Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
409,200
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 24

TERLALU banyak yang berlaku dalam minggu ini. Penat, susah hati dan berbagai lagi. Rasa kerinduan yang tiba-tiba menjengah telah membawa Juita ke sini. Kononnya rindu dengan masakan di restoran popular ini. Padahal, dia rindukan sebuah senyuman itu. Senyuman abang tongsan yang handsome, yang comel dan bermacam yang lagilah!

Juita sudah mahu memasuki tiga siri, namun masih berperangai seperti gadis tidak matang. Pada mulanya dia cuba berlagak biasa dan menolak apa sahaja rayuan dan permintaan Jeffrey. Namun sebaik lelaki itu tidak mengganggu hidupnya lagi, rayuan dan permintaannya jadi igauan setiap malam. Akhirnya dia jadi malu sendiri apabila dia mula merindui abang tongsan.

Kini, Juita termenung lagi di biliknya. Sudah beberapa hari juga dia tidak dapat memberi sepenuh tumpuan pada kerjanya. Seketika dia merenung Blackberrynya lagi. Kenapa pada saat begini baru mengenal erti rindu? Dia tidak pun bercinta dengan Jeffrey, tetapi kenapa wajah itu yang asyik mengejarnya?

Kenapa semasa lelaki itu merayu kepadanya, dia boleh buat tidak reti sahaja? Lelaki itu seperti ikhlas sahaja dan dia bagai sengaja menyakiti hatinya. Kononnya mahu mengujinya dan bermain tarik tali. Kini, bagai dia pula yang terikat dengan lelaki itu walau langsung tiada sebarang hubungan antara mereka!

Masuk hari ini, sudah dua minggu berlalu. Juita tidak pasti kenapa hatinya mahu Jeffrey menelefonnya. Semenjak Jeffrey muncul dalam hidupnya, memang buat dia huru-hara juga. Juita sememangnya semakin resah. Jeffrey telah menghilang lebih lama dari sebelum ini. Takkan dia pula yang kena menghubunginya atau mencarinya? Malulah dia. Namun, andai dia berdiam diri dan hanya menunggu, memang tiada apa yang akan berlaku.


IZUDDIN menurunkan Juita di hadapan kedai buku. Entah kenapa dia ingin membeli novel atau buku umum untuk dibaca pada hujung minggu nanti. Tadi dia dan Syifa keluar makan tengah hari. Hari ini mereka terlewat sedikit mengisi perut, tidak seperti selalu seawal pukul dua belas sudah ada di restoran.

Sesekali otak kena dihidangkan dengan bacaan yang ringan dan tidak membebankan kepala. Syifa pula tidak mahu ikut kerana dia ada mesyuarat dengan klien. Juita tidak perlu hadir sama kerana ia lebih kepada perbincangan sahaja dan bukan untuk membuat keputusan penting.

Juita tidak lama berada di kedai buku. Setelah membeli beberapa buah buku yang menepati cita rasanya, dia melangkah keluar. Dia memang telah berpesan kepada Izuddin supaya terus berpatah balik mengambilnya setelah menghantar Syifa ke pejabat.

Cuaca sekarang memang tidak menentu. Selalunya panas sampai ke petang dan kadang-kadang sebelah malamnya hujan turun dengan lebatnya. Andai hujan turun ketika tengah hari atau awal petang, akan muncullah pelangi. Sudah agak lama juga Juita tidak pernah menyaksikan pelangi. Asyik sangat dengan kerja, sampai terlupa pemandangan indah di langit biru.

‘Hish! Ke mana pulak si Izuddin ni?’ Juita merungut di dalam hati. Pejabatnya dan kedai buku ini bukanlah jauh sangat. Kini dia terpaksa merasa bahang panas pula.

Tiba-tiba sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapan Juita. Dalam sekelip mata, seorang lelaki keluar dan dia terus ditolak masuk ke dalam kereta. Dalam kekalutan, Juita pula bagai terlupa untuk menjerit minta pertolongan.

“Eh! Awak nak buat apa dengan saya?” Juita sudah tidak keruan. Dia meronta untuk keluar dari kereta, namun kudratnya tidak mampu hendak melawan.

“Boleh tak awak diam atau saya sumbat aje mulut awak tu dengan kain ni?” arah lelaki yang menarik dan menolaknya tadi.

Pada masa yang sama seorang lelaki telah masuk dan duduk di tempat pemandu.

Juita segera menoleh. “Awak?” jerit Juita sebaik menyedari rupanya abang tongsan punya kerja.

Tanpa mempedulikan Juita, Jeffrey terus memecut sebaik orang suruhannya menutup pintu kereta.

“Awak nak buat apa dengan saya, hah?” marah Juita. Dia memang tidak faham kenapa lelaki ini bertindak menculiknya.

“Saya nak ajak awak makan angin!” jawab Jeffrey bersahaja.

“Awak jangan nak apa-apakan saya. Buruk padahnya!” ugut Juita. Ketika ini dadanya masih berdegup kencang akibat situasi yang dialami.

“Boleh tak awak senyap dan jangan membebel? Karang tak pasal-pasal ada pulak yang masuk hospital,” ujar Jeffrey pula.

Akhirnya Juita mengambil keputusan untuk berdiam sahaja. Rasanya lelaki ini tidak akan membuat sesuatu yang ektrem andai dia tidak melawan. Baik dia tenangkan diri dahulu.

Lama juga mereka berdiam dan melayan perasaan masing-masing. Juita memang tidak tahu hendak kata apa. Memang dia berharap akan berjumpa dengan Jeffrey, tetapi bukan dengan cara begini. Saat ini buat dia fikir yang bukan-bukan pula pasal lelaki ini.

“Kenapa awak tak boleh terima saya? Saya betul-betul sukakan awak.” Akhirnya Jeffrey bersuara juga.

“Tak payahlah awak nak banyak cengcong. Awak balik tongsan ajelah. Menyemak aje kat sini!” ujar Juita dengan perasaan geram. Entah kenapa ayat itu pula yang terucap.

“Sampai hati awak halau saya ke negara Puteri Hang Li Po tu? Papa dan mama saya orang Malaysia tau!” balas Jeffrey. Tidak pula dia marah atau bersuara keras apabila Juita bagai menyindirnya.

“Kalau saya dah kata tak nak, tak naklah!” jerit Juita. Padahal bukan itu perasaan sebenar di hatinya.

“Saya tak kira, saya tetap nak awak jugak,” tegas Jeffrey, serius.

“Awak ni tak faham bahasa ke?” marah Juita dengan muka mencuka.

“Tak kiralah awak nak cakap apa pun, saya akan pastikan awak tetap jadi milik saya, faham?” Kini suara Jeffrey sudah bertukar nada. Dia memang kena bertegas dengan Juita. Gadis ini umpama bunga mawar yang ada duri menjaganya. Dia kena bersedia dan berhati-hati. Tersilap langkah, diri sendiri yang terluka dan berdarah.

Juita menjeling lelaki yang telah buat dia sesak nafas. Dia sudah tidak tahu bagaimana hendak melayan kerenah abang tongsan ini. Sudahnya dia melemparkan pandangan ke luar tingkap. Entah ke mana lelaki ini hendak membawanya, dia pun tidak tahu.

Seketika Juita memandang ke hadapan, kemudian menjeling Jeffrey pula. Nampak serius sahaja lelaki itu memberi tumpuan pada pemanduan. Tiba-tiba, baru dia perasan jam di dashboard telah menghampiri angka empat petang.

“Awak, tolong turunkan saya dekat mana-mana masjid. Sekarang dah dekat pukul empat. Saya tak solat zuhur lagi.” Juita terus merayu kepada Jeffrey.

“Cakap dulu yang awak akan terima saya dan setuju berkahwin dengan saya.” Jeffrey mengambil kesempatan itu mengugut Juita.

“Saya tak nak berkahwin dengan awak! Tolonglah turunkan saya kat masjid, saya dahlah tak solat lagi,” bentak Juita. Kenapalah lelaki ini tidak faham-faham?

“Kenapa awak risau sangat? Masjid ada di mana-mana atau awak nak kita sama-sama bina masjid hari ini jugak?” Sempat juga Jeffrey mengusik.

“Awak, tolonglah jangan buat saya macam ni.” Kini Juita terpaksa merayu lagi.

“Ya… saya tengah carilah ni,” balas Jeffrey buat Juita berasa sedikit lega.

Tidak sampai sepuluh minit, kereta Jeffrey sudah memasuki perkarangan masjid. Sebelum Juita melangkah keluar, tiba-tiba Jeffrey merampas beg tangannya.

“Awak ni dah kenapa?” Juita sudah tidak tertahan dengan sikap lelaki ini. Sekejap okey, sekejap buat hatinya mendidih pula.

“Saya nak pastikan awak kembali ke kereta selesai solat nanti,” ujar Jeffrey dengan muka selamba.

Juita hanya mampu menjeling Jeffrey. Tanpa membuang masa, dia terus melangkah menuju ke laluan muslimin. Malas hendak bertekak memandangkan waktu zuhur sudah berada di penghujung.

Setelah mengambil wuduk, Juita segera menunaikan solat zuhur. Usai bersolat dan berdoa, dia beristighfar banyak-banyak. Sudahlah lewat bersolat hingga di hujung waktu, menghadap TUHAN pula dalam keadaan tidak khusyuk.

Juita masih duduk di atas sejadah dan bercadang untuk menunggu sehingga waktu asar masuk. Dalam kepala sudah terfikir untuk melarikan diri ikut jalan belakang. Semoga lelaki itu tidak menyedari tindakannya.

Saat ini dia sudah tersenyum dengan idea yang datang. ‘Kau tunggulah sampai esok pagi, abang tongsan!’ desisnya dalam hati.

Namun, senyumannya mati tiba-tiba. Baru teringat beg tangannya ada pada Jeffrey. Rosak pelan dia kerana kad pengenalan, telefon dan segala kunci rumah, ofis dan kereta ada dalam beg tangannya. Terpaksalah dia melupakan idea yang disangkakan dapat menyelamatkan diri.

Andai semua barang peribadinya ada pada lelaki itu, tiada untungnya dia melarikan diri. Bukan Jeffrey sahaja yang akan tercari-cari dirinya, dia juga terpaksa mencari lelaki itu untuk mendapatkan semula barang miliknya!


MENGHAMPIRI lima petang, baru Juita keluar dari masjid. Dia memang sengaja berlengah-lengah, biar abang tongsan itu penat menunggunya.

Tadi setelah selesai solat asar berjemaah, dia turut menyertai jemaah yang lain untuk berzikir dan berdoa. Andai sudah begitu, memang lambatlah habisnya berbanding melakukannya sendiri.

Sewaktu menghampiri kereta, terkejut Juita apabila mendapati Jeffrey tiada di dalamnya. Terus matanya meliar mencari kelibat abang tongsan, namun tiada kelihatan di mana-mana. ‘Hish! Ke mana pulak dia ni?’ sungut Juita.

Dia terus mencari di sekitar masjid, namun Jeffrey masih tidak ditemui.Tiba-tiba dia tergerak hati untuk melihat ke dalam masjid. Matanya terpandang sekumpulan jemaah yang masih berada di sudut masjid. Juita segera menggosok matanya berkali-kali. Rasanya dia tidak tersalah tengok. Benarkah dengan apa terpampang di hadapan mata?

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.