Home Novel Thriller/Aksi ETHOS
ETHOS
LUNA
25/9/2017 14:01:05
21,707
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 1-2

20 Oktober 2014; 07:30 AM

Keadaan di tempat kejadian pembunuhan seorang lelaki berumur 29 tahun itu dipenuhi orang ramai yang sepatutnya menuju ke tempat kerja mereka namun berhenti melihat. Pita pelekat polis menutup sudut tersebut dan kamera terus mengambil gambar dari pada kamera polis kepada media dan juga orang ramai. 

Amirul berjalan menuju ke arah tersebut dan menunjukkan ID polisnya sebelum pegawai polis yang menjaga kawasan membenarkan dia masuk. Safuan berjalan ke arah Amirul dan memberikan senyuman. Safuan telah sampai beberapa minit awal daripada Amirul disebabkan rumah Safuan terletak lebih dekat dengan kawasan kejadian berbanding dengan rumah Amirul. 

“Kes apa yang kita dapat pagi-pagi macam ini?” soal Amirul sambil dia memakai sarung tangan yang diberikan kepadanya. Amirul sedikit menyumpah dengan keadaan disebabkan penjenayah memang tidak tahu menghormati masa beroperasi polis. Dia paling tidak suka jikalau ada kes berlaku tatkala dia bercuti. 

“Kes bunuh” kata Safuan menerangkan dengan ringkas dan Amirul memanang Safuan menanti maklumat yang lebih lanjut.“Mangsa bernama Chiew Fok Lei berumur 29 tahun dan bekerja sebagai sales manager di sini”

“Sini? Sini tu mana?” soal Amirul tidak dapat menangkap apa yang dimaksudkan oleh Safuan dan separuh daripadanya disebabkan ia terlalu awal untuk otaknya beroperasi dengan baik. Tambahan lagi dia belum lagi bersarapan pada hari itu.

Safuan menunjuk ke arah atas ke arah papan tanda supermarket yang menjadi tempat pembunuhan. Amirul mendongak ke atas dan kemudian mengagguk faham setelah membaca papan tanda terbabit. “Punca dan masa kematian?” soalnya kemudian.

“Tembakan dan masa kejadian adalah 7 pagi” Safuan membaca nota yang ditulisnya pada buku nota yang memang menjadi kemestian oleh pihak polis. Selain kes tersebut terdapat pelbagai kes yang turut terkemas rapi di dalam buku notanya itu. Dan terdapat juga contengan yang dilakukannya.

“7 pagi? Jadi ia baru berlaku?” riak muka Amirul berubah mendengarnya. Jarang ada kes yang baru berlaku dan pihak polis datang cepat seperti ini. Kebanyakannya disebabkan laporan yang dibuat sedikit lambat menyebabkan polis lambat bertindak.

“Ya. Kita menerima laporan sebaik sahaja mangsa meninggal dunia. Panggilan dibuat oleh Nur Rasidah Binti Mahmud, 23 tahun yang merupakan pekerja di sini. Dia turut merupakan saksi kepada kes ini dimana dia dan dua orang pekerja yang lain turut sama menyaksikan kejadian tersebut” sekali lagi Safuan membaca apa yang ditulisnya pada buku nota yang berada di tanggannya. 

“Sudah ambil keterangan saksi?” soal Amirul dan Safuan menunjuk ke arah beberapa orang yang sedang duduk tidak jauh dengan tempat kejadian. Beberapa orang polis wanita berada bersama dengan mereka. 

“Trauma. Tapi ada beberapa keterangan yang telah kita terima. Yang selebinya Syafiqah sedang dan akan ambil keterangan mereka” kata Safuan dan Amirul menangkap belakang pemilik nama, Syafiqah tersebut. 

“Ah. Okay” kata Amirul sebelum dia memandang sekeliling dan terlihat CCTV berhampiran. “Sudah periksa CCTV?” tanyanya sebelum dia melihat mangsa yang berada di depannya. Dia mencangkung dan melihat kesan tembakan yang berada tepat pada dahi si mangsa. 

“Sudah. Segalanya seperti yang saksi kemukakan. Dan mereka tidak nampak siapa yang melakukannya disebabkan jerebu” jelas Safuan memandang ke arah mangsa seperti Amirul. Dia telah memeriksanya terlebih dahulu sebelum Amirul datang.

“Kalau bukan jerebu mereka tetap tidak dapat nampak” kata Amirul disaat matanya tepat memandang kesan tembakan yang berada di dahi mangsa.

“Huh? Kenapa?” soal Safuan sambil memandang ke arah Amirul. Dia telah memeriksanya terlebih dahulu namun dia tidak pasti akan apa yang berlaku. Kepakarannya adalah di meja pembedahan dan bukannya di kawasan kejadian.

“Ini kesan tembakan jarak jauh. Sniper. Dan mungkin bukan calang-calang sniper. Profesional yang boleh menembak dalam keadaan yang berjerebu” kata Amirul sebelum dia bangun dan memandang sekeliling. Memerhatikan kawasan sekeliling dan meneliti jikalau terdapat tempat yang berkemungkinan digunakan oleh penembak jarak jauh. Namun terdapat terlalu banyak kemungkinan di sekitar kawasan tersebut. “Saya nak tengok rakaman CCTV” katanya. Berfikiran yang di dalam video dia akan lebih mengetahui segalanya. 

Mereka berdua kembali ke balai polis dan melihat rakaman CCTV yang telah diambil oleh mereka. Amirul memainkan rakaman tersebut beberapa kali dan pada tempat yang sama. “Awak ada kesan sesuatu ke?” soal Safuan yang turut sama melihat rakaman tersebut. Dia tidak dapat melihat apa yang dilihat atau difikirkan oleh Amirul.

“Arah tembakan. Ia dari sini” kata Amirul. Jarinya menunjuk arah tersebut dan Safuan menunduk ke hadapan untuk melihat kawasan tersebut. Ada sedikit sesuatu dikesan melalui video yang tidak begitu jelas dan hitam putih seperti filem 60’an tersebut. “Dan berdasarkan kesan tembakan, ia pada aras yang tinggi” 

Amirul bangun dari kerusinya dengan tiba-tiba dan menyebabkan Safuan terkejut dengan tindakan spontan lelaki itu. Dia kemudiannya mengambil jaketnya yang seperti selalu digantung pada kerusinya. “Saya nak periksa tempat kejadian” katanya sambil menyarung jaketnya dan berjalan keluar. 

“Tunggu. Saya nak ikut sekali” kata Safuan yang kemudian ke tempat duduknya untuk mengambil jaketnya dan terus mengejar Amirul yang menunggu di pintu masuk.

~~~~

“Seiren! Kerja awak masuk TV!” jerit Centaur dan kemudian kedengaran bunyi beberapa tapak kaki berlari ke arah dia. Mereka semua kini menghurungi sofa yang di duduki oleh Centaur seorang diri tadi. Namun di antara mereka Chimera tidak berada di situ. Kerana lelaki itu lebih selesa memandang skrin komputer.

“Mana?” soal Seiren sambil dia melihat ke arah TV. “Wow. Media memang pantas” katanya sambil bibirnya membentuk senyuman berpuas hati.

“Kerja kita yang pertama. Permulaan ETHOS” kata Deamon sambil memeluk pinggang Seiren dan dia tersenyum berpuas hati. Seiren memandang Deamon dan memberikan senyuman yang sama. Fikiran mereka seakan berfikir sesuatu yang sama pada masa itu.

“Kerja kedua kita saya hendak lakukan” kata Basilisk sambil dia mengambil tempat duduk di sebelah Centaur. Kakinya pula diletakkan diatas meja kopi. Dia seakan-akan menunjukkan yang dia inginkannya pada saat itu.

“Owh. No. Kerja kedua milik Deamon” kata Erlking sambil memberikan fail kepada Deamon. Deamon mengambilnya dan membaca kandungan fail tersebut. Dia membelek fail tersebut dan sedikit sebanyak menghafalnya.

“Kenapa? Saya sudah lama bersedia” kata Basilisk dengan masam muka. Dia dari awal bersabar apabila Seiren yang terpilih untuk operasi mereka yang pertama dan kali ini kes kedua diberikan kepada Deamon. Walaupun Deamon merupakan ketua mereka, dia tetap tidak ingin mengalah.

“Sebab awak tidak akan jumpa calon kali ini tidak kira macam mana awak lakukan. Sabar. Saya dah dapat fail yang sesuai untuk awak. Dan awak mesti suka” kata Erlking menjelaskan segalanya dan senyuman keluar daripada bibirnya apabila dia berkata ayat terakhir tersebut.

“Betul? Yes” kata Basilisk gembira sambil tangannya digenggam. Sedikit tarian keluar daripadanya yang diendahkan oleh mereka semua. 

“Kita patut buat party ke apa ke?” soal Chimera sambil dia berjalan masuk ke bilik tersebut. Mereka semua memandang dia dan tersenyum. Sejak dari tadi Chimera berada di biliknya dan menonton berita tersebut mengunakan komputernya.

“Idea yang bagus” kata Centaur dengan senyuman gembira. Mereka semua memandang antara satu sama lain dan mengangguk setuju.

~~~~

Amirul berdiri di tempat kejadian yang kini kosong setelah mayat mangsa dibawa ke balai polis. Satu-satunya kesan yang ada adalah kesan tekapan badan mangsa. Amirul melihat ke arah rakaman yang dimainkan melalui ipad yang berada di tangannya. “Jikalau melihat pada rakaman CCTV, sniper sepatutnya berada di arah ini” kata Amirul sambil dia membetulkan diriannya dan berhenti pada tempat yang difikirkannya. 

Safuan memandang ke arah yang Amirul pandang dan kemudian memandang Amirul. “Apa yang awak fikirkan sekarang?” tanya Safuan. Di hadapan mereka terdapat beberapa bangunan yang berkemungkinan menjadi tempat penembak jarak jauh tersebut melepaskan tembakannya.

“Bangunan tu” kata Amirul sambil dia menunjuk ke arah sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan. Safuan memandang ke arah bangunan yang ditunjukkan oleh Amirul dan dia melihat bangunan yang masih dalam pembinaan itu. 

“Ya. Kenapa” soalnya. Walaupun dia tahu jawapan yang bakal diberikan oleh Amirul, dia lebih suka mendengarnya keluar dari mulut Amirul daripada dia memikirkannya.

“Saya rasa sniper tu melepaskan tembakan daripada bangunan itu” kata Amirul sebelum dia berjalan menuju ke arah bangunan tersebut dan Safuan hanya mengikuti dia. 

Mereka tiba di tempat pembinaan tersebut dalam masa 15 minit berjalan kaki dan Amirul berjalan di sekitar bangunan yang masih dalam pembinaan itu. Dia memeriksa kawasan tersebut untuk mencari jikalau ada sesuatu yang menarik perhatiannya. Setelah tidak menjumpai apa-apa dia kemudiannya menghampiri salah seorang pekerja dan bertanyakan pengurus mereka. 

Amirul dan Safuan diiringi ke tempat dimana pengurus mereka berada dan setelah pekerja tersebut berkata dengan pengurus dia berjalan untuk meneruskan kerjanya. Pengurus tersebut mendekati Amirul dan Safuan sambil tersenyum.

“Bangunan ini merupakan sebuah hotel. Mungkin akan siap dalam masa setahun setengah lagi” kata pengurus sambil dia menunjukkan jalan. “Kami mula beroperasi pada pukul 8 pagi dan berhenti pukul 5 petang macam masuk kerja waktu biasa” terangnya lagi.

“Dalam pukul 7 pagi ini, ada tidak sesiapa terdengar bunyi yang kuat atau orang yang tidak dikenali datang?” Amirul memulakan soal selidik.

“7 pagi? Terlalu awal. Tiada pekerja yang akan datang jam 7. Paling cepat yang datang ialah jam 7.30 pagi. Itu pun mereka akan makan dekat mamak hujung jalan dulu sebelum datang sini” jawab pengurus tersebut sambil menunjuk ke arah jalan yang bertentangan dengan tapak pembinaan tersebut.

“Orang yang tidak dikenali?” soal Safuan menyambung soalan Amirul atau lebih tepat lagi bertanyakan lebih lanjut mengenainya.

“Tiada. Tiada sesiapa yang nampak atau hendak masuk kawasan berbahaya dan dalam pembinaan macam ini. Kalau silap sikit boleh mati” katanya dengan sedikit tegas. Seperti memberitahu mereka berdua yang kawasan tersebut berbahaya.

Amirul menunduk faham. “Kalau macam itu, boleh awak tunjukan saya setiap tingkat bangunan ini?” soal Amirul dan Safuan memandang Amirul terkejut. Mukanya berubah pucat seperti baru keluar dari peti ais.

“Setiap tingkat? Saya takut tinggi” kata Safuan mengeluarkan alasanya walaupun jikalau boleh dia ingin menguburkannya. Tetapi pada saat ini ia lebih sesuai untuk jujur mengenainya.

“Kalau takut tinggi, tinggal dekat sini” kata Amirul sambil mengikut pengurus yang berjalan menuju ke arah lif yang tersedia. Safuan berfikir untuk seketika sebelum dia berlari ke arah Amirul and pengurus. “Saya nak ikut sekali”

Mereka bertiga berhenti di tingkat 24 setelah berhenti di tingkat 15 hingga ke tingkat 23 dan tidak menemui apa-apa bukti. Amirul tidak bermula dari tingkat 14 kebawah disebabkan kelencongan tembakan yang dilihat boleh dikatakan berada di aras yang lebih tinggi. Amirul berjalan ke arah tempat yang membenarkan dia melihat supermarket dan tempat kejadian. Safuan berjalan sedikit perlahan dan di belakang sekali disebabkan ketakutan masih membelengu dirinya. Dia sedikit bersumpah dan sedikit berdoa dalam keadaan tersebut.

Disaat Amirul memandang ke arah tempat kejadian, Safuan memanggil namanya. Amirul memandang ke belakang dan bertanya “Apa?”

“Cuba tengok bawah. Dekat kaki awak” kata Safuan dan Amirul melihat ke bawah. Kelihatan beberapa perkataan ditulis menggunakan spray berwarna merah. Dia berjalan ke arah Safuan dan membaca ayat yang ditulis. “An eye for an eye, a tooth for a tooth, and evil for evil”

~~~~

Amirul menampal beberapa gambar di atas papan di dalam bilik itu dan mereka bertiga memandangnya. “Eye for an eye, tooth for a tooth daripada bible, kan?” tanya Fazli sambil melihat ayat tersebut yang ditulis menggunakan spray berwarna merah. 

“Ya. Ia ayat yang agak popular” kata Nasha pula sambil mengagguk. Dia tahu kemungkinan orang yang tidak pernah mendengar ayat tersebut sangat sedikit. Walaupun agama lain, ayat ini terlalu lazim untuk tidak diketahui.

“Selain ini tiada apa-apa bukti?” soal Zakuan memandang ke arah gambar tersebut dan meneliti segalanya. 

“Tiada. Tempat itu bersih tanpa apa-apa bukti. Cap jari, rambut, bekas peluru atau apa-apa sekalipun” jawap Amirul dengan sedikit tidak puas hati dapat didengar dalam percakapannya. 

“Saya dengar yang setiap mangsa pernah melakukan sesuatu kejahatan atau lebih tepat lagi penah membunuh. Apa yang mangsa ini lakukan?” soal Fazli dan semua mata memandang Fazli. Mereka semua pernah mendengarnya juga. Ia kes yang popular disebabkan motif kejadian.

Amirul mengeluarkan beberapa gambar dari fail yang dipegangnya dan menampalnya pada papan tersebut. “Tiga tahun sebelum itu ada kes dimana seorang perempuan berumur 15 tahun dirogol dan dibunuh. Kes masih dalam siasatan. Dan seterusnya enam bulan selepas itu, pekerja di supermarket  ini mati dibunuh. Kes turut dalam siasatan” terang Amirul dan mereka semua melihat gambar tersebut.

“Jadi macam mana awak tahu ETHOS membunuh mangsa sebab dua pembunuhan ini?” soal Nasha pula. Disebabkan tiada bukti yang penting melibatkan kejadian ini dan kejadian itu, berkemungkiHana terdapat sesuatu yang salah dalam penyelidikan mereka.

“Mulanya saya tidak syak apa-apa. Tapi disebabkan kes kedua, saya mula syak sesuatu” kata Amirul sambil berjalan ke arah mejanya untuk mengambil fail kes kedua.

“Macam mana dengan kes kedua?” soal Zakuan tidak sabar-sabar. Dan di saat itu Amirul memulakan penerangannya

Previous: Bab 1-1
Next: Bab 1-3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh LUNA