Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 16

SATU malam Dara tidak dapat melelapkan mata. Dia benar-benar tidur di dalam lokap! Haris benar-benar mengotakan janjinya. Semalaman itu juga dia menunggu kelibat lelaki itu yang tidak kunjung tiba.


Haris tidak munculkan diri. Lelaki itu jadi halimunan. Dia dibiarkan sendirian di dalam ini. Baru Dara tahu, betapa sejuknya dia bila tidur beralaskan lantai simen. Malah dunia dia kosong. Tanpa suara emak. Suara Dira. Tanpa suara teman sepejabatnya. Hanya dia sendirian. Terasa sunyi sepi.


Dara bangkit sebaik ternampak pegawai bertugas. Dia tidak tahan lagi duduk di dalam ini. Dia perlu berjumpa dengan Haris. Dia perlu keluar dari sini. Dia perlu buat perhitungan dengan Haris. Emak pasti sedang risaukan dia.


"Puan!"


Panggilan Dara berjaya menghentikan wanita yang lengkap beruniform yang baru saja melintasi sel dia. Sepasang tangan Dara kuat mencengkam tirai besi. Wajahnya didekatkan pada celah-celah pemisah antara besi.


"Saya nak berjumpa dengan Encik Haris." Pinta Dara.


Sempat wanita itu garit kening. Wajah dia tampak bingung sejenak.


"Haris? Haris yang mana?"


"Hilman Haris." Sebut Dara.


Barulah dia diperlihatkan anggukan kepala wanita itu. Barangkali, mereka tidak mengenali jika dia memanggil lelaki itu Haris. Mungkin Haris punya gelaran lain di sini. Apa pun gelaran lelaki itu, Dara tidak ambil peduli. Dia hanya ingin bertemu empat mata dengan Hilman Haris yang dulunya disangka bisu.


"Tuan belum masuk kerja. Dalam pukul 8 nanti baru tuan sampai."


Ada kehampaan di wajah Dara. Dia sendiri pun tidak tahu jam berapa sekarang ini. Dia pun tidak tahu waktu bekerja Haris. Tapi apa yang dia tahu, dia ingin keluar dari sini walau apa pun caranya.


"Boleh puan sampaikan pesan saya? Saya nak berjumpa dengan tuan. Urgent!" Cukup elok bahasa Dara demi untuk keluar dari sini. Cukup lembut intonasi suara dia yang berbaur rayuan.


"Nanti saya beritahu pada Tuan Hilman."


Bibir Dara terlebih dahulu menyampaikan ucapan terima kasih. Semakin lebar senyuman dia buat wanita ini. Dara perlu bersabar sedikit saja lagi. Pesanan dia bakal sampai ke pendengaran lelaki itu.


Seingat Dara, dia bukannya menunggu berminit-minit. Adalah dalam sejam dia menunggu. Barulah wanita tadi munculkan diri semula. Dia membuka pintu lokap lalu memanggil dia.


Menunggu berjam-jam tidak menjadi masalah asalkan wanita tadi masih munculkan diri. Itu tandanya, wanita tadi  sangat bertanggungjawab menjadi orang tengah antara dia dan Haris.


"Tukar baju dulu."


Berkedip Dara merenung wanita ini. Kalau perlu menukar baju, maknanya dia bakal bebas? Apa Dara perlu meraikan kebebasan dia?


"Tuan pesan, tuan tak boleh tengok cik pakai baju lokap. Mata dia sakit. Kalau sakit, dia tak nak jumpa Dara."


Ayat wanita ini seolah-olah Haris yang berdiri di depan Dara sambil berkata begitu. Mulanya, Dara mahu marah. Awal-awal Haris sudah ingin mengajak dia bergaduh. Namun, akalnya sempat berfikir. Tiada gunanya dia marah. Dia perlu bertenang bila berhadapan Haris yang baharu. Dia yakin, jika dia berlembut, boleh jadi dia menemui reaksi sama persis Haris yang dia kenal sebelum ini dan lebih elok toleransinya.


"Baik!" Tanpa banyak soal, Dara terus setuju.


Dengan tangan masih bergari, Dara masuk ke dalam sebuah bilik. Sebaik kaki dia masuk ke dalam, dia sudah merasa seram sejuk. Dia nampak seseorang duduk tidak jauh dari sini. Tangannya sibuk memusing-musingkan pen. Seseorang itu sedikit pun tidak mengangkat muka. Seseorang itu hanya panggung kepala bila dia sudah berdiri di hadapannya.


Dara tidak suka bahasa isyarat digunakan Haris. Susah sangat ke nak sebut perkataan duduk? Mata lelaki itu hanya terhala pada kerusi di depan dia dan Dara. Itu bahasa isyarat yang Haris sampaikan dari tadi.


Nak tak nak, Dara duduk di depan Haris. Sengaja dia menghenyak punggung kasar. Bunyi kerusi berlaga dengan meja menjadi pembukaan cerita mereka.


"Keluarkan saya dari sini Haris." Dara terlebih dahulu bersuara.


Sengaja dia meletakkan tangan dia yang masih bergari itu untuk tatapan Haris. Dia nak lelaki itu nampak pergelangannya yang sedikit merah gara-gara garinya terlalu ketat. Pernah dia suarakan kedudukan garinya tidak selesa. Pergerakkannya terasa terbatas. Namun, selepas mengadu, mereka semakin mengetatkan lagi. Sudahnya, didiamkan saja tanpa sebarang aduan.


"Kenapa perlu saya lepaskan awak kalau awak telah melakukan kesalahan?" Haris menolak kertas laporan polis kepada Dara. Sebagai tanda dia tidak bermain-main. Dia serius untuk mengambil tindakan atas keangkuhan Dara. Atas kedegilan Dara.


"Saya minta maaf..." Separuh merayu Dara meminta. Dia juga tidak main-main untuk meminta bantuan Haris.


"Boleh awak tarik semula laporan tu?" Tak perlu Dara baca semula isi laporan tersebut. Dia sudah pun tahu. Dan perkara lebih penting, pihak dia perlu memulakan sesi toleransi terlebih dahulu.


Haris mengubah sorotan dia. Perlahan-lahan dia menyandarkan diri pada kerusi sambil berpeluk tubuh. Dia cuba menyelami dasar pemikiran wanita ini.


Dara teguk liur saat dipertontonkan  seraut wajah serius Haris. Dia telah belajar satu perkara. Raut wajah itu merupakan satu pentanda sangat tidak baik. Akan ada perkara buruk yang bakal dilontarkan lelaki ini sebentar nanti. Itu pembelajaran dia selama seharian di sini.


"Saya perlu pulang Haris. Mak saya mesti risaukan saya bila satu malam saya tak balik." Dara tidak berbohong. Satu malam ini dia asyik memikirkan emak. Dia langsung tidak dapat melelapkan mata. Buktinya, bawah mata dia terasa bengkak dan sembab.


"Itu perkara biasa bagi seorang banduan. Bila duduk dalam lokap, baru pandai fikirkan orang tua. Itu baru satu malam. Cukup seminggu, mulalah ingat arwah atuk nenek. Masa tu baru terfikir nak mati. Nanti bila dah keluar, fikiran dia orang jadi sempit semula."


Tadi bukan lain laju Dara meneguk liur, sekarang air liur dia terasa kering mendengar sindiran Haris. Sikit lagi kemarahan dia ingin munculkan diri.


"Pendek cerita, sesalan itu hanya datang ketika tidur di hotel besi. Awak pun tak ada bezanya dengan banduan-banduan yang lain." Sambung Haris lagi. Dia bercakap berdasarkan pengalaman.


Jantung Dara mengepam cukup laju. Selajunya ayat yang meluncur dari mulut Haris yang tanpa gagap. Sangat melampau Haris menggelar dia banduan.


Cukup lima minit, Dara merenung Haris. Cukup buat Dara menggali ketenangan dengan menatap wajah lelaki itu. Bahkan, dia cuba menyabarkan hatinya biarpun pilihan ayat Haris sebenarnya sangat kejam untuk hati yang mudah rapuh, yang mudah pecah.


"Awak masih tak nak keluarkan saya dari sini?" Dara memberi sorotan paling lembut. Kalau Haris itu api, dia akan menjadi air yang padamkan semua kemarahan lelaki ini. Ini pendekatan terakhir dia.


"Bergantung pada hasil siasatan."


Mengetap sepasang bibir Dara.


Haris tidak termakan dengan pujukan dia. Haris sengaja melarikan sepasang matanya. Haris tidak tergoda dengan renungan lembut dia.


"Kan saya dah minta maaf. Tak kan tak ada sedikit pun rasa simpati awak?" Dara masih berbudi bahasa.


Seminit berlalu. Haris masih begitu. Hanya tangan dia sibuk menulis sesuatu.


"Tentang Emir..." sebut Haris.


Dara tegakkan tubuh. Dia tahu inti pati perbincangan mereka selepas ini. Emir lah punca Haris tidak mahu melepaskan dia. Emir lah punca dia dan Haris belum menemukan kedamaian.


"Saya bagi awak masa untuk bercakap dengan saksi utama. Kemudian, barulah saya fikirkan sama ada nak lepaskan awak, atau tahan awak sampai tamat tempoh reman. Paling penting, kerjasama daripada awak, Dara." Haris bangkit mendadak.


Dara ingin bersuara, tetapi pergerakkan Haris itu terlalu cepat. Tahu-tahu saja kelibat Haris menghilang di sebalik pintu. Selang seminit kemudian, dia mendengar seseorang membuka pintu semula. Lantas Dara menoleh. Dia terkejut saat melihat figura tersebut.


Ini ke saksi utama yang dimaksudkan Haris sebentar tadi? Reaksi orang tersebut juga sama persis seperti Dara. Perlahan-lahan orang itu datang menghampiri Dara.


"Su?" sebut Dara antara dengar tak dengar saja. Rasa terkejutnya masih belum pudar.


Dara diperlihatkan renungan lembut milik Suraya. Sungguh! Ini kali pertama dia merasa selesa. Tiada jelingan yang dia terima daripada Suraya. Bahkan, Suraya begitu murah melemparkan senyuman.


Namun, semua pujian itu bertahan hanya untuk seketika sahaja, sebelum senyuman Suraya tiba-tiba lenyap. Dia diperlihatkan wajah paling bengis milik wanita ini.


"Kau buat apa datang sini?"


Dara bermimpi kan? Atau Suraya sebenarnya pernah menjalani rawatan psikiatri sehingga dia berubah sedrastik ini? Tadi bukan main elok dia lihatkan sisi baiknya. Atau Suraya hanya sekadar berpura-pura di hadapan Haris?


"Pasal Emir..."


Belum habis rasa terkejut dia dengan bahasa kasar Suraya, dia dikejutkan lagi dengan nama Emir. Dara sempat betulkan duduk. Dia jadi tidak sedap hati mendengar nama Emir. Pastinya, ada yang Suraya tidak puas hatikan.


"Kau jangan pernah mimpi Emir tu akan jadi milik kau. Kau tak layak!"


Tadinya, Haris yang membuat jantungnya mengepam laju. Sekarang, Suraya hampir buat jantung dia meletup!


Suraya manarik kerusi Dara rapat. Sekelip mata, lutut mereka bertemu. Hampir saja wajah Suraya menempel pada wajahnya. Sempat Dara menjauhkan kepala biarpun dia tidak mampu melarikan diri bila sepasang tangan Suraya kejap berada di atas pehanya.


"Jangan nak buruk-burukkan Emir. Aku tak akan sesekali benarkan kau heret Emir masuk ke dalam penjara. Dia dah janji nak keluarkan aku dari sini." Terketap-ketap gigi Suraya saat menutur janji Emir.


Dara pula sudah tidak pandai berkata-kata. Sungguh! Sisi jahat Suraya sangat mengejutkan dia. Dia tiada ayat untuk melawan.


"Ingat! Jangan pernah bagi kerjasama pada sesiapa yang nak jatuhkan Emir. Kalau aku dapat tahu kau subahat nak jatuhkan Emir, nak Emir merana dalam lokap. Siap Kau!"


Spontan bahu Dara terangkat. Kemudian, sorotan dia menghantar Suraya pergi. Di luar, sudah ada petugas yang telah menunggunya. Timbul rasa menyesal Dara menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Suraya dan meraih penjelasan siapa Emir sebenarnya.


Nampak gayanya, percaturan Dara salah. Gagal sepenuhnya. Hasrat dia bertemu dengan Suraya telah dipenuhi. Bukan kebenaran yang dia temui. Keburukan Suraya yang dia dapat!


"Macam mana? Elok tak perangai madu awak tu?"


Terpinga-pinga Dara saat di ajukan soalan oleh Haris. Dia pun tak sedar bila ketika Haris telah berdiri di hadapan dia. Merenung dia tepat-tepat.


"Madu awak sampai sekarang tak nak bagi kerjasama. Sibuk nak lindungi pakwe dia. Sama macam awak." Kata Haris santai.


Kenapa Haris nak samakan dia dengan Suraya? Tak cukup Haris gelar dia banduan, sekarang Haris gelarkan dia madu kepada Suraya? Sememangnya, dia salah. Tapi Haris pun ada salahnya juga. Dia tidak habis-habis burukkan Emir.


"Awak ada masalah dengan saya ke Haris? Dari semalam awak asyik sindir-sindir saya. Awak ajak saya bergaduh hanya kerana perkara kecil. Hanya kerana Emir." Dara luahkan juga apa terbuku di hati. Namun, dia masih waras. Dia tidak meninggikan suara. Dia masih sedar diri.


Haris memeluk tubuh. Dia rapatkan jurang antara mereka. Lebih teruk, dia tunduk. Lebih parah, dia makin hampir dan mendekatkan wajahnya. Dapat Dara rasakan setiap hembusan nafas Haris. Terasa panas muka dia.


"Saya bergaduh dengan awak?" ulang Haris. Mengecil sepasang mata dia.


"Hal Emir awak anggap kecil?" Tekan Haris lagi.


"Bila dia songlap duit awak, dan laporan dah dibuat. Secara automatik dia sudah mendapat gelaran penjenayah. Dan awak masih nak lindungi penjenayah?" Sebut Haris dengan suara tertahan-tahan.


Dara tidak keruan. Anak mata Haris membuat dia jadi manusia paling bersalah.


"Bukan macam tu..." Dara putus ayat.


"Habis tu macam mana?"


Mulut Dara terkunci rapat. Hanya bibir dia bergerak-gerak tanpa suara. Dia salah pilihan ayat lagi. Dara silap kerana berdepan dengan Haris yang jaguh mematahkan semua ayat-ayat dia. Muka dia, tak usah dikata. Bahang Haris itu sudah sampai ke wajahnya dek setiap hembusan nafas lelaki itu.


Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.