Home Novel Komedi/Romantik Komedi Perangkap Cinta
Bab 14

MARAH punya pasal, seharian Dara mendiamkan diri. Jika bersuara, bimbang tidak mampu mengawal suaranya. Dia terlalu marahkan Emir. Emir itu pengecut. Lelaki itu masih menghilangkan diri. Bagi Dara, kalau Emir nak menghilangkan diri sekali pun dia tidak kisah. Yang dia kisah, duit bersama itu! Lebih daripada separuh itulah adalah duit dia.


Pagi ini dia nekad. Dia ingin ke Ibu Pejabat Polis untuk membuat laporan. Bukan laporan mengenai ugutan Haris. Tapi mengenai kehilangan Emir bersama wang milik dia.


Apa Emir fikir, Dara itu perempuan yang mudah ditindas? Mudah dia pijak-pijak maruahnya? Lebih sadis, Emir fikir dia boleh berjoli sakan dengan wang miliknya? Jangan mimpi!


Dara memberi lampu isyarat ke kiri sebaik dia nampak bangunan berwarna biru putih tidak jauh dari sini. Sebaik mendapat kebenaran di pintu masuk, Dara tidak tunggu lama meletakkan kenderaan diruangan yang disediakan.


Menonong Dara masuk ke dalam Balai polis. Daun pintu dikuak, dia rasa bercupak mata terhala padanya. Tapi dia tidak ambil peduli, sebaliknya dia bergegas mengambil nombor giliran. Mujur tidak ramai orang pada waktu pagi begini. Dan dia harus memberi pujian kepada anggota polis yang memenuhi tiga kaunter. Itu bakal mempercepatkan urusan mereka semua, termasuk Dara.


Dara mengambil tempat jauh dari orang ramai. Dia duduk di sudut paling belakang. Tak sampai seminit dia duduk, dia rasa tumpuan seluruh manusia di situ lebih kepada dirinya. Tiga orang anggota polis itu juga sekejap-sekejap memandang ke arahnya. Namun, Dara pilih untuk tidak ambil pusing. Dia hanya perlu menunggu kerana giliran dia akan sampai sebentar saja lagi.


Masa berlalu begitu pantas. Sepatutnya giliran uncle di hadapannya belum tiba. Dia yang terlebih dahulu sampai. Tetapi ke semua mereka sudah pun dipanggil. Dan apa yang Dara perasan, nombor dia telah dilangkau. Kini, yang tinggal hanya dia sendirian. Barulah nombor dia dipanggil. Tadi elok Dara memuji kredibiliti anggota kerana berjaya mempercepatkan urusan orang awam. Sekarang, dia rasa tiada ketelusan terhadap dirinya kerana dia saja ditindas.


Dara duduk di hadapan seorang anggota polis pertengahan umur. Seketika, muncul seorang lagi anggota lebih muda daripada lelaki itu. Mereka saling berbisik sesama sendiri sebelum lelaki muda itu yang mengambil alih tugasnya. Dapat Dara rasakan aura tidak baik disekeliling lelaki itu.


Sempat Dara melirik pada kerusi kiri dan kanan lelaki muda itu, mereka juga sama persis Dara. Kerap menjeling ke arahnya.


"Perlukan jurubahasa?"


"Ya?" Bukan main terkejut Dara dengar suara tidak mesra dari anggota yang baru duduk. Menggantikan anggota yang berumur tadi. Apa dia ternampak seperti memerlukan jurubahasa ke?


"Tak perlu." Lekas dia memberi jawapan.


"Saya ingatkan dah bisu tadi."


Berubah kelat wajah Dara bila ditempelak secara terang-terangan.


Lelaki itu memandang Dara sekilas. Sepasang matanya tiada langsung kelembutan. Jauh sekali kemesraan.


"Saya nak buat laporan." Dara tidak tahu dari mana dia hendak memulakan cerita. Sebentar tadi dia tidak berfikir dengan waras. Sekarang, baru dia ada sedikit kesedaran bahawa dia juga ada kesalahannya dalam hal meibatkan dia dan Emir.


"Teruskan..." Lelaki itu menunggu cerita Dara sebelum dia menulis laporan.


"Saya kena tipu."


Sebaris ayat Dara berjaya meraih perhatian anggota di kiri dan kanan kecuali lelaki di hadapan Dara. Lelaki itu nampak tidak terkejut. Dia tenang menunggu ayat Dara yang seterusnya.


"Jadi, saya nak si pelaku ditangkap. Saya nak duit saya kembali!"


"Tolong cerita dari awal, mudah untuk saya menulis jalan cerita. Dan barulah kita mula buat siasatan."


Sebaik mendapat lampu hijau, Dara tidak tunggu lama bercerita. Dia mula bercerita bagaimana Emir mula-mula menagih simpati dia. Kemudiannya, perancangan tak guna Emir yang mewujudkan akaun bersama kononnya untuk mahligai palsu yang bakal mereka bina. Kesudahan cerita, Emir lesap bersama duit dia.


Dapat Dara rasakan dada dia turun naik. Dia benar-benar marahkan Emir. Sehingga kini, dia masih belum lagi menerima satu pun panggilan atau pesanan daripada lelaki itu. Dengan itu, dia nekad membuat keputusan ke sini tanpa merujuk kepada sesiapa pun. Termasuk emak.


"Dah habis cerita?"


Kenapa ya, Dara rasa telinga dia kerap berdesing setiap kali lelaki ini bersuara? Dia rasa tangannya ringan untuk melayang di atas meja. Namun, dia tabahkan hati supaya kekal tenang.


"Sebelum tu, puan..."


"Cik!" Pangkah Dara laju. Apa dia kelihatan seperti golongan mak-mak?


"Macam ni lah Cik Dara. Laporan cik dah pun siap. Tapi sebelum tu..."


Lelaki ini memberi Dara pandangan sangat pelik. Bahkan, tangan lelaki itu sibuk menulis sesuatu pada buku. Berdasarkan pemandangan Dara, itu buku saman.


"Muka cik memanglah cantik. Tapi dekat pintu masuk sudah terang-terang tertulis sila pakai pelitup muka. Apa cik sengaja nak tunjukkan kecantikan pada semua petugas di sini dengan melanggar arahan?"


Berderau muka Dara. Spontan tangan dia meraba-raba ke dua-dua belah pipinya yang kosong. Tiada pelitup muka yang sering menjadi peneman. Hilang raut garang dia sebentar tadi. Dia menikus tiba-tiba.


"Saya tak sengaja encik. Tadi saya nak cepat." Suara Dara berubah kalut. Sumpah! Dia tergesa-gesa sehingga terlupa untuk memakai pelitup muka.


"Saya hanya bertindak secara telus. Saya tahu Cik Dara sudah tidak punya wang. Tapi, salah tetap salah. Saya tak nak di cop mata keranjang dan berat sebelah kerana mudah jatuh cinta . Jadi, tolong terima surat cinta daripada saya." Bersahaja saja bahasanya. Tanpa jiwa melayangkan surat cinta.


Tidak berkedip mata Dara saat menerima sehelai kertas saman. Angka yang tertulis di atas kertas tersebut membuat sepasang mata Dara membesar. Mulutnya terkumat kamit, tetapi suara dia tersekat.


"Saya mana ada seribu! Dalam akaun saya hanya tinggal lima belas ringgit dua puluh lima sen saja!" Merah-merah muka Dara memberitahu.


Dara datang ke Balai Polis untuk membuat laporan. Bukannya terima surat saman. Mana budi bicara lelaki ini? Kalau dah tahu Dara tidak memakai pelitup muka, bukankah dia sepatutnya menegur terlebih dahulu? Bukannya  saman membuta tuli begini.


"Itu masalah Cik Dara. Dalam keadaan sekarang, Cik Dara kena peka. Bukan Cik sahaja punya masalah. Ramai lagi yang mengalami masalah yang sama. Tapi Cik tak perlu risau, petugas di pintu masuk pun bakal menerima nasib yang sama sebab lepaskan Cik Dara masuk. Sepatutnya, Cik Dara tidak dibenarkan masuk jika tidak mengikut SOP yang ditetapkan. Tapi itulah, kecantikkan Cik Dara itu meraja. Tiada sesiapa yang berani menegur."


Hampir luruh rahang Dara. Dia pula yang dipersalahkan. Dia pula yang dikata mendabik dada dengan kecantikkannya. Pokok pangkalnya, semua salah dia!


"Ini laporan Cik Dara. Tolong bayar dua ringgit."


Setakat dua ringgit apalah sangat! Sekarang juga aku boleh campak depan muka dia. Biar padan dengan mulut puakanya. Getus hati Dara. Apalah malangnya nasib dia menerima nasib sebegini. Sudahlah di tipu, berjumpa pula dengan puak-puak puaka.


Seminit mencari, peluh renik mula tumbuh. Habis semua isi beg totenya diselongkar. Kelibat wang kertas berwarna biru tiba-tiba jadi halimunan. Rambut diselit belakang telinga. Sekali lagi dia melakukan hal yang sama. Kali ini Dara menumpahkan semua isi beg di atas meja.


Tidak terkata lelaki itu dengan tindakan selamba Dara. Tetapi dia tidak pula menegur. Hanya membiarkan saja wanita itu mencari-cari.


Dara tidak tahu di mana dia hendak sorokkan muka. Bukan dia tak nampak pandangan dua anggota di kiri dan kanan lelaki itu. Masing-masing tersenyum walaupun wajah mereka ditutup dengan pelitup muka. Namun bahu mereka bergegar teruk! Itu yang Dara rasakan.


Dara memandang pada dada lelaki itu. Dia meneguk tiga kali. Air liurnya terasa berpasir.


"Maaf Encik Hilman." Sebut Dara dengan cara terhormat.


Lelaki itu hanya terus menaip. Sedikit pun dia tidak menoleh apatah lagi menyahut.


"Macam ni..." Serba salah Dara ingin bersuara.


"Kami hanya menerima tunai." Tanpa kompromi suara Hilman.


Terbantut niat Dara untuk menggunakan ingin menggunakan transaksi maybank2u. Baru dia teringat. Duitnya sudah habis digunakan untuk mengisi minyak kereta. Habis kesemua wang seringgit-seringgit dia kumpul menjadi dua puluh ringgit. Sekarang, dia benar-benar sudah kekeringan.


Panjang helaan nafas Dara. Tiada tolak-ansur untuk dirinya.


Nampak gayanya, dia terpaksa menebalkan muka. Bibirnya diketap kuat. Dengan berat hati Dara mengambil beg kecil. Bunyi yang dihasilkan menggamit bercupak-cupak mata terarah kepadanya. Dia tidak berani mengangkat muka. Dia malu!


"Syiling Encik terima?" Soal Dara tanpa mengangkat muka. Dia tidak tahu berapa teruk bahang di mukanya.


"Asalkan bukan daun kering."


Makin teruk malu Dara. Lambat-lambat dia meletakkan empat keping lima puluh sen di atas meja. Dia tidak berani bertentang mata dengan Hilman.


Selesai semua urusan,  kertas pemberian lelaki itu disambut tidak ikhlas.


Kurang ajar!


Ini kali ke sepuluh Dara memaki Hilman. Lelaki itu sempat hulurkan sekeping pelitup muka kepadanya, dan bohonglah Dara tidak merasa terharu. Rasa terharu Dara bertempiaran apabila Hilman dengan muka kejungnya meminta tujuh puluh sen sebagai bayaran. Bukannya percuma.


Dara menghenyak punggung kasar ke dalam kereta. Rasa sakit hatinya tidak surut-surut sejak dia menjejakkan kaki di sini sehinggalah dia pulang. Kertas laporan polis dicampak ke kerusi sebelah, dan ketika itulah ada sampul putih  jatuh di atas karpet menggamit Dara. Serta merta dahi dia berkerut.


Setahu Dara, dia hanya mengambil kertas sahaja tadi. Atau mungkin kerana dia terburu-buru, dia tidak perasan akan kewujudan sampul tersebut?


Dara mencapai sampul, lalu isinya di lihat.


Tidak berkedip Dara apabila melihat kandungan di dalam sampul tersebut.


Ada empat keping not lima puluh bersama sekeping kertas kecil.


'You look teribble – H '


Berlaga-laga gigi Dara. Tanpa dia sedar, tubir matanya sudah terasa hangat. Bukan kerana terharu. Tetapi dia merasa terhina! Lantas dia keluar dari perut kereta. Dia perlu membuat perhitungan dengan 'H'.


Belum sempat Dara membuka pintu kereta, telefon milik dia menjerit minta diangkat. Bukaan matanya besar saat terpandang nombor tidak dikenali. Cepat dia meleretkan skrin.


"Dara!"


Dara rasa, dia belum lupa suara Emir. Apa yang dia tahu, Emir yang menghubungi dia ketika ini!


"Emir? Mana awak pergi? Saya call awak tak jawab! Awak keluarkan semua duit kita bersama. Sekarang, saya ada di balai polis! Saya dah buat laporan polis pasal awak." Dara tidak berniat untuk berahsia. Dia mahu Emir tahu. Dia bukanlah perempuan yang hanya pejamkan mata bila pihak lelaki cuba mengambil kesempatan.


"Tarik balik..."


Tarik balik? Apa maksud Emir? Dara kurang jelas.


"Saya akan bayar semua duit awak. Sebelum tu, saya nak awak tarik semula laporan polis tu." Suara Emir separuh merayu.


Tapi dipendengaran Dara, dia rasa suara Emir itu sarat dengan simpati. Suara yang penuh dengan masalah. Dara faham keadaan Emir punya banyak masalah itu. Sepatutnya, Emir berterus terang. Bukan diam begitu sahaja.


"Awak tahu kan keadaan saya, Dara? Awak sanggup lihat saya meringkuk dalam penjara? Siapa nak tengokkan papa saya? Mama saya tak kerja. Hanya saya lah sumber untuk mereka meneruskan hidup."


Dara mengetap bibir kuat. Dia mula rasa menyesal. Menyesal kerana selalu beranggapan buruk tentang Emir. Selalu buat keputusan melulu tanpa berfikir panjang.


"Please, Dara..."


Dara kalah dengan rayuan Emir. Tanpa sedar, air mata yang marahkan Haris kini bertukar meratapi nasib Emir. Air matanya diseka. Dia perlu selamatkan Emir. Emir itu tunggak keluarga.


Belum sempat Dara bersuara, ada tangan yang merampas telefon miliknya. Dan ada bayang hitam yang sudah duduk disebelah dia. Bayang hitam tanpa segan silu bercakap dengan teman lelakinya. Bayang hitam itu siapa lagi kalau bukan anggota yang berjaya membuat onar sebentar tadi. Bayang hitam yang bernama Hilman.


"Jangan cuba nak lari. Dan, Dara tak akan pernah tarik balik laporan polis!"


Meluas sejenak mulut Dara. Dia cuba merampas kembali telefon miliknya. Hilman pandai-pandai saja membuat keputusan bagi pihak dia. Siapa yang memberi Hilman mandat untuk bercakap dengan kekasih dia?


Selesai bercakap, lelaki bernama Hilman mematikan talian. Telefon milik Dara dia masukkan ke dalam poket seluar. Kini, dia perlu berhadapan dengan Dara. Dia perlu buka mata Dara. Lantas, dia menoleh. Pelitup mukanya dibuka. Dia tidak peduli lagi dengan wajah terkejut Dara.


"Haris? Hilman? Apa awak buat dekat sini? Suara awak..." Turun naik jari Dara. Seingat dia, Haris itu bisu.


Tapi, Haris...Hilman...


Ah! Lidah Dara sudah berbelit. Dia tidak faham dengan keadaan sekarang.


"Hilman Haris...Sama ada Hilman atau Haris. Mereka orang yang sama. Dan orang itu saya, Dara...Hilman Haris!" Ada ketegasan pada nada suara Haris. Dua kali dia menyebut nama penuhnya. Biar Dara tanam dalam memorinya.


Dara pula kelu. Hilang ayat. Hilang marah. Hilang sedihnya. Dia pandang Haris dengan pandangan tidak percaya!


Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.