Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 42

SEMINGGU yang lalu Dara pilih untuk berdamai dan lupakan sengketa lalu. Dia sedar, dendam itu tidak ke mana melainkan membawa kehancuran dan memakan dirinya sendiri. Namun kedamaian itu diragut bila seminggu Haris menghilangkan diri tanpa sebarang khabar.


Disebabkan rasa kehilangan itulah dia melakukan perkara di luar kewarasannya. Satu pesanan ringkas dia hantar kepada Haris. Cukup pendek. Cukup mendera emosi si pembaca. Buktinya, Haris muncul setelah setengah jam pesanan tersebut dikirim.


Dara tidak punya pilihan lain selain melarikan pandangan mata. Dia pilih untuk beredar dari sini ruang tamu sebelum api kemarahan Haris itu menyambar dirinya. Lebih parah, dua-dua bakal terbakar. Dua-dua hilang kewarasan.


Baru beberapa langkah, ada tangan yang menghalang Dara berbuat demikian. Malah, Haris menarik tubuhnya mendekat. Sangat dekat sehingga dia dapat rasa nafas Haris itu menampar lembut pipinya.


“Lepas awak petik suis…Awak nak suruh siapa yang tutup suis tu, hurm?”


Dara memilih untuk diam. Jika dia bersuara, semakin teruk sindiran suaminya.


“Tolong bertanggungjawab sikit.” Kata Haris lagi.


Kali ini Dara tidak boleh berdiam diri. Dia angkat muka pandang Haris. Tadi dia memang putuskan untuk tidak melawan, tapi dia tarik semula keputusan tersebut.


“Saya minta maaf. Salah saya sebab petik suis kemarahan awak.”


Ada senyuman yang tersungging di wajah Haris.


“Sedar tak berapa besar salah awak? Awak rasa dengan minta maaf, semuanya kembali aman?”


Haris rasa, Dara bukan setakat sedang memetik suis kemarahan dia. Dara juga sedang menghakis kesabaran dia secara perlahan-lahan.


“Apa sebenarnya awak nak?” Soal Haris.


Hampir bertemu sepasang kening Dara yang elok terbentuk. Apa jenis soalan yang Haris lemparkan? Takkan Haris tak faham lagi. Banyak yang dia nak.


“Awak tengah mulakan pergaduhan kita?” Tebak Dara. Elok-elok dia nak berdamai, Haris datang memberi taufan.


“Nope! It’s you.” Pangkah Haris.


Dara pandang Haris dengan pandangan setengah percaya. Besar harapan agar Haris memberi dia sedikit reaksi serba salah. Namun dia sedar kerana terlalu berharap. Sedangkan Haris itu tenang, malah sebelah kening suaminya naik tinggi. Tiada langsung rasa serba salah yang dipertontonkan Haris buatnya.


Dia menolak Haris menjauh. Tak jadi nak masak. Dia akan berpuasa dari sekarang. Esok dan seterusnya.


“Nak pergi mana? Tadi awak beria-ia sangat nak masak.” Haris menyambar lengan Dara kembali. Memaksa Dara berdiri di depannya semula.


“Kalau awak tak nak mati sebab tekanan darah tinggi atau terkena diabetes…Saya tak kisah masak sekarang.”


Haris diam. Dara benar-benar marahkan dia. Tak hairanlah kalau dia beri lampu hijau untuk Dara masak, bukan setakat lori garam dan gula tumpah, dia akan mati kepanasan gara-gara lori cili pula tumpah.


Perlahan-lahan Haris melepaskan pautan. Dia mengalah.


“Saya masak.”


Dara tak tunggu lama untuk angkat kaki. Dia perlu ruang untuk sejukkan hati yang mendidih. Lama-lama di sini bersama Haris, takat didihnya bakal capai tahap maksimum dan bakal mengalirkan lahar marahnya. Itu sangat-sangat bahaya. Takut dia bakal menyebut ayat keramat tadi buat kali ke duanya.


Tanpa Dara sedari, Haris mengekori langkahnya dari belakang hingga tubuh Dara hilang dari pandangan mata. Ada satu keluhan berat dilepaskan. Hanya dia saja tahu gelora di hatinya.


 


SUMPAH Dara menyesal. Dia lupa konsep matang yang perlu diterapkan sejak kenal apa itu berdamai. Hanya kerana Haris menghilangkan diri, dia kembali menjadi keanak-anakkan. Sepatutnya dia rendahkan sedikit egonya dan bertanya keberadaan suaminya. Bukannya menjadi tunggul kayu yang menanti panggilan dan pesanan whatsapp dari Haris.


Selesai sesi makan tanpa suara tadi, Dara mengambil alih mengemas ruangan dapur pula. Haris hanya tahu memasak, tapi tak pandai sangat dalam bab mengemas. Kemas pun setakat ala kadar. Ala kadar yang menyakitkan pandangan matanya.


Dan sekarang, dia sedang berbaring di dalam bilik. Mood dia menjunam teruk gara-gara dia menyebut ‘kita cerai’. Gara-gara itulah keadaan menjadi semakin kekok. Jadi dia putuskan baring membelakangkan Haris. Tiada modal untuk bersuara.


Dara tersentak bila merasakan ada gegaran di sebalik bantal yang menjadi alas kepala. Laju tangan dia meraba-raba mencari keberadaan telefonnya. Berkerut muka Dara bila terbaca nama si pengirim pesanan whatsapp. Dia teragak untuk membuka. Seminit berfikir, Dara buka juga pesanan tersebut. Siapa tahu kalau si pengirim itu ingin memujuk dia kembali.


+ I miss Dara.


Cebikan Dara segera munculkan diri. Dia biarkan saja pesanan itu tanpa berbalas.


+ You are typing.


Mana ada! Satu huruf pun belum sempat Dara tekan. Ini fitnah sangat besar.


+ Taip je la yang awak pun rindu saya, kan? Come on Dara…


Mengetap bibir Dara. Jari dia laju mulakan kerja.


+ Dara is typing!


Lelaki ini benar-benar menguji kesabaran dia.


+ Cepatlah, dah berderet saya mesej…tapi awak still typing.


Membesar mata Dara bila disindir dalam whatsapp pula.


+ Faster!


Okey! Dara tak nak balas apa-apa. Biarlah lelaki itu meroyan sendiri.


+ Sleeping? Hurm…Good!


Ya! Memang patut pun Dara tidur. Sekurang-kurangnya, dia tak perlu melayan karenah suaminya.


+ Tidur lena-lena. Takut esok pagi tak ada seurat benang pun melekat pada badan awak.


Dara bangkit mendadak lantas menoleh belakang. Dia nampak Haris itu duduk bersandar di kepala katil. Suaminya sibuk dengan telefon ditangan tanpa menghiraukan dia. Dan Haris itu masih boleh bertenang.


“Awak saja nak panaskan hati saya, kan?” Marah Dara dengan nada suara masih terkawal. Dia tidak mahu mencetuskan pergaduhan.


“Bagus apa.” Jawab Haris selamba.


Haris meletakkan telefon di atas bedside drawer. Kini tumpuan penuh diberikan kepada Dara. Bukan riak marah yang dia nampak pada isterinya. Tetapi wajah merah-merahnya menahan malu.


“Bagus kalau hati awak panas…Lama-lama, satu badan akan panas. Tak payah penat-penat nak warm up…”


MasyaAllah, Haris! Kalau Haris teruskan bersuara lagi, memang Dara bakal mengamuk besar.


“Untuk kita…Ermmm…itu.” Bahu Haris terjongket.


Dara capai bantal lalu di campak ke arah Haris. Bagusnya, sedikit pun Haris tidak mengelak. Dia masih mampu tersenyum. Senyuman yang sarat dengan muslihat.


“Saya cakap benda yang betul.”


Dara rasa kepala Haris itu pasti ada terhentuk di mana-mana. Sampaikan percakapannya juga seperti orang hilang akal.


“Sini…”


Haris menepuk sisinya yang kosong.


Dara diam tidak berkutik biarpun dia nak sangat duduk di situ. Dia nak sangat melepaskan tumbukan di dada Haris, barulah dia puas hati.


Lima minit Haris menunggu, tiada tanda-tanda Dara ingin menurut. Bukan dia tak nampak gelisah Dara. Isterinya sibuk bermain dengan jari. Itu petanda yang cukup jelas Dara resah.


“I’m coming.” Sekali gerak saja, Haris sudah berada di sisi Dara. Sengaja dia duduk rapat-rapat, malah wajah tidak selesa Dara itu dibiarkan saja.


Sikit lagi Dara hampir jatuh gara-gara mengesot untuk menjauhi Haris. Mujur tangan Haris awal-awal dah bersedia di pinggangnya. Jika tidak, mahu esok dia perlu buat pemeriksaan gigi supaya tiada yang goyang ataupun rongak.


“Tahu tak, betapa saya rindukan awak seminggu ni.”


Tak sempat Dara mengelak, Haris terlebih dahulu melancarkan serangan memujuk. Merata bibir Haris pergi. Ajaibnya, rajuk Dara terbang entah ke mana.


“Dah tahu rindu, kenapa tak datang cari saya?” Dara menolak lembut wajah Haris.


Serangan Haris terhenti. Suaminya menjauhkan diri sedikit. Tapi masih belum cukup jauh bagi Dara. Dalam jarak hanya beberapa inci, masih belum menjamin Dara selamat dari serangan Haris.


“Hari-hari saya datang tengok awak, Dara”


Tak berkedip Dara pandang Haris. Bila?


“Boleh dikatakan setiap jam.”


Dari sekali, jadi berkali-kali Dara kerdip mata. Kenapa dia tak pernah nampak pun Haris datang?


“Hari-hari saya datang bawa sesuatu untuk awak.”


Dara cuba menggali memorinya semula. Dia cuba mengingat apa yang pernah dia terima sepanjang seminggu ni. Dan ketika itu Dara sudah menemukan jawapannya.


“Rose?"


Haris kerdip mata sekali.


Oh, ya.


Setiap hari bunga ros merah itu membiak dengan cemerlang. Daripada sekuntum, jadi berkuntum-kuntum bunga itu membiak. Semalam, kali terakhir dia melihat pasu jernih itu, ada empat belas kuntum semuanya. Tak pula Dara bertanya dari mana datangnya ros merah tersebut.


“I'm sorry."


Mata Dara bergerak-gerak. Raut wajah Haris itu jelas-jelas kesal. Ada rasa serba salah terpancar juga pada wajahnya.


Baru Dara angkat tangan ingin menyentuh wajah suaminya , ditarik semula niatnya bila Haris membina jurang lebih besar di antara mereka. Haris kembali bersandar pada kepala katil.


“Dalam seminggu ni saya sedang selesaikan urusan ayah awak."


Lihatlah, berapa besarnya pengorbanan Haris. Hanya dia yang sibuk memikir yang bukan-bukan.


"Kes dah hampir selesai. Dan ayah awak akan bebas tak lama lagi. Bebas untuk melihat dunia luar."


Jari-jemari Dara meramas sesama sendiri mengenangkan kebodohan dia.


"Tak sangka pula orang tu tiba-tiba minta dilepaskan."


Daralah orang itu. Orang yang tak mengenang budi. Orang yang pendek akal.


"Selain kes ayah awak, ada kes lain yang belum selesai."


Dara angkat muka. Teruja. Jarang-jarang Haris nak bula mulut bercerita tentang hal kerja.


"Tapi tu tak penting..."


Fahamlah Dara, kerja Haris itu tak perlu didedahkan pada sesiapa. Boleh jadi kerjanya melibatkan hal negara. Tak patut sampai ke pengetahuan orang awam.


"Yang penting...Saya nampak awak dengan orang lelaki semalam."


Bertaut kening Dara. Lelaki? Bila? 


Selepas lima minit menggali mememori, baru dia teringat.


"Oh! Semalam? Budak jnt..Salah hantar parcel. Saya panggil dia ambil semula barang tu"


Haris gosok dagu. Masih belum belum terima sepenuhnya penjelasan Dara.


"Tak ada perjumpaan tertutup. Tak ada sembang-sembang bertanya nama...Dia luar pagar, saya dekat dalam. Barang pun letak atas tembok. Dan saya terus masuk dalam."


Haris picing mata.


"Awak cemburu tak bertempat Haris." Itu yang Dara rumuskan disebalik renungan suaminya.



Tiba-tiba Dara rasa nak tidur. Cerita Haris sudah memenuhi penjelasan yang diraih. Cuma yang dia tak faham kenapa Haris nak cemburu. Dan Haris perlu tahu, hatinya telah di serahkan pada seorang saja. Iaitu Haris.


“Awak belum mengantuk Dara.”


Ya!


Dara memang belum mengantuk. Tapi Dara akan usahakan untuk lelap mata gara-gara cemburu Haris. Dia akan paksa untuk tidur kalau perlu.


“Sorry, saya cemburu.”


Meluas mata Dara bila bisikan itu menyapa wajahnya.


Siapa lagi kalau bukan Haris punya angkara. Suaminya juga sudah baring menghadap dirinya. Lebih teruk, mereka berkongsi duvet.


“Haris, ini bukan tempat awak.”


Terangkat tinggi kening Haris.


“No! Ini memang tempat saya.”


Dara menolak duvet, lalu dia bangkit. Dia menebarkan pandangan. Perlahan-lahan pipi dia merasa bahang. Haris tak salah. Dia yang salah. Belakang dia ada ruang sangat besar. Dia yang baring ditempat Haris.


Niat Dara untuk kembali ke tempatnya dihalang oleh Haris. Dan semestinya Haris berjaya mengunci pergerakkan Dara seperti selalu.


“Awak sejuk, Dara.”


Berdua dengan Haris yang selalu buatkan Dara seram sejuk.


“Selimut ada.” Balas Dara sedikit bergetar. Tangan dia meraba mencari duvet semula. Tetapi tiada!


“Saya akan jadi selimut awak.” Haris sudah bertukar menjadi selimut. Dia memeluk erat tubuh Dara.


“Haris…”


Dara rasa nak sumpah mulut dia!


Dia ingin menolak, tapi suaranya kedengaran menggoda suaminya sendiri. Dan Dara berjaya menemukan senyuman meleret Haris, serentak tubuhnya ditolak lembut supaya menjauh.


“Go and sleep.” Pipi Dara ditepuk perlahan.


Haris turun dari katil. Dia menuju ke pintu luar meninggalkan Dara yang jelas-jelas tidak berpuas hati.


Hampir luruh rahang Dara bila daun pintu tertutup rapat. Apa suaminya sedang bercanda? Tadinya, Haris sedang bawa dia menari-nari di taman indah. Sekarang Haria meninggalkan dia buat kali ke dua?


Sekali lagi Dara memandang ke pintu. Dia ketawa perlahan. Masih tidak percaya.


Dan sekarang, siapa yang nak bertanggungjawab? Dara sudah tidak mampu nak tidur lena lagi gara-gara Haris.


Dara menghempas tubuh kasar di atas tilam. Dia terkebil-kebil merenung dada syiling. Apa dia nampak sekarang Haris itu sedang tersenyum mengejek pada dia. Bibir digigit kuat.


Gegaran di sebelah menggamit Dara.


Melihat nama Haris yang naik, laju jari dia menekan mesej tersebut.


+ I will be back...Saya keluar cari udara, Dara. Awak curi nafas saya. Awak rompak iman saya juga...Look at your dress right now. Awak buat saya macam singa kelaparan yang tunggu masa nak baham mangsa.


Kepala Dara automatik jatuh. Dan dia sedang menyumpah dirinya. Memang dia dalam keadaan yang sangat tidak sempurna! Terdedah sana sini. Tangan automatik naik menutup dada.

Previous: Bab 41
Next: Bab 43

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.