Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 27

TERIMA kasih pada Atiya. Sepanjang perjalanan, banyak yang diceritakan Atiya perihal Haris. Dari situ, dia mula kenal siapa sebenarnya Hilman Haris. Sedikit sebanyak, dia juga tahu apa yang lelaki itu suka dan tidak suka.

 

Kata Atiya, dia merupakan perempuan ke dua yang Haris bawa pulang untuk bertemu dengan orang tua mereka. Tak perlu Atiya beritahu siapa yang pertama menerima, dia sendiri sudah tahu jawapannya.

 

Sepanjang perjalanan juga Dara semaikan ayat Atiya dalam diri yang sedang dilanda gemuruh teruk. Makan malam ini, tidak semestinya Haris itu akan memperkenalkan dirinya sebagai calon isteri. Boleh jadi sebagai teman rapat. Teman sekuliah. Apa pun yang boleh dikaitkan dengan teman.

 

Ah!

 

Memikirkan betapa kolotnya fikiran Dara tadi, dia malu sendiri. Dia yang terlalu melebih-lebih. Dia yang terlalu berfikiran jauh ke depan. 

 

“Kita dah sampai, Dara.”

 

Dara tersentak.

 

Terus jiwanya berkocak hebat. Dia gugup tiba-tiba. Haris itu yang memandu keretanya. Malah, lelaki itu yang menyarankan dia menaiki kereta bersama Atiya bagi meredakan emosinya terlebih dahulu. Jujur Dara akui, Haris itu ada kalanya memahami biarpun hakikatnya ayat-ayat pedas lelaki itu sentiasa mendominasi.

 

“Papa kami sporting orangnya.”

 

Itu Dara tahu. Dia pernah berjumpa dengan lelaki setengah abad itu. Lelaki itu sangat pemurah dengan senyuman. Sama persis Atiya. Berbeza dengan Haris yang miskin dalam bab yang satu ini. Iaitu senyuman.

 

“Cuma…” Tergantung ayat Atiya.

 

Satu perkataan tersebut berjaya membuatkan segala isi perut Dara bergelora. Menyempitkan dada. Hingga menimbulkan ketidakselesaan pada dirinya.

 

“Jangan pernah terasa hati dengan mama…Mama sebenarnya ingin yang terbaik buat kami.”

 

Dara mencantum-cantumkan ke semua cerita termasuk cerita yang pernah disampaikan Haris sehingga dia dapat merumuskan bahawa hubungan Haris dan mamanya itu sebenarnya bermasalah. Apa ini yang Atiya cuba sampaikan kepadannya? Mama mereka mesti seorang yang sangat cerewet hingga mementingkan yang terbaik dari semua aspek.

 

Belum sempat Dara bertanya, pintu kereta disebelahnya telah pun dibuka dari luar.

 

“Haris tu selalu macam ni. Dia sebenarnya tak percayakan akak. Takut akak bawa Dara lari. Sebab tu dia sengaja follow kita dari belakang. Dia syak akak komplot dengan Dara menyimpang ke tempat lain. Nampak sangat dia tak percayakan perempuan!”

 

Dara lorek senyuman tipis. Gurauan Atiya itu terdengar keterlaluan pula. Dia bukan ada apa-apa hubungan istimewa pun dengan Haris. Dia masih bercinta dengan Emir. Dia dan Emir belum pun memutuskan hubungan biarpun ada bau-bau hubungan mereka sebenarnya mengalami masalah. Apa yang Dara boleh katakan, hubungan cintanya dengan Emir itu hanya menemukan jalan buntu.

 

“Akak masuk dulu. Jangan lama-lama dekat luar. Nanti mama banyak tanya, susah akak nak jawab.” Atiya sudah keluar dari perut kereta. Dia sempat mengerling pada Haris.

 

Dara tunduk. Dia lebih selesa merenung sepuluh jarinya yang sedang bermain sesama sendiri. Dia tidak akan mencampuri perbualan dua beradik ini. Diam merupakan jalan terbaik buat masa ini.

 

Haris sekadar mengekori langkah Atiya yang hilang di sebalik pintu utama. Barulah dia memberi tumpuan kepada Dara yang masih beku di tempat duduknya. Dan akhirnya dia mengeluh.

 

“Awak tak nak turun?”

 

Terkelip-kelip Dara dibuatnya. Selalunya, dalam situasi begini dia sudah menerima berdas-das sindiran Haris. Sebaliknya lelaki ini sedang bertanya kepadanya dengan nada yang sangat prihatin. Bertambah pula auranya hari ini luar biasa sekali.

 

“Jangan risau, saya ada.”

 

Ayat ke dua Haris juga mendamaikan hatinya. Namun, cepat-cepat dia sedar. Dia itu belum menoktahkan lagi hubungan dia bersama Emir. Jadi, dia tidak boleh membiarkan apa pun perasaan yang baru tumbuh di hatinya yang melibatkan Haris.

 

“Awak tak rasa salah ke bawa saya ke sini, Haris?” Tanya Dara yang masih belum berani mengangkat muka. Dia lebih selesa begini. Dia bakal gagap teruk jika berhadapan dengan Haris dalam keadaan gugup.

 

“Saya masih belum tamatkan hubungan saya dengan Emir.” Kata Dara lagi.

 

Perlahan-lahan Dara menoleh. Dia perlukan reaksi Haris. Dia berharap Haris itu akan menarik semula pelawaannya untuk dia berjumpa dengan orang tuanya. Siapa tahu kalau Haris itu hanya tenang. Langsung tidak terkesan dengan ayat-ayat dia yang seakan-akan masih ingin mempertahankan hubungan dengan Emir. 

 

“Mungkin awak kenal Emir lebih awal dari saya. Jadi, wajarlah awak tahu buruk baiknya Emir. Tapi bukankah saya sepatutnya beri dia peluang? Sama seperti awak. Awak patut beri peluang pada Umairah.” Luah Dara.


Dara tidak tahu sama ada apa yang dia katakan ketika ini betul atau tidak. Mata dia meneroka seluruh wajah Haris. Dia perlu cari tahu jika ada tanda-tanda kemarahan di wajah lelaki ini. Bahkan dia sudah siap sedia menerima kemarahan Haris kerana kata Atiya, nama Umairah itu suis utama kemarahannya.


Kemunculan Umairah pastinya ingin meraih kemaafan lelaki ini. Walaupun Dara sebenarnya tidak tahu apa yang terjadi, namun dia juga perempuan. Dia dapat merasakan semua itu melalui renungan Umairah. Jika Haris masih punya perasaan terhadap Umairah, ini lah masanya Haris gunakan kesempatan ini untuk pulihkan hubungan mereka.

 

Haris menyandarkan diri pada pintu kereta yang masih terbuka luas. Dia sedar seperkara. Dara itu bukan saja sekadar naif, malah Dara itu pemaaf orangnya. Tapi bukan dia. Dia bukan lelaki baik. Dia sudah terbiasa menjadi lelaki yang sangat kejam.

 

“Jadi, awak nak berbalik dengan Emir semula?”

 

Soalan Haris itu terlalu rumit untuk Dara memberi jawapan. Dia sendiri masih marahkan Emir setelah nampak dengan mata kepalanya sendiri bagaimana layanan  Emir terhadap perempuan lain. Tekad dia hanya satu. Dia ingin membongkarkan semua kejahatan Emir. Selepas itu, barulah dia fikirkan apa perlu dia lakukan. 


Jadi, soalan Haris dibiarkan saja berlalu tanpa jawapan.

 

“Saya dah bagi lampu hijau untuk bekerjasama dengan awak, Dara. Kalau terbukti Emir itu salah, dan bakal meringkuk dalam penjara sekali pun. Awak masih nak balik kepada dia? Nak bercinta disebalik tirai? Atau awak nak buat permohonan berkahwin dengan dia dalam lokap buat julung-julung kalinya?”

 

Kenapa Dara rasa, nama Umairah itu bukannya suis utama kemarahan Haris? Tadi Dara bersedia menerima amarah Haris, siapa sangka marah Haris itu lebih kepada bila dia berniat untuk memberi peluang kepada Emir. Apa pun yang melibatkan dia dan Emir, Haris tidak akan melepaskan peluang menembak terus semua sindirannya.

 

“Berapa kali saya nak tekankan, saya bukan jenis lelaki yang cemburu buta. Saya dah sebut sebelum ni. Awak boleh bercinta dengan Emir bagai nak rak, tapi awak itu tetap juga akan menjadi bakal isteri saya.” Suara Haris sudah mengendur. Tidak jadi untuk meneruskan marahnya.

 

“Tapi awak ada Umairah.”

 

Kali ini, Dara diperlihatkan urat-urat leher Haris yang kian menegang. Sikit lagi urat leher Haris itu mahu tersembul kalau bukan Haris melemparkan pandangan ke tempat lain seketika sambil menarik nafas panjang.

 

“Awak dah sampai ke rumah orang tua saya, Dara. Kalau awak bagi kerjasama, esok juga saya akan mulakan plan kita untuk cari tahu siapa Emir. Setakat ini, rancangan saya belum pernah gagal.”

 

Sepasang mata Dara menampakkan sinar. Dia senang dengan ayat Haris yang ini. Dia memang menunggu saat Haris setuju untuk membantu dia.

 

“Tapi…”

 

Haris selalu menghalang dia untuk bergembira dengan satu perkataan itu

 

“Saya dah pernah cakap sebelum ni, saya memang ada sejarah buruk dengan perempuan. Saya tak pernah bekerjasama dengan perempuan. Jadi, jangan terlalu mengharap kita akan meraih kejayaan. Semuanya bergantung pada kerjsama awak.” Sebut Haris lagi. Sebelum dia dipersalahkan, lebih baik dia berterus terang lebih awal.

 

Mengetap sepasang bibir Dara. Betul juga apa yang dikatakan Haris.

 

“Kita masuk dulu, lain kali kita bincang perkara ni.” Mujur Haris mampu mengawal marahnya. Dia rasa sulit bila berdepan dengan Dara. Sejak dia memberi kebenaran pada Dara untuk bersuara, semakin nipis kesabaran dia.

 

“Papa dengan mama saya mesti dah lama menunggu kemunculan bakal isteri saya.” Kata Haris lagi.

 

Betulkan firasat Dara. Kemunculan dia di sini, kerana Haris ingin memperkenalkan dirinya sebagai wanita yang ingin dijadikan isteri kepada Haris. Atiya hanya memutar belitkan firasatnya supaya dia memenuhi pelawaan Haris tanpa rasa curiga.

 

Dengan rasa berat hati, Dara turuti langkah Haris dari belakang. Sebaik saja menjejakkan kaki masuk ke dalam rumah, peluh dingin mula tumbuh. Dia tidak tahu kenapa dia merasa begitu. Langkah dia juga jadi kekok.

 

“Just relax…Saya ada.” Haris bersuara bila dia perasan Dara berhenti melangkah secara tiba-tiba.

 

“Haris!” Muncul perempuan yang berbaju kurung fesyen lama. Rambutnya hanya ditutup dengan skaf berwarna hitam menghampiri mereka berdua.

 

“Tuan dengan Puan dah lama tunggu. Cik Atiya pun dah turun sekali.”

 

Timbul rasa serba salah Dara. Kalau bukan dia yang memetik nama Umairah, pastinya mereka sudah duduk semeja dan makan. Dan cepat juga dia beredar dari sini. Perbualan mereka berlarutan tanpa sedar ada yang sedang menunggu mereka.

 

“Bakal isteri saya gemuruh.”

 

Dara menjeling Haris sekilas. Dia juga perasan wanita yang menyapa mereka tadi mengulum senyuman. Dara mara beberapa langkah, dibiarkan saja Haris di belakang. Dia menghulurkan tangan untuk menyalami wanita itu. Jelas wanita itu nampak terkesima. Namun dia tetap juga ingin menyalami wanita ini.

 

“Pandai Haris cari calon.” Pujian wanita itu menyusul sambil memandang ke arahnya.

 

“Mak Iti cuma orang gaji dalam rumah  ni.” Dia perjelaskan kedudukan sebenar di dalam rumah ini.

 

Siapa pun Mak Iti, wanita itu perlu dihormati. Jangan hanya kerana gelaran di sandang sebagai orang gaji menjadi tiket untuk Dara menyombong diri. Itu bukan ajaran yang diterapkan emak.

 

“Tapi Haris cakap, Mak Iti orang kuat dalam rumah ni.”

 

Jangan kata Mak Iti saja memberi reaksi terkejut. Haris orang pertama yang melihat sisi Dara yang elok melemparkan senyuman buat wanita tua ini. Pandangan Haris itu sikit lagi ingin menembusi wajahnya. Dara lupa pesanannya supaya kurangkan bercakap.

 

“Kalau bukan Mak Iti yang jaga Haris dari kecil, jaga makan minum dia sampai besar…Rasanya Haris pun tak kan jadi orang sekarang ni. Mak Iti 

 dah macam mak ke dua Haris. Bukan orang gaji.” Ujar Dara.

 

Pandangan Mak Iti mula berubah. Bibirnya sangat payah membalas senyuman Dara yang semakin lebar.

 

“Dah…dah…Sini banyak habuk. Mak Iti sensitif sikit dengan habuk-habuk ni. Nanti air mata Mak Iti tak pandai mengering. Dah satu hal nak kena pujuk.”

 

Haris sudah memaut bahu Mak Iti untuk berjalan dengan mereka. Sempat dia jegilkan mata kepada Dara yang bingung. Kerjasama Dara itu terlalu luar biasa. Dia tidak menyuruh pun Dara berkata begitu.

 

Dara bingung bila menerima jegilan Haris. Lambat-lambat dia mengekori langkah Haris menuju ke ruangan makan. Di situ dia menemukan tiga susuk tubuh yang sedang menanti dia dan Haris.

 

“Duduklah, Dara.” Tuan Habib yang pertama menyapa.

 

Dara sejak dari tadi tidak berhenti melorek senyuman. Dia sedang berusaha keras untuk memberi kerjasama yang diperlukan Haris. Senyuman Dara mula goyah bila pandangan dia bertaut dengan sepasang mata milik mama Haris.

 

“Keep smiling…Abaikan renungan mama saya.” Bisik Haris bila dia perasan Dara tiba-tiba gugup.

 

Padanlah Haris mempunyai renungan membunuh. Sikapnya diwarisi oleh si ibu. Dara jadi kekok bila setiap gerak gerinya menjadi tatapan wanita itu.

 

“Don’t talk anything. Just smile.”

 

Dara pandang Haris dengan pandangan tidak percaya. Apa Haris mahu dia berlakon menjadi perempuan bisu? Tak mungkin mama Haris itu akan biarkan sepi menguasai. Dara dapat rasakan mama Haris itu menunggu masa untuk memulakan sesi temuduga.

 

Haris juga perlu ingat seperkara. Cukuplah dia yang salah faham ketika pertemuan pertama mereka kerana beranggapan Haris itu bisu. Jangan Haris berani-beraninya buat mamanya juga salah faham.

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.