Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 37

TERKEJUT Dara itu bukan kepalang lagi. Dia baru saja selesai menyeka peluh, penat berkayuh pun belum hilang sepenuhnya. Mujur nafasnya sudah stabil. Jika tidak, memang dia akan rebah gara-gara kekurangan oksigen.


“Apa ni?” Soal Dara hairan.


Sampul berwarna coklat pemberian Haris dipandang sepi. Belum ada hati nak sambut selagi tiada penjelasana daripada lelaki itu biarpun dia tertanya-tanya sendiri isi kandungannya.


Sejak akhir-akhir ini, Haris terlalu banyak memberi kejutan. Setiap kejutan lelaki itu sangat cemerlang membangkit segala deria rasanya.  


“Borang nikah.”


Kelu terus lidah Dara.


Apa dikatakan ayah semalam tidak salah. Haris benar-benar ingin menghalalkan hubungan mereka. Buktinya, Haris telah mulakan langkah lebih awal. Daripada pembelian rumah, kemudiannya wali dan sekarang pelaksanaan merupakan langkah terakhir. Maknanya, Haris itu berlangkah-langkah ke hadapan. Bukannya selangkah ke depan. Hanya dia yang tertinggal di belakang. Masih memikirkan kesan daripada rancangannya.


“Selesaikan semuanya secepat yang mungkin baru serahkan pada saya.”


Teragak-agak Dara ingin menyambut. Baru sekarang dia disapa kesedaran. Sekiranya dia menyambut huluran Haris, maka dia tidak boleh menoleh belakang lagi. Keputusannya juga sudah jelas bahawa dia sedia menjadi isteri kepada Haris.


Lama mata Dara merenung sampul tersebut. Pandang Haris pun dia tak berani. Mata lelaki itu terlalu bercahaya. Terlalu berharap. Pandangan lelaki itu juga sarat dengan rasa cinta. Bimbang dia akan meranapkan semua harapan tersebut.


“Awak tahu kan sejarah keluarga saya macam mana? Saya tak rasa dapat siapkan secepat yang mungkin. Saya perlu cari di mana keberadaan ayah saya. Boleh jadi pencarian akan makan masa berbulan-bulan.” Sehabis baik Dara berdiplomasi. Dan tak mungkin Haris tidak tahu menahu tentang ayahnya. Emak pasti telah berterus terang hal yang satu itu.


“Saya dah jumpa ayah awak semalam.” Kata Haris bersahaja.


Dara lupa siapa Haris. Lelaki ini polis. Ramai mata-mata yang boleh dia kerah untuk cari tahu keberadaan ayah. Haris berjaya tanpa perlu bersusah payah. Tidak seperti Dara yang mengambil masa hampir setengah tahun untuk mencari ayah.


“Nanti saya akan bawa awak sekali berjumpa dengan dia.” Kata Haris lagi.


Kalaulah Haris tahu, Dara juga baru saja berjumpa dengan ayah semalam, apa agaknya reaksinya? Mana mungkin Dara mahu berterus terang perihal pertemuan semalam. Jika sampai ke pengetahuan Haris, maka dia perlu persiapkan diri untuk disoal siasat. Dia sedang menyerah diri untuk ke tali gantung.


Tumpuan Haris sepenuhnya milik Dara. Dia masih menunggu sampul itu bertukar tangan. Dara masih pegun. Merenung hulurannya dengan pandangan kosong. Bagaikan ada sesuatu yang sedang menganggu fikiran bakal isterinya itu.


“Awak belum bersedia?”


Soalan Haris berjaya mencuri perhatian Dara. Serta merta dia panggung kepala. Beranikan diri menatap Haris yang sedang meraih jawapannya biarpun ada sedikit rasa goyah.


“Diam tanda setuju, Dara.”

 

Dah tu, kenapa tanya? Dia soal, dia juga menjawab. Hati Dara mula marah.


“Belum terlambat awak nak tarik diri. Once you say yes…Just say it. Saya akan cuba tunaikan apa saja permintaan awak.”


Kelip-kelip Dara mata. Apa Haris sememangnya ada mereka alat untuk mengesan semua pemikiran dia? Jarang-jarang Haris salah meneka.


“Janji?” Inilah peluang Dara. Bila sudah berjanji, Haris perlu tunaikan semua permintaan dia tanpa prejudis mahupun alasan.


“Janji.”


Barulah bibir Dara berani mengukir senyuman biarpun tipis.


“Awak tahu jawapan saya, Haris. Hanya saya yang bertuah ditawar dapat jadi isteri awak.” Dara beri jawapan, serentak sampul yang masih setia di tangan Haris dirampas.


Sejurus itu memberi jawapan, kawah yang elok kejadiannya pun mula munculkan diri. Dua kawah yang sering menjadi igauan Dara dan mana mungkin dia jemu menatap sepasang kawah yang elok tu.


“Tapi...”


Kalau tak ada tapi, bukan Haris lah orangnya. Apa pilihan Dara ada selain menurut.


“Permintaan yang sebelum kahwin saja. Permintaan selepas kahwin, tak sah.”


Belum sempat Dara ingin tarik balik keputusannya, Haris terlebih dahulu angkat punggung.


Tadi bukan main elok mata dia kelip-kelip dengan cara paling berhemah. Sekarang mata Dara sudah lumpuh. Tidak pandai mengerdip. Sikit lagi rahang dia tidak mahu mengatup.


“Sekarang saya tinggal rumah mama. And guest what...Siang malam mama asyik tanya pasal awak sampai saya lebih rela tidur di luar.”


Zaman sekarang, kaum suami saja yang pilih tidur di luar kalau kena berleter dengan isteri. Hanya Haris yang suka mencari kelainan. Memilih untuk keluar jika mamanya lancarkan bebelan.


“Really?” Soal Dara tidak percaya. Haris itu jarang-jarang nak jejak kaki di rumah orang tuanya. Tentulah berita itu mengejutkan.


“Ermmm...” Jawab Haris pendek.


Dara ikut sama bangkit, menghampiri Haris.


“Jangan ingat saya tak tahu komplot awak dengan mama.” Kata Haris lagi.


Baguslah Haris tahu. Komplot Dara dengan mama Haris membuahkan hasil yang sangat positif. Menurut laporan mama, Haris banyak luangkan masa duduk rumah orang tuanya. Sejak-sejak dia pilih berbaik dengan Haris, bukan main kerap lagi mama Haris itu menghubungi dia. Tetapi tidak pula disebut tentang kepulangan Haris. Apa yang kerap dibahaskan, bila masa yang sesuai untuk mereka sekeluarga datang untuk membincangkan hal mereka berdua.


“Sekarang, boleh lah awak guna pengaruh perempuan. Let see after marriage...Siapa lagi berpengaruh?” Haris sengaja meleretkan senyuman dia. Sengaja nak beri ancaman supaya Dara berjaga-jaga.


“Saya atau awak.” Kata Haris lagi.


Haris merenung Dara bersama senyuman tipis. Entah mengapa, Dara rasa renungan Haris itu sangat misteri. Ada aura gelap disekeliling lelaki itu. Aura yang berjaya bikin bulu roma dia merinding.

 

“Terima kasih untuk hari ini.” Dara rasa cukup pertemuan mereka hari ini. Sengaja juga dia mengelak pandangan mata Haris. Pandangan lelaki itu sangat beracun.


“Most welcome...Love.”


Dara terlebih dahulu menapak masuk ke dalam sebelum suara emak menjerit dari dalam. Ikutkan pantang orang-orang tua dulu, emak memang tak benarkan dia berjumpa dengan Haris. Tetapi demi Haris laju saja emak membelot. Daripada tak boleh, terus boleh. Tak ada juga tazkirah panjang berjela kalau Haris buat permohonan untuk berjumpa.


“Dara!”


Berbaki dua langkah lagi Dara bakal menapak masuk, suara Haris menyekat terus Dara daripada melangkah. Lantas dia berpusing.


“Ya?”


“Tak nak pandang muka saya puas-puas?”


Kening Dara yang cantik terbentuk mula berkedut.


“Hari ni hari terakhir kita berjumpa sebelum saya bergelar suami orang.”


Jelingan maut Dara menyusul sejurus Haris bersuara. 


"Macamlah tak boleh nak video call." Mengada Haris jangan dilayan. Takut berjangkit.


“Love you."


Bisikan Haris tu sampai juga di pendengaran Dara. Membuatkan dia buka langkah besar lalu bunyi dentuman pintu menyusul. Sempat dia menangkap ketawa jahat milik lelaki itu. Ketawa yang penuh dengan muslihat.


Sempat Dara berdiri tepi tingkap. Barulah dia mampu menarik nafas lega bila kelibat Ford Ranger hilang dari pandangan matanya.


“Haris gila!” gumam Dara terus menuju ke biliknya.



 

 

HAIRAN.


Sejak pertemuan tempoh hari, tersangatlah pelik bila Haris itu sepi tanpa sebarang khabar. Tak pernah-pernah Haris begini. Tak pernah juga Haris biarkan dirinya ternanti-nanti.


Boleh dikatakan hampir setiap jam juga Dara belek telefon bimbitnya. Kosong. Tiada pesanan whatsapp ataupun call dari lelaki itu. Niat asal dia, segala pesanan atau telefon dari Haris akan dia balas sepi. Sengaja nak mendera jiwa dan raga lelaki itu. Tapi, pelaksanaan niat itu terbalik. Terasa dia pula yang didera.

 

“Hai, panjang mengeluh?"

 

Dara yang sibuk membelek cincin merisik yang tersarung elok di jari manisnya terngadah. Cincin ini telah selamat disarungkan Mama Haris sejurus mereka bertemu buat kali terakhir. Siapa menjangka, sepantas itu Haris buat kerja. Lebih gila, Haris kata tak perlu bertunang. Terus ke majlis pernikahan dan resepsi. Selesai.

 

Perancangan dari mulut memang tak susah. Yang susah itu pelaksanaan. Itulah tipikal lelaki. Semuanya diambil mudah. Termasuk hal perkahwinan.

 

Kegilaan Haris itu menjadi-jadi sebaik saja borang telah pun diserahkan pada lelaki itu melalui Atiya. Majlis sepatutnya yang perlu dirancang dalam beberapa bulan lagi, disingkat dalam masa terdekat. Bukan Haris yang menghubunginya, tapi mama Haris yang menyampaikan rancangan lelaki itu. Atas dasar campur tangan Mama Haris dan Atiya semuanya berjalan dengan cukup lancar. Sesuai dengan kehendak Haris. Tiada apa yang perlu Dara risaukan. Itu jaminan orang kuat Haris.

 

Yang tidak lancar, hati Dara. Semuanya huru-hara. Berantakkan teruk. Dia seperti mabuk kepayang. Mabuk mahu mendengar suara Haris.

 

“Kalau rindu, telefon lah dia.” Usikan Atiya menyusul.

 

Mana mungkin Dara nak jatuhkan maruah seorang perempuan. Sepatutnya, Haris yang menghubunginya terlebih dahulu. Ini tidak, semuanya pakai orang tengah. Dan Haris benar-benar mengotakan janji bahawa tiada pertemuan bakal terjadi sehingga mereka bergelar suami isteri.

 

“Dia pun sama macam awak, Dara. Tak senang duduk. Sikit-sikit tengok phone.”

 

Jatuh dagu Dara yang ditompang dengan tangan. Mujur dia sempat mengawal diri dari tersungkur dari kerusi. Itu bakal memalukan diri sendiri.

 

“Kadang-kadang, sampai sanggup tengok bakal isteri dari jauh.” Atiya sudah ketawa dengan kepala tergeleng-geleng. Mengenangkan betapa teruknya gaya Haris bercinta.

 

“Sebab tu Haris tak sesuai bercinta. Lebih baik Kahwin terus.”

 

Merah-merah muka Dara. Dia pura-pura memulakan kerja walaupun hati dia kuat menyuruh dirinya menelefon Haris sekarang juga dan bertanya perihal intipan lelaki itu dalam diam. Buat malu saja. Yang menanggung malu adalah dia. Bukannya Haris.

 

Seminit berfikir panjang, Dara putuskan untuk biarkan saja. Tak perlu susah payah dia menghubungi Haris. Pandai-pandailah lelaki itu nak hidup macam mana. Haris bukan budak kecil lagi.

 

Dara pandang kiri. Sejak Amy kembali ke kerja hakikinya, hanya Dara sendiri di sini. Bohonglah kalau dia tidak merasa kesunyian. Mujur kerja yang tak pernah habis ini menjadi peneman, yang sentiasa menyibukkan diri dia dari dihurung kesedihan.

 

Dikala Dara telah memberi sepenuh perhatian pada kerja, ada bunyi yang menganggu. Ekor mata dia menjeling telefon pintar milik dia yang berada di atas meja. Bibirnya terus senget.

 

Panjang umur!

 

Orang yang menjadi umpatan Dara sejak dari tadi sudah munculkan diri. Dan dia tetap dengan pendiriannya. Biarkan saja telefon itu berbunyi dan berhenti tanpa disahut. Sekali lagi dia menjeling. Dia berharap Haris akan menghubunginya semula. Namun hampa. Telefon milik dia tidak berbunyi lagi selepas itu. Dia hanya menerima satu misscall daripada Haris.

 

Mulalah Dara rasa nak menyumpah Haris. Dah lama menghilangkan diri, Haris hanya menghubungi dia cuma sekali?

 

Marah Dara terbantut bila telefon pejabat pula berbunyi. Cukup tiga kali, Dara sudah mencapai ganggang.

 

“Hei!”

 

Belum sempat Dara menyebut dialog wajibnya, ada suara keras menyapa di hujung talian.

 

“Gaji saya mana? Dah lambat dua hari!”

 

Tak mungkin! Dara dah semak dan semuanya telah diselesaikan dua hari lepas. Ini kali pertama dia menerima aduan gaji lambat masuk.


"Takkan lah..." gumam Dara perlahan. 


"Bab duit jangan buat main...Boleh malayang nyawa."


Berani-beraninya si pemanggil mengancam Dara?

 

“Nama?” Dara sudah menyediakan pen di tangan. Nanti dia akan semak semula. Malas ambil pusing kemarahan lelaki itu.

 

“Hilman Haris.”

 

Jari Dara sudah menulis huruf ‘H’ , berhenti melarikan pen di atas kertas. Haris itu memang menyebalkan.

 

“Awak dah salah department.”

 

“Really?” 

 

“Tolong rujum semula HR department. Setahu saya empunya nama dah dipecat kerana mengintip anak dara orang."

 

Ketawa perlahan Haris menyapa.

 

“I miss you, Dara."

 

“Patut ke saya buat laporan?” Tanya Dara.

 

“For what?”

 

“Ada orang cuba-cuba nak curi hati saya pula."

 

Ketawa Haris itu sudah menjadi alunan muzik pula di telinga Dara. Sangat menyenangkan halwanya.

 

“See you on weekend.” Ujar Haris setelah ketawanya reda.

 

Memanglah. Itu hari mereka bakal disatukan.

 

“Masa tu, dah terlambat awak nak tarik diri...Sebab saya akan lakukan apa cara sekali pun supaya awak buka mulut."

 

Dara pandang ganggang telefon dengan kening hampir bercantum. Kemudian di bawa semula melekap ke telinga.

 

“Haris?”

 

Sepi.

 

Haris telah memutuskan talian terlebih dahulu tanpa sempat dia bertanya.

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.