Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
409,187
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 7

SETELAH berbual dengan umi, Juita mahu berehat di ruang tamu. Belum pun sempat dia duduk, sudah ada yang menegur.

“Ni balik kampung, takkan kena berhenti lagi kut?” Abang Ridwan sudah mula pasang radio. Juita sengaja pekakkan telinga. Dia tidak memandang abangnya mahupun membalas kata-katanya. Sengaja buat tidak tahu kerana begitu lebih baik.

Dia pun tidak tahu sampai bila abang yang seorang ini asyik mahu mencari salahnya. Sebelum ini Abang Ridwan selalu mengutuk dirinya yang belajar sahaja tinggi-tinggi, tetapi bekerja biasa-biasa sahaja. Akhirnya gaji yang diterima sama sahaja seperti tidak memiliki segulung diploma mahupun ijazah. Baik tidak payah berhabis duit masuk universiti.

Ketika itu Juita memang tidak mahu bertekak walaupun hatinya turut terasa sakit. Sudah bukan rezekinya pada masa itu untuk terus mendapat perkerjaan yang setanding dengan kelulusannya. Jadi, terima sahaja dan teruskan kehidupan meskipun tidak seindah mana.

“Kamu ni tak ada mulut ke? Buat tak reti aje bila abang bercakap?” marah Abang Ridwan. Dia berasa bengang pula apabila Juita buat tidak endah sahaja.

“Jue sebenarnya dah malas nak layan abang. Selagi Jue tak minta duit dan tak susahkan abang, boleh tak jangan nak bising-bising?” Tiba-tiba Juita berasa geram sangat dengan kata-kata sinis abangnya. Sekali-sekala dia hendak bersuara juga. Takkan asyik berdiam sahaja, kesabarnnya pun ada had juga.

“Amboi, dah pandai melawan pulak?” herdik Abang Ridwan. Matanya tajam memandang Juita yang selamba sahaja.

“Habis tu, abang ingat selamanya abang boleh kutuk dan cakap sesuka hati pasal Jue?” balas Juita pula.

“Jue, kenapa ni?” sampuk Puan Salmah yang segera datang ke ruang tamu sebaik terdengar anak-anaknya bagai bertengkar pula.

“Tengoklah perangai anak bongsu umi ni! Sekarang dah pandai melawan pulak. Nanti entah apa pulak yang dibuatnya kat KL tu.” Abang Ridwan bagai sengaja menyakitkan hati Juita.

Juita cuba menahan diri dari membalas kata-kata abangnya, nanti bermacam ayat pula yang keluar. Sebolehnya dia tidak mahu keruhkan keadaan. Kalau ikutkan hati yang marah, mahu aje dia sepak mulut abangnya itu! Nasiblah dia bukan seorang yang sering bertindak melulu.

“Dahlah, Jue masuk bilik aje. Tak payah nak ambil hati dengan abang tu,” pujuk umi sambil mengusap bahu Juita.

Tanpa suara, Juita mengikut nasihat uminya dan terus menuju ke biliknya.

Puan Salmah hanya mampu menggeleng. Kasihan melihat anak gadisnya itu. Balik kampung hendak melepaskan rindu pada keluarga, tapi selalunya asyik terluka. Puan Salmah juga sudah malas hendak menegur anak sulungnya. Bukannya dia akan berubah, malah bertambah teruk pula.

Juita terus menghempaskan dirinya di atas katil.Kadangkala dia lebih memilih untuk berdiam kerana terlalu menjaga perasaan orang lain sehingga tidak sanggup melukakan mereka. Malangnya sikap tersebut membuatkan dia kian kecewa apabila orang lain langsung tidak mahu menjaga hatinya.

Sebenarnya Juita sudah lama bersabar dengan sikap Abang Ridwan. Bukan setahun dua, malah sejak dia sekolah rendah lagi. Entah apa yang Abang Ridwan jaki sangat dengan dirinya. Padahal, abangnya adalah anak kesayangan abah. Dirinya pula bagai terpinggir dari abah sendiri. Jangankan hendak bermanja, hendak berbual pun kena tengok keadaan terlebih dahulu.

Kini Juita menangis lagi untuk sekian kalinya. Namun tiada siapa yang peduli. Air matanya jatuh ke perut. Siapalah yang tahu, siapalah yang mengerti? Dahulu dia berasa kecil hati juga kerana abahnya lebih mengutamakan abang dan kakaknya sahaja.

Kadang-kadang dia berasa seperti bukan anak kandung abahnya. Masih teringat saat dia mahu mengambil keputusan UPSR di sekolah. Dia amat yakin akan memperolehi keputusan cemerlang seperti Abang Ridwan, Kak Huda dan Kak Meen.

Dia sudah berangan yang abahnya akan hadir ketika penyampaian hadiah kepada pelajar cemerlang. Malangnya semua itu cuma angannya sahaja. Abahnya tidak ambil tahu dan tidak kisah pun apa keputusannya. Sebaik mengetahui Juita memperolehi 5A, abahnya tidak cakap apa-apa pun kepadanya.

Perasaan Juita ketika itu? Dia berasa penat sahaja belajar bersungguh-sungguh semata-mata mahu setanding dengan abang dan kakak-kakaknya. Akhirnya tiada hadiah dan tiada ucapan tahniah juga. Nasib baik uminya memberi kata pujian dan tetap memasak makanan kegemarannya.

Masuk sekolah menengah, Juita langsung tiada semangat untuk menjadi pelajar cemerlang. Abahnya sampai hati tidak mahu masukkan dia ke sekolah berasrama penuh walaupun dia mendapat tawaran belajar di MRSM. Berkali-kali dia merayu dan memujuk, namun abah tetap dengan keputusannya.

Abahnya memberi alasan bukan banyak beza pun kalau belajar di sekolah asrama. Lagipun dia perlu sediakan duit lebih untuk abang dan kakak-kakaknya juga. Akhirnya Juita jadi pelajar yang biasa-biasa sahaja. Mujur keputusan SPM melayakkan dirinya untuk masuk universiti. Kalau tidak, memang jadi operator pengeluaranlah jawabnya!


MALAMNYA Juita berpeluang makan bersama abah dan uminya. Petang tadi Abang Ridwan, Kak Yati dan anak-anaknya telah balik ke rumah mereka di Tambun Heights.

“Ni, kenapa sedih-sedih depan rezeki?” tegur Puan Salmah sambil menyenduk nasi ke dalam pinggan.

“Tak adalah umi, penat sikit,” dalih Juita. Padahal sejak sampai dia tidak berbuat apa-apa pun selain berehat dan menonton televisyen.

“Nanti Jue balik esok atau hari Isnin?” Tiba-tiba Haji Hussein bertanya. Dia baru sahaja balik dari masjid. Petang tadi tidak sempat pula hendak berbual dengan anak gadisnya. Balik sahaja dari TESCO, terpaksa keluar lagi berjumpa kawan lamanya pula.

“Tengoklah macam mana. Cadangnya nak balik hari Isnin. Tapi kalau ada yang bising-bising, baiklah balik esok aje.” Mendatar sahaja suara Juita, secara tidak langsung meluahkan perasaan hatinya.

“Dah tahu perangai Abang Ridwan macam tu, buat apa nak ambil hati sangat?” pujuk Puan Salmah yang faham maksud anaknya.

“Ini bukan pasal ambil hati, abang tu tak penat ke asyik nak marah-marah dan sindir Jue bila Jue ada di rumah ni? Dengan anak bini yang tak betul tu, tak ada pulak nak menegur,” sebutnya.

“Tak payahlah fikir sangat pasal abang kamu tu. Ni abah nak tanya, kamu ni bila nak kahwinnya? Sekarang ni tinggal Jue aje yang tak kahwin lagi.” Tiba-tiba Haji Hussein timbulkan soal kahwin pula.

Dia memang risau kerana anak gadisnya masih belum bertemu jodoh. Umurnya hampir mencecah tiga puluh tahun, namun bayang calon menantu tidak nampak lagi. Dirinya pula sudah meningkat usia, takut tidak sempat melihat anak bongsunya berkeluarga.

“Hmm… dah tak ada yang meminang, macam mana Jue nak kahwin?” Seketika Juita memandang abahnya. Wajah yang dahulunya garang dan tegas, tetapi kini lebih tenang. Terbit juga rasa kasihan pada abahnya. Sudah tua begini masih mengambil berat pasal anak-anak.

“Abah bukan apa, kalau boleh biarlah Jue kahwin dengan pilihan sendiri. Tak naklah orang lain yang carikan,” sebut Haji Hussein.

“Apa maksud abah? Memang ada yang tolong carikan untuk Jue ke?” soal Juita pula. ‘Siapa pulak yang terlebih prihatin mahu mengambil berat tentang diri aku ni?’ desisnya dalam hati.

“Kalau Jue tak ada calon jugak, memang patutlah orang lain tolong carikan,” sampuk Puan Salmah pula.

“Abah bukan apa, sebab ada yang dah bertanya. Macam yang abah cakap tadi, sebolehnya biarlah Jue berkahwin dengan pilihan sendiri,” tutur Haji Hussein berlapik. Sebenarnya, dengan anak-anak yang lain pun dia memberi kebebasan memilih jodoh masing-masing.

“Siapalah yang bertanyakan pasal Jue?” tanya Juita sambil kembali memandang wajah abahnya.

“Siapa lagi? Kawan Abang Ridwan tulah,” jawab Haji Hussein. Hendak tak hendak, dia kena beritahu juga. Ada juga alasan untuk timbulkan isu ini kepada anak gadisnya.

“Abah, kalau kawan abang tu, baiklah Jue tak kahwin. Abang tu mesti ada agenda nak padankan Jue dengan kawan dia.” Juita terus menolak.

Walaupun tidak kenal dan tidak tahu namanya, Juita memang tidak akan setuju. Hanya orang yang berperangai sama sahaja yang boleh rapat dengan Abang Ridwan. Dia tidak mahu mengambil risiko untuk bersetuju dengan pilihan abangnya. Tidak sama sekali!

“Itu abah tak tahulah. Abah ni dah tua, Jue pulak duduk jauh dari abah dan umi. Memanglah Jue boleh jaga diri sendiri, tapi kenalah fikir pasal masa depan,” nasihat Haji Hussein.

“Abah tak payah risaulah, sampai masanya Jue akan kahwin jugak,” balasnya.

“Jangan cakap aje, paling tidak dah bawak calon jumpa abah dulu. Abah pun nak kenal jugak sebelum kahwinkan dengan Jue,” suruh Haji Hussein. Kalau dia tidak berbuat begitu, anak gadisnya tidak akan ambil tindakan dan asyik memberi alasan sahaja.

“Tengoklah macam mana.” Acuh tak acuh pula Juita menjawab.

“Abah serius ni. Kalau tak ada jugak, abah akan terima aje bila ada yang masuk meminang Jue.” Haji Hussein mengingatkan.

“Yalah, yalah…” balas Juita sekadar mahu menyedapkan hati abahnya. Dalam hati tertanya di mana hendak mencari calon-calon yang sesuai.

“Jangan yalah aje. Lagi cepat Jue bawak calon, lagi bagus. Abah ni dah tua, bila-bila masa aje boleh pergi,” tutur Haji Hussein buat Juita sebak mendengarnya.

“Abah janganlah cakap macam tu. Tak baik fikir benda yang kita tak tahu,” balas Juita.

“Kalau tak nak bagi abah fikir yang bukan-bukan, cepat kahwin biar senang hati abah dan umi,” tegas Haji Hussein kemudian terus bangun meninggalkan Juita terkebil-kebil.

“Umi, tolong…” rayunya.

Puan Salmah hanya angkat bahu tanpa membalas apa-apa.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.