Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
235,928
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17

Dzulkarnain terjenguk-jenguk dari dalam keretanya, melihat kalau-kalau ada kelibat Natasha di luar. Dia melihat jam yang melingkar di pergelangan tangannya. Sudah suku jam melepasi pukul lima, seharusnya di waktu petang-petang ini, tidak ke taman untuk bersukan, dia akan ke gimnasium. Tetapi pada hari ini, dia terpaksa melengahkan rutinnya gara-gara hendak mengelak dari terserempak dengan Natasha yang sibuk hendak mengikutnya. Lebih tiga kali panggilan dari perempuan itu diterimanya di telefon bimbit, berulang kali itulah Natasha mengingatkan supaya dia menunggu di luar pusat sukan yang biasa lelaki itu pergi.

Sengaja Dzulkarnain memarkirkan keretanya sedikit jauh dari pusat sukan itu, tidak mahu Natasha menyedari kenderaannya. Sudah cukup pasti Natasha tidak kelihatan di mana-mana, lekas saja Dzulkarnain keluar dari perut kereta dan lebar-lebar langkahnya menuju ke pusat gimnasium. Lelaki itu sudah siap-siap sedari tadi, bertukar baju pejabatnya pada baju sukan. Seperti peluru berpandu, Dzulkarnain berjalan laju. Masuk saja ke dalam, terpempan lelaki itu apabila melihat susuk tubuh belakang seorang perempuan yang tidak susah untuk diagak siapa orangnya. Siapa lagi yang suka berpakaian tidak cukup kain kalau bukan Natasha Giselle!

Tidak sempat Dzulkarnain melarikan diri, tubuh itu sudah berpusing dan terpandang akan dirinya. Spontan lelaki itu menepuk dahi. Mana lagi tempat dia harus bersembunyi untuk lari dari diekori? Sudahnya, terpaksalah dia reda. Kalau diikutkan, boleh saja dia tidak datang ke pusat gimnasium pada hari ini tetapi seboleh-bolehnya dia tidak mahu tertinggal rutin kelas senamannya. Sayanglah pula kalau sudah bayar mahal-mahal dan sewenang-wenangnya tidak hadiri. Pada petang ini dia akan mengikuti kelas Bodyvive. Bodyvive merupakan senamrobik menggunakan tali regangan dan bola getah yang banyak pergerakannya.

“Ha! Dah sampai pun! Kenapa lambat?” sergah Natasha sambil memperbetulkan skirt sukannya yang pendek. Seperti sengaja pula hendak menayangkan gebu pehanya untuk tatapan percuma khalayak ramai. Dzulkarnain yang terpandang, tertelan air liurnya. Bukan sebab tergoda tetapi dia pula yang terasa malu. Malu kerana Natasha sudah meletakkan martabatnya sebagai wanita jatuh ke bawah dengan pemakaian seksinya itu.

“Tak boleh ke you pakai sport trouser, sakit mata I menengoknya!” selamba saja Dzulkarnain menegur. Tetapi teguran itu seperti biasa tidak membawa makna. Seperti mencurah air di daun keladi.

“Eleh, sakit mata konon! Macamlah I tak nampak, mata you ke situ juga kan? Ha ha ha. Dah lah, tak payah nak membebel. I ikut jadual you, exactly the same! So, kelas yang kita hadiri pun sama. Jom masuk, instructor dah tunggu tu.” usul Natasha lantas mencapai pergelangan tangan Dzulkarnain dan menariknya. Kurang senang sungguh lelaki itu dengan tindakan Natasha yang baginya biadap. Tetapi Natasha tidak kisah. Dia hendak bermanja, dan itu caranya!

Sebaik kaki melangkah masuk ke dalam kelas senamrobik itu, beberapa teman yang Dzulkarnain kenal akan wajah-wajah mereka, sudah bersedia untuk melakukan aktiviti bersama. Dinding cermin di hadapan, menambahkan lagi keadaan dan ruang di dalam bilik itu tampak luas dan besar. Mister Isaac, pengajar yang berasal dari negara Kanada itu sudah memasang muzik. Lazimnya kalau kelas Bodyvive bermula, pasti ada muzik rancak sebagai latarnya.

Dzulkarnain yang baru hendak mengambil tempat di bahagian depan, barisan pertama dan paling kanan sekali, disapa teman yang berdiri tidak jauh di belakangnya. Dzulkarnain menoleh. Ezir, pemuda yang suka benar bermanis mulut menegurnya saban kali berjumpa di pusat gimnasium itu. Dia hanya endah tidak endah saja melayan sembang dengan pemuda berkenaan, tidak dilayan, tidak baik pula.

“Hai Nine, you bawa siapa ni? Kekasih you ya? Atau tunang you?” Ezir yang memakai singlet putih ketat memperlihatkan bentuk sasa tubuhnya dan bertindik di telinga kiri itu memandang Natasha dari atas ke bawah. Meluap rasa bangga Natasha sampai ke muka. Yalah, dikatakan tunang Dzulkarnain, siapa tidak suka! Namun rasa megah yang tercetus tiba-tiba mati serta-merta bila mana melihat lelaki itu menjeling tajam kepadanya dengan pandangan menyampah! Eh, apa hal pula lelaki ini? Dia ingat jeling dia seorang saja boleh, belum tengok aku jeling lagi. Siap aku ludah muka kau sekali! Natasha menceceh dalam hati. Meluat!

Meet my friend, Natasha. Natasha... Ezir. Ezir... Natasha.” Dzulkarnain saling memperkenalkan mereka berdua. Dua-dua tidak menghulur salam. Masing-masing menarik muka masam. Dzulkarnain yang di tengah, menjadi hairan dengan tingkah kedua-duanya. Baru pertama kali bersua muka, masakan sudah tercipta sengketa.

You kenal ke dengan budak Ezir tu?” tanya Dzulkarnain sebaik pemuda itu kembali ke tempatnya. Kelas masih belum bermula, menunggu seorang dua lagi yang belum masuk, barangkali sedang menukar pakaian.

“Jantan macam tu, tak perlu kenal pun I dah tahu! Tengok cara dia dress up, dah tercop di dahi dia tu jantan sesuatu! You kena berhati-hati dengan budak tu, dear! Sekarang, lelaki ramai yang dah bengkok!” pesan Natasha, bunyinya seperti mak cik-mak cik memberi nasihat. Dzulkarnain tergelak kecil. Gelihati pula dirasakannya kerana yang memberi nasihat pun, bukan boleh dipercaya sangat! Ah, dia tidak pernah mengambil pusing pun tentang gaya hidup lelaki yang sepanjang masa kelihatan stailo itu. Tambahan pula, lelaki berdarah campuran Cina Inggeris dan berasal dari Sabah itu bukannya beragama Islam. Ezir seorang ateis. Terkadang pada kelazimannya, lelaki metroseksual sering disalah anggap sebagai seorang lelaki homo. Jadi, dia tidak mahu berburuk sangka.

Muzik rancak yang tadinya dipasang perlahan, kini sudah dikuatkan. Kelas Bodyvive bermula sebaik Mister Isaac sudah berdiri di tengah dan memberi isyarat dengan petikan jarinya. Sedang yang lain menumpu perhatian mengikut rentak pergerakan Mister Isaac di depan, lain pula ceritanya dengan Natasha. Otaknya menerawang akan syarat-syarat bomoh bernama Tok Biang yang perlu dipenuhi kalau mahu merealisasikan impiannya yang satu itu. Impian untuk menundukkan Dzulkarnain, jatuh ke tangannya!

“Kau bawa helaian rambut dia, paling kurang tiga helai dan... satu baju dia yang lencun dengan peluh dia. Lagi cepat kau bagi aku, lagi cepatlah hajat kau tercapai.”

Dan disebabkan ketetapan yang dibuat Tok Biang itulah, kepalanya seperti mahu pecah hendak memikirkan jalan yang paling selamat dan terbaik untuk mendapatkannya. Farihna ada memberinya idea ketika dalam perjalanan balik dari rumah bomoh tua itu tetapi idea yang diberi tidak menjanjikan apa-apa. Dia masih ingat akan kata-kata teman rapatnya itu bagi menjayakan rancangan tersebut.

“Aku ada idea! Kau pernah beritahu aku yang Dzulkarnaintu memang suka bersukan, bukan? Bersukan mengeluarkan peluh. Jadi, apa susahnya? Kau rembat sajalah baju yang dia pakai tu!” cadang Farihna kononnya mahu membantu tetapi menambahkan lagi kekusutan sedia ada.

“Itu aku tahulah. Tapi masalahnya sekarang, macam mana nak dapatkan baju dia? Takkan aku nak suruh dia tanggalkan baju dia untuk aku? Takkah gila namanya tu!” bidas Natasha mempersoalkan.

“Itu pandai-pandailah kau cari jalan. Aku tahu otak kau geliga! Good luck, Natasha Giselle!” ucap Farihna yang tidak langsung membantu. Sekadar ucap selamat berjaya secara lisan, siapa-siapa pun boleh! Geram pula Natasha dibuatnya, seperti sinis saja nada suara teman rapatnya itu.

“Natasha, you mahu exercise atau berangan ni? Kalau nak berangan, lebih baik you balik je.” tegur satu suara membuatkan dirinya yang mengelamun tadi kembali sedar. Sedar tidak sedar, sudah satu jam mereka bermandi peluh mengikuti senamrobik itu yang pada mata kasarnya, tampak mudah tetapi hakikatnya, tidaklah begitu. Natasha mengurut-urut kakinya, sakit-sakit dirasakannya. Dzulkarnain tersenyum menyindir. Rasakan! Mahu lagi ikut aku! Bersenamnya jarang sekali! Kutuk lelaki itu dalam hati.

Biasanya, selepas selesai bersenam, Dzulkarnain akan mandi terlebih dulu sebelum pulang. Rimas kalau dibiarkan badan yang berpeluh itu mengering sendiri dek angin penghawa dingin dalam kereta. Bilik sauna juga jakuzi yang disediakan oleh pusat gimnasium itu, dimanfaatkan sepenuhnya. Dzulkarnain mengambil tuala dari pekerja di pusat itu dan mengatur langkahnya untuk membersihkan diri. Natasha yang ditinggalkan di belakang, terkocoh-kocoh mengejar lelaki tersebut.

“Dzulkarnain...! Tunggulah I!” rengek Natasha, manja. Terdengkot-dengkot kaki perempuan itu cuba mendapatkan Dzulkarnain yang sudah keluar dari bilik itu menghala ke arah yang lain.

I nak mandi kejap. You datang sini naik kereta you sendiri kan? You boleh balik dulu, tak perlu tunggu I.” putus Dzulkarnain dan terus saja menghilang kelibatnya memasuki bilik sauna. Natasha mencari-cari jalan hendak mencuri masuk. Inilah masanya! Dia mahu menyelinap ke dalam, mahu mengambil baju singlet lelaki itu yang lencun dengan peluh. Tetapi dia buntu bagaimana caranya. Argh!

Menyorok Natasha di balik mesin minuman automatik bila mana tiba-tiba saja datang seorang pekerja di pusat gimnasium itu melintasi bilik sauna tersebut. Tidak berkutik dirinya bersembunyi di situ, khuatir kalau-kalau kelibatnya di hadapan bilik itu mendatangkan curiga dan disedari oleh orang lain. Silap-silap dihalau pula dari pusat sukan itu kerana dituduh mengendap lelaki di bilik sauna. Buat malu saja nanti!

Natasha mengintai pekerja yang baru lalu itu, dan akalnya serta-merta terfikirkan sesuatu. Pekerja yang memakai uniform kemeja berwarna hijau cair itu bukan orang tempatan. Sekilas pandang raut wajahnya saja sudah boleh diagak dari negara mana dia berasal. Kalau bukan Bangladesh, Pakistan, tidak pun Nepal. Natasha meluru mendapatkan pekerja lelaki itu, bibirnya sudah tersenyum sinis. Dia hendak mempergunakan lelaki berbangsa asing tersebut untuk menjayakan rancangannya. Lagi pula, lelaki itu diamatinya seperti lurus bendul saja lagaknya. Lagi besarlah peluang untuk dia memanipulasi lelaki terbabit.

“Hey kau! Ya, kau. Mari sini!” panggil Natasha, nadanya seperti memerintah tetapi masih terkawal julat suaranya.

“Ada apa puan?” teragak-agak pekerja lelaki itu membalas, jelas dari telor sebutan bahasanya itu menandakan dia bukan dari rumpun Nusantara. Seperti baru belajar bahasa Melayu saja bunyinya.

“Siapa nama kau?” soal Natasha garang.

“Ajay... puan,” jawab pekerja lelaki itu takut-takut. Lelaki itu cuma seorang pencuci di pusat gimnasium tersebut. Sudah tugas dia setiap malam untuk membersihkan mana-mana bahagian di dalam pusat gimnasium tersebut sebelum pusat itu menutup waktu operasinya beberapa jam saja lagi.

“Oh, Ajay. Nama hendak Bollywood, tapi muka serupa Tamil film superstar... Ha ha ha!” Natasha sempat lagi tergelak besar. Lelaki di hadapannya itu turut tersenyum-senyum, entahkan faham entahkan tidak maksudnya. Hakikatnya, Natasha bukan memuji tetapi mengeji. “Ajay, kau mahu duit? Aku bagi kau dua ratus ringgit, banyak ni! Mahu tidak?” sambung Natasha cuba mengumpan pekerja lelaki itu yang terbuntang matanya melihat duit not RM50 sebanyak empat keping dikipas-kipaskan di mukanya. Bau duit yang seperti baru keluar dari mesin ATM itu membuatkan lelaki itu terangguk-angguk seperti orang dungu. Yalah, siapa yang tidak mahu kalau diberi duit sewenang-wenangnya begitu saja.

“Aku akan bagi kau duit ni pada kau dengan satu syarat. Sini kau!” Natasha menarik pergelangan tangan pekerja lelaki itu ke satu sudut yang sedikit tersembunyi dari laluan dan pandangan umum. “Kau masuk dalam bilik sauna tu dan kau ambil baju singlet yang lelaki dalam handphone ni pakai dan cepat-cepat keluar bagi pada aku. Senang saja tugas kau. Kau boleh buat tidak?”

Gambar Dzulkarnain yang terpapar di skrin telefon bimbit Natasha, diperhati lama oleh lelaki bernama Ajay itu. Barangkali hendak mengecam wajah lelaki yang dimaksudkan perempuan di hadapannya itu. Telefon bimbit itu kemudiannya diserahkan semula kepada Natasha.

“Kau faham kan apa yang aku suruh kau buat ni?” soal Natasha mahukan kepastian lalu disambut dengan anggukan. “Sekarang, kau pergi cepat! Aku tunggu kau di sini!” Natasha menolak tubuh lelaki itu dan mengharap segala-galanya akan berjalan dengan lancar dan sempurna. Dia melihat Ajay sudah masuk ke dalam bilik sauna lelaki tidak jauh dari tempat dia berdiri, hatinya melonjak gembira. Tidak lama lagi, apabila semua syarat Tok Biang dapat dipenuhi, Dzulkarnain akan menjadi hak milik total dirinya! Oh, sungguh dia tidak sabar menantikan saat-saat itu berlaku!

Lima minit berlalu, Ajay berlari-lari anak keluar dari bilik sauna itu dan di tangan lelaki itu, sehelai baju singlet yang basah sudah siap-siap dimasukkan ke dalam sarung plastik jernih. Teruja bukan kepalang Natasha dibuatnya apabila melihat baju singlet milik Dzulkarnain sudah dalam genggaman. Tidak sia-sia dia meminta bantuan dari lelaki bernama Ajay itu meski melayang duit sebanyak dua ratus ringgit dalam sekelip mata. Selepas duit bertukar tangan, Natasha terus saja keluar dari pusat gimnasium itu dan memasuki perut kereta.

Di dalam keretanya, dia bersorak girang! Nombor telefon Farihna ditekannya segera. Mahu berkongsi berita gembira! “Weh, Rihna! Aku dah dapat! Aku dah dapat! Ha ha ha!” tiada sebarang sapaan ‘Hello’ di awal ucapnya, Natasha tidak bertangguh-tangguh menyampaikan kejayaan misinya hari ini. Farihna di hujung talian sebelah sana, terpinga-pinga. Apa yang kawannya itu dapat?

“Dapat? Apa yang kau dapat, Tasha?”

“Baju Dzulkarnain! Peluh jantan lagi you all!” Natasha sekali lagi tertawa senang hati. Farihna sedikit terperanjat, tidak menyangka begitu cepat kawannya itu dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Tok Biang. Farihna tidak mahu bertanya bagaimana Natasha berjaya mendapatkannya, kerana dia tahu Natasha kalau sudah mahukan sesuatu, dia akan mengusahakannya sungguh-sungguh. Apatah lagi kalau berkaitan dengan lelaki dambaannya yang bernama Dzulkarnain itu, kadang-kadang sampai naik jelak dia mendengar nama lelaki itu meniti di bibir kawannya itu setiap kali berjumpa. Dzulkarnain itulah, Dzulkarnain inilah... atau mungkin dia berasa cemburu?

Yalah, Dzulkarnain lelaki yang memenuhi kriteria setiap perempuan. Berwajah tampan, bertubuh kekar, dan paling penting berharta! Siapa tidak mahu bergolok gadai demi meraih cinta dari lelaki itu. Benar, ada kalanya terlintas dia hendak memotong jalan tetapi biarlah dia merangka satu demi satu. Biar lambat asalkan dapat! Dalam tidak sedar, Farihna tersungging senyum penuh muslihat.

Oh really! Habis, syarat yang lagi satu macam mana?” tanya Farihna berbasa-basi.

“Itu coming soon! Ha ha ha! Meanwhile, aku nak nikmati kejayaan aku yang ini terlebih dulu. Jom Rihna, aku belanja kau minum-minum! Aku jemput kau di rumah, ya!” tanpa mendengar jawapan ya atau tidak dari Farihna, Natasha sudah mematikan talian. Pemanduannya dihalakan menuju ke rumah Farihna, dia hendak menjemput satu-satunya teman yang paling rapat dengannya sejak dulu lagi. Kawan yang sebenarnya menikam dari belakang tanpa dia sedar!

Natasha menjerit puas di dalam kereta. Dan dalam masa yang sama, seorang lelaki menjerit geram apabila menyedari pakaian yang disangkut beberapa minit tadi, entah ke mana lesapnya!

Damn! Where the hell did my shirt go?”

“Ezir, what’s wrong?” tanya satu suara.

“Singlet aku! Hilang!”
Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.