Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 3

HARI ini merupakan hari pertama Dara mulakan kerja di Rezeki Holding. Sama seperti semalam, dia lebih selesa mengenakan pakaian yang nampak biasa-biasa. Cukup blouse biru tua dipadankan dengan slack hitam, dan rambut dibiar lepas.


Sedang Dara sibuk meneroka ruangan pejabat, haruman minyak wangi mewah menyapa rongga hidung Dara. Senyuman terukir sebaik melihat figura yang baru menapak masuk.


"Sorry, lambat! Kereta saya buat hal pagi ni. Terpaksa minta tolong Si Haris hantar."


Dara diam. Dia tidak tahu kenapa ringan mulut Atiya bercerita dengan dia. Dia hanya pekerja baharu. Belum kenal sepenuhnya salasilah keluarga mereka. Siapa Haris pun Dara tidak kenal.


"Dia orang dah tunjukkan dekat mana bilik Dara?" Pelik bila Dara hanya berdiri tegak dengan beg masih tergantung di bahu.


"Belum lagi." Ujar Dara dengan senyuman.


"Kan semalam saya dah pesan." Ada kerutan di wajah Atiya. Dia sempat berpesan pada pekerjanya supaya mengosongkan satu ruangan meja untuk Dara.


"Bukan macam tu. Dia orang memang nak tunjukkan pada saya, tapi saya nak sendiri nak tunggu Cik Atiya." Dara terlebih dahulu bersuara bila wajah Atiya  berubah merah sedikit.


Barulah Dara diperlihatkan senyuman Atiya.


Sebenarnya, Dara yang berbohong. Kehadiran dia tidak disambut baik oleh pekerja bernama Suraya. Layanannya dingin. Dara disuruh menunggu sehingga Atiya sampai, kemudian ke mana Suraya menghilang pun Dara tidak tahu.


Panjang umur. Suraya yang dia sebut-sebutkan di dalam hati muncul tepat pada masanya. Buat pertama kalinya Suraya melemparkan senyuman. Bebeza benar perwatakkan perempuan ini ketika Atiya ada.


"Sorry. Tadi saya turun ke park. Ada document yang tertinggal dalam kereta."


Serentak Dara dan Atiya melihat fail hitam yang dipeluk Suraya.


"Laporan kewangan tahun lepas?" Duga Atiya.


"Ya, Cik Atiya."


Dara perasan ada raut tidak senang di wajah Atiya. Tapi dia tidak berhak untuk ikut campur. Orang baru, buat cara macam orang baru. Itu lebih aman.


"Tak sia-sia syarikat ada pekerja macam awak. Patutlah jualan syarikat semakin naik."


Bukan main kembang Suraya apabila dipuji. Sebaliknya bagi Dara, pujian itu berhelah. Penuh beracun. Cepat Dara mengusir semua firasat jahat di dalam kepala dia ketika ini.


"Oh, ya. Dah kenal dengan staff baru? Dara...Dia akan menggantikan tempat awak tak lama lagi. Nanti tak perlulah awak workaholic, sampai kena bawa kerja balik ke rumah."


Sekali lagi, Dara dipertontonkan wajah gelap Suraya yang tersembunyi disebalik senyuman kekoknya. Dara mula rasa tidak selesa. Dia memilih untuk bubar saja dari perbincangan antara ketua dan pekerja itu.


"Dara!" Belum sempat Dara angkat kaki, nama dia disebut.


"Ya, Cik Atiya." Sahut Dara laju.


"Awak masuk dalam. Jumpa saya. Dan Su...Nanti kalau Haris datang, pesan saya balik sendiri."


"Cik Atiya balik dengan siapa?"


Jangan kata Atiya saja tidak selesa dengar soalan tersebut. Dara juga merasakan hal yang sama. Dara merenung Atiya yang nampak berat mahu menjawab soalan Suraya.


"Saya balik dengan Dara hari ni."


Rahang Dara hampir cecah lantai. Mana Atiya tahu dia memandu hari ini? Semalam pun, dia mengambil grab car untuk mengetahui selok belok ke sini. Pagi ini pun, Dara sampai awal lima belas minit.


Semakin Dara penasaran apa yang sedang berlaku. Dara diserang dengan bertubi-tubi tanda tanya. Dia datang untuk kerja. Bukannya untuk menyelesaikan masalah dalaman syarikat. Entah kenapa firasat dia kuat merasakan ada bala besar bakal terjadi kelak.


"Baik. Nanti saya beritahu pada Haris." Suraya paksa diri untuk senyum.


"Kalau tak ada apa, saya pergi dulu." Sekali lagi Suraya bersuara.


"That's all." Mengecil sepasang mata cantik Atiya. Bibir masih setia mengulum senyuman.


"Come!" Sepasang mata cantik Atiya kemudiannya tertumpu pada Dara.


"Suraya pekerja lama di sini, saya tak layak untuk menggantikan tempat dia." Luah Dara sejurus tiba di pejabat Atiya.


Dara tidaklah jahat sangat sampai nak tutup periuk nasi orang lain. Kalau kemunculan dia menyebabkan orang lain kehilangan kerja, lebih baik dia tarik diri awal-awal.


Atiya tidak melatah. Sebaliknya, dia pelawa Dara duduk terlebih dahulu.


"Siapa cakap saya akan berhentikan Suraya?" Atiya menyoal.


Diam dipihak Dara. Memang Atiya tidak menyebut untuk memecat Suraya. Dia cuma dimaklumkan menggantikan tempat Suraya saja.


"Suraya akan saya pindahkan ke unit lain nanti. Dan awak akan menggantikan tempat dia."


Barulah Dara faham. Tapi, dari raut wajah Suraya, jelas Suraya tidak tahu menahu perihal dia bakal di tukar ke unit lain.


"Jangan risau tentang Suraya. Dia dah tahu awal-awal perkara ini. Cuma mungkin tidak tahu secepat ini dia bakal digantikan dengan orang lain." Terang Atiya. Dia tahu apa yang diresahkan Dara. Tadi elok Dara berani bertentang mata dengannya, sekarang Dara sudah menunduk. Mengelak bertentang mata dengannya.


"Awak tak perlu rasa serba salah. Dia akan faham."


Bertambah- tambah rasa serba salah Dara. Ayat 'akan faham' itulah yang menakutkan jiwanya. Dia takut dengan penerimaan Suraya. Dia orang baru di sini. Tetapi mandat yang perolehi serupa dia sudah lama berkhidmat.


"Dara boleh panggil atau jumpa saya terus kalau ada perkara yang kurang jelas."


Buat masa ini, Dara pilih untuk tidak berjumpa dengan Atiya terlebih dahulu. Terlalu banyak soalan yang dia tidak menemukan jawapan. Dia hanya mahu sendirian demi memperoleh ketenangan.


"Mungkin Dara tak berapa selesa dengan layanan Suraya. Tapi jangan risau, esok Amy akan masuk kerja."


Hari ini saja, sudah dua nama asing yang menyapa Dara. Tadi Haris, sekarang Amy pula.


"Amy cuti balik kampung seminggu. Saya yakin, Dara akan lebih serasi dengan Amy."


Tipis senyuman Dara menyambut kata-kata Atiya. Mungkin anak majikannya hanya ingin menyedapkan hati dia supaya tidak lari dari sini. Dia akan bertahan demi emak. Ya, demi emaknya.



PETANG itu, Dara merasakan dia seolah-olah sedang melalui ujian memandu buat kali keduanya.


Sumpah!


Dara sangat berdebar menjadi pemandu tidak berbayar Atiya. Semua gara-gara Suraya juga belum pulang. Kata Suraya, dia risau akan keselamatan majikan mereka. Entah betul ke tidak. Apa yang Suraya cuba buktikan? Atau Suraya sedang meraih calon-calon anugerah pekerja cemerlang?


Biarlah!


Itu bukan urusan Dara.


Apa yang dia tahu, dia perlu hantar anak majikannya, cepat-cepat pulang ke rumah dan banyak cerita yang dia ingin kongsikan bersama Yana nanti.


Daripada cermin pandang belakang, Dara nampak Suraya masih terpacak di situ. Masih memandang ke arah kereta Dara biarpun keretanya sudah menjauh. Tergeleng kepala dia. Baru hari pertama, dia sudah diperlihatkan sisi jahat Suraya yang meragui kata-kata Atiya mahu pulang bersamanya. Seolah-olah dia tidak boleh dipercayai.


Suasana sepi mula menyapa. Dara pun tidak berani nak buka mulut bertanya masalah di antara mereka. Takut dia label penyibuk pula nanti.


"Dara tak kisah hantar saya balik?"


Terpinga-pinga Dara bila diajukan soalan ketika dia juga sibuk melayani masalah dalaman mereka.


"Ha? Eh, okey Cik Atiya." Jawab Dara sedikit gugup.


"Panggil saya Atiya. Tak perlu cik-cik. Dekat pejabat pun sama."


"Tak boleh macam tu Cik Atiya." Bangkang Dara. Nanti apa kata orang-orang di pejabat. Dia boleh dituduh kaki membodek.


"Ini arahan daripada saya. Jadi, awak nak dengar cakap saya atau dia orang? Saya yang uruskan gaji pekerja."


Wah!


Bukan calang-calang ugutan Atiya. Memang Atiya menggunakan sepenuhnya pengaruh selaku anak majikan supaya Dara mendengar tanpa sebarang bantahan.


"Boleh tunjukkan mana rumah Atiya?" Sengaja Dara pesongkan cerita. Dia mahu cepat sampai ke rumah Atiya. Mahu segera lari daripada suasana canggung ini.


"No need. Berhenti dekat depan sana." Jari telunjuk Atiya lurus pada deretan kedai yang berada tidak jauh dari sini.


Belum sempat Dara memberi lampu isyarat, ada sebuah pacuan empat roda Ford Ranger sporty berwarna hitam yang diubahsuai sepenuhnya memintas dia laju. Hampir saja kepala dia menghentam steering gara-gara brek mengejut.


"Atiya okay?" Baru teringat keadaan Atiya disebelah dalam kekalutan dia menstabilkan diri dan emosi.


Tidak berkedip Dara. Atiya selamba boleh berpeluk tubuh sambil menajamkan pandangan pada kereta tersebut.


"Si Haris ni memang tak makan saman! Kalau mati anak orang, macam mana?"


Bebelan Atiya singgah di pendengaran dia.


Dia ke Si Haris yang Atiya sebut-sebutkan pagi tadi? Hati Dara tertanya sendiri.


Lambat-lambat Dara angkat kepala. Nak juga melihat gerangan Haris yang berjaya menimbulkan keinginan dia untuk melihat lelaki itu dengan mata kepalanya sendiri. Perangai pun dah tak elok, rupa mesti juga sama. Perangai itu lah sebenarnya yang mencerminkan bagaimana rupanya.


Hampir gugur jantung Dara bila Haris telah menapak turun dari perut kereta dan menghampirinya. Mata dia menentang sekeras-kerasnya kata hatinya yang menyatakan rupa Haris itu tidak elok.


"Dara okay? Ada luka mana-mana?" Soal Atiya prihatin.


Suara Dara gagal memberi kerjasama. Dia hanya mampu anggukkan kepala. Serentak dengan itu cermin sebelah Dara diketuk dari luar.


Haris telah pun berada di sebelahnya. Hanya pintu yang memisahkan jarak mereka. Dapat Dara rasakan panahan lelaki itu menembusi cermin keretanya sehingga memaksa Dara meneguk liur sekali.


"Haris ni memang sengaja cari penyakit agaknya." Omel Atiya lagi.


Dara masih kaku ditempatnya. Dia hanya memandang Atiya mengheret Haris pergi tanpa kata. Apa yang dia nampak, mulut Atiya terkumat kamit. Ketika itu jugalah Haris sempat menoleh dan merenung dia tajam.


Haris lah  lelaki mata helang yang Dara jumpa tempoh hari. Haris yang merupakan pemandu Atiya!


Sejak dari semalam Dara masih belum dengar sepatah pun yang keluar dari mulut Haris. Tanggapan kedua Dara, lelaki ini pastinya bisu.


Ya!


Tidak syak lagi. Haris itu bisu. Lelaki itu hanya tahu merengus tanpa henti.


Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.