Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
409,176
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 22

HUJAN turun dengan lebatnya membasahi bumi. Sebelum ini, sudah lebih seminggu juga cuaca asyik panas sahaja. Bertambah malang apabila ada jerebu pula. Jeffrey memang mengurangkan aktiviti di luar.

Seketika dia melepaskan keluhan berat. Kenangan singkat yang terukir di lubuk hati semakin sukar dihilangkan. Berkahwin dalam masa yang terdekat memang bukan dalam perancangannya. Namun, kerana mulut dia terpaksa membuat keputusan drastik.

Tiba-tiba sahaja hatinya kuat mengatakan perlu meneruskan apa yang telah terungkap. Andai bukan sekarang, dia tidak tahu bila lagi akan bertemu dengan gadis seperti Juita. Keberanian melamar gadis itu memang amat mengejutkan diri sendiri dan juga rakannya. Padahal, mengajak perempuan berdating pun belum pernah lagi dia lakukan.

Kini, wajah gadis itu datang lagi menghiasi layar hati. Dia sudah tidak betah dengan situasi yang dialami. Sesuatu perlu dilakukan dengan segera. Andai masih begini, mahu dia tidur berdiri!

Jeffrey menarik nafas dalam-dalam. Perlahan-lahan dia bangun dan menjenguk ke luar. Tiba-tiba berasa mahu lari dari semua ini. Pergi ke satu tempat untuk tenangkan fikiran yang semakin berkecamuk.

Kerisauan di hati semakin mencengkam dadanya. Tidak tahu kepada siapa harus diluahkan. ‘Juita oh Juita… Kenapa aku masih terkenangkan gadis itu?’ Melamarnya hanya kerana satu taruhan yang asalnya bukan dari hatinya. Apabila sudah berterus terang dan berbual dengan gadis itu, kini dia berasa lain pula.

Apa sudah jadi dengan dirinya? Setelah bersusah payah mengakui kesilapan diri dan beritahu cerita yang sebenar, kenapa diri ini masih terikat dengan gadis itu? Kenapa tiba-tiba tidak boleh lupakan dia?

Memang parah andai sudah begini. Akhirnya dia duduk di sofa dan memejamkan matanya. Dia berharap dapat lena dan melupakan masalah yang menghantuinya.


SELEPAS balik dari tapak pembinaan, Shahrul dan Azman terus menjenguk Jeffrey. Mereka memang selalu begitu. Selain berbincang dan bertukar fikiran tentang projek yang sedang dijalankan, juga berborak pasal ha-hal sampingan yang lain.

“Sibuk?” tegur Shahrul ketika masuk ke dalam bilik Jeffrey. Pintu memang sedia terbuka.

“Tak adalah. Site okey?” tanya Jeffrey.

Site tak ada masalah. Eh! Jom kita bercuti. Penatlah asyik bekerja aje,” cadang Azman pula.

Mereka memang sudah lama tidak bercuti bersama. Selepas Azman dan Shahrul berumah tangga, kalau bercuti memang dengan isteri masing-masing. Azman berasa kasihan pula dengan Jeffrey yang masih lagi solo dan terkontang-kanting.

“Okey jugak, tapi nak bercuti ke mana?” Jeffrey terpaksa bertanya juga walaupun hatinya sedang memikirkan perkara yang lain pula.

“Kalau dapat rafting kat sungai, syok oo…” sampuk Shahrul yang sudah terbayang kedinginan air sungai dan keseronokan ketika melalui jeram yang mencabar. Dia memang suka aktiviti yang melibatkan air ini.

“Aku pun ada dengar, rafting dengan Sungai Kampar memang seronok,” ujar Azman pula.

Yes, Sungai Kampar! Habis main air, boleh lepak kat kebun durian.” Shahrul sudah terjerit. Dia memang hantu durian, begitu juga dengan Jeffrey.

“Tapi, sekarang ni belum lagi musim durian. Kita kena tunggu masa durian luruh,” cadang Azman pula.

“Aku setuju aje. Walaupun tak boleh lawan dengan ‘musang king’, durian kampung ni pun ada keistimewaan tersendiri.” Terpaksa juga Jeffrey memberi respons dengan cadangan sahabatnya.

“Tak dapat aku bayangkan, rasanya musim durian kali ini sekali dengan musim buah manggis. Memang puas kita makan kalau kita bercuti ke sana tepat pada masanya.” Shahrul sudah teruja sungguh.

“Yang kau ni, apasal muram aje?” tanya Azman sebaik menyedari Jeffrey macam ada masalah sahaja.Perasan sahabatnya bagai kerisauan, tetapi cuba disembunyikan di balik wajah yang tenang itu.

“Yalah! Kau okey ke, Jeff?” sampuk Shahrul pula. Dia juga perasan yang si Jeffrey ini macam nak tak nak sahaja apabila bercakap.

“Entahlah. Okey dan tak okey jugak,” jawab Jeffrey kemudian tertawa, tetapi cuma sebentar.

Shahrul angkat kening. Terasa pelik pula apabila sahabatnya bereaksi begitu. “Macam lain aje bunyinya. Pasal kerja atau peribadi?” Shahrul cuba mengorek cerita.

Jeffrey senyap dan tidak menjawab pertanyaan Shahrul.

“Ini mesti pasal Juita. Eh! Apa cerita kau dengan dia, hah?” tanya Azman pula. Dia juga ingin tahu perkembangan hubungan Jeffrey dan Juita. Kesibukan bekerja membuat dia terlupa sebentar pasal hal itu.

“Ini yang susah nak beritahu,” keluh Jeffrey.

“Ceritalah, mana tahu kita orang boleh tolong.” Shahrul menawarkan diri walaupun belum tahu lagi apa masalah sebenar Jeffrey.

“Aku rasa aku dah jatuh hati dengan dialah.” Walaupun berasa segan, dia kena beritahu juga kepada Shahrul dan Azman.

“Akhirnya kau mengaku jugak!” Azman sudah teruja mendengarnya.

“Betul ke Jeff?” Shahrul juga sama teruja. Walaupun terkejut, namun dia gembira mendengarnya. Tidak sia-sia mereka mencabarnya.

“Masalahnya aku tak tahu nak buat apa. Sudahlah hari tu dia marah sakan bila aku berterus terang,” adu Jeffrey.

“Kalau mahukan cinta, perlukan ketulusan hati,Jeff.” Shahrul memberikan tip kepada sahabatnya yang sudah kebuntuan. Ayat yang dia gunakan pun boleh tahan juga bunyinya.

“Aku pasti dia takkan percayakan aku kalau aku luahkan perasaan aku kat dia,” keluh Jeffrey dengan kecewa sekali. Mengingatkan perbualannya dengan Juita, dia sudah dapat jangkakan.

“Silap kau jugak, siapa suruh kau berterus terang kalau hati kau dah mula terusik?” kutuk Shahrul. Bagi dirinya, tidak salah andai tidak berkata jujur asal tiada hati yang terluka. Selepas itu, pandai-pandailah hendak memujuk.

“Kau ni pun Shahrul… Manalah si Jeff ni tahu yang akhirnya dia benar-benar jatuh cinta kat Juita? Lagipun kita yang suruh dia berterus terang, kan?” tegur Azman pula.

Azman berasa simpati pula dengan apa yang sahabatnya alami. Setahunya, lelaki ini tidak mudah jatuh hati. Apabila sudah terjadi perkara sebegini, memang susahlah hendak membantunya.

“Memang payahlah kalau kau nak pikat si Juita ni. Bukan mudah untuk meraih kepercayaan orang. Sekali kau tipu seorang perempuan, memang sampai mati dia ingat,” komen Shahrul pula.

“Aku tak ada niat pun nak tipu dia. Ni korang punya pasallah!” Jeffrey menyalahkan sahabatnya pula.

“Okeylah, benda ni memang salah kita orang jugak. So, macam mana kita nak tolong si Jeff ni, Azman?” tanya Shahrul pada Azman.

“Hish kau ni… aku tengah fikirlah ni,” ujar Azman.

“Macam mana pun, aku kena pikat dia jugak. Korang pun tahu aku susah nak jatuh hati dengan perempuan,” beritahu Jeffrey.

“Kau ni betul-betul serius ke, Jeff?” tanya Shahrul. Dia bagai tidak percaya pula mendengarnya.

“Betullah!” jawab Jeffrey sepatah. Geram pula rasa hatinya apabila Shahrul tidak percaya.

“Kalau macam tu, kau kena pujuk sampai Juita nak jumpa dengan kau. Dapat aje berjumpa dengan dia, terus cakap kau serius dan nak terus kahwin. Kau nak bercinta lepas kahwin, kan?” usul Shahrul.

“Nak ke dia jumpa dengan aku?” soal Jeffrey pula.

“Nak tak nak kau kena pandai mengayat dia. Bagilah alasan ini soal hidup dan mati. Aku rasa dia mungkin akan pertimbangkan,” usul Shahrul. Pandai sahaja dia memberi buah fikiran.

“Yalah, aku akan cuba telefon dia dan ikut cakap kau,” putus Jeffrey. Dalam hati dia berdoa semoga TUHAN akan permudahkan urusannya ini.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.