Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 10

GENAP hari ketujuh, Dara beranikan diri keluar bersama Emir. Bermacam-macam alasan terpaksa Dara berikan kepada emak. Emak pula, sudah macam polis pencen. Bertanyakan itu dan ini bila Dara katakan mahu keluar jalan-jalan pada hujung minggu.


"Tak pernah-pernah Dara nak keluar? Selalunya duduk saja dalam rumah. Terperap dalam bilik. Tengahari baru nak tunjuk muka. Itupun, sekejap je. Masuk balik. Banyak sangat ke kerja dekat tempat kerja Dara sampai stress semacam."


Itu kan!


Daripada bertanya, emak terjerumus kepada curiga.


"Kalau Dara tak keluar, mak pun risau. Dara keluar dengan kawan, mak lagi lah risau." Itu juga yang emak sebut-sebutkan sebelum ini. Emak takut Dara ini tak pandai nak bergaul dengan orang lain.


"Kawan yang mana satu?" Emak bertanya lagi.


Aduh!


Dara mengerling jam yang tergantung di atas tv.


Ikut perjanjian, dia sudah terlewat setengah jam. Beg tangannya juga tidak henti-henti bergegar. Siapa lagi kalau bukan Emir yang menelefon dia. Ini janji temu pertama mereka. Tapi Dara sudah gagal dari segi masa gara-gara emak.


"Yana..."


Mengecil sepasang mata emak. Jelas-jelas emak meragui jawapan dia.


"Dara dah lama tak jumpa dengan Yana. Bila lagi nak berjumpa? Itupun Dara baru tahu Yana dah tak kerja dekat kilang tu. Banyak yang kami nak ceritakan." Dara tidak tahu berapa lama dia perlu bersoal jawab dengan emak. Dia pula terus-terusan mencari alasan bernas.


Emak pandang dia. Dara terlebih dahulu putuskan melarikan matanya. Bimbang tertangkap.


"Dara pergi dulu mak. Dah lambat sangat ni." Dara mencapai tangan emak, lalu di kucup.


"Mak tak rasa Dara nak jumpa Yana. Tak pernah-pernah Dara salam tangan mak kalau nak jumpa Yana. Tak pernah juga Dara pakai cantik-cantik macam ni. Ni mesti Dara nak buat salah, lepas tu minta maaf siap-siap dengan mak."


Naluri emak tak pernah salah. Emak terlebih dahulu makan garam. Jadi, emak mudah menangkap kalau Dara menipu. Serkap jarang emak berjaya membuatkan Dara jadi kelu tidak berbahasa.


"Dara keluar dengan Haris?"


Haris lagi!


Macam mana Dara nak kenalkan Emir kalau emak tu dah angaukan Haris. Semua benda emak nak kaitkan dengan Haris.


"Kalau mak berkenan sangat dengan Haris, Dara boleh tolong pinangkan Haris untuk mak." Geram punya pasal, Dara sendiri memberi cadangan.


Lekas Dara menerima tamparan keras dari emak. Sempat dia mengaduh kecil. Lengannya digosok perlahan.


"Mak ini digantung tak bertali. Jangan pandai-pandai nak carikan mak calon. Lagi-lagi yang sebaya dengan Dara. Jenuh mak nak dengar maki hamun jiran-jiran nanti. Nak sangat ke dengar orang cakap mak orang tua tidak sedarkan diri?"


Berdas-das jelingan Dara terima. Dia hanya memberi cadangan kerana emak itu siang malam nama Haris disebut. Ini padahnya, kerana Dara yang sering bercerita tentang kebaikkan Haris di tempat kerja. Disebabkan pujian melambung, emak jadi gila bayang.


"Dara pergi dulu." Dara tidak boleh tunggu lama lagi. Dia takut Emir merajuk.


Sesampai saja di depan pintu, suara emak kedengaran lembut sehingga berjaya menyusup ke dalam jiwa dia.


"Siapa pun dia...Bawa dia datang jumpa mak kalau dah bersedia. Mak tak nak Dara salah pilih lagi. Mak nak juga jumpa siapa yang berjaya buat Dara tersenyum semula. Siapa yang berjaya buka pintu hati Dara."


Panjang helaan Dara. Dia tidak menoleh. Dia takut dia bakal batalkan temujanji pertama dia bersama Emir. Dan Emir tidak akan mempercayai dia lagi kerana memberi harapan palsu pada lelaki itu.


"Dara keluar tak lama. Sebelum petang Dara balik." Hanya itu dia titipkan sebelum dia melangkah keluar. Marah-marah emak, tidak pernah lagi menghalang Dara keluar berjumpa dengan sesiapa. Itu yang dia senang dengan sikap emak.


"Dara!"


Tersentak Dara bila nama dia sebut, serentak bahunya dicuit sedikit. Hilang segala perbualan dia bersama semak sebentar tadi. Yang ada sekarang ini di dalam kereta, dia bersama Emir.


"Ya?" Dara terkejut bila Emir meninggi suara.


"Dari tadi saya panggil awak, Dar. Tapi awak diam. Awak sakit? Atau awak ada masalah?" Sempat Emir tunjukkan kebimbangan diwajahnya.


Baru Dara perasan. Kereta Emir sudah pun berhenti di bahu jalan bila merasa ada yang tidak kena pada dirinya. Tumpuan Emir kini hanya padanya. Mulalah wajah dia membahang. Dia terlalu jauh sangat mengelamun hingga tidak sedar Emir memanggil dia berkali-kali. Malah dia menyusahkan Emir.


"Maaf...saya okay." Dengar tak dengar saja suara Dara. Dia cuba menutup kegugupan dia.


"Kalau nak, saya boleh hantar awak pergi klinik." Tawar Emir. Dia risau bila Dara palingkan wajah. Dara mengelak pandangan matanya.


"Tak perlu. Saya okay, Emir. Mungkin lama sangat duduk dalam kereta."


Mengendur bahu Emir. Dia sendiri mencadangkan untuk duduk dan makan sambil bersembang-sembang santai di mana-mana restoran. Tetapi ditentang sekeras-kerasnya oleh Dara atas alasan takut ada yang mengenali mereka. Takut ada yang nampak mereka bersama. Kesudahannya, mereka menghabiskan temujanji sambil meronda-ronda jauh sedikit dari bandar.


"Ada masa lagi dua puluh minit. Awak nak saya hantar awak balik?" Emir tahu, Dara merasa tidak selesa. Apatah lagi mereka menghabiskan masa berdua-duaan di dalam kereta hampir satu jam.


Itu yang Dara rasa tiga puluh minit yang lalu. Dia memang bercinta dengan Emir. Tapi, tak tahu kenapa ayat-ayat emak menghantui dia. Kemudian, Haris terheret sama dalam fikiran dia. Sudahnya, dia merasa jiwa dia melayang bila bersama dengan Emir.


"Kita balik Emir." Pinta Dara.


Segera Emir melorek senyuman. Dia tidak kisah apa pun permintaan Dara, asalkan teman wanitanya bahagia, dia akan tunaikan.


Sebelum meneruskan pemanduan, Emir mengambil sesuatu di kerusi belakang. Barang yang dia beli untuk Dara dua hari lepas. Baru hari ini dia berkesempatan untuk sampaikan terus pada Dara.


Beg kertas berjenama LV diserahkan pada Dara. Dara tidak menyambut sebaliknya renungan dia meminta penjelasan Emir.


"Untuk awak Dar."


Dara tidak berniat untuk menerima. Melihat pada jenama pada beg kertas saja sudah mampu membuat dia sesak nafas. Apatah lagi ini pertama kali dia menerima pemberian mewah. Dia sendiri pun tidak mampu untuk membeli.


"Terlalu mahal Emir. Bagi saya, dalam hubungan tak perlu semua ini." Itu pendirian Dara. Dalam bercinta, tidak perlu hadiah-hadiah bagai. Memadai kepercayaan.


Emir mengulum senyuman lebar. Dia suka lihat wajah polos Dara. Dara lah yang pertama menolak pemberian dia. Teman wanita dia sebelum-sebelum ini semuanya nampak teruja, lebih-lebih lagi menerima hadiah mewah sebegini.


"Ambillah Dara...Sempena awak terima cinta saya." Emir meletakkan beg kertas itu di atas riba Dara.


Mahu semput Dara mendengar ayat Emir yang tidak pernah mencairkan jiwa wanitanya. Dia ingin mengembalikan kepada Emir semula beg tangan tersebut. Namun Emir terlebih dahulu memberi amaran.


"Kalau awak tolak, saya akan hebahkan kepada semua tentang hubungan kita."


Ah!


Emir menggunakan kelemahan Dara. Emir cuba mengugut dia dengan apa yang dia tidak suka. Nak tak nak, terpaksa juga dia terima. Sempat dia mengucap terima kasih. Sebagai balasan, hilang wajah serius Emir. Berganti dengan senyuman yang sering melemahkan.


Sebaik tiba di perkarangan rumah, Dara gigit dinding bibir. Dia jadi takut untuk masuk ke dalam rumah berhadapan dengan emak, kemudian pandangan dia jatuh pada beg pemberian Emir. Kalau dia membawa masuk beg ini, pastinya emak bakal bertanya lebih banyak. Emak pasti tidak percaya jika dia memberitahu ini pemberian Yana.


Mengeluh lagu Dara. Sepuluh minit berperang, Dara mencapai beg kertas tadi lalu turun. Dia perlu berhadapan dengan emak. Sampai bila dia mahu mengelak.


"Assalamualaikum..." Dara memberi salam. Dia pulang seperti yang dijanjikan. Sebelum petang dia sudah tiba di rumah.


Dara perasan dua pasang mata memandang ke arah dia. Kemudian jatuh pada apa yang dia bawa sekali.


Ketika melintasi emak dan Dira, Dara terlebih dahulu bersuara. Dia tahu apa yang ingin diutarakan emak.


"Satu hari nanti, Dara akan kenalkan Emir dengan emak. Dia yang bagi hadiah ini."


"Kak Dara dah ada boyfriend?!"


Sebab tu Dara tak nak buka mulut depan Dira. Bagaimana mana dia mahu kenalkan Emir di depan Dira yang riuh orangnya? Dan Dara tahu emak tidak berpuas hati bila dia menyebut nama Emir. Bukannya Haris.


"Maafkan Dara...Emir lebih menepati citarasa Dara. Bukan Haris, mak." Ujar Dara memandang emak yang nampak marah.


Dara tidak lama, dia terlebih dahulu angkat kaki masuk ke dalam bilik. Angin emak tidak berapa baik bila dia menyebut nama Emir. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk dia ceritakan perihal Emir. Tunggu nanti hati emak sudah sejuk, baru Dara buka mulut.


"Mesti Emir kaya! Kalau Dira pun akan pilih Emir. Dapat hadiah mahal-mahal pula tu..." riuh mulut Dira membuat andaian perihal Emir.


Dara hanya pekakkan telinga sebelum dia mengatup pintu. Dia duduk di birai katil. Telefon pintarnya dicari. Dia sudah berjanji untuk memberitahu Emir sebaik tiba di rumah.


Panggilan Dara sepi tidak bersambut. Dara menggarit kening. Dia mencuba sekali lagi, jawapan yang sama dia terima. Emir tidak menjawab panggilan dia. Sudahnya, Dara putuskan menghantar pesanan whatsapp. Dua minit dia menunggu, pesanan dia hanya menerima satu tick sahaja.


Dara putuskan untuk mandi terlebih dahulu. Barulah dia cuba menghubungi Emir semula. Mungkin Emir masih memandu. Dara membuat andaian sendiri demi menyedapkan hati.


Hampir setengah jam membersih diri dan menunaikan solat asar, Dara mencari semula telefonnya. Laju jari dia menekan nama Emir. Dia menerima jawapan hampa bila pesanan dia masih sama seperti tiga puluh minit yang lalu. Tak pernah-pernah Emir begini. Ini kali pertama Emir sepi tanpa membalas pesanan dia. Malah Emir tidak menghubungi dia semula. Jadi, Dara cuba menghubungi Emir sekali lagi.


Habis bertebaran semua fikiran negatif  Dara bila panggilan dia bersambut ketika deringan yang ke lima. Dara tersenyum sampai ke telinga.


"Emir...Saya dah sampai rumah." Beritahu Dara.


"Baguslah."


Jawapan Emir melenyapkan terus senyuman Dara. Suara Emir kedengaran tidak gembira. Terdengar sarat dengan kesedihan.


"Ada apa Emir? Awak ada masalah?" Dara tidak tunggu lama bertanya. Dia dapat rasakan Emir punya masalah.


Kedengaran Emir melepaskan keluhan. Sangat berat.


"Papa saya...sakit."


Itulah punca Emir tidak menghubungi dia semula. Itu juga penyebab mesej Dara dibiar sepi.


"Teruk ke? Dia macam mana sekarang?" ada kegusaran pada suara Dara. Papa Emir, bakal menjadi papa dia juga nanti.


"Perlu buat operation..."


Dengar tiga perkataan itu saja sudah menyesakkan dada Dara. Apatah lagi Emir yang menghadapinya. Pasti keadaan Papa Emir tidak begitu baik hingga melibatkan pembedahan.


"Papa ada masalah jantung. Kena buat pembedahan segera."


Dara turut simpati. Kalau dia ditempat Emir juga akan bersedih.


"Masalahnya sekarang, saya kekurangan dana untuk bayar kos pembedahan."


Wajarlah Emir merasa terbeban. Dia merupakan anak yang sulung. Lelaki pula tu. Dia sedang menggalas tanggungjawab yang besar.


"Berapa yang awak perlukan Emir?"


"Lima ribu..."


Hampir terlepas telefon Dara mendengar angka disebut Emir. Boleh tahan banyaknya. Dia mula menghitung saki baki di dalam akaun simpanannya. Dan dia mula berfikir sama ada mahu membantu Emir atau pekakkan telinga saja mendengar keluhan Emir.


Tapi Emir itu teman lelaki dia! Emir dalam kesusahan.


Pandangan Dara jatuh pada beg tangan pemberian Emir. Dia telah pun menamatkan perbualan bersama Emir sebentar tadi. Kini, dia masih berbelah bagi. Emir tidak kisah memberi dia beg berjenama mahal. Dia? Masih ragu-ragu untuk menghulurkan bantuan kepada lelaki itu.


Panjang helaan nafas Dara.


Dia sudah mencapai keputusan. Dia tekad. Emir itu lelaki yang baik.


"Emir..." Panggil Dara bila panggilan telah bersambung.


"Saya hanya mampu hulurkan tiga ribu...Nanti bagi no akaun awak, saya akan transfer." Putus Dara.


Dalam akaun ada lima ribu. Tiga ribu untuk Emir, baki dia perlu melunaskan hutang dia pada Haris. Begitulah pengiraan dia sebentar tadi.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.