Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 32

"AWAK sedang bazirkan masa saya Emir." Sengaja Dara melirik jam di pergelangan tangan dia berkali-kali.

 

Mana tidaknya, Emir itu sejak dari tadi hanya membuang masa dengan merenung dirinya tanpa bersuara. Kemudiannya, dia diperdengarkan pula keluh kesah lelaki ini yang tiada kesudahannya. Dia datang bukan sebagai pakar kaunseling. 

 

"You're totally different, Dara. Saya macam baru kenal awak." Akhirnya Emir itu bersuara, sempat dia menggeleng kepala tidak percaya.

 

Dara perlu kalungkan pingat emas buat Haris. Lelaki itu berjaya munculkan sisi baharunya untuk berhadapan dengan Emir. Dan sejujurnya. dia dengan merasa sangat bangga bila Emir berkata dirinya sudah berubah sepenuhnya. Inilah hasil daripada didikan Haris dalam masa beberapa bulan ini. 

 

Dara silang tangan ke dada. Dia hanya pamerkan senyuman buat Emir. Senyuman sinis mungkin. Jangan harap dia nak bermanis muka lagi. 

 

"Jadi...Awak nak cakap, awak tak pernah berubah langsung? Awak tu kononnya lelaki yang baik, yang sangat bertanggungjawab, yang sentiasa dahulukan keluarga?"


"Oh...Senang cakap, semuanya yang baik-baik itu hanya ada pada awak. Begitukah Emir?"

 

Perubahan pertama yang Dara lihat, duduk Emir itu sudah tidak senang lagi. Beberapa kali dia melihat Emir ke depan, kemudiannya ke belakang semula bersandar pada kerusi. Dan sekarang, entah kenapa dia rasa Emir itu pula dah macam ayam betina yang menunggu masa untuk bertelur.

 

"Look..." Emir mendekatkan tubuhnya ke meja. Sepuluh jarinya berada di atas, lalu diramas-ramas.

 

Apa yang Dara dapat simpulkan, Emir itu nampak resah benar.

 

"Saya dah lihat semuanya semalam Emir." Potong Dara bila Emir itu masih menimang-nimang untuk bersuara.

 

"Awak sangat baik Emir, sampai saya tak sangka awak sanggup jejakkan kaki ke kelab malam. Saya pun tak tahu awak cari rezeki dengan cara berjudi dan hasilnya awak salurkan kepada orang tua awak untuk biayai rawatan mereka. Itu yang awak panggil tanggungjawab?" Senget kepala Dara. Menanti Emir membela diri.

 

Tadinya, Emir memperlihatkan sisinya yang resah. Rasa resah itu kini berganti dengan mukanya yang sudah merah-merah menahan marah.

 

"Tak mustahil kalau saya katakan, duit 'kita' yang awak canang-canangkan tu pun dah lesap hasil daripada kerugian awak berjudi." Dara beranikan diri bertentang mata dengan Emir.

 

Emir sepertinya tidak terkesan dengan kata-kata Dara. Lelaki itu membuang pandangan ke tempat lain untuk beberapa minit, barulah dia kembali mencari wajah Dara dengan muka lebih tenang.

 

Dara geleng kepala.Bagaimana Emir itu boleh tenang kalau terang-terang sudah tertangkap?

 

"Jangan cakap awak berjudi semata-mata untuk membayar semula duit saya yang dah lesap tu? Semalam saya nampak sendiri macam mana awak kalah dengan teruk!" Dara tak kisah apa pun reaksi balas Emir, apa yang dia tahu, dia jujur dengan apa yang terhidang pada sepasang matanya malam tadi.

 

Penyakit senyuman Dara berjangkit pada Emir. Namun senyuman sinis lelaki ini jauh lebih teruk berbanding dia.

 

"Awak nampak jahat saya, jahat awak? Perempuan baik-baik, tak akan pernah sesekali jejakkan kaki ke kelab malam."

 

Sikit lagi air minuman Dara hampir sampai ke muka Emir. Dasar Emir tak sedar diri.

 

Setelah sisi jahatnya Emir terserlah, terasa betapa bodohnya Dara ketika ini. Dia yang bodoh sebab masih sibuk terhegeh-hegeh mencari tahu siapa sebenarnya lelaki ini. Awal-awal, kan bagus kalau dia sedekah saja duit tersebut dan tutup kes. Selesai dua masalah. Masalah dendam langsai, jiwa pun tak sakit. Penyakit darah tinggi pun akan jauhi dirinya.

 

Tapi bila topeng kebaikkan Emir sudah tertanggal, maka Dara amalkan konsep hutang tetap hutang. Banyak yang dia boleh buat dengan duit itu. Walaupun tahu harapan dia untuk mendapatkan semula wangnya tipis, sekurang-kurangnya dia perlu berikan Emir itu pengajaran. Biar terang sikit hatinya.

 

"Awak sengaja nak intip saya kan?"

 

Nah. Emir sudah menuduh. Dan tak dapat Dara sangkalkan, tuduhan lelaki itu sangat mengena. Tapi dia belum bodoh untuk jujur. Biar saja lelaki itu menuduh selagi belum ada bukti kukuh. 

 

"Bagus juga saya jadi jahat. Jadi baik ni penat, Emir. Sangat-sangat penat. Kena pula saya selalu terserempak dengan manusia yang topeng mukanya berlapis-lapis. Suka ambil kesempatan."

 

Dara perasan, rahang Emir itu bergerak-gerak.

 

"Atau perlu saya sampaikan nasihat pada Umairah? Dengar-dengar, dia anak orang kaya. Mungkin dia mangsa seterusnya awak? Atau pun, Umairah senasib dengan saya? Perempuan yang naif dipergunakan oleh lelaki tak guna macam awak, Emir."

 

Marah Emir itu sudah sampai ke kemuncak bila lelaki itu bangkit tiba-tiba. Sikit lagi meja yang diduduki mereka hampir terbalik kalau bukan tubuh Dara yang menjadi penghalang.

 

"Awak nak lawan saya, huh?" Emir menekan kuat meja makan. Dia tenung Dara seperti mahu menelan hidup-hidup.

 

Dara sikit pun tak takut dengan ugutan Emir. Dia ada pelindung yang sentiasa berada disampingnya. Dia hanya perlu berdoa saja.


Perlahan-lahan Dara bangun, berdiri memeluk tubuh. Malah, dia langsung tidak gentar untuk membalas renungan Emir biarpun mata lelaki itu hampir tersembul. Hilang semua kekacakkan yang dipuja-puja selama ini. Emir itu sedang bertukar menjadi makhluk tuhan yang paling hodoh rupanya.

 

"Layak ke saya ini berlawan dengan awak? Dah nama pun perempuan, mungkin awak dengan mudah dapat menumpaskan saya, Emir."

 

Emir ketawa perlahan. Dia terlebih dahulu membina jarak di antara mereka. Sedikit sebanyak dia sungguh sangat kagum dengan Dara yang sekarang. Emtah apa yang merubah Dara sehingga setiap kata-katanya berjaya dipatah-patahkan. Bahkan, Dara sudah pandai mengugut dia.

 

"Jadi, sila batalkan hasrat awak untuk masuk campur urusan saya. Anggap saja duit awak tu, sebagai balasan saya belikan handbag awak, belanja makan dan duit minyak kereta yang digunakan semasa kita bertemu janji dalam kereta."

 

Tangan Dara tidak tunggu lama untuk menjalankan kerja. Bukan setakat air yang menyapa muka Emir, beg tangan pemberian lelaki itu juga Dara sudah campak, mengena dadanya lalu menyembah lantai. Selangkah dia mara.

 

"Kalau saya tahu awak tu pengemis, dah lama saya sedekahkan duit tu pada awak. Bukannya diperbodohkan dengan cara paling jijik." Dara belum puas mengherdik Emir.

 

"Shame on you, Emir. Awak hanya menjatuhkan maruah lelaki dengan cara mengikis duit perempuan. Tahniah atas usaha awak dengan hanya menggunakan ayat-ayat manis. Dan saya lah perempuan bodoh yang termakan dengan manisan awak. Sampai penyakit taksub saya pada awak semakin menular."

 

Emir meraup wajahnya yang terasa melekit. Hatinya panas dengan tingkah Dara yang berani-beraninya menyimbah air ke mukanya. Malah, hati dia semakin panas mendengar serangan mengejek Dara yang bertali-arus. Dia celik mata. Dia tidak akan berkompromi lagi dengan perempuan di depannya. Dia sudah dipermalukan!

 

Dara pura-pura berani biarpun dalam hati dia sudah panjatkan doa supaya ada penyelamat yang muncul sekarang juga. Dia dapat merasakan, dia bakal menjadi mangsa keganasan lelaki ini. Dan firasat dia tidak pernah salah bila tangan kanan Emir sudah diawangan. Menunggu masa untuk sampai ke pipi mulusnya.

 

"Emir?!"

 

Mendadak turun dada Dara bila suara tersebut berjaya menahan lelaki ini daripada menindas kaum Hawa sepertinya. Haris hanya menurunkan ilmu berlawan mulut demi mengelak dari ditindas. Bukannya ilmu silat gayung untuk menumpaskan lelaki licik seperti Emir.

 

Keberanian Dara sedikit sebanyak, mula menemukan rentak dengan kemunculan orang yang dia tunggu-tunggukan telah pun munculkan diri.

 

Emir mula bergelut bila merasakan pergelangan tangannya disambar lalu dikilas ke belakang dan tak perlu menunggu lama untuk digari kerana Emir itu sebenarnya gagal dalam ilmu mempertahankan diri. Lihat saja, lelaki itu dengan sekali tendangan saja Emir sudah melutut di atas lantai. Bahunya ditekan kuat bila Emir cuba untuk bangkit. Dan percubaan Emir tentu-tentunya gagal. Lawannya jauh lebih hebat dalam bab-bab menumpaskan penjenayah.

 

Cuma yang Dara tidak faham, kenapa ada Umairah yang muncul bersama Haris? Umairah juga yang berjaya menghentikan tangan Emir yang ingin menampar dia sebentar tadi.

 

"Apa you buat ni, Maira?! You lupa siapa I?" Emir seakan-akan kehilangan warasnya. Berkali-kali dia meronta. Hampir saja dia menerpa ke arah Umairah kalau bukan tangan kekar Haris mencengkam bahu kuat sehingga dia berkerut menahan sakit.

 

Sekejap...Sekejap!

 

Apa semua ni? Apa  Dara yang tertinggal untuk membaca skrip? Tadi, kata Haris dia dibenarkan untuk makan bersama Emir. Sekarang, Haris itu muncul pula bersama dengan Umairah. Lagaknya, seperti tiada persengketaan di antara mereka langsung. Malah, tumpuan mereka berdua hanya pada Emir. Dirinya umpama patung yang menjadi saksi perbualan mereka bertiga. Sepertinya, dia orang luar.

 

Dikala bingung, Dara putuskan untuk mendengar saja apa isi perbualan mereka bertiga.

 

"You yang sepatutnya beritahu I, apa yang you dah buat belakang I. Pada I, Emir!" Menyinga Umairah menatap Emir yang mendongak.

 

"You komplot dengan bekas tunang you untuk perangkap I, huh?"

 

Bukan saja Emir terkejut. Dara jauh lebih daripada terkejut mendengar pengakuan berani mati Emir. Dia mula tertanya-tanya apa fungsinya dia selama ini?

 

"I dah cukup bersabar dengan you, Emir. I ni isteri you! Berapa kali you curang? Berapa kali you malukan I dengan menipu mereka semua?"

 

Kali ini, Dara tidak mampu mengatup mulutnya lagi. Dara itu telah berdosa besar! Sangat-sangat besar!

 

Cukup!

 

Dara tidak mahu dengar lagi. Kepala dia tidak mampu lagi untuk mendengar ayat-ayat seterusnya. Jadi, ada baiknya dia angkat kaki. Dia tidak tahu ke mana arah tujunya. Yang dia tahu, dia perlu bubar dari perbincangan mereka. Dia sudah tidak mahu tahu lagi. Cukuplah Emir telah dicekup.

 

Semakin Dara menepis semuanya, semakin teruk emosi dia dilenyek-lenyek. Jalannya juga tidak gagah seperti selalu. Semua pengakuan Emir itu masih menghantui. Semakin lemah lututnya. Namun digagahkan diri juga sehingga sampai ke kereta miliknya. Belum sempat pintu kereta mengatup, ada tangan yang menghalang dia untuk berbuat demikian. Ada suara yang memanggil dia sejak dari tadi.

 

"Awak tak dengar ke saya panggil awak? Awak memang nak sangat mati? Takkan awak nak drive dengan keadaan awak macam ni?"

 

Turun naik dada Dara. Dia marah. Dia marahkan lelaki yang baru muncul ini. Marahnya melebihi Haris. Apa yang membuatkan dia marah, Haris itu pastinya menyimpan seribu satu rahsia daripada pengetahuan dia.

 

"Lebih baik saya mati daripada jadi mangsa diperbodohkan awak dan kawan-kawan awak! Termasuk bekas tunang awak!"

 

Haris diam. Dia menjauhkan diri, namun matanya sedikit pun tidak berganjak daripada Dara yang merenungnya. Renungan Dara sarat dengan rasa benci.

 

"Sorry..."

 

Dara menyinis. Maaf Haris tidak laku lagi.

 

"Apa lagi Haris?!" Semakin menjadi-jadi marah Dara bila Haris masih menjadi tembok yang menghalang dia menutup pintu.

 

"Sorry Dar..."

 

"Saya nak balik!" Bentak Dara yang masih cuba menutup pintu sekali lagi. Dia gagal buat kali ke ketiganya.

 

"Let me in...Biar saya hantar awak." Pujuk Haris. Tangannya masih gagah menahan pintu.

 

Dara merengus. Puas dia cuba untuk bertenang, namun dia dan kegagalan berpisah tiada. Dia mengambil tas tangan. Sengaja dia keluar dengan cara paling kasar sehingga bahu Haris itu menjadi mangsa langgarnya.

 

Haris masuk ke dalam kereta. Sebaik pintu tertutup rapat, dia menoleh ke luar. Hilang kelibat Dara. Mulalah Haris meneroka sekeliling sehingga dia menemukan sosok yang dicari berjalan melalui cermin pandang belakang. Sempat dia nampak Dara menahan teksi yang lalu, namun teksi tersebut tidak berhenti.

 

Mengeluh panjang dibuatnya.

 

Nampak gayanya, Haris terpaksa kuburkan hasratnya untuk bercinta selepas kahwin. Konsep itu tidak akan berjaya buat masa ini.

 

"Awak belum kenal saya, Dara..." Haris tersenyum penuh makna sebelum dia turun dari kereta untuk mengejar Dara.

Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.