Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
235,810
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Rabunah, Azlie, Alin dan Wawa berada di Signature Food Court di Suria KLCC. Mereka mahu menjamu selera selepas keluar dari kedai buku di tingkat atas. Muka kelaparan sudah terzahir di raut wajah keempat-empat mereka. Perut pun sudah berbunyi-bunyi. Rabunah masih belum menceritakan kepada kawan-kawannya akan kejadian sebentar tadi di mana dia terserempak dengan pelanggan lelaki yang seringkali menjadi topik perbualan mereka empat sahabat. Ada baiknya mereka mengisi perut terlebih dulu. Baru ada tenaga hendak bergosip!

Berpusing-pusing mereka berempat di dalam medan selera itu, sekejap hendak makan itu, sekejap hendak makan ini. Sudahnya, masing-masing keletihan. Mujurlah ada beberapa meja yang masih kosong, bergegas mereka menarik kerusi lalu melabuhkan punggung di situ. Rabunah teringin hendak menikmati nasi kandar, disuarakan keinginannya itu dan terus kawan-kawannya yang lain turut memesan menu yang sama. Malas hendak berfikir makan apa, gamaknya.

“Una, aku lantik kau mewakilkan kita orang semua pergi order makanan. Penatlah bertawaf satu food court ni,” Alin membuat muka kasihan. Rabunah tidak kisah. Meski dia tahu, itu cuma alasan. Cakap sajalah malas hendak bergerak. Hujungnya, Azlie menawarkan diri untuk menemankan Rabunah ke gerai makanan yang menjual nasi kandar itu. Sementara Alin dan Wawa menjaga tempat mereka. Sebaik saja sajian sudah berada di depan mata, serupa malaikat lalu suasananya. Baru tahu berhenti bercakap masing-masing. Yalah, mulut penuh dengan makanan.

“Weh! Aku ada benda nak bagi tahu ni...” Rabunah mencetuskan perbualan. Azlie, Alin dan Wawa menatap tampang kawannya itu yang seperti bersinar-sinar saja wajahnya.

“Apa benda? Berita gembirakah?” tanya Alin yang sudah meletakkan garfunya dan makan menggunakan jari. Payah benar hendak melapah isi ayam goreng dengan garfu dan sudu, menurutnya. Rabunah gelihati.

“Kau orang ada tak perasan siapa-siapa waktu dekat kedai buku tadi?” umpan Rabunah dengan nada tanda tanya. Suspenlah konon!

“Siapa? Artis ek? Biar aku teka! Jaafar Onn? Wan Maimunah? Ruminah Sidek? Takpun Ayati Tasrip?” Azlie datang sengalnya. Habis disebut semua nama artis yang mengundang gelak tawa mereka yang lain.

“Kau ni saja nak kita orang pecah perut kan? Tak ada artis lain ke yang terlintas dalam kepala kau tu? Ha ha ha! Tadi... aku bumped into somebody. Lelaki bisu handsome yang kau orang admire tu!”

Ternganga mulut Alin, Wawa dan Azlie seraya memandang sesama sendiri. Seperti tidak boleh tutup saja rahang mulut mereka. Mereka kenal Rabunah. Dia bukan perempuan propa atau jenis yang cakap tidak serupa bikin. Sudah tentu apa yang dicakapkan Rabunah adalah benar. Untungnya Rabunah! Berlumba-lumba Alin, Wawa dan Azlie hendak bertanya.

“Kau ada bercakap dengan dia, Una?” soal Alin lalu menolak ke tepi makanan di pinggan. Kenyang pula tiba-tiba perutnya. Begitu sekali penangan lelaki bisu handsome itu.

Yup! Dan dia tak bisulah. Dia boleh bercakap.” telus saja Rabunah menceritakan. Rabunah bercerita dari detik pertama dia terserempak dengan lelaki itu sehinggalah dia menjawab salam yang diberi lelaki tersebut. Khusyuk sungguh Alin, Wawa dan Azlie mendengar, seolah-olah membayangkan mereka pula yang berada di tempat Rabunah.

“Wah, bertuahnya kau Una! Suara dia macam mana? Garau-garau macho tak?” Wawa bergilir bertanya.

“Err... tak tahulah pulak nak kategorikan suara dia macam mana, kak. Tapi dia nampak macam lelaki budiman. Good manners. Orangnya pun menyenangkan.” perinci Rabunah dari sudut pandangannya. Baik Alin, Wawa mahupun Azlie sudah berdeham-deham. Terjongket-jongket kening mereka.

“Ehem! Ehem! Puji melambung tinggi nampak! Berminatkah?” Azlie sengaja mahu menduga. Terus saja membuntang mata Rabunah. Dia hanya memuji, tidak lebih dari itu.

“Berminat apa pulak? Aku cuma kagum dengan peribadi dia. Cara dia bercakap menunjukkan dia seorang yang bagaimana,” tingkah Rabunah memperbetulkan persepsi kawan-kawannya.

“Uwargh! Sungguh aku jealous dengan kau, Una! Aku ni ha... berkali-kali ajak dia berbual bila terserempak dekat kedai kita tu tapi sepatah haram pun dia tak mahu bercakap! Asyik sedekah senyum dia saja! Ah, jealous! Jealous!” keluh Alin hampa. Manakan tidak? Setiap kali lelaki itu datang ke kedai, ada saja modal idea Alin untuk paling tidak mendengar suara lelaki kacak itu bercakap dengannya. Ini tidak! Ulang-ulang membisu tanpa kata. Geram sungguh!

“Dah kebetulan aku berada dekat situ tadi. Bukan sebab dia hendak bercakap dengan aku pun. Dah, cepat habiskan makan. Lambat pulak kita masuk panggung nanti.”

Rabunah menamatkan perbualan tentang lelaki itu, sengaja tidak mahu dileret-leretkan. Usai makan di medan selera pusat membeli-belah itu, mereka terus ke kaunter tiket wayang hendak membeli tiket yang sudah dipesan menerusi internet. Alin yang tadi muram saja wajahnya kerana terkilan tidak dapat berjumpa dengan lelaki idamannya itu, berubah ceria semula tidak lama kemudian. Lebih-lebih lagi melayan lawak Azlie yang boleh dianggap sebagai penglipurlara dalam geng mereka itu.

“Gediklah kau, Azlie! Bukan kau ke yang booking cerita ni? Ini belum masuk panggung, dah ketar-ketar lutut!” sindir Wawa melihat Azlie yang asyik menutup matanya menyaksikan prebiu filem yang disiarkan di bahagian luar pawagam. Filem yang mahu mereka tonton itu berjudul Karak, sudah berminggu-minggu masuk panggung tetapi baru sekarang mereka punya kesempatan untuk menonton.

“Aku nak tengok Kilafairy je! Tak sangka pulak cerita ni seram! Kuasa aku tau nak keluarkan suara emas aku dalam panggung nanti,”

“Alah, cerita hantu Melayu mana ada yang seram. Silap-silap boleh ketawa pulak nanti. Dah, jom kita beratur beli popcorn. Lagi 5 minit cerita nak start!” cadang Rabunah lalu menolak tubuh Azlie untuk beratur sama. Tiba saja masa hendak masuk panggung, Rabunah terasa hendak membuang air. Alin dan Wawa sudah mengambil tempat di dalam panggung, tinggal lagi Azlie sajalah yang menjadi mangsa untuk menemankannya. Azlie menunggu di luar tandas.

Tidak lama kemudian, muncul Rabunah terkocoh-kocoh mendapatkan kawannya di luar. Azlie terpinga-pinga apabila Rabunah mengheretnya ke sudut yang agak berselindung dari laluan orang ramai keluar masuk tandas itu.

“Kau ni kenapa, perempuan? Nampak hantu dalam tandas ke?” soal Azlie yang kehairanan. Rabunah menurunkan topinya ke bawah sehingga menutup sebahagian wajahnya. Bertambah pelik Azlie dengan kelakuan Rabunah. Kena sampuk hantu Kilafairy apa?

“Perempuan tu ada dekat sini! Aku ternampak dia tadi! Nasib baik dia tak perasan aku! Aku cemuihlah nak mengadap muka plastik perempuan tu!” terang Rabunah sambil melilau melihat kalau-kalau perempuan yang dimaksudkan itu sudah keluar dari tandas.

“Perempuan manalah pulak ni? Kilafairy ke?”

“Tak habis-habis dengan Kilafairy kau! Pitam aku melayan drama kau ni tau! Aku nampak Natasha dalam tandas tadi. Natasha Giselle!”

Sebut saja nama perempuan itu, seolah-olah menyeru pula akan kehadirannya. Rabunah menyembunyikan diri di belakang badan Azlie apabila kelibat perempuan itu keluar dari tandas dan menghala langkahnya memasuki pintu panggung. Lenggoknya saja seperti mahu berjalan di atas pentas fesyen! Melampau!

“Dia masuk pintu yang sama dengan kitalah, Azlie! Dia tengok cerita yang sama! Eee... tak suka!” Rabunah menghentak kaki dan mencebikkan bibirnya. Terserlah perangai manja Rabunah, lupa yang dirinya di luar, bukan di dalam rumah.

“Alah, tak payah nak kisah! Dalam panggung kan gelap? Dia takkan perasan kau punya! Jomlah cepat, kita masuk panggung.”

Kali ini giliran Azlie pula menolak tubuh Rabunah, berdua mereka mencari tempat duduk dalam keadaan samar-samar itu. Alin dan Wawa sudah melambai-lambai ke arah mereka, terus saja Rabunah dan Azlie melabuhkan punggung di kerusi empuk di dalam panggung itu. Popcorn dan air Coke yang dibeli, bertukar-tukar tangan. Lagak mereka, seperti mahu berkelah pula!

Suara jeritan penonton menguasai pawagam besar itu sebaik minit-minit pertama cerita ditayangkan. Azlie asyik menutup saja matanya dengan tangan, dia tidak mahu tengok adegan-adegan yang membuatkan dia takut hendak ke bilik air pada waktu malam. Alin di sebelah kiri Azlie, menampar tangan lelaki itu.

“Lebih baik tak payah tengok kau ni! Asyik tutup mata aje dari tadi. Penakut sungguh!”

“Aku nak tunggu sianglah! Siang tak ada hantu!” balas Azlie menyebabkan Rabunah dan Wawa terkekeh-kekeh ketawa. Boleh pula tengok cerita seram bila ada babak di waktu siang saja? Macam-macam hal budak Azlie seorang ini.

Rabunah yang duduk di sebelah kanan Azlie, menarik hujung baju lelaki itu. Dia mahu membisik sesuatu. Sama dengan Azlie, Rabunah juga tidak menumpukan seratus-peratus perhatiannya terhadap tayangan filem di hadapan mereka. Berbeza dengan Alin dan Wawa yang begitu ralit menonton, sekejap-sekejap terdengar suara jeritan mereka berdua memecah suasana.

Psst... Azlie... Perempuan berangan tadi tu ada bawah kitalah. Selang sebaris dari tempat kita,” bisik Rabunah di cuping telinga Azlie.

“Oh, ini peluang terbaik! Aku ada idea bombastik punya! Mahu dengar? He he he.” jawab Azlie sambil memetik jari. Keningnya terangkat nakal. Rabunah menayang muka tidak faham.

“Idea? Kau nak buat apa? Kau jangan nak macam-macam, Azlie. Tak pasal-pasal, perempuan tu libas kau dengan rambut kejung dia nanti.” Rabunah memberi amaran awal. Dia seperti sudah terhidu-hidu idea bombastik yang mahu dilakukan kawan baiknya itu. Azlie kalau bab mengenakan orang, nombor satu!

“Idea ni aku bagi tema, ‘Keserian terserlah dengan Pantene’. Ha ha ha!” Azlie ketawa besar. Sekaligus mengundang kemarahan penonton-penonton lain yang barangkali terganggu dengan gelaknya yang tiba-tiba itu. Cepat-cepat Azlie menutup mulutnya dengan kedua-dua belah telapak tangan. Dan kemudian, dia pun berbisik kepada Rabunah akan idea yang tidak sabar-sabar dia mahu laksanakan itu.

Rabunah tersengih sambil terangguk-angguk mendengar bisikan rancangan Azlie di sebelahnya. Orang lain sibuk menonton wayang, dua sahabat ini lain pula ceritanya. Perlahan-lahan Azlie menyusup turun dari tempat duduknya. Berjalan itik lelaki itu ala-ala skuad komando hendak menjalankan misi khas mereka. Alin dan Wawa masih dalam dunia seram mereka, tidak menyedari akan apa yang dibuat oleh Rabunah dan Azlie.

Sebaik saja kelibat hantu muncul di layar pawagam, hampir seluruh penonton di panggung itu menjerit tersentak. Dan pada waktu inilah Azlie bertindak. Popcorn saiz besar yang dibawanya itu dicurahkan ke kepala Natasha dan dengan pantas Azlie menyelinap ke tempat duduknya semula. Rabunah menutup mulut menahan ketawa. Bertepuk tampar dua sahabat itu.

Dari atas, Rabunah dan Azlie memerhatikan perempuan itu terjerit-jerit seperti kena kerasukan. Suasana dalam panggung yang gelap samar-samar itu menyebabkan Natasha tidak tahu siapa yang menyerkupkan bekas popcorn ke atas kepalanya. Muat-muat menutup seluruh kepalanya. Bukan saja Rabunah dan Azlie ketawa berdekah-dekah tetapi penonton yang lain juga turut terkekeh-kekeh. Akibat malu, perempuan itu berlari keluar dari panggung diekori susuk lelaki yang barangkali teman lelakinya.

“Agak-agak berdosa tak kita buat dia macam tu, Una? He he he!”

“Tak apa. Itu balasan di dunia namanya. He he he!”

Rabunah dan Azlie berbisik sesama sendiri. Bahu mereka bergoncang-goncang menahan ledakan tawa yang pasti akan diingatinya insiden itu sampai bila-bila. Tamat saja filem, tawa mereka bersambung di luar panggung. Alin dan Wawa yang tidak tahu hujung pangkal, memandang sesama sendiri kehairanan. Apa yang sudah terjadi dengan dua kawan mereka ini? Orang lain menonton filem seram, menggeletar ketakutan tetapi mereka ketawa terbahak-bahak.

“Kau orang berdua ni kenapa? Ketawa tak ingat dunia! Kita bukan tengok Senario The Movielah!” tegur Alin yang semakin tidak faham dengan gelagat Rabunah dan Azlie yang bukan saja tidak menjawab soalannya tetapi terus-terusan memburaikan tawa.

Sampai di stesyen LRT untuk pulang, Alin dan Wawa terpaksa berpisah dengan Azlie dan Rabunah kerana mereka harus mengambil laluan tren yang bertentangan. Azlie dan Rabunah pula akan turun di stesyen yang sama.

Thank you very much Azlie! You really make my day! Ha ha ha!”

“Ha ha ha! Kan best kalau kita dapat curi-curi tangkap gambar perempuan tu waktu kepala dia tengah serkup dengan bekas popcorn tu. Boleh upload dalam Facebook jadi bahan lawak!”

“Tahu takpe! Mesti melekit-lekit rambut dia kan dengan popcorn-popcorn tu. Memang terbaik dari ladanglah kau punya rancangan tadi! Memang ikut tema sungguh! ‘Keserian terserlah dengan Pantene’ sangat! He he he!”

Hilang segala kemurungan yang tersimpan dalam hati Rabunah sejak semalam. Sungguh dia berasa gembira keluar dengan kawan-kawannya hari ini. Sampai ke telinga dia tersenyum lebar. Malam ini dia boleh tidur dengan puas! Tidak perlu lagi memikirkan kekurangan diri yang ada pada dirinya apatah lagi hendak membandingkan dirinya dengan Natasha atau perempuan-perempuan lain. Bak kata Azlie, semua orang unik! Kalau semua orang sama, clichenya dunia!

Rabunah yang sekejap-sekejap tergelak kecil mengenangkan peristiwa di dalam panggung tadi, tiba-tiba mengaduh sakit. Dia yang beberapa langkah saja lagi hendak sampai ke pagar rumah, terasa dahinya perit tidak semena-mena. Rabuna meraba-raba bahagian yang sakit itu, berdarah sedikit. Langsung hilang mod ketawanya tadi.

“Ceh, ni mesti kena batu terpelanting ni!” rungut Rabunah, menceceh seorang diri. Telahannya tepat apabila mendapati ada seorang pekerja majlis perbandaran barangkali, sedang memotong rumput di kawasan berdekatan. Batu kecil yang melantun ke dahi Rabunah, berpunca dari sana. Terdiam menahan pedih, terdetik dalam hati Rabunah akan sesuatu.

“Itulah kau, Rabunah. Asyik sangat gelakkan orang, buat dajal dengan orang... Nah, sekali Allah bagi cash! Nasiblah batu hikmat yang mendarat ke dahi ni, kecil aje saiznya. Astaghfirullahalazim,” Rabunah mentarbiah diri sendiri. Insaf sekejap perempuan itu. Sambil mengurut-urut dahi yang sakit, didatangkan di dalam kepalanya satu potong hadis Nabi yang pernah dibacanya dulu. Waktu-waktu beginilah, boleh pula ingatannya sampai ke situ. “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi).

Rabunah tertelan air liur dibuatnya!
Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.