Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 9

Seminggu ini Dara merasa hairan. Haris lesap entah ke mana-mana tanpa berita. Puas dia tertunggu-tunggu kemunculan Haris. Ada perkara yang ingin dia bertanyakan kepada lelaki itu. Lebih-lebih lagi hal melibatkan kos-kos pembaikkan kereta yang diberitahu oleh Amy tempoh hari. Dia perlukan pengesahan Haris.


"Dara."


Dara panggung kepala.


"Ada apa Su?" Elok bahasa Dara bertanya. Cukup berdiplomasi.


"Ni...Kenapa banyak sangat typo dalam surat ni? Dah la ayat semuanya ke lautan tsunami. Tak formal langsung. Carca marba. Awak tahu buat kerja ke tak?"


Tidak elok gaya bahasa Suraya membalas. Dara menggarit kening. Semalam, elok saja dia mengarang ayat tersebut. Bukan sekali dua dia semak, banyak kali. Setelah puas dengan hasil kerjanya, barulah dia serahkan kepada Suraya untuk semakkan terakhir sebelum sampai ke tangan Atiya untuk ditandatangani.


"Maaf...Nanti saya betulkan semula." Malas mahu berdolak dalih, Dara mengalah. Dia akan lakukan semakkan lebih mendalam. Biar lebam matanya pun tidak mengapa.


"Tak perlu. Nanti saya betulkan. Dan saya sendiri akan serahkan pada Cik Atiya." Ujar Atiya sedikit marah. Mukanya masam mencuka.


Biar pun pelik, Dara hanya mampu mengucapkan terima kasih. Rasanya, dia masih tahu perbezaan antara formal dan tidak formal. Ataupun ayat Dara terlalu kebudak-budakkan bagi Suraya? Malas mahu ambil pusing, Dara hanya diamkan saja.


Setengah jam kemudian, dia nampak Suraya masuk ke dalam bilik Atiya untuk menyerahkan surat yang sudah dibetulkan oleh dia. Sejurus itu Suraya duduk semula ditempatnya dengan muka serius.


Dara pula sedang sakit kepala mengira jumlah kos bulanan penggunaan minyak dan tol bagi pekerja yang terlibat dengan urusan kerja di luar kawasan. Bukan untuk sebuah kereta. Tapi sepuluh kereta yang disediakan pihak syarikat untuk kemudahan pekerja.


Kalau Haris ada, semua kerja susah Dara menjadi mudah. Biarpun Haris bisu, lelaki itu pakar dalam semua benda. Bukan setakat itu, dia pasti tidak lokek untuk membantu Dara.


Mengeluh Dara. Haris lagi dia sebut. Bohonglah dia tidak mengingati lelaki itu.


"Dara!"


"Ya," Pantas Dara menoleh ke pejabat Atiya. Tubuhnya pun tegak. Terkejut dengar suara Atiya yang berbaur tegas.


"Masuk bilik saya sekarang."


Dara teguk liur dua kali. Dua kali itu juga tersekat. Kali pertama dia diperlihatkan raut wajah serius Atiya. Tanpa berlengah Dara bangkit. Dia tidak mahu kelewatan dia menyusul bakal meletuskan marah Atiya.


Suraya mengekori langkah Dara sehingga hilang ke dalam pejabat Atiya. Wajah tegang bosnya jelas menunjukkan Dara bakal dimarahi kelak. Itu yang dia mahu. Senyuman sinis dia muncul sesaat dua. Bukan susah pun dia membuatkan Dara itu menjadi pekerja yang tidak bagus prestasinya.



Dara basahkan bibir. Sebentar tadi tekak dia terasa kering bila Atiya memanggil dia. Kini, Atiya tekun membaca surat ditangannya. Jelas urat-urat lehernya menegang. Itu yang membuatkan Dara tidak berani bersuara. Duduknya juga tidak terasa senang. Terasa punggung Dara sedang dibakar.


"Kita sedang diperhatikan Dara." Kata Atiya tanpa memandang Dara.


Sempat Dara kerut dahi. Dia sedang menunggu kemarahan Atiya. Tetapi bukan kemarahan yang bukan dia terima. Mereka bersabung mata untuk beberapa saat sebelum Atiya kembali merenung surat tadi. Seminit kemudian surat itu ditolak kepada Dara. Barulah Atiya memandang dia dengan pandangan masih serius.


"Bacalah."


Tanpa berlengah, Dara membaca isi surat yang berjaya menyemarakkan kemarahan Atiya. Dia juga ingin tahu bahagian mana yang boleh membuatkan jiwa pembaca menjadi berapi-api.


Lima minit masa diambil Dara untuk habiskan satu muka surat. Sekarang bibir dia bergerak-gerak ingin menutur sesuatu. Namun dia hilang susunan ayat. Dahi dia tak usah dikata. Garis-garis halus tanpa segan mula timbul. Muka juga sudah kemerah-merahan.


Ini bukan gaya dia! Bukan gaya dia menulis ayat untuk meminta saki baki bayaran dilunaskan dengan cara pasar. Dia masih tahu protokol bahasa apatah lagi melibatkan badan kerajaan. Sedikit kesalahan pun sudah cukup menjatuhkan reputasi syarikat.


"Saya tahu...Ini bukan hasil kerja awak." Tenang Atiya bersuara.


Ada kelegaan terpancar di wajah Dara. Dia juga tahu angkara siapa. Jelas-jelas si pelaku mahu pretasi dia buruk di mata pihak atasan.


"Dia sedang perhatikan saya. Sama ada saya akan memarahi awak, atau pecat terus awak."


Dara tidak mampu menegur liur sendiri. Tekak dia terasa berpasir apabila mendengar perkataan pecat. 


"Tapi kali ini saya ingin bersikap telus. Dah sembilan orang mengalami nasib yang sama macam awak." Ujar Atiya lagi.


Atiya menulis sesuatu di atas kertas, lalu di hulukan pada Dara.


"Saya nak, awak hantar sendiri file ke email personal saya. Dan saya sendiri akan semak. Tak perlu melalui Suraya."


Barulah Dara mampu bernafas. Mujur Atiya tidak bersikap berat sebelah. Sebut nama Suraya bikin dia menghela nafas panjang. Sekarang dia mula faham kenapa Amy menyuruh dia berhati-hati. Suraya itu ular beracun. Ada kalanya boleh dijinakkan. Dia bila ada peluang, dia bakal menyembur racun. Biar mati kejung terus.


"Sorry..."


Ini salah. Sepatutnya Dara yang perlu meminta maaf. Tetapi sebaliknya terjadi. Atiya yang memohon maaf kepadanya.


"Tak perlu minta maaf. Sekejap lagi saya sendiri akan hantarkan file dokumen tersebut." Dara bangkit. Rasanya, terlalu lama perbincangan mereka. Dara tahu senyuman Atiya tidak akan kunjung tiba kerana Suraya begitu asyik memerhati mereka berdua.


"Maaf, Cik Atiya." Ucap Dara cukup perlahan.


Sekarang Dara sedar pergolakkan yang telah lama wujud di sini. Segala rahsia yang tersimpan rapi bakal terbongkar satu per satu. Hanya masa yang menentukan. Dia hanya perlu persiapkan diri menerima segala kemungkinan yang akan terjadi.


"Saya tak paksa awak percaya saya, Dara. Tapi jangan pernah percayakan sesiapa. Lebih-lebih lagi Suraya." Sempat Atiya layangkan senyuman untuk dua saat sebelum senyuman itu lenyap sepenuhnya.


Dara percayakan Atiya. Kerana Atiya yang memberi dia peluang. Mana mungkin dia meragui wanita ini.


"Saya keluar dulu." Pinta Dara yang mula mengorak langkah.


"Dara..."


Tangan Dara yang baru menyentuh pemegang pintu, menoleh.


"Haris kirim salam."


Sepi.


Tiada sahutan dari mulut Dara. Dia hanya mampu tersenyum tipis sebelum melangkah keluar. Apa yang mampu dia katakan, dia senang mendengar salam Haris. Itu tandanya lelaki itu masih bernyawa. Tanpa berlengah dia keluar dengan hati sedikit berbunga.


Langkah yakin Dara, jadi goyah saat terpandang susuk tubuh Emir dari belakang. Dia tahu, itu Emir. Emir yang sedang berdiri dekat dengan mejanya. Sepatutnya, Emir duduk dekat dengan Suraya. Itu yang sering lelaki itu lakukan.


Dara menjeling jam dinding. Nasib menyebelahi dia untuk mengelak dari bertemu Emir. Takut Jantung bakal meluruh apabila berdepan dengan Emir. Lebih menakut dia bakal tersipu-sipu malu.


"Dara."


Mati langkah Dara. Rasa menggebu-gebu dia lesap entah ke mana, berganti pula dengan rasa gugup bila dengar suara maskulin Emir menyebut nama dia.


"Ya, Emir?"


Tak guna! Dara tanpa sengaja mengeluarkan suara paling manis pernah dia ada.


"Saya tunggu awak, nak makan sama-sama."


Aduh!


Jantung Dara hampir melompat keluar. Emir sudah pandai mengatur pertemuan ke dua. Dara merasakan tidak berpijak di bumi yang nyata lagi. Rasa awang-awangan dia segera bertempiran pergi bila mengenangkan Suraya. Dia hampir lupa Suraya masih di situ. Suraya memberi sorotan maha tajam.


"Maaf, Emir. Saya dah janji dengan kawan nak makan sama-sama." Cepat Dara menolak. Barulah muka tegang Suraya kian menghilang.


Dara syak, Suraya sebenarnya bertepuk sebelah tangan. Emir hanya menganggap Suraya itu seperti adik. Tapi, kenapa Dara rasa Suraya itu cemburu bila Emir cuba dekat dengannya? Apa Suraya sembunyikan perasaan dia dari pegetahuan Emir?


"Lelaki atau perempuan, Dara?" Sempat lagi bibir dia mengoyak senyuman.


"Perempuan." Dara mencipta alasan supaya Emir buang jauh-jauh hasrat untuk makan bersama. Sebaliknya Dara akan duduk di dalam bilik solat hingga masa rehatnya tamat.


"Mungkin bukan rezeki saya makan dengan awak." Ada rasa kecewa nada suara Emir.


"Su boleh temankan awak." Dara rasa ingin menampar pipinya. Dia salah menyebut nama. Padahnya, Dara nampak betapa gembiranya Suraya. Dia pula dirundum kecewa.


"Saya dah selalu makan dengan Su, tapi kalau awak ada. Selera saya semakin bagus."


Cemberut Suraya. Dia menjeling Emir yang membelakangkan dia. Ini tidak bagus. Emir semakin berani membeli jiwa Dara di depan semua.


"Saya bukan makanan Emir. Jadi, mana mungkin saya jadi pembuka selera awak." Dara harap Emir faham bahasa dia.


"Senyuman awak yang selalu membuka selera saya."


Ah, Emir! Bukan main pandai dia berbahasa.


"Kalau hari ini tak boleh, mungkin esok." Duga Emir.


Dara lupa Emir ini bukan setakat ada penyakit degil. Emir ada penyakit tidak mudah berputus asa. Bahkan Emir menerapkan budaya berusaha tanpa gagal.


"Saya dah lewat Emir. Kawan saya dah lama tunggu." Biarlah Emir selesaikan rajuk Suraya. Memujuk Suraya tidak termasuk dalam kerja Dara setelah tahu apa yang Suraya cuba lakukan terhadapnya sebentar tadi. 


Dara mengambil barang-barang penting saja. Dia sengaja melarikan pandangan mata bila merasa Emir itu sedang memerhati tingkah laku dia.


"Nah!"


Dara terngadah. Dia memandang resume miliknya di tangan Emir. Tidak hairanlah Emir ada semua maklumat dia kerana Emir itu kerjanya bahagian sumber manusia. Persoalannya, kenapa Emir memberi semula resume milik dia? Atau sebenarnya Atiya ingin memecat dia, dan menghantar Emir sebagai orang tengah?


"Saya tahu nombor telefon awak. Dan saya boleh je ambil dan telefon awak kalau saya nak. Tapi saya bukan jenis ambil hak orang tanpa kebenaran."


Ayat berbelit Emir menimbulkan kerutan di wajah Dara. Apa yang Emir cuba sampaikan?


"Tapi saya boleh jadi orang penting awak yang boleh dihubungi jika berlaku kecemasan kan?"

Mata Dara terarah pada jari Emir yang lurus pada bawah resumenya. Ada tulisan tangan di situ. Yang tertulis emergency contact. Ditulis sekali nombor telefon dan nama Emir di situ.


Emir sudah gila agaknya. Berani-beraninya dia buat pengakuan sebegitu. Lebih parah, Emir sedang menulis sesuatu lagi dan kertas tadi dihalakan pada Dara semula.


Meluas mata Dara apabila terbaca tulisan 'bakal suami' disebelah nama Emir. Merah-merah muka Dara. Emir sedang buat Dara rasa nak sorok muka bawah meja.


Tetapi, aneh!


Sepatutnya Dara marah-marahkan lelaki itu. Sebaliknya Dara sedang bergelut sembunyikan rasa bahagia yang bukan kepalang. Lebih memburuk, Dara lupa Suraya sudah pandang dia seperti singa betina. Bila-bila saja dia bakal menerkam Dara.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.