.


Beberapa hari sebelum…

Mawar duduk memegang lutut sambil menangis. Cerita yang disampaikan Manisah sebenanrya bukanlah cerita yang asing pada ingatannya. Hanya sahaja selama bertahun-tahun cerita itu dipendam dan dianggap sebagai mimpi semata-mata.

Cahaya matahari yang terhad menerobos masuk melalui jeriji besi. Mawar termenung menyaksikannya. 

“Mama… abang,” panggilnya, rindunya sentiasa membara kepada dua insan itu. 

Kemudian, dia senyap seketika sebelum tiba-tiba menumbuk lantai dengan kuat. Sakit tangannya tidak sesakit dalam hatinya.

“Papa!” 

Bayangan wajah Encik Antonio bermain-main di fikiran. Dia berusaha menyingkirkan bayangan yang hanya membuatkan rasa bencinya membara. Rambut dikusut-kusutkan dengan ganas.

Ada kehangatan dari tangan seseorang memegang lembut tangannya daripada terus bertindak ganas.

“Mawar sayang.”

Dia menegakkan kepala sebaik sahaja namanya dipanggil.

“Mama?” 

Mamanya wujud dalam pakaian serba putih bersih. Wajahnya tenang dan senyumannya mendamaikan. Dia tidak teragak-agak terus memeluk Mawar yang dahagakan kasih sayangnya. Mereka tenggelam dalam rasa rindu masing-masing. Api kemarahan dalam jiwa Mawar lenyap secara beransur-ansur. 

“Bawa saya pergi bersama dengan Mawar,” rintihnya.

“Tidak… kamu harus teruskan hidup,” pujuk mamanya.

“Tak ada sesiapa menyayangi saya.”

“Ada… selain mama… suamimu sangat menyayangi kamu. Tuhan juga sangat sayang kepada kamu. Kamu diberi masa di dunia untuk menebus akan kesilapan lalu.”

“Boleh ke dosa-dosa saya dimaafkan? Dosa saya terlalu banyak. Saya bersalah terhadap banyak orang. Saya telah bunuh orang! Saya telah memalsukan hasil kerja orang sebab tamak!”

Pipi anaknya disentuh dengan lembut. Dia tidak menjawab sebaliknya memeluk erat tubuh Mawar. Biarlah kehangatan tubuhnya membuatkan Mawar berfikir sendiri. Kasih sayang akan memberi jawapan.


Previous: Bab 62
Next: END II

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.