Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
409,193
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 32

JUITA sudah lama tiba di Seri Pasific Hotel, namun bayang Syifa masih tidak nampak. Klien yang beria-ia mengajak mereka berdua dinner di sini juga masih tidak kelihatan. Ini yang Juita cukup pantang dan menyampah. 

Ketika dia tiba di sini, jam sudah menunjukkan pukul 8.20 malam. Kononnya klien mengajak dinner di sini pukul 8.30 malam. Sekarang ini jamnya sudah menunjukkan 8.50 malam! Dia cuba menghubungi Syifa, tetapi tidak dapat pula. Memang hendak kena sekeh orang yang tidak menepati janji ini. Juita terpaksa menahan rasa geram di hati.

Akhirnya Juita memerhati dan menikmati suasana sekeliling yang dirasakan begitu tenang sekali. Dia berada di satu sudut hotel yang agak istimewa. Hiasan dalaman hotel ini memang mempesonakan. Meja dan kerusi yang dia duduki sekarang pun lain daripada yang lain. Terasa diri dilayan istimewa pula.

Penat menunggu, sekali lagi Juita menghubungi Syifa. Tidak boleh jadi andai dia terus duduk di sini tanpa berbuat apa-apa. Kalau klien tidak jadi datang, baik dia pulang sahaja.

“Helo, kau kat mana?” Juita terus bertanya sebaik Syifa menjawab panggilannya.

“Kau tunggu aje kat situ. Aku dah sampai. Ni tengah cari parking.”

“Cepatlah sikit, dah lama aku menunggu kat sini,” ujar Juita dengan perasaan geram.

“Ya, sabar…” ucap Syifa dan terus memutuskan talian sebab tidak mahu mendengar bebelan Juita.

Juita melepas keluhan. Ini yang dia tidak suka. Menunggu dan terus menunggu. Klien ini pun satu, entah janji apa yang dia pakai!

Tiba-tiba kedengaran piano dimainkan. Juita terus membetulkan duduknya agar dapat memandang pemuzik yang sedang memainkan lagu klasik itu. Memang begitu indah dan mengasyikkan. Seketika Juita bagai terleka pula dengan alunan muzik itu.

“Amboi, khusyuk nampak!” tegur Syifa sambil duduk di kerusi sebelah Juita. Dia juga termengah-mengah kerana berjalan laju menuju ke sini.

“Apasal lambat? Eh, Norman pun ada sekali?” Terkejut Juita sebaik menyedari tunang Syifa juga ada bersama. Hendak membebel pun langsung tidak jadi.

“Maaflah. Boleh kan, Encik Abang aku ikut sekali?” Syifa mengangkat kening memandang Juita.

“Dah sampai, takkan aku nak halau pulak!” Juita faham sendiri walaupun Syifa tidak beritahu sebab tunangnya mahu tumpang sekaki.

Nice song,” puji Norman yang turut menyukai lagu yang dimainkan.

“Tulah… kalau kat rumah, boleh tertidur juga sebab mendayu sangat,” balas Juita. Walaupun dia langsung tidak pandai bermain piano, dia memang peminat setia Yanni dan Richard Clayderman. Dalam simpanannya ada berpuluh CD kedua-dua pemuzik hebat itu.

Syifa juga turut terbuai dengan alunan muzik itu walau baharu sahaja mendengarnya. “Eh, itu bukan Anuar Zain ke?” Tiba-tiba Syifa bertanya sebaik terpandang ada seorang lelaki berdiri di sebelah pemain piano itu.

Juita yang sedang terleka terus tersedar. “Mana?” Dia segera mencari kelibat orang yang Syifa maksudkan. “Yalah, itu memang Anuar Zain. Penyanyi pujaanku!” sambungnya dengan ceria sekali.

“Tidak sia-sia kita datang ke sini.” Syifa juga sudah teruja seperti Juita.

“Hmm… hmm…” Norman memberi isyarat.

“Alahai, Encik Abang ni! Handsome macam manapun jejaka pujaan Malaya tu, kau tetap di hatiku.” Syifa segera bersuara. Nanti tidak pasal-pasal ada pula yang merajuk sakan. Sudahlah mahu berjumpa bukan main susah. Dalam setahun, dua atau tiga kali sahaja baharu mereka ada peluang untuk berdating!

“Kali ini berapa lama you bercuti, Norman?” Sengaja Juita ingin tahu, tetapi matanya tidak lepas dari memandang penyanyi pujaan hati.

“Sebulan jugaklah,” beritahu Norman.

“Amboi! lamanya. Nak terus kahwin ke? Syifa tak cerita pun,” usik Juita sambil menjeling sahabatnya.

Nampaknya dia kena susun semula jadual kerjanya. Syifa tentu sahaja mahu meluangkan lebih banyak masa untuk bersama tunang tersayang. Kenalah dia ambil alih tugas Syifa buat sementara waktu.

“Kau ni… ke situ pulak!” rungut Syifa. Tidak senang dengan usikan Juita.

“Lama lagi ke, kerja Norman dekat Sudan tu?” Juita bertanya lagi. Setahunya, sejak tahun lepas lagi lelaki itu bertugas di sana.

“Balik nanti kena kerja lagi enam bulan, lepas tu saya dah merdeka!” Norman sudah tertawa dengan bicara sendiri.

“Hujung tahun boleh terus kahwinlah kalau dah macam tu. Tak adalah awek sorang tu angau memanjang.” Juita sengaja mengusik Syifa.

“Insya-ALLAH... you tolonglah doakan kita orang,” ucap Norman dengan gembira sekali.

“Wei, kau tak nak ambil gambar dengan Anuar Zain ke?” tanya Syifa pula, mengubah topik perbualan.

“Kau ni… kita bukan budak-budaklah!” sebut Juita.

“Kata minat bangat!” perli Syifa pula.

“Aku minat suara dan lagu dia aje,” sangkal Juita pula. Memang dia minat sangat dengan Anuar Zain, tetapi tidaklah sampai obsess dengan penyanyi itu.

“Oo… dah minat dengan orang lain, ya? Ingat nak rekomen kau kat dia,” usik Syifa sekadar bergurau menceriakan suasana.

“Hish kau ni!” marah Juita sambil menampar lengan Syifa. “Eh, klien kita ni jadi ke tidak dinner kat sini?” Tiba-tiba baru Juita teringat tujuan asal mereka ke sini.

“Ya tak ya jugak. Kejap aku telefon dia.” Syifa terus mengeluarkan telefonnya yang disimpan dalam beg tangan yang cantik dan comel.

Seketika Juita membelek beg tangan sahabatnya itu. Rasanya dia tidak pernah nampak. Hmm… hadiah daripada Norman agaknya. Dia menduga sendiri. Tengok pada reka bentuknya memang gaya terkini.

“Dapat?” soal Juita.

“Dia kata, sekejap lagi dia sampai.”

“Nasiblah projek juta-juta. Kalau tak, tak kuasa aku nak ke sini.” Juita sudah tunjuk muka bosan.

“Amboi! Boleh tahan jugak projek yang korang dapat, ya?” sampuk Norman pula. Tidak sangka dia rupanya bisnes Juita dan Syifa kencang juga.

“Ingat kita orang ni bisnes kerepek? Jangan pandang rendah dengan tunang awak ni tau,” balas Syifa sengaja tunjuk lagak pada tunang sendiri.

Juita dan Norman tertawa mendengar bebelan Syifa. Tidak mahu kalah!

Tiba-tiba lampu dimalapkan. Kedengaran intro sebuah lagu sedang dimainkan.

“Wei, lagu aku!” Juita sudah begitu teruja. Seronok sungguh dia apabila dapat mendengar secara langsung persembahan Anuar Zain. Ketulusan Hati memang lagu berhantu yang paling disukainya. Pasang berulang kali pun dia tidak pernah jemu mendengarnya.

Saat ini, mata mereka bertiga tidak berkelip menonton persembahan memukau Anuar Zain di sebelah pemain piano. Tidak pasti pula kenapa Anuar Zain berada di hotel ini. Mungkin juga ada persembahan di sini atau sekarang ini dia sedang berlatih untuk acara pada malam ini.

Andai masih budak sekolah, sudah lama Juita dan Syifa terjerit-jerit. Mengingatkan diri yang sudah besar panjang, Juita terus sedar diuntung. Nanti tidak kahwin pula sampai ke tua!

Cintaku tak berdusta

tak mengenal ingkar

tak kenal nestapa…

Cintaku hanya indah

hanya bahagia untuk selamanya…

Aduhai… memang Juita cair mendengar lirik lagu yang menyentuh hati ini. Seketika baharu dia perasan sesuatu. Dia segera menoleh sekeliling, kenapa hanya mereka bertiga sahaja dan tiada orang lain? Orang lain yang dia nampak hanyalah beberapa orang petugas hotel yang sibuk dengan tugas masing-masing.

Juita bertambah berdebar sebaik menyedari penyanyi pujaannya mengatur langkah menghampiri meja mereka. Dia segera menyiku Syifa yang sudah berteleku menghayati lagu yang dinyanyikan.

Syifa terus mengangkat bahu tanda tidak mengerti.

Semakin hampir Anuar Zain ke meja mereka, lampu yang sebelum ini agak malap, menjadi semakin terang. Kejutan apakah ini? Juita tertanya sendiri apabila menyedari Anuar Zain mendendangkan lagu itu bagai ditujukan khas untuk dirinya. Itu yang membuat Juita berasa semacam.

Sekali lagi Juita menoleh ke arah Syifa. Tiba-tiba, rasa mahu gugur jantung sebaik menyedari bukan Syifa di sebelahnya. Tidak semena-mena dia berasa sesak nafas dan terpaksa menghela nafas dalam-dalam. Namun dia semput kembali kerana tidak mampu menahan getaran di jiwa. ‘Huwa… Nak oksigen!’ jerit hatinya.

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.