Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
409,184
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 14

MESYUARAT di Perbadanan Putrajaya berakhir lebih awal daripada biasa. Jeffrey dan rakan kongsinya Azman serta Shahrul berasa amat lega. Semuanya mengikut perancangan dan syarikatnya boleh memulakan projek seperti yang telah dijadualkan.

Seperti biasa, andai ada mesyuarat di Putrajaya, mereka memang suka singgah makan tengah hari di kafetaria Kementerian Belia dan Sukan. Di sini, mereka tidak akan melepaskan peluang makan gulai kawah dan ikan bakar.

Semuanya atas saranan seorang kenalan yang pernah belanja mereka makan di sini. Memang cukup menyelerakan andai datang dengan perut kosong. Selepas itu boleh pekena ABC atau air cedol bersama pulut pula. Memang lama jugalah mereka akan melepak di sini sambil berborak.

Sewaktu mereka masuk ke dalam kafetaria, memang masih tidak ramai pelanggan lagi. Maklumlah baru pukul 12.30 tengah hari. Begitupun semua lauk-pauk memang sudah siap sedia dihidang di tempat biasa.

Aroma masakan memang tidak boleh hendak digambarkan. Mereka bertiga mengambil kesempatan itu meninjau semua lauk yang ada. Kalau perut sebesar tempayan, memang semua masakan mahu dicuba. Mujurlah masih sedar diri dan tidak buruk lantak!

“Nak duduk kat mana ni?” soal Jeffrey yang telah mengambil makanan kegemarannya. Sup tulang dan ulam-ulaman memang sudah menjadi menu kemestian andai makan di sini. Berlainan dengan Shahrul dan Azman yang lebih menggemari gulai kawah dan ikan bakar.

“Kau ni…. kat tempat biasalah! Sambil makan boleh cuci mata,” jawab Azman.

Walaupun sudah dua tahun mendirikan rumah tangga, tabiat Azman yang satu itu memang sukar dibuang. Tetapi tidaklah sampai berlebih pula. Sekadar suka-suka sahaja bagi menghilangkan tension setelah penat bekerja. Adatlah kalau sudah namanya lelaki! Sudah terpampang di hadapan mata, takkan pura-pura tidak nampak pula?

Tanpa membuang masa, Jeffrey bergerak pantas ke meja makan yang Azman maksudkan. Ingatkan kali ini mahu makan di bahagian dalam kafeteria kerana lebih selesa sebab ada penghawa dingin. Ketika ini cuaca agak panas. Tambahan pula sudah beberapa hari juga tiada hujan. Mujur di sini tiada masalah jerebu.

Mereka bertiga memang makan dengan berseleranya. Andai mak mertua lalu memang tidak perasanlah. Nasib mesyuarat di sini tidak kerap. Kalau tidak, mahu naik mendadak berat badan Jeffrey. Sudahlah masa untuk bersenam sudah tiada dalam jadual harian. Masa mengisi perut pula tidak pernah terlepas.

Setelah selesai menjamah makanan di pinggan, Jeffrey segera membasuh tangan dan kembali duduk. Seketika gadis yang sedang makan di sudut tepi menarik perhatiannya.

Perlahan sahaja dia menyuap nasi. Makan pun seperti memaksa diri dan nampak tidak berselera pula. Lauk yang dia ambil pun cuma telur dan sayur sahaja. Punyalah berlambak menu yang menyelerakan, itu pula pilihan dirinya. Memang Jeffrey berasa hairan sungguh.

Serasanya, itu gadis sama yang dia nampak pada minggu lalu. Ketika itu, dia makan di sini bersama dengan seorang lagi kawannya. Terasa pelik apabila hari ini dia bersendirian. Ke mana pula rakannya? Jeffrey tertanya sendiri.

Melihat raut wajahnya, bagai menghadapi masalah pula. Tempoh hari, bukan main ceria bergelak ketawa bersama rakannya. Saat ini, memang jelas sekali wajahnya murung seperti memikirkan sesuatu yang berat. Lama juga Jeffrey memerhatinya.

“Wei, apasal kau asyik tengok kat awek tu?” tegur Shahrul yang sudah perasan dengan gelagat Jeffrey.

Selalunya lelaki ini bukannya berani memerhati orang lama-lama, terutamanya wanita. Tidak hairan sampai sekarang dia masih belum ada teman istimewa. Hendak kata tidak segak, wajahnya memang tampan. Ditambah dengan kerjaya sebagai jurutera yang memiliki syarikat sendiri, memang menjadi jejaka terhangat dan rebutanlah. Malangnya itu tidak berlaku kepada dirinya.

“Takkan nak tengok pun tak boleh?” soal Jeffrey pula sambil melepaskan sebuah keluhan. Dia turut menyelak rambutnya dan berlagak selamba.

“Ke… kau dah berkenan?” sampuk Azman pula kemudian menyisip air minumannya. Dia juga turut memandang gadis yang dimaksudkan Shahrul. Cantik dan manis orangnya. Kalaulah dia masih belum beristeri, sudah lama dia pikat gadis itu.

“Tak adalah.” Jeffrey segera menafikan sambil membetulkan duduk agar lebih selesa. Tidak mahu rakannya bersangka yang bukan-bukan.

Azman dan Shahrul sama-sama tergelak. Dalam keadaan begini pun si Jeffrey masih mahu berpura-pura. Macamlah mereka tidak pandai membaca apa yang tersirat di hatinya. Sekilas wajah dipandang, sudah tahu apa di fikirannya!

“Kalau dah suka, cakap ajelah,” ujar Shahrul pula, masih mahu mengusik.

“Apa kata kau mengurat dia,” cadang Azman. Tiba-tiba datang pula idea di kepalanya. Sekali-sekala mengenakan rakan yang seorang ini memang seronok. Bukan selalu ada peluang keemasan begini.

“Ah! Tak naklah aku.” Jeffrey pantas menolak walaupun sesuatu memang telah mengetuk pintu hatinya. Benarkah? Dia tertanya sendiri.

“Mulut cakap tak nak, tapi hati…” Shahrul sengaja menyakat tanpa menghabiskan ayatnya. Jeffrey pasti faham sendiri maksudnya.

“Hmm… apa kata kau mulakan langkah? Kau sorang aje kawan kami yang masih bujang. Bila lagi nak ada awek?” cadang Azman.

“Aku, kalau boleh nak bercinta selepas kahwin.” Sengaja Jeffrey beralasan. Mujur ada jawapan di minda agar tidak didesak rakan-rakannya. Payah dia nanti kalau mereka sudah mula mencucuk jarum.

Shahrul tertawa mendengarnya. “Kalau dah macam tu, kenapa tak suruh ayah angkat kau tolong carikan?” soal Shahrul sedikit jengkel dengan jawapan yang Jeffrey berikan. Memang jawapan orang yang mahu selamatkan dirinya.

“Sebolehnya aku nak cari sendiri. Takkanlah benda penting dalam hidup pun, aku masih mengharapkan orang lain yang tolong?” Jeffrey masih mahu mempertahankan ego dan prinsip diri.

“Yalah, dah tulang rusuk kau, kan? Tentulah kau sorang aje tahu yang mana satu ngam dengan kau.” Azman pula seakan memerli walau dalam tawa.

“Bukan macam tu…” sangkal Jeffrey. Bagi dirinya, dia tidak mahu menyusahkan ayah angkat dan keluarganya. Apatah lagi sebelum ini merekalah yang paling banyak membantunya.

“Kau jangan nak berdolak-dalih! Kalau betul kau anak jantan, aku cabar kau terus pinang dia. Macam mana? Ada berani?” cabar Shahrul dengan wajah serius. Alang-alang menyeluk poket, biarlah sampai berjumpa duitnya. Alang-alang mahu mengusik kawan, biarlah sampai ada hasilnya!

Jeffrey hanya tersenyum sambil cuba mententeramkan diri sendiri yang semakin sesak.

“Takut ke?” sakat Shahrul lagi. Sengaja mahu provok lelaki yang sedang control macho ini.

“Okeylah. Kau ingat aku tak berani? Ini Jefflah!” balas Jeffrey. Tiba-tiba dia berasa tercabar pula walaupun turut terasa gusar.

Di hadapan kawan-kawan, masakan mahu mengalah pula? Jatuhlah saham dia sebagai lelaki terhangat di pasaran andai takut memikat perempuan! ‘Benarkah? Atau aku yang panas punggung kerana cabaran itu?’ Hatinya berbicara sendiri.

“Dipersilakan Encik Jeffrey. Kalau hari ini jugak dia terima lamaran kau, aku dan Shahrul akan sponser bulan madu kau orang. Cakap aje ke mana kau nak bercuti, tapi dalam Malaysia ajelah,” janji Azman pula.

Jeffrey ketawa mendengarnya. Tidak sangka sampai ke situ rakan-rakannya mahu menduga.

“Tapi kalau kau gagal, kita orang nak kau belanja lunch selama seminggu,” sampuk Shahrul pula.

“Betul ni?” soal Jeffrey. Tiba-tiba dia berasa bersemangat pula apabila dicabar rakan-rakan.

“Kita orang serius ni. Buktikan kejantanan kau tu.” Semakin beria-ia pula Shahrul mahu mencabar Jeffrey.

“Okey, aku sahut cabaran kau orang,” balas Jeffrey dan terus bangun. Seketika dia membetulkan kolar baju kemejanya.

Shahrul mengangkat kening sambil memandang Azman. “Nampak macam yakin sangat aje,” tutur Shahrul.

“Kita tunggu dan lihat…” balas Azman sambil memerhati tingkah Jeffrey.

Perlahan-lahan, dengan langkah penuh yakin, Jeffrey menuju ke meja di hujung. Baru separuh jalan, dia berpatah balik dan duduk kembali.

Azman dan Shahrul sudah ketawa besar melihat gelagat Jeffrey.

“Wei janganlah ketawa kuat-kuat!” tegur Jeffrey yang sudah berasa segan.

“Apasal kau tak teruskan?” soal Azman sebaik ketawanya reda.

“Tunggulah kejap, aku rasa dia tengah ada masalah. Tengok tu, dia tengok telefon seseorang.” Jeffrey memberikan alasannya.

“Auta budak tadika!” kutuk Shahrul.

“Betullah apa aku cakap. Kejap lagi bila dia dah tenang sikit, aku pergilah.”

“Tak apa, kita orang tunggu,” ujar Azman sambil menyimpan tawanya. Geli hatinya melihat Jeffrey yang sudah gabra semacam. Tadi bukan main berlagak.

Mata Jeffrey masih memandang gadis itu. Kali pertama terpandangnya, dia memang tidak berasa apa-apa pun. Kini bagai ada sesuatu yang mengusik hatinya. Lebih-lebih lagi setelah kena cabar.

Apa pun terjadi, dia kena juga teruskan cabaran ini. Tak macholah kalau dia mengaku kalah sebelum mencuba. Berjaya atau tidak bukanlah menjadi isu sangat. Setakat hendakk belanja kawan-kawan makan, apalah sangat. Selama ini pun biasanya dia juga yang belanja mereka.

“Wei, tunggu apa lagi? Karang dia dah pergi, kena tunggu hari lain pulak,” tegur Shahrul.

“Nak pergilah ni…” balas Jeffrey dan terus melangkah menghampiri gadis itu.

Shahrul dan Azman sudah tertawa. Mereka perasan yang Jeffrey memang sudah berpeluh. Pasti sahaja cabaran itu bukan mudah untuk ditunaikan.

Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.