Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
409,198
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 20

HUJUNG minggu, Juita terpaksa juga balik kampung. Apabila umi sudah menelefonnya, kenalah dia turutkan. Sebenarnya, dia memang malas hendak balik. Kali ini memang sah-sahlah bukan kerana Abang Ridwan, sebaliknya abang tongsan punya pasal!

Dalam perjalanan, penat juga Juita memerah otak untuk menjawab pertanyaan abahnya nanti. Uminya telah memberi hint yang abahnya mahu tahu tentang calon pilihannya. Hendak beritahu bagaimana kalau dia memang tidak tahu banyak perkara tentang Jeffrey?

Ketika tiba di halaman rumah, tiba-tiba sahaja dada Juita berdebar-debar. Dia sengaja balik pada waktu petang kerana abahnya pasti tiada di rumah ketika itu. Setahunya pada waktu petang, abahnya pergi ke masjid bersolat asar, kemudian terus sambung aktiviti bersembang bersama kawan-kawannya. Sebaik terpandang kereta abahnya di bawah pohon rambutan, dia mengeluh berat.

Baru sahaja dia hendak melangkah keluar dari kereta, kedengaran pintu rumah dibuka. Sesak nafasnya sebaik terpandang wajah abahnya yang terpacak di muka pintu.

‘Aduhai… tak dapatlah aku nak mengelak!’ getus hatinya.

Perlahan-lahan dia mengatur langkah sambil menyandang beg pakaiannya. “Assalamualaikum, abah,” ucapnya lalu bersalam dengan abahnya.

“Waalaikumussalam. Hmm… takkan kamu balik sorang aje? Mana kawan kamu tu?” tanya Haji Hussein, sedikit hampa.

“Abah ni… mana ada Jue janji nak bawak hari ni?”

“Hari tu berjanji bukan main lagi. Suruh abah jangan risau, siap cakap nak bawak calon menantu,” perli abahnya.

“Memanglah, tapi umi cuma suruh Jue balik hari ni. Tak cakap pun suruh bawak kawan sekali.” Juita beralasan sambil buat muka penat.

“Ada aje jawapan!” Haji Hussein menjeling anaknya.

“Umi mana, abah?” tanya Juita apabila menyedari uminya masih tidak muncul-muncul. Dia terus duduk di sofa di ruang tamu. Beg sandangnya dia letak di tepi almari kabinet.

“Dah Jue tak sampai-sampai jugak, umi kamu keluarlah.” Haji Hussein juga turut duduk di sofa setelah memasang kipas siling.

“Ya ke?” Juita menanggalkan tudungnya.

“Apa nama kawan Jue tu?” Haji Hussein terus bertanya pasal calon menantunya.

“Apa, abah?” Juita pura-pura tidak dengar pertanyaan abahnya.

“Hisy, Jue ni… kawan kamu tulah! Apa nama dia?”

“Oh! Nama dia Jeff…” jawab Juita.

“Jefridin penyanyi tu ke?” tanya Haji Hussein, kemudian tersenyum pula. Sengaja dia mahu mengusik anak gadisnya.

“Abah ni… Jeffreylah.”

“Ooo… ni kawan masa kolej dulu ke?” Haji Hussein menduga.

“Taklah! Kat kolej mana ada yang nak berkawan dengan anak abah yang tak berapa pandai ni?" Dalam hati berdebar, Juita mahu bergurau juga dengan abah dia. Andai masa dahulu, mana pernah dia berpeluang bergurau senda begini? Baru-baru ini sahaja abahnya sudah mula berubah dan mahu berbual panjang dengannya.

“Jeffrey ni kerja macam kamu jugak ke?” soal Haji Hussein. Hendak tahu juga pekerjaan Jeffrey.

“Ha’ah... tapi dia bagus sikit daripada Jue.” Juita sudah mula mereka cerita.

“Abah tak kisah. Dah lama Jue kenal si Jeff ni?” soal abahnya lagi.

“Lamalah jugak tapi sebelum ni kawan biasa aje.”

“Macam tu pulak?”

“Yalah! Berkawan biasalah dulu. Lepas tu baru kenal hati budi masing-masing.” Pandai sahaja Juita kelentong abah dia.

Tiba-tiba kedengaran suara umi memberi salam.

“Hah, tu umi kamu dah balik.”

Juita segera menjawab salam uminya lalu melangkah menuju ke pintu.

“Selalu balik pagi, kenapa hari ni petang pulak baru Jue sampai?” tanya Puan Salmah.

“Pagi tadi Jue ada kerja sikit. Umi dari mana sebenarnya?” tanya Juita pula.

“Pergi menengok cucu Tok Chik yang baru lahir.”

Juita sekadar mengangguk. “Eh! Abah nak ke mana?” tanyanya ketika Haji Hussein bangun dari sofa.

“Dah kawan kamu tak datang. Baik abah berjumpa kawan abah,” jawab Haji Hussein sambil mengambil kunci kereta di atas almari kabinet.

Juita menarik nafas lega. Malam ini dia boleh masuk tidur awal konon-kononnya sebab penat. Waktu maghrib dan isyak abahnya akan berada di masjid. Balik pulak entah pukul berapa. Selamat dia buat sementara waktu.


“BILA Jue nak bawa Jeffrey berjumpa abah?” tanya Haji Hussein sewaktu sarapan pagi.

Pertanyaan abahnya buat Juita berdebar-debar. Ingatkan abahnya belum lagi mahu berjumpa bakal menantu entah jadi entah tidak ini. Alasan apa dia hendak beri?

“Hish Jue ni, dah berangan pulak pagi-pagi ni,” tegur Haji Hussein sebaik menyedari anaknya mengelamun pula.

“Er… Abah tanya apa?” soal Juita melindungi resah di kalbu. Otaknya masih ligat berputar mencari alasan terbaik untuk diberikan.

“Bilanya Jeffrey nak berjumpa dengan abah?” ulang Haji Hussein.

“Sebenarnya dia masih outstation kat Johor. Kerja dia dekat Sri Iskandar tak siap lagi,” beritahu Juita. Mujur dia teringkat projek di Johor itu. Logik juga dia memberi alasan itu kerana semua orang maklum pasal projek mega itu.

“Kalau boleh cepat-cepatlah. Nanti mudah nak merancang perkahwinan kamu ni,” suruh Haji Hussein lagi sambil menambah mihun di pinggan. Tiba-tiba dia berselera pula.

“Yalah. Nanti Jue tengok macam mana,” balas Juita sekadar berbahasa. Dia juga turut menjamah mihunnya.

“Jangan cakap aje. Kerja nikah kahwin ni kena buat betul-betul, bukan boleh main suka hati aje,” tegas Haji Hussein. Apatah lagi memikirkan kenduri Juita adalah yang terakhir akan dibuat di rumahnya. Selepas itu memang kenduri doa selamat atau akikah sahajalah.

“Agak-agaknya, bila Jeffrey nak datang sini?” tanya haji Hussein. Kalau boleh, Haji Hussein memang mahu mempercepatkan pernikahan anak gadisnya. Sekarang ini macam-macam berlaku di bandar sana. Semuanya buat dia tidak senang duduk. Bukanlah dia tidak percayakan Juita. Dia yakin anak gadisnya itu pandai menjaga diri, namun kena beringat juga.

Tugas ibu bapa memang amat berat. Bukan setakat menjaga dan memberi pendidikan sahaja. Mencari jodoh yang baik untuk anak-anak juga perlu dirancang demi menyambung zuriat. Andai anak-anak sudah ada pilihan sendiri, kenalah selidik dahulu latar belakangnya. Tidak boleh main terima sahaja.

“Susah nak cakaplah abah. Jue kena tunggu dia balik dulu, baru boleh beritahu abah.”

“Abah bukan apa, sebolehnya abah memang nak cepat-cepat uruskan perkahwinan Jue.” Haji Hussein menyatakan hasratnya.

Juita sudah tidak tahu hendak cakap apa. Dia merenung lembut wajah abah yang sudah dimamah usia. Kasihan pula melihat abahnya yang beria-ia dan begitu mengambil berat pasal masa hadapannya.

“Jue?” Sekali lagi Haji Hussein menegur dan menyentuh tangan anaknya.

“Ya?” Juita yang sudah teralit segera menyahut. Dia kembali memandang wajah abahnya.

“Terima kasih…” ucap Haji Hussein buat Juita begitu tersentuh mendengarnya.

“Terima kasih apa, abah?” soal Juita pula walaupun dia boleh agak kenapa abahnya mengucapkannya.

“Sebab tolong tambah duit untuk umi dan abah buat haji sekali lagi,” sambung Haji Hussein.

Allahuakbar… tiba-tiba Juita berasa sebak sangat. Nada suara abahnya buat dia berasa sayu sekali. Serasanya bagai pertama kali mendengar ucapan yang paling indah.

“Sama-sama. Nanti abah doakan Jue, ya?” pintanya dengan sebak. Tanpa sedar air mata sudah membasahi pipi dan segera disapu.

“Insya-ALLAH… sekarang pun abah doakan yang baik-baik untuk Jue,” balas Haji Hussein dengan mata berkaca. Tempoh hari dia memang berasa terharu sangat sebaik isterinya beritahu yang Juita telah berikan wang simpanannya untuk mereka berdua menunaikan fardu haji.

“Okeylah abah, Jue nak rehat kat bilik.” Juita meminta diri setelah menghabiskan air minumannya.

Haji Hussein sekadar mengangguk.

Juita memang perlu bersendirian bagi meredakan sebak di dada. Reaksi abahnya membuat dia berasa sedih pula. Sebagai anak, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk membantu. Namun tadi, wajah abahnya menggambarkan betapa dia amat menghargai pertolongan yang dihulurkan. Itu yang buat Juita tidak sanggup untuk terus menatap wajah abahnya.

“Eh, mana Juenya?” tanya Puan Salmah yang masuk ke dapur. Tadi dia ke rumah jiran menghantar sepinggan mihun goreng. Dia memang sengaja masak lebih untuk disedekahkan kepada jirannya.

“Jue ada kat bilik. Nak rehat katanya,” beritahu Haji Hussein.

“Macam mana? Bila Jue nak perkenalkan kawan dia tu?” Puan Salmah juga tidak sabar mahu berjumpa dengan bakal menantu.

“Tak tahu lagi. Kena tunggu Jeffrey balik dari outstation kat Johor.”

“La… ingatkan dalam masa terdekat ni dah boleh berjumpa,” keluh Puan Salmah dengan perasaan hampa.

“Nak buat macam mana? Belum ada rezeki kita nak berjumpa,” balas Haji Hussein.

“Harap-harap jadilah. Saya takkan tenang selagi Jue tak berumah tangga. Abang dan kakak-kakak dia dah selamat,” tutur Puan Salmah dengan penuh harapan.

“Kita doakan semuanya baik-baik aje. Abang memang berharap sangat semoga Jeffrey tu dapat jaga Jue dengan baik. Tak bergaji besar pun abang tak kisah. Asal bertanggungjawab dan baik agamanya,” sebut Haji Hussein sambil membuang pandang ke luar tingkap.

Dia tidak perlukan menantu yang kaya dengan kereta menjalar. Dia hanya mahu menantu yang sanggup memikul tanggungjawab menjaga anak bongsunya. Kali ini memang dia berasa agak lain dibandingkan ketika mahu menikahkan kakak-kakak Juita.

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.