Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
409,183
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 13

SELESAI mesyuarat bulanan bersamamanagement team, Syifa terus masuk ke bilik Juita. Dari jauh dia sudah nampak sahabatnya tersenyum sendiri.

“Amboi, ceria nampak?” tegur Syifa sambil meletakkan dokumen di atas meja Juita.

“Kenyang dapat makan ikan tongsan!” Juita tersenyum meleret.

“Ooo… dapat jumpa abang tongsanlah, ya?” duga Syifa.

“Taklah, tapi Iz dah beritahu aku maklumat pasal abang tongsan ni.”

“Iz cakap apa?” Syifa juga mahu tahu pasal lelaki yang bernama Jeffrey itu.

“Sah dia seorang jurutera! Iz pernah nampak dia di tapak projek di Presint 11, Putrajaya.”

“Kan aku dah kata! Aku punya telekan mesti betul punya.” Tidak habis-habis Syifa memuji diri sendiri.

“Okeylah, aku kena akui yang kau memang bijak menilai orang,” puji Juita.

“Tapi, diaResident Engineeratau kontraktor?” soal Syifa pula.

“Berdasarkan warna topi keselamatan yang dia pakai, Iz kata dia adalah konsultan kat projek tu. Tapi dia bukanResident Engineersebab kadang-kadang aje dia ada katsite.” Begitulah yang Izuddin beritahu kepada Juita.

“Kira baguslah kita punya inspektor buat kerja. Berdasarkan warna topi keselamatan pun dia boleh dapat banyak maklumat,” puji Syifa.

“La… dekat Putrajaya, setiap projek memang lain-lain warna topinya. Kalau ada beberapa projek di kawasan yang sama, dari jauh kita boleh tahu pekerja topi warna tertentu buat projek yang mana satu. Jadi pekerja tidak boleh sesuka hati berada di kawasan projek lain,” terang Juita.

Syifa mengangguk-angguk. Terlupa pula dia pasal hal yang satu itu.

“Agak-agak kau, ofis dia kat mana ya? Selalu pulak dia makan dekat Restoran Sharifah tu,” tanya Juita.

“Mestilah kat kawasan tu jugak. Tak mungkin dia dari kawasan luar. Dahlah waktu makan tengah hari cuma satu jam aje.” Syifa memberikan pandangannya.

“Tapi, aku rasa dia bos atau kerja sendirilah.” Juita menduga. Izuddin memang tiada maklumat lagi pasal syarikat tempat lelaki ini bekerja.

“Buktinya?” soal Syifa. Kini dia duduk menyilang kaki pula.

“Dia makan kat situ tak tentu masa. Selalunya pukul 12.30 tengah hari dah ada kat situ. Tapi pernah jugak dalam pukul 3.00 petang dia minum kat restoran tu,” beritahu Juita. Seingatnya, sudah beberapa kali jugalah dia perasan abang tongsan makan di restoran popular tu.

“Ya tak ya jugak. Macam kitalah, kan? Sesuka hati nak makan pukul berapa,” ujar Syifa. Rupanya dalam sibuk, sempat juga Juita mengintip abang tongsan. Ini memang kira Juita betul-betul suka dengan si Jeffrey ni.

“Pandai pun kau!” ujar Juita sambil bermain dengan pen di tangan.

So, Apa tunggu lagi? Kau tak rasa nak pikat abang tongsan tu ke? Karang dikebas orang, gigit jari kau.” Syifa bagai sengaja menduga sahabatnya. Juita ini kalau tidak diprovok, memang perlahan sikitlah langkahnya. Tetapi kalau pasal projek, laju sahaja!

“Gila kau?” Mata Juita sudah membulat mendengar cadangan kurang bijak Syifa.

“Sesekali tak salah kalau orang perempuan yang memulakan langkah,” ujar Syifa. Sahabatnya ini kadang-kadang ketinggalan zaman juga apabila bab memikat ini. Itu yang dia kena beri tip dan dorongan kepadanya.

“Tak dinafikan dia kategori yang aku suka. Tapi setakat untuk mata aku aje.” Juita masih mahu menyembunyikan perasaan yang dirasa. Tidak mahu sahabatnya dapat membaca apa dalam fikirannya.

“La… ingatkan dah masuk dalam senarai calon-calonnya!” Syifa masih mahu mengusik.

“Pada kaulah, perkahwinan itu satu jodoh atau pilihan?” Tiba-tiba Juita mahu tahu pendapat sahabatnya pasal perkara itu pula.

“Nak cakap macam mana, ya? Jodoh itu memang telah ditentukan TUHAN. Cuma cara mana ia terjadi, itu tetap rahsia ALLAH.”

“Maksud kau?” Juita semakin teruja dengan penjelasan Syifa. Bukanlah dia tidak tahu pasal hal itu. Syifa sudah bertunang, sedikit sebanyak kena ambil berat juga pandangan sahabatnya itu.

“Tak kira ia pilihan atau tak, jika dah sampai jodoh maka terjadilah ijab dan kabul. Tapi kalau memang bukan jodoh kita, di depan tok kadi pun pernikahan takkan berlangsung,” terang Syifa.

“Bagaimana pulak tentang bercinta selepas kahwin?” Banyak benda pula yang bermain di fikiran Juita ketika ini. Buat sementara waktu pasal kerja ditolak ke tepi.

“Kau pun tahu yang kita sama-sama tak ada pengalaman pasal hal ini. Tapi rasanya bercinta selepas kahwin ada indah dan manisnya,” sebut Syifa sambil tersenyum.

“Rupanya susah jugak nak buat keputusan. Kita boleh memilih, tapi ALLAH jua yang tentukan.” Buat seketika Juita cuba menyelami perasaan sendiri. Soal jodoh memang tidak boleh dirungkai dengan akal yang cetek.

“Tak payahlah nak pertikaikan sangat pasal jodoh ni. Sekurang-kurangnya kita tak perlu takut nak mengurat dia yang di depan mata.” Syifa masih lagi mahu Juita yang terlebih dahulu bertindak.

“Pandailah kau!” balas Juita pula. Untuk dirinya memulakan langkah, memang tidak sesekali dilakukan! Dia masih mahu menjaga tatasusila.

“Ada berani mengurat abang tongsan yang segak tu?” sakat Syifa.

“Sudahlah! Mentang-mentang dah bertunang.” Juita sudah mencebik.

“Baru tunang, belum jadi suami lagi.”

“Amboi! Macam ada hati nak cari lain aje?” Kini giliran Juita pula mengusik Syifa.

“Tak adalah. Walau dia jauh beribu batu, dia sentiasa di hatiku ini,” balas Syifa dengan gaya-gayanya sekali.

“Harap-harap ia bukan sekadar penyedap kata!”

“Kalau dah bercinta, kita kena setia. Jauh di mata bukan halangan,” ujar Syifa menggambarkan betapa cintanya hanya untuk tunangnya sahaja.

“Memang beruntunglah si Norman,” puji Juita.

“Sama-sama beruntung sebenarnya!” balas Syifa dan mereka berdua sama-sama tertawa.


PETANGNYA, Syifa dan Juita pulang awal. Mereka mahu mengambil angin dan berjoging di Tasik Cempaka. Sudah agak lama juga mereka tidak berkunjung ke sini. Dahulu, boleh dikatakan saban hari mereka berjoging dan bersenam di sini. Kesibukan tugas menyebabkan aktiviti sihat ini terpaksa dilupakan.

“Kenapa kau asyik tengok pokok semalu tu?” tanya Syifa ketika mereka melepaskan lelah si wakaf yang ada di taman tasik ini.

“Hmm… aku teringin nak jadi seperti pokok semalu itu,” jawab Juita sambil meneguk air mineral yang dibawa. Peluh di dahi kemudiannya dilap dengan lengan bajunya.

Mereka ke taman tasik itu kononnya hendak bersenam. Akhirnya baru satu pusingan berjoging mengelilingi tasik, sudah terasa penat. Nampak sangat sudah lama tidak menyihatkan badan.

“Nak jadi seperti semalu?” soal Syifa sambil melepaskan pandangan pada keindahan landskap yang mewarnai taman itu. Terasa nyaman dan menyegarkan.

“Yalah, pandai jaga diri dan tebal dengan sifat malu,” jawab Juita penuh dengan pengertian.

“Apasal tak jadi buah durian aje?” Sengaja Syifa hendak bergurau.

“Ada ke buah durian pulak?”

“Yalah! Buah durian, kan raja segala buah? Hmm… tahan lasak dengan dugaan dan tidak goyah dengan soal perasaan,” jawab Syifa bagai memerli pula.

“Huh! Kalau macam tu baik aku jadi landak aje. Sekurang-kurangnya aku boleh ke sana ke mari. Jadi durian, akhirnya masuk dalam perut orang jugak,” balas Juita, tidak mahu mengalah.

“Sebenarnya kau nak beritahu apa?” tanya Syifa. Kini dia sudah bangun dan membuat senaman ringan.

“Aku sebenarnya nak jadi macam-macam, tapi nasib tak selalu menyebelahiku. Nak jadi anak kesayangan, sejak kecil aku ni tak pernah dapat bermanja dengan abah aku. Mahu jadi kesayangan suami, sampai sekarang kekasih pun tak mandang,” keluhnya.

Kini Juita juga turut melakukan senaman ringan. Mahu terus mengelilingi tasik ini buat kali kedua, memang tidaklah. Sampai rumah nanti pasti sudah tidak bermaya dan akhirnya tidur. Bermimpi dan terus mengimpikan kehidupan yang sukar untuk dicapai.

“Kalau kita masih tidak menemui apa yang kita inginkan, jadilah apa yang kita impikan itu untuk orang lain. Bila orang lain bahagia, diri juga akan turut bahagia.” Syifa mahu berfalsafah pula.

“Ya ke?” soal Juita.

“Betullah apa yang aku cakap tu. Ops silap, kata-kata tu aku pinjam dari pakar motivasi.”

“Jomlah kita pekena cendol pulut kat depan tu,” ajak Juita pula. Tiba-tiba dia teringin makan sesuatu yang menyegarkan. Semasa sampai tadi, dia memang sudah nampak van yang menjual cendol itu.

“Aku peliklah dengan kau ni. Makan-makan, tapi badan tak naik-naik jugak,” komen Syifa.

“Metabolisme aku tinggi, makan banyak mana pun takkan buat aku gemuk,” balas Juita.

“Aku tahu macam mana nak buat kau berisi,” sebut Syifa.

“Apa dia?” Pantas Juita bertanya.

“Kahwin! Tak lama lepas tu,confirmberisi,” sebut Syifa dan terus tertawa.

“Betul jugak kan? Lepas kahwin mesti hati senang dan hidup bertambah ceria.” Juita mengeyakan kata-kata sahabatnya. Ingatkan hendak membangkang pula.

“Betul! Bila lapar terus makan. Suami balik, temankan suami makan. Anak lapar, suapkan pulak anak makan. Tanpa sedar nasi pun masuk jugak dalam mulut sendiri. Kononnya sayang dengan makanan yang berlebihan dan makan lagi…” Syifa ketawa dan ketawa lagi.

“Kau aje yang macam tu, aku tak,” sangkal Juita namun dia turut tertawa gembira.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.