Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 6

SEJAK Dara bekerja di sini, terlalu banyak kejadian salah faham. Lebih-lebih lagi melibatkan Haris. Semalam bermati-matian dia fikir selera Haris itu besar belaka. Sangkaan dia meleset bila lelaki itu membawa dia ke kedai mamak. Lelaki itu hanya memesan dua keping roti canai dan segelas air panas. Itupun, Haris yang bayar. Termasuk sekali segelas air teh o panas dia.


Dia mengerling sebelah. Hari ini, Amy mengajak dia keluar ke pejabat seberang. Pejabat Human Resource Management. Bukan jauh mana pun, lebih kurang sepuluh langkah sudah pun sampai. 


Pemandangan pertama yang menyapa kornea mata Dara adalah figura Emir. Lelaki itu dengan murah hati melemparkan senyuman membunuh jiwa wanitanya.


"Hai, Dara!"


Sapaan Emir, Dara balas dengan senyuman. Sesaat cuma bila bisikan Amy singgah di cuping telinga. Ada ketegasan yang terselit pada bisikan Amy.


"Dengan dia ni pun kena hati-hati! Jangan tunjukkan sangat kelemahan kita sebagai orang perempuan."


Sempat Dara menoleh. Dia melihat Amy dari sisi. Reaksi wanita ini biasa-biasa. Sukar untuk Dara menelan maksud tersirat disebalik ayat Amy.


"Aku datang sebab nak ambil borang permohonan pekerja baru tu." Kepala Dara terangkat pada penjuru bilik. Di situ ada seorang wanita berumur dalam lingkungan 20an.


Inilah pekerja baru yang telah mengisi kekosongan Dara. Sempat Dara mengucap syukur kerana tidak diterima ke sini. Jika tidak, teruk hati dia kerana berkali-kali terpesona dengan Emir. Silap-silap, kerja dia pun boleh ke Lautan Hindi!


"Buat apa susah-susah kau datang. Boleh je hantar Dara." Emir mengerling Dara yang diam.


"Kalau Dara seorang ke sini, aku takut Dara tak jumpa jalan balik ke pejabat. Kau yang butakan mata dia nanti."


Sumpah!


Dara tidak menjangkakan kemunculan sisi baharu Amy. Lain benar. Cakap pun tak berlapik. Tiada emosi. Cukup bersahaja. Amy tahu apa hati perempuan dia rasai. Merah-merah muka Dara.


Apa lebih menarik perhatian dia, Emir menutup kegelapan di wajah dengan melebarkan senyumannya. Nampak sangat Emir memaksa diri untuk tersenyum demi menjaga air mukanya yang pastinya sudah jatuh ke tujuh kaki dalam tanah.


"Tak baik kau tuduh aku macam tu."


Emir masih mampu nak bersuara. Kalau Dara, dia lebih rela keluar dari sini. Itu lebih baik.


"Tak betul ke? Habis tu, mana nak campak Suraya tu? Kau orang kan macam belangkas." Amy mengambil borang yang dihulurkan Emir.


Semakin kelat wajah Emir. Dara perasan urat-urat leher lelaki itu timbul. Tetapi Amy masih begitu. Setenang-tenangnya. Seolah-olah tidak merasa bersalah melempar tuduhan begitu.


Bagus juga Amy berkata begitu. Sekurang-kurangnya, Dara akan tepis setiap godaan lelaki ini jika Emir mula menunjuk sikap lelaki jalang. Dia tidak akan sesekali terjebak dalam cinta bersegi-segi Emir.


"Aku dengan Suraya mana ada apa-apa. Setakat adik angkat. Tak lebih." Tegas Emir memberitahu kebenaran.


Tiada sahutan di pihak Amy. Selesai membuat satu salinan fotokopi borang tersebut, dia menghulurkan semula borang tadi kepada Emir.


"Terima kasih." Hanya itu yang diluah Amy. Tiada perutusan maaf langsung.


Kenapa ya, Dara pula diserang rasa serba salah. Awalnya, hati Dara setuju dengan semua ayat berbisa Amy. Sekarang, setelah melihat raut wajah kecewa Emir, Dara rasa dia salah faham lagi. Mungkin benar apa yang dikatakan Emir. Mereka semua salah faham dengan kemesraan Emir dan Suraya.


"Dah jom!" Amy menarik lengan Dara supaya beredar.


Baru dua langkah, suara dari belakang menghentikan langkah Dara.


"Dar!"


Lambat-lambat Dara menoleh.


"Ya?"


"Ingat ya, janji kita. Makan sama-sama nanti."


Berani-beraninya Emir mengadakan temujanji di depan beberapa staff yang lain. Berani-berani juga Emir mengingatkan janji yang hanya dipersetujui oleh sebelah pihak. Iaitu pihak Emir. Dara tidak pernah setuju untuk makan bersama!


Demi menjaga air muka Emir di mata semua, Dara bersuara juga.


"InsyaAllah."


Cukup membuatkan wajah Emir kembali bersinar. Cepat juga Dara menoleh. Dia tidak selesa menjadi tumpuan mereka semua, termasuklah Amy. Tergesa-gesa dia berjalan keluar. Dia lupakan Amy yang masih tertinggal di belakang. Biarlah! Pandailah Amy nak cari dia di mana.






DARA tidak tahu bagaimana lagi mahu berhadapan dengan Emir. Apa yang Dara tahu, seharian Emir kerap bertandang ke sini. Atas alasan mahu berjumpa dengan Suraya. Ada document yang diperlukan oleh Suraya.


Dara Syak, Emir ini punya agenda. Beberapa kali Dara menangkap lelaki itu curi-curi pandang dirinya. Setiap kali perbuatan Emir terkantoi, setiap kali itu juga lah Dara terima jelingan Suraya.


Ini bukan syak lagi. Hubungan mereka bukan sekadar adik beradik angkat. Mungkin lebih daripada itu.


Hampir setengah jam juga Dara menunggu Emir beredar. Dia ingin bertanyakan apa kerja seterusnya pada Suraya. Setakat photostat document, Dara sudah pakar. Itu pun atas bantuan Haris. Bila sebut nama Haris, seharian ini Dara tidak nampak batang hidung lelaki itu.


"Lama lagi ke Emir? Lima minit lagi dah nak waktu balik. Atau kau orang berdua plan balik sama-sama."


Menoleh Dara pada Amy. Sangkaan dia, Amy itu tidak suka mencampuri urusan mereka. Diam-diam, Amy juga tidak senang dengan kehadiran Emir.


"Sorry! Tak perasan masa dah berlalu." Emir bangkit. Sempat dia mencari Dara.


Cepat Dara melarikan pandangan bila bersabung dengan mata jalang milik Emir.


"Mentang-mentang Cik Atiya tak ada, rajin pula kau datang. Atau sebenarnya, kau dah jumpa pengganti Suraya?"


Hampir tercekik Dara.


"Kita orang mana ada apa-apa!" Pangkah Suraya.


"Kau ni Amy, selalu salah faham. Kita orang bukan macam yang kau fikirkan." Giliran Emir pula menjernihkan salah faham yang kian berleluasa.


Amy bangun setelah siap-siap mengemas mejanya.


"Baguslah. Rasanya, gosip kau orang bercinta tu dah bersepah satu pejabat. Kalau betul, jangan lupa jemput makan nasi minyak." Amy mengulum senyum. Sangat plastik.


"Jom Dara! Kita balik."


Dara yang melopong cepat-cepat capai begnya. Pada pandangan Dara seharian menjadi pemerhati, Amy macam tak sebulu dengan Emir. Kenapa Dara rasa Amy sengaja membawa pengaruh negatif pada lelaki itu? Daripada gaya bahasa Emir, dia serupa lelaki normal yang lain. Elok bahasanya. Lainlah Haris yang bisu itu. Tak pula Amy marah-marah. Layanan Amy pada Haris sangat berbeza. Mungkin Haris itu pemegang status oku.


"Dara!"


Baru keluar dari perut lif, satu suara menyapa dari sisi. Berkerut dahi Dara saat melihat Emir berlari-lari anak menghampiri dia. Semakin Emir dekat, semakin jelas peluh halus yang tumbuh di dahi lelaki itu.


"Saya ikut tangga tadi sebab nak kejar awak."


Baru Dara faham akan kewujudan peluh tersebut. Namun peluh tersebut tidak menjejaskan langsung pesona Emir.


"Kenapa tak guna lif?" Soal Dara pelik. Bukan ke tadi Emir bersama Suraya?


"Awak dah janji kan?"


Makin dalam kerutan Dara. Janji? Janji apa? Bila dia berjanji?


Ketawa Emir makin membuatkan Dara pelik. Sudahnya, Dara pilih untuk pergi. Dia tiada masa untuk melayani Emir. Dia ingin segera pulang sebelum terperangkap dalam kesesakkan jalan raya.


Cukup lima langkah, Emir sudah berjaya memintas. Lelaki itu sedang elok berdiri di depan. Mengeluh Dara dibuatnya. Ke kanan, lelaki itu juga ke kanan. Ke kiri, Emir juga melakukan hal yang sama.


"Ada apa Emir? Saya dah lambat." Dara angkat muka, memandang tepat ke anak mata Emir.


"Awak cantik Dara bila marah-marah macam ni."


Dara tidak tahu apa motif Emir. Tapi maaf! Dara tak akan makan dengan pujian beracun lelaki ini. Dara sudah lali dengan lelaki bermulut manis seperti Emir. Yang manis inilah racun. 


Tapi Dara masih waras. Tak wajar dia marah-marahkan Emir. Mereka duduk di bawah satu bumbung. Boleh dikatakan hari-hari mereka bertembung.


"Saya tak pernah berjanji apa-apa dengan awak, Emir."


"Ada!" Potong Emir laju.


"Awak dah janji nak makan bersama dengan saya." Kata Emir lagi.


Panjang helaan nafas Dara. Emir ini degil ya.


"Saya bukan influencer yang buat review makanan atau yang obses dengan makanan. Dan saya tak pernah bersetuju untuk makan bersama awak. Jadi, kita lupakan perihal makan boleh?" sehabis lembut Dara bersuara. Tinggi harapan dia, Emir faham penolakkan dia.


"Ermmm..." Emir mengurut dagunya dua ke tiga kali.


"Saya balik dulu." Ikutkan hati Dara, dia mahu pergi saja tanpa memberitahu lelaki ini. Tetapi dia masih tahu tatasusila pekerja junior seperti dia. Tatasusila dalam bekerja, junior perlu menghormati senior.


Cukup lima langkah, suara Emir berjaya mematikan langkah Dara.


"So, awak jangan pelik kalau esok awak akan nampak muka saya lagi."


Berpusing Dara. Seluruh tubuh dia merasa bahang mendengar kata-kata Emir. Apa Emir sedang mengugut dia?


"Kalau sebelum ni, mereka gosipkan saya dengan Suraya. Esok lusa, jangan pelik kalau timbul gosip saya dan awak pula."


Dara mengetap bibir. Kesedaran dia juga timbul. Emir punya degil memang tahap tak boleh bawa bincang.


"Ini yang terakhir, tiada lagi selepas ini." Putus Dara. Dua kali berturut-turut dia keluar makan dengan lelaki. Kalau Emir bawa dia ke tempat yang sama, tuan kedai itu mesti cop Dara playgirl!


Mujur Emir punya citarasa yang berlawanan dengan Haris. Lelaki ini lebih selesa makan di restoran yang lengkap dengan penghawa dingin. Tadi, puas Emir mengajak dia menaiki satu kereta. Tapi keras juga Dara menolak. Dia perlu berjaga-jaga. Biarpun luaran Emir nampak seperti lelaki budiman, tetap juga Dara tidak dapat mengimbas hati lelaki itu.


Sebelum sampai ke sini, sempat Dara menelefon emak memberitahu kelewatan dia pulang. Anehnya, bila Dara sebut nama Haris. Emak langsung tidak berleter. Sempat emak berpesan supaya berhati-hati memandu. Berbeza apabila Dara menyebut nama Emir, bukan main panjang leteran emak. Seperti tiada penghujungnya.


Ketukan cermin kereta mematikan lamunan Dara. Emir sedang menunggu dia. Selepas mendengar leteran emak, entah kenapa Dara diserang rasa menyesal pula ke sini. Namun sudah terlewat untuk menyesal. Nak tak nak, terpaksa juga Dara keluar.


Tak sampai sepuluh minit, Dara sudah duduk bertentang dengan Emir. Dia tunduk memilih menu. Lama. Dia tidak selesa bila Emir sejak dari tadi merenung dia.


"Saya pilih ini! Tapi meatball bagi half portion. " Jari Dara lurus pada set makanan yang ringan. Cukuplah lima biji meatball, sedikit french fries dan coleslaw. Balik nanti, dia perlu makan bersama emak dan Dira. Itu yang dijanjikan Dara sepuluh minit yang lepas pada emak.


"Cukup ke?" Jelas ada rasa tidak puas hati di wajah Emir.


Belum pun Dara menjawab, Emir telah bercakap dengan pelayan yang sudah tiba. Rasanya, Emir menambah lagi menu untuk santapan mereka. Susah kalau berdebat dengan orang degil. Emir yang pandai-pandai memesan, jadi Emir perlu habiskan semuanya. Dara ada acara makan lain bersama emak. 


Dara memandang suasana restoran yang berkonsepkan garden. Suasana di sini tidak terlalu bising walaupun ramai pelanggan. Mereka sangat menghormati pelanggan lain. Tak macam di kedai mamak yang Haris membawa Dara tempoh hari. Suara mereka semua boleh tahan kuatnya sampaikan Dara pun rasa tidak selesa.


Sedang Dara sibuk memerhati, sepasang mata dia jatuh pada susuk tubuh tidak jauh dari sini. Habis bertebaran semua ketenangan dia sebentar tadi. Peluh renik mula berlumba-lumba tumbuh bila sepasang mata itu turut membalas pandangan Dara. Walaupun sekilas, Dara rasa detak jantung dia sudah lari tempo.


Habislah Dara! Esok mesti gosip kau bercinta dengan Emir mula dijaja! Getus hatinya.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.