Home Novel Komedi/Romantik Komedi Saya Cup Hati Awak!
Saya Cup Hati Awak!
Zan Zarida
3/7/2014 09:08:27
409,183
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 21

SUDAH lebih dua minggu berlalu sejak insiden Juita dilamar abang tongsan. Lamaran yang dia tidak duga sama sekali. Mereka tidak pernah bertegur sapa, cuma saling mencuri pandang antara satu sama lain. Alih-alih lelaki itu terus mahu menyuntingnya. Bukankah itu satu perkara yang amat pelik?

Sekarang Juita masih menanti panggilan telefon daripada lelaki itu. Namun, bagai menanti buah yang tidak gugur pula. Kini dia tertanya sendiri sama ada lelaki itu serius atau sekadar main-main dengan lamarannya?

Juita mengimbau kembali detik itu. Seingatnya wajah Jeffrey tenang sahaja ketika melamarnya. Ayat yang dia lontarkan juga tersusun dan bukan tergagap-gagap ketika menuturkannya. Cuma setelah dia memberi persetujuan, wajah lelaki itu memang berubah. Susah juga untuk Juita menilai tindakan lelaki itu kalau hanya berdasarkan ekspresi wajahnya.

Hendak kata Jeffrey terlalu gembira apabila dia bersetuju dengan lamaran itu, tidak juga. Apa yang nyata, lelaki itu bagai tidak menduga jawapan yang dia berikan. Ini yang merunsingkan Juita.

Andai kata Jeffrey tidak bersungguh, tentulah dia tidak meminta nombor telefonnya. Atau dia bertaruh dengan dua orang lagi rakannya yang sentiasa ada bersamanya itu? Sakit kepala Juita memikirkan hal ini. Dia pula tersilap cakap ya kepada lelaki itu. Tetapi entah kenapa ketika itu dia tidak menarik kata-katanya.

Dia berkata ya untuk setuju membawa balik calon menantu. Bukan ya untuk setuju dengan lamaran abang tongsan! Memang payah apabila mengalami situasi sebegini, tetapi dia kena teruskan juga. Dia memang sudah terlepas kata kepada abah dan Jeffrey!

“ANDAI tidak mampu mengapai bintang di langit, gapailah bintang di hati,” tutur Syifa pada petang yang damai. Sengaja berbicara begitu agar Juita mahu bercerita tentang resah di kalbunya.

Juita diam sahaja. Pisang goreng dikunyah perlahan. Minum petang sambil makan pisang goreng memang mengasyikkan. Lebih-lebih selepas hujan turun, terasa segar dan nyaman sekali. Andai setiap hari dapat menenangkan fikiran dan melepak begini, memang menyeronokkan. Namun, sejak kebelakangan ini, semakin banyak pula perkara yang tidak diduga menimpa dirinya.

“Kenapa kau diam aje?” soal Syifa sambil menyinggung bahu sahabatnya.

“Nak cakap macam mana, ya?” keluh Juita sambil menggaru pipi.

“Cerita ajelah, aku sedia mendengarnya walaupun panjang berjela.” Hendak bergurau juga si Syifa ini.

“Hajat di hati memang mahu mengapai bintang dan bulan sekali, tapi sayap aku sudah patah. Jangan cakap nak gapai bintang, nak terbang pun dah tak mampu,” luah Juita sambil duduk menyandar.

“Kau dah beritahu pasal Jeffrey pada abah kau ke?” soal Syifa.

“Dah, tapi beritahu sikit ajelah. Dah tu terpaksa pulak kelentong abah aku. Yang buat aku geram, abang tongsan ni tak reti-reti nak telefon aku lagi,” terang Juita. Itulah masalah dia sekarang ini.

“Ai, takkan dia tak telefon kau lagi?” Terkejut Syifa mendengarnya.

“Dahlah buat aku tertunggu-tunggu, bayang dia pun aku tak nampak!” rungutnya.

“Dia dah hilangkan nombor telefon kau kut?” Syifa cuba membuat agar Juita berfikiran positif.

“Kalau hilang sekalipun, takkan dia tak tahu nak cari aku dekat mana?”

“Betul jugak. Tak payah fikir sangatlah, entah-entah dia pun masih terkejut jugak?” Syifa meneka sendiri.

“Terkejut dengan tindakan sendiri atau terkejut dengan jawapan yang aku berikan?” soal Juita pula.

“Dua-dualah kut!” balas Syifa kemudian tergelak pula. Dia sendiri pun susah hendak memberi komen dengan situasi yang Juita alami. Sebolehnya dia mahu hubungan yang hendak bermula ini dapat diteruskan.

“Harap-harap dia akan telefon aku dalam masa terdekat ni. Kalau tidak, naya aku!” sebut Juita.

“Jangan risau sangat. Aku percaya dia akan hubungi kau jugak. Aku yakin abang tongsan seorang yang baik.” Syifa cuba meredakan kerisauan Juita.

“Masinlah hendaknya mulut kau tu.” Mendatar sahaja suara Juita sekadar memujuk diri sendiri.


SETELAH membersihkan diri, Juita berbaring sahaja di katilnya. Tiba-tiba Blackberrynya berbunyi pula. Tanpa membuang masa, dia terus menjawab panggilan.

“Ya, siapa ni?” soalnya apabila menyedari ia bukan nombor orang yang dia kenali.

“Hai, saya ni… Jeff,” sebut Jeffrey perlahan.

“Hmm… awak ke? Panjang umur!” perli Juita. Pada masa yang sama terus bangun dari pembaringan dan menyandar di kepala katil.

“Panjang umur? Maaflah sebab tak telefon awak.” Jeffrey segera memohon maaf. Faham gadis itu pasti menunggu panggilan daripadanya.

“Apa hal telefon saya?” Hendak tak hendak sahaja Juita bertanya. Dia memang sudah tidak teruja menerima panggilan daripada lelaki ini.

“Saya ada sesuatu nak beritahu awak,” tutur Jeffrey. Perlahan dan tenang sahaja nada suaranya.

“Cakap ajelah.”

“Ni pasal hari tu…” beritahu Jeffrey.

“Awak nak beritahu yang awak cuma bergurau dengan saya?” potong Juita. Kedengaran suaranya sudah berubah nada. Tiba-tiba sahaja sudah meninggi pula.

“Bukan macam tu,” sangkal Jeffrey.

“Habis tu?”

“Sebenarnya, tujuan saya telefon ni sebab nak minta maaf dengan awak,” ucap Jeffrey.

“Minta maaf? Kenapa pulak?” soal Juita.

“Susah saya nak jelaskan, tapi saya kena berterus terang jugak dengan awak.”

“Cakap ajelah, tak payahlah nak berdolak-dalih!” Juita sudah berasa lain sebaik Jeffrey berkata begitu.

“Boleh tak awak lupakan aje pasal lamaran saya tu?” Teragak-agak Jeffrey menuturkannya.

“Apa awak cakap? Lupakan macam tu aje?” Ketika itu juga Juita sudah marah tahap tinggi. Nasiblah masing-masing tidak saling berhadapan. Kalau tidak, mahu ada meja yang terbalik.

“Saya tak ada niat pun nak buat awak marah. Benda dah terjadi, terpaksalah saya berterus terang,” jelas Jeffrey.

“Ke awak nak beritahu sebenarnya awak cuma bertaruh sebab kawan-kawan awak mencabar awak?”

Jeffrey senyap dan tidak membalas apa-apa.

“Kenapa awak diam? Maknanya betullah awak buat semua tu sebab bertaruh dengan kawan-kawan awak tu?” Sebelum ini Juita memang sudah menjangkakan perkara ini. Begitupun dia pujuk hatinya supaya bersangka baik. Ternyata hari ini dugaannya benar belaka.

“Buat masa ni, saya tak boleh nak cakap banyak selain mahu memohon maaf atas keterlanjuran saya. Pada masa itu mungkin saya rasa tercabar, jadi saya buat aje apa yang kawan saya suruh.” Jeffrey cuba menjelaskan perkara sebenar kepada Juita.

“Senang aje awak cakap, kan? Saya ni ada maruah tau. Ingat sebagai lelaki awak boleh buat aje apa yang awak suka? Lepas tu cuci tangan dan lupakan aje?” Juita sudah mula panas hati.Perkara serius begini lelaki itu buat main? Dia bukan barang mainan untuk dijadikan taruhan dan diperguna-gunakan.

“Saya tahu saya bersalah, sebab itu saya nak minta maaf.”

“Awak memang teruk, tahu tak? Sekarang ni, apa saya nak cakap dengan abah saya? Saya dah beritahu perkara ni kat abah saya.”

“Kenapa awak beritahu abah awak?” soal Jeffrey. Dia memang tidak menjangkakan yang Juita akan beritahu keluarganya.

“Tanya pulak? Yang awak tu menghilang dan tak telefon saya, kenapa? Kalau awal-awal awak berterus terang, tak adalah jadi macam ni,” rungut Juita.

“Saya minta maaf sangat-sangat. Saya sendiri bercelaru memikirkan hal ini,” balas Jeffrey.

“Oh! Bercelaru? Boleh tak awak jangan nak kelentong dengan saya? Entah-entah selama ini awak gelakkan saya,” marah Juita.

“Mana ada saya gelakkan awak? Saya menghilang sebab nak fikir macam mana nak selesaikan masalah ni,” sangkal Jeffrey.

“Jadi, bila awak berterus terang begini, masalah selesailah?” marah Juita lagi.

“Sekurang-kurangnya saya tak buat awak tertunggu dan rasa tertipu,” jawab Jeffrey yang sudah serba salah.

“Saya memang rasa tertipu dan awak memang penipu pun, kan? Main-mainkan perasaan orang. Memang itu kerja awak ke?” tengking Juita. Dia sendiri terkejut dengan bicara sendiri. Dia mana tidak pernah marahkan orang lain seperti ini.

“Saya tahu awak berhak untuk marah. Tapi saya bukan seperti yang awak sangka,” tutur Jeffrey perlahan.

“Terima kasihlah sebab awak dah berjaya mainkan perasaan saya. Dan jangan sesekali tunjuk muka awak depan saya,” tegas Juita dan terus memutuskan talian.

Tiba-tiba Juita rasa macam hendak terjun sungai!

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.