Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
409,183
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 6

PAGI Sabtu, selepas solat subuh, Juita terus bertolak ke Ipoh. Perjalanan memang lancar kerana pada awal pagi tidak banyak kenderaan di jalan raya. Sepanjang perjalanan, dia hanya ditemani lagu-lagu instrumental persembahan Yanni.

Apabila kebosanan melanda, dia pasang CD Anuar Zain pula. Walaupun bukan lagu terbaru, Juita cukup suka dengan lagu Ketulusan Hati. Putar berkali-kali pun tidak jemu didengar. Melodi dan liriknya yang indah memang membuai perasaan. Adakalanya terlebih perasan seolah-olah diri sendirilah yang jadi pujaan penyanyi tersebut!

Pukul sepuluh pagi, dia sudah sampai di Kampung Sg. Rapat Tambahan. Namun tidak terus ke rumah, sebaliknya dia singgah di kedai Mak Cik Sara. Dia bagai tidak sabar mahu menikmati laksa kegemarannya. Tadi, sepanjang perjalanan perutnya memang berkeroncong kerana dia cuma menjamah biskut kering sahaja sebagai alas perut.

Setiap kali balik kampung, kedai makan hujung kampung itu menjadi tempat pertama yang dituju. Semuanya gara-gara laksa istimewa Mak Cik Sara. Laksanya lembut dengan kuah yang pekat dan cukup segala rencah. Ditambah dengan cili potong, dua mangkuk pun boleh dia habiskan.

Setelah memarkir keretanya di bawah pohon mangga, Juita segera menuju ke kedai Mak Cik Sara. “Pak cik sihat?” tegur Juita sebaik terpandang Pak Cik Ahmad yang turut minum di situ.

“Alhamdulillah… Bila balik sini?” tanya Pak Cik Ahmad sebaik menyedari Juita yang menegurnya.

“Baru aje sampai, terus datang ke sini sebab teringan nak makan laksa Mak Cik Sara,” beritahu Juita dengan ceria sekali.

Juita mengambil tempat di meja bersebelahan pak cik yang dikenali sejak kecil lagi. Kemudian dia terus memesan laksanya. Agak ramai juga pelanggan pada pagi ini, namun tidak pula Juita kenali. Mungkin pekerja swasta yang bekerja di pejabat yang berhampiran.

Pak Cik Ahmad mengangguk-angguk sambil tersenyum. Pergilah ke mana jua pun, memang tidak akan jumpa laksa sesedap laksa masakan Mak Cik Sara. Dari dahulu hingga kini, pelanggan tidak jemu-jemu makan di sini. Begitu juga dengan Juita. Pagi petang makan laksa sahaja pun tidak mengapa.

Sekejap sahaja menunggu, hidangan laksa untuk Juita sudah sampai. Tanpa membuang masa dia terus menikmatinya.

Pak Cik Ahmad memandang Juita yang begitu asyik menikmati makanan kegemarannya. Sekejap sahaja sudah besar anak gadis sahabatnya ini. Kalau zaman 80an, memang sudah berumah tangga dan punya berderet. Di kampung ini, siapa yang tidak kenal Juita, anak bongsu Haji Hussein?

Semua orang kenal dan suka dengannya berbanding dengan adik-beradiknya yang lain. Juita mudah mesra dengan orang kampung dan selalu menegur pak cik dan mak cik yang dia temui. Dia tidak sombong malah seorang yang ringan tulang dan suka membantu.

Andai berkesempatan bersarapan di kedai ini, dia tidak lupa tolong bayar sekali makanan dan minuman pak cik atau mak cik yang menjamu selera. Biasanya tentu sahaja mereka tidak tahu ada yang belanja sehinggalah mereka mahu membuat pembayaran. Seperti biasa, tauke kedai akan beritahu ada yang baik hati sudah tolong bayarkan.

Apabila pandang sekeliling, tiada pula muka-muka yang bermurah hati berbuat demikian. Lama-kelamaan, semua orang tahu sendiri siapa yang belanja walaupun tauke kedai tidak pernah menyebut namanya.

Bagi diri Juita, itulah amalan yang sering dilakukan setiap kali makan di mana-mana kedai kampung sekalipun. Dapat belanja orang lain memang memberi sesuatu kegembiraan walaupun mereka tidak tahu. Menolong orang yang tidak dikenali dirasakan lebih ikhlas kerana kita akan terlupa dan tidak mengungkitnya langsung.

Ianya jauh berbeza dengan membantu orang yang cukup dikenali. Seandainya sesuatu berlaku pada kemudian hari, ada sahaja yang akan menyucuk dan akhirnya terdetik rasa menyesal membantunya sebelum ini.

Meskipun keikhlasan amat mahal harganya, namun tidak mustahil untuk menjadi seorang yang ikhlas dan sentiasa redha. Asalkan hati bersih, semua perkara yang terjadi akan dapat diterima dengan mudah tanpa mempertikaikannya. Itulah yang selalu Juita cuba tanam dalam dirinya walau ada kalanya agak sukar menyemainya. Bertambah sukar apabila berhadapan dengan ahli keluarga sendiri.


PUKUL 10.30 pagi Juita tiba di halaman rumahnya. Tiada sesiapa yang membuka pintu mahupun menjenguk. Pastinya tidak mendengar bunyi keretanya apatah lagi Juita tidak beritahu umi mahupun abah tentang kepulangannya.

Dia mengeluh berat sebaik terpandang kereta abangnya di sisi rumah. Nampaknya dia tidak boleh mengelak dari berjumpa dengan abang bertuahnya. Ingatkan apabila cuti begini Abang Ridwan akan membawa keluarganya makan angin, rupanya bawa anak-beranaknya makan di rumah umi pula. Alahai… tangkai jering punya abang!

Perlahan-lahan dia melangkah keluar dari kereta Wajanya. Kereta yang selalu dipandu ketika balik kampung kerana tidak mahu lawan abangnya yang seorang itu. Dia memang buat tidak reti sahaja apabila Abang Ridwan asyik menyindirnya. Pada abangnya, hanya itulah kereta yang selayaknya untuk Juita.

Sebagai adik, dia sudah malas hendak berkecil hati mahupun bertekak dengan abang sulungnya itu. Sebelum ini, bekerja sebagai clerk of workspun Juita tidak kisah.Walaupun abangnya sering memperlekehkan jawatannya, dia okey sahaja. Bagi yang memahaminya tentu sekali kagum kerana seorang wanita sanggup memeriksa dan memantau kerja-kerja pembinaan.

Setiap hari, panas terik mentari yang membahang terpaksa ditahan. Juga bertekak dengan kontraktor dan pekerja asing yang tidak faham-faham sudah jadi kebiasaan. Semuanya kerana mahu menjaga kualiti kerja.

“Assalamualaikum…” Juita memberi salam dan menunggu pintu dibuka.

Tidak lama menunggu, seseorang telah membuka pintu. “Waalaikumussalam. Hmm… kamu ke? Ingat siapa tadi.” ucap Abang Ridwan acuh tak acuh. Langsung tidak menunjukkan riak gembira pada wajahnya.

Juita terpaksa melemparkan senyuman walaupun abangnya cuma sebentar sahaja memandangnya. Sekilas dia memandang ke ruang tamu, namun tiada sesiapa di situ. Begitupun dia dapat mendengar riuh-rendah di dapur.

“La… Kenapa balik tak beritahu?” tanya umi sebaik Juita menonjolkan diri. Isteri dan anak-anak Abang Ridwan sedang melepak di meja makan.

“Dah alang-alang cuti, tu yang balik,” balas Juita sambil bersalaman dengan umi dan Kak Yati, kakak iparnya.

“Umi tak tahu Jue nak balik. Sebenarnya umi ada masak soto, tapi ayamnya dah habis pulak,” beritahu Puan Salmah serba salah. Andai dia tahu, pasti dia simpan untuk anak bongsunya ini. Nampaknya memang tiada rezeki Juita.

“Tak apalah umi, Jue dah makan,” balas Juita sambil mengambil tempat di kerusi yang kosong. Kerusi yang tadinya Abang Ridwan duduk.

Kini Abang Ridwan dan kakak iparnya telah berehat di ruang tamu pula. Tiada langsung keinginan untuk bertanya khabar Juita mahupun beramah mesra. Bagi diri Juita, dia tidak kisah dengan sikap abang sulungnya itu. Dia tiada di sisi lagi bagus dari asyik buat dia tidak tenteram jiwa dan raga.

“Lama ke anak umi bercuti?” tanya Puan Salmah sambil merenung wajah anaknya. Memang sudah agak lama juga Juita tidak balik walau sering menelefonnya.

“Sampai hari Isnin aje.” Juita turut melemparkan senyuman pada uminya. “Abah mana, umi?” sambungnya.

“Katanya nak ke TESCO beli barang,” beritahu Puan Salmah.

“Apasal abah tak pergi dengan abang?”

“Kamu ni… takkan tak faham-faham lagi perangai abang kamu tu?”

Juita sekadar mengangguk. Faham maksud uminya. Abang Ridwan memang begitu! Tahunya makan dan minum di rumah, tetapi liat mahu membeli barangan keperluan umi dan abahnya. Nama sahaja berjawatan tinggi dan bergaji besar, tetapi kedekut bukan main. Memang buat Juita sakit hati dengan perangai abangnya.

“Anak umi sihat?” tanya Puan Salmah sambil menuangkan air teh untuk Juita.

“Bertambah berisi sekarang ni. Senang hati dan gembira selalu,” jawab Juita kemudian tertawa.

Puan Salmah turut tersenyum melihat keceriaan anak gadisnya.

Juita memang berasa gembira sekarang ini. Sebab itu juga dia tidak keberatan untuk balik kampung. Padahal, sebelum ini dia memang malas mahu balik kampung kerana tidak sanggup berhadapan Abang Ridwan yang asyik memperkecilkan dirinya. Ada sahaja yang tidak kena di mata abangnya sehingga membuat Juita menyampah dengan bebelan dan kutukannya.


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.