“Abang, jom kita balik!” ajak Khalida. Letih sangat hari
ini. Duduk lama-lama atas kerusi ini membuatkan Khalida sakit pinggang dan
belakang badan saja. Mahu balik dan
baring di atas katil di rumah saja.
“Mak macam mana?” soal Ilham yang masih risaukan keadaan
mak. Bukan Khalida tidak mahu menjaga mak di hospital tetapi keadaan mak dah
stabil. Lagipun papa dan Juhana sedang menunggu mak.
“Am, bawak Lida balik berehat di rumah. Muka Lida dah
pucat tu,” arah mak.
“Apa-apa hal, mak call Am yer,” pesan Ilham sambil
bersalaman dengan mak dan papanya. Juhana di sebelah masih menangis. Menangis sampai keluar air mata berdarah pun
dah tak ada maknanya lagi. Keadaan tetap tak akan berubah.
Sampai saja di rumah terus Khalida mandi, solat dan
makan. Selesai saja makan terus tidur, letih sangat. Sejak dua mejak ini,
banyak sangat perkara yang berlaku dan merunsingkan kepala otak Khalida. Baru setengah jam, Khalida terjaga semula
apabila Ilham menarik kepala Khalida lalu diletakkan di atas
lengannya.Dibiarkan muka Khalida dekat dengan dadanya. Lalu di tarik kain
selimut, selimut badan Khalida. Khalida hanya tersenyum. Khalida membiarkan
saja tangan suaminya itu membelai rambutnya lalu dia terlena semula.
Khalida tahu Ilham mengucup dahinya dua tiga kali sebelum
dia terlena tadi. Malam ini baru boleh lena dengan puas kerana keadaan sudah
hampir selesai. Bagi mak, semuanya masalah akan selesai kalau buah hati
pengarang jantungnya ada di sisinya. Siapa lagi kalau Adli, si bongsu itu.
Harap Adli sampai dengan selamat di esok hari.
Dia terjaga dalam pukul 6.40 pagi, Ilham masih tidur di
sebelahnya. Malah dia masih dalam dakapan suami tercintanya itu.
“Argg, tak solat subuh lagi lah!” jerit Khalida. Terus
bangun dan menolak badan suaminya itu. Cepat-cepat masuk ke bilik air,
bersihkan diri dan ambil air sembahyang.
“Abang tak solat?” soal Khalida apabila melihat Ilham
masih tidur di atas katil.
“Abang dah solat lah, nak kejutkan Lida nampak Lida
nyenyak sangat tidur. Kasihan pula abang tengok.” Jelas Ilham. Dia bangun solat
sebaik saja terdengar azan subuh tetapi tidak dikejutkan Khalida.
“Lepas tu abang tidur balik?”
“tak lena pun, saja teman Lida tidur!”
“Pintu rezeki tertutup lah, kalau selepas solat subuh,
kita sambung tidur,” rungut Khalida lagi.
“Sembahyang dulu yang, lewat sangat dah tu. Nanti baru
sambung membebel,” kata Ilham. Betul
juga, aku yang bangun lewat boleh pula berleter dekat dia.
Pagi ini badan dah segar sebab semalam boleh berehat
sepuasnya. Sebelum pergi hospital dia dan suaminya akan menjemput Adli di
Lapangan Terbang terlebih dahulu. Nanti
nak kena call Emma untuk beritahu hal yang sebenarnya tentang keadaan mak.
Nanti yang lain-lain Emma boleh tolong uruskan. Diceritakan satu persatu apa
yang menimpa diri mak kepada Emma.
“Tak usah lah bimbang, Adli tu bukan macam kita yang
lain-lain ni, Lida!” pujuk Emma.
“Yer, sikap Adli bukan macam kita semua. Minta-minta lah
keadaan pulih selepas Adli balik nanti,” kata Khalida. Memang perangai Adli
berbeza sangat dari kami adik beradik. Kami nie cepat naik angin, cepat marah.
Adli pula penyabar.
“Insha ALLAH. Kejap nanti aku dan Ezzat sampai!” kata
Emma.
“Kau beritahu Ayien dan Shima, suruh Ayien jemput nenek.
Nanti aku beritahu Ariff dan Apul!”
“Beres, buk!” jawab Emma.
Alhamdulillah, nampak budak handsome tu sedang berjalan
datang ke arah mereka berdua, hati Khalida kelegaan.
“Abang, mintak maaf sebab salah sangka kat Adli,” ucap
Ilham sebaik saja Adli berjabat tangan dengannnya.
“Tak ada apa bang. Perkara biasa tu. Kalau saya di tempat
abang, tengok orang nak buat benda tak senonoh kat akak saya, saya pun mengamuk
juga,” kata Adli sambil memeluk
Ilham. Khalida tersenyum saja.
“Kenapa Adli tak cakap hal sebenar?” soal Ilham sebaik
saja mereka berjalan menuju ke kereta.
“Ini soal maruah keluarga kita dan soal harga diri Ana,
bang. Saya anggap Ana, macam akak saya sendiri, jadi saya kena jaga maruah akak
saya,” luhur kata-kata itu. Juhana tua setahun dari Adli. Tersentuh hati Ilham
mendengarnya.
“Jom, jangan asyik berbual, mak tentu tak sabar nak jumpa
dengan kau,” gesa Khalida.
Emma dan Ezzat dah ada pun di dalam bilik mak. Begitu
juga dengan Ariff dan isterinya. Jasnita bersama suami dan anak. Juhana dan
papa. Malah nenek pun ada. Semua datang untuk melawat mak.
Adli cium tangan mak dan baru lah memeluk mak dengan
erat. Mak menitiskan air matanya. Tidak
sangka sama sekali, anak bongsunya ini difitnah oleh anak tirinya sendiri.
“Lee merajuk ke dengan mak?” soal Puan Naimah masih
memegang kedua belah tangan anak bongsunya.
“ Tak lah!” nafi Adli.
“Habis kenapa pergi Dubai, jauh tu!” balas mak.
“Dapat kerja bagus mak kat sana. Gaji pun okey. Saya nak mak
bangga dengan saya, sebab tu saya pergi. Bukan senang nak dapat kerja yang baik
dan bagus macam tu mak,” pujuk Adli.
Tersentuh hati Datuk Razali mendengarnya. Datuk Razali datang ke arah adli
dan Puan Naimah. Dipegangnya bahu Adli.
“papa mintak maaf sebab halau Adli, marahkan adli..,”
kata Datuk Razali. Rasa terlalu menyesal kerana bertindak terburu-buru.
“Ini namanya kita satu keluarga, papa. Nenek saya kata,
bumi mana yang tak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora. Buat salah
ini adalah perkara biasa dalam hidup, yang penting kita saling bermaafan. Saya
dah lama maafkan papa, maafkan abang am dan kak ana,” ucap Adli. Datuk Razali
memeluk erat bahu Adli.
Syukur lah semuanya dah selesai. Biarkan papa memujuk
hati mak. Dan tinggalkan Adli bersama Juhana. Mungkin ada perkara yang mereka
berdua ingin bualkan.
Kami berempat keluar makan di kantin hospital saja.
“Dah berapa bulan kau ni?” soal Emma. Anaknya ada bersama
Ilham.
“nak masuk enam, kenapa?” jawab Khalida sambil menyuap
mee udang ke dalam mulutnya.
“Besar perut kut, kembar kut!” kata Emma.
“Tak. Aku makan kuat. Asyik nak makan saja!” kata
Khalida.
“Tengah malam pun ajak aku keluar makan lagi,” kata
Ilham.
“Susah nak kurus selepas bersalin nanti,” gurau Emma.
“Itu lah, tapi nak buat macam mana, baby aku nak makan,”
kata Khalida.
Adli datang ke arah mereka. Terus duduk di sebelah
Khalida.
“Nak minta tolong sangat, sebab tak dapat gaji lagi!”
kata Adli sambil menyuruh Khalida menyuap mee udang yang Khalida makan ke dalam
mulutnya.
“apanya?”
“Lusa nak kena balik Dubai. Saya mana ada cuti lagi.
Jadi, abang am tolong belikan tiket kapal terbang!” beritahu Adli. Ilham
tersenyum saja. Perkara mudah saja tu.
“Dah nak balik?” soal Ezzat. Adli mengangguk.
“Lagi satu nak mintak tolong akak-akak, abang-abang kat
sini pergi melamar buah hati saya kat Kedah yer. Tahun baru nie saya balik
nikah!” beritahu Adli. Mereka berempat sedikit terkejut.
“Cepatnya!” kata Khalida.
“Siapa Lee?” tanya Emma. Adli mengeluarkan sekeping
gambar lalu diberikan kepada Kak Emmanya.
“Tak tahan
dah nie kena goda tiap hari. Lagi pun ada juga peneman saya di
Sana
nanti, “ jelas Adli sambil tersenyum.
Gadis
cantik bertudung pilihan Adli. Siapa nama dia yer?
“Lusa nak kena balik Dubai. Saya mana ada cuti lagi.
Jadi, abang am tolong belikan tiket kapal terbang!” beritahu Adli. Ilham
tersenyum saja. Perkara mudah saja tu.