Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
409,865
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 25

KINI, Juita pula yang tertunggu-tunggu dengan berbagai perasaan di kalbu. Apa yang dia lihat sebentar tadi mengundang berbagai persoalan pada dirinya.

‘Inspektor aku salah siasat orang ke? Atau dia tersalah beri maklumat?’ Juita tertanya sendiri.

“Maaflah… tadi terjumpa pulak ustaz yang saya kenal dekat Jakim,” beritahu Jeffrey dengan kupiah masih di kepalanya.

Juita tidak berkata apa-apa. Padahal macam-macam yang hendak dia tanya dengan lelaki ini. Begitupun dia biarkan sahaja. Tiba masanya mungkin lelaki itu sendiri yang akan bercerita. Nanti nampak seperti dia mahu mengenali Jeffrey dan hendak tahu asal-usulnya pula.

“Balik dulu Jeff. Nanti jangan lupa jemput saya masa majlis kamu berdua dilangsungkan,” pesan seorang lelaki dan terus masuk ke dalam keretanya.

Jeffrey menganggguk sambil mengangkat tangan.

Juita telan air liur. Aduhai… maknanya lelaki yang dia asyik panggil abang tongsan ini memang keturunan Laksamana Cheng Ho. “Siapa tu? Apa maksud dia?" Juita segera bertanya. Tidak senang dengan apa yang lelaki itu ucapkan kepada Jeffrey.

Jeffrey memandang Juita yang menanti jawapan dengan kening terangkat. “Masuklah dalam kereta, nanti saya cerita kat awak.”

Juita terus melangkah masuk ke dalam kereta sebaik Jeffrey membuka pintu untuknya. Setelah menghidupkan enjin, kereta terus meluncur meninggalkan perkarangan masjid. Namun, hati Juita masih teringatkan apa yang terjadi sebentar tadi. Masih menunggu Jeffrey membuka mulut.

“Awak?” tegur Juita apabila Jeffrey diam sahaja dan bagai terlupa janjinya. Dia masih tidak tenang selagi tidak tahu cerita sebenarnya.

“Ya?” Jeffrey menyahut malas.

“Awak tak jawab lagi soalan saya!” ujar Juita.

Sorry, terlupa pulak. Dia tu ustaz yang saya kenal dekat Jakim. Tak sangka pulak dia tinggal tak jauh dari masjid tadi,” terangnya.

“Saya bukan nak tahu pasal tu. Maksud saya, kenapa dia cakap pasal jemputan kenduri?” soal Juita.

“Ooo… pasal tu. Awak kan dah setuju nak kahwin dengan saya? Bila dia tanya pasal awak, saya cakaplah awak tu bakal isteri saya.” Selamba sahaja Jeffrey menuturkannya.

“Yang awak pandai-pandai cakap macam tu, kenapa? Bila masa saya setuju nak kahwin dengan awak?” marah Juita. Ini yang buat dia angin semacam.

“Salah ke apa yang saya cakap tu?” Jeffrey pura-pura buat bodoh.

“Awak ni memang tau! Saja nak sakitkan hati saya,” marah Juita lagi.

“Saya betul-betul nak kahwin dengan awak. Awak tak nampak ke kesungguhan saya? soal Jeffrey. Sedikit keras suaranya kerana agak kecewa dengan layanan Juita terhadapnya.

Juita membulatkan mata memandang Jeffrey, tetapi tidak pula membalas apa-apa.

“Kenapa awak diam pulak? Selalunya ada aje benda yang awak nak argue,” soal Jeffrey. Dia hampir sahaja berputus asa dengan gadis ini. Saat dia benar-benar mahu mengambil Juita sebagai isteri, Juita masih berprasangka terhadapnya. Masih ingat dia main-main.

“Kita nak ke mana ni?” tanya Juita sebaik menyedari jalan yang mereka lalui bukan menuju ke pejabatnya mahupun ke kediamannya.

“Tak payah banyak tanya dan duduk diam-diam! Kalau awak banyak tanya, saya terus telefon ayah awak dan suruh datang ke pejabat kadi,” ugut Jeffrey dengan wajah serius. Tetapi dalam hati mahu ketawa juga. Entah bagaimana idea spontan itu boleh muncul.

“Awak jangan nak mengada-ada! Tolong jangan nak buat sesuka hati awak. Nanti saya terjun dari kereta ni.” Giliran Juita pula buat ugutan. Abang tongsan memang sudah lebih apabila menyebut pajabat kadi pula.

“Kereta ni bukan tinggi sangat pun untuk awak terjun atau melompat,” ujar Jeffrey dan tidak risau langsung dengan apa yang Juita sebutkan. Dia yakin gadis itu tidak akan buat kerja bodoh macam tu.

“Awak jangan nak cabar saya. Nanti saya buat betul-betul, baru padan muka awak,” balas Juita pula, tidak mahu mengalah. Sebenarnya dia tidak mahu lakukan pun. Nanti dia juga yang sakit segalanya. Sakit badan, sakit hati dan sakit jiwa!

“Kenapa awak ni degil sangat? Saya nak kahwin dengan awak dan bukannya nak larikan awak ke sempadan atau ke mana-mana. Saya cuma nak minta izin dengan ayah awak untuk ambil awak jadi isteri saya,” tegas Jeffrey kemudian menarik nafas panjang. Terasa lelah pula memujuk gadis di sebelahnya ini.

Sebaik mendengar penjelasan Jeffrey, baru Juita perasan mereka sudah berada di Jalan Duta dan sedang menghala ke tol. “Awak nak bawa saya ke mana pulak ni?” Kalut Juita bertanya.

“Ke kampung awaklah! Dalam boot memang sudah ada beg pakaian saya. Baju Melayu, kain samping dan songkok semuanya dah siap. Di kampung mesti dah ada baju awak, kan?” jawab Jeffrey dengan muka selamba.

“Awak ni biar betul? Awak tak kenal lagi abah dan abang saya macam mana. Nanti tak pasal-pasal kena kejar dengan parang!” Juita sudah terbayang apa akan terjadi andai lelaki ini teruskan kerja gila dia.

“Tak apalah. Saya akan berdiri aje dan tak payah buat apa-apa,” jawab Jeffrey dengan yakinnya seolah-olah tidak gentar langsung.

“Okey… okey! Nanti saya beritahu keluarga saya pasal hajat awak. Sekarang tolonglah patah balik. Nanti Syifa juga akan risau pasal saya,” rayu Juita bersungguh-sungguh. Dalam hati dia tertanya juga. Takkanlah si Jeffrey ini tahu keluarganya tinggal di mana?

“Syifa? Hmm… dia okey aje. Saya dah telefon dia guna telefon awak tadi,” beritahu Jeffrey lagi. Sebelum bersolat tadi, dia sempat menghubungi Syifa dan beritahu Juita ada bersama dengannya. Dia tahu Syifa adalah rakan serumah Juita apabila dia melihat senarai kenalan Juita.

Juita sudah kehabisan bicara dengan lelaki ini. Apa sahaja yang dia fikirkan langsung tidak dapat menghalang lelaki ini. Tetapi, takkan mahu menurut sahaja kehendaknya? Dia kena fikirkan sesuatu.

Sebaik kereta menghampiri tol, tiba-tiba sahaja Jeffrey melakukan pusingan U. Hampir sahaja badan Juita melayang ke arahnya. Begitupun, Juita berasa lega kerana mereka tidak jadi menuju ke Ipoh. Selesai satu masalah!

“Memandangkan awak dah setuju, saya mahu raikan dengan belanja awak makan,” beritahu Jeffrey sambil melemparkan senyuman manis buat Juita.

“Awak ni… tolonglah hantar saya balik sekarang jugak. Saya dah tak selesa, tahu tak? Tak lama lagi waktu maghrib dah nak masuk.” Juita masih lagi memberi alasan untuk tidak terus bersama lelaki ini.

“Lupa apa yang saya cakap kat awak tadi? Saya boleh aje aturkan perkahwinan kita pada bila-bila masa. Sekarang ni majlis akad nikah bukan pada waktu siang aje. Waktu malam atau waktu bersahur pun saya boleh aturkan!” Sengaja Jeffrey menduga Juita yang sudah keresahan.

Juita merengus geram. Ada sahaja jawapan lelaki ini buat dia mati akal hendak menjawab balik. Rasa geram di dadanya memang bagai gunung berapi. Bila-bila masa sahaja boleh meletup.

“Dah habis modal awak untuk memberi seribu alasan?” Jeffrey sengaja hendak provok gadis di sebelahnya. Walaupun sedar gadis itu sedang geram dengannya, tetapi dia berasa seronok pula dapat menyakatnya.

“Suka hati awaklah nak cakap apa pun. Malas saya nak layan,” balas Juita dengan rasa marah yang kian membara. Hari ini memang hari paling malang dalam hidupnya.


JEFFREY tersenyum puas. Bagus juga dia memilih restoran paling hujung dan tepi muara. Suasananya memang best. Rasa begitu nyaman sekali sebaik terkena angin laut. Apabila berpeluang, wajah Juita juga yang ditatap. Walaupun asyik masam sahaja, ia tetap buat Jeffrey tersenyum dan tidak jemu memandangnya.

Memang hari ini dia berasa gembira sekali. Dapat keluar dengan gadis idaman dan dapat menjamu selera bersama dengannya. Asalnya Jeffrey tidak merancang pun hendak membawa Juita makan malam di restoran di Bagan Lalang ini. Sudah alang-alang dapat menculiknya, biarlah pergi jauh sikit agar dapat berlama dengannya.

Ahirnya senyuman terukir di wajah Juita ketika makanan untuk mereka sudah terhidang. Abang tongsan ini macam tahu-tahu sahaja apa yang dia suka. Juita memang sudah lapar tahap gaban. Melihat ikan siakap bakar, Juita segera menutup mulutnya. Dia terpaksa menyimpan senyumnya.

“Kenapa? Tak suka ke dengan makanan yang saya pesan?” Jeffrey bertanya kerana berasa pelik.

“Taklah. Ni apa pulak?” Juita berasa pelik sebab dia tidak pernah tengok.

“Oo… ini pepahat, tapi ada jugak yang panggil siput buluh,” beritahu Jeffrey. Dia yang menyebutnya pun sudah tersenyum-senyum.

“La… siput ke? Ingat apa tadi.” Dalam hati rasa macam tidak boleh habis sahaja makanan yang Jeffrey pesan. Kailan masak ikan masin memang sayur kegemaran Juita. Namun, ketam memang dia tidak berkenan sangat sebab kena pandai hendak memakan isinya.

Sorry ya, kat sini tak ada ikan tongsan!” Sengaja Jeffrey hendak memerli gadis di hadapannya, tetapi Juita buat tidak tahu sahaja.

Dalam geram dan bengang dengan Jeffrey, rupanya habis juga makanan yang dipesan. Yalah, mereka berdua sama-sama

sudah lapar dan kehilangan tenaga kerana asyik bertelingkah. Minum petang juga tidak sempat. Jeffrey pula sengaja ikut jalan jauh untuk sampai ke restoran ikan bakar yang popular di Bagan Lalang ini.

Mujur juga sebelum sampai ke sini mereka terjumpa masjid dan sempat menunaikan solat maghrib. Hari ini Jeffrey berpusing dan makan angin dalam kereta dengan Juita. Balik nanti memang sama-sama penat satu badan. Dirinya lagilah terlajak penat! Penat memujuk rayu, juga penat memandu seharian.

“Bila awak nak hantar saya balik?” tanya Juita sebaik menghabiskan air minumannya.

“Awak jangan risau, saya akan hantar awak balik dengan selamat.”

“Cepatlah, saya tak nak lewat sampai ke rumah,” pinta Juita.

Anyway, terima kasih kerana sudi makan dengan saya. Maaflah kerana terpaksa buat macam ni kat awak,” ucap Jeffrey.

Juita buat-buat tidak dengar sahaja. Apa yang ada di kepalanya sekarang ini hanyalah mahu balik ke rumah, mandi dan tidur.

Lama Jeffrey memandang wajah yang langsung tidak ceria sejak sampai tadi. Sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling mencabar buat dirinya. Serasanya, hendak masuk tender projek pun tidak perlu bersusah payah begini.

Memang menguji kesabaran dan ketahanan mental juga. Alahai… semuanya Juita punya pasal! Jeffrey tersenyum lagi. Dia sendiri memang berasa tidak percaya dengan tindakan yang diambil. Andai diceritakan kepada kawan-kawannya, mahu mereka terkejut beruk!

Mata Jeffrey tenang menatap gadis di hadapannya. Hajatnya memang tinggi menggunung. Andai gunung Everest itu sudah cukup tinggi, tinggi lagi harapannya.

“Awak ni… tunggu apa lagi? Jomlah balik.” Juita sudah tidak betah berlama di sini.

“Saya yang kena memandu tau, bagilah makanan masuk betul-betul ke dalam perut,” balas Jeffrey pula.

“Yalah, tapi jangan lama sangat!” Juita sudah mencebik.

“Awak tahu, saya sendiri tak menyangka bergini rupanya apabila hati sudah terpikat. Sanggup buat apa saja asal saya dapat bersama awak,” ujar Jeffrey. Sekilas dia memandang Juita yang bermuram durja.

Juita diam sahaja. Saat ini pula abang tongsan hendak bermadah seloka bagai. Dirinya pula masih mahu jual mahal padahal dia masih gagal mengotakan janji pada abahnya. Dibuatnya tiba-tiba abang tongsan cabut terus, baru padan muka dia. Memang gigit jarilah dia.

Shall we?” ajak Jeffrey setelah membuat pembayaran di kaunter.

Juita bangun dan terus mengikut langkah Jeffrey menuju ke kereta.

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.