Home Novel Cinta Pudina Cinta
Pudina Cinta
A. Darwisy
2/11/2012 01:20:57
235,821
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

Petang itu Rabunah sudah berjanji dengan tiga sekawannya yang lain untuk beriadah di Taman KLCC. Menurut Azlie, Wawa dan Alin yang merancang dan mengajak mereka semua untuk ke sana kerana sudah lama tidak bersukan dan mengeluarkan peluh. Cuaca pula nampaknya baik-baik saja, tidak panas malah redup berangin saja suasananya. Sesuai untuk melakukan aktiviti santai seperti berjoging atau sekadar berjalan kaki menghirup udara petang. Rabunah melihat jam tangannya, janji pukul 6:00 petang tetapi pukul 5:30 lagi, dia sudah berada di taman itu.

Alang-alang menunggu Azlie, Wawa dan Alin sampai, Rabunah duduk-duduk di tempat rehat yang disediakan di sepanjang laluan jalan kaki. Plastik Cold Storage yang dijinjing tadi, dikeluarkan isi dalamnya. Set sushi yang dibeli dari pasaraya dingin beku itu, memang menjadi kegemarannya. Lagi-lagi salmon sushi nigiri dan dimakan sekali dengan secubit wasabi. Tangan kanan menyuap makanan ke dalam mulut, tangan sebelahnya pula menyelak halaman sebuah buku berjudul Kiss Your Dentist Goodbye tulisan Dr. Ellie Phillips yang dibawanya sekali.

“Assalammualaikum...” sapa satu suara memberi salam. Rabunah yang ralit membaca, mengangkat wajahnya memandang ke atas. Terkebil-kebil mata perempuan itu cuba mengecam akan wajah sesusuk tubuh yang berdiri di hadapan, tersenyum menatapnya. “Ingat saya lagi?” sambung suara itu lagi memaksa otak Rabunah bekerja keras untuk mengingati.

“Waalaikumusalam. Err... awak lelaki bisu hand...” mati ucapnya di situ saja. Rabunah tidak meneruskan ayatnya, memanggil akan gelaran yang diberi kawan-kawannya terhadap lelaki itu. Benarlah, pemilik suara yang menegurnya itu adalah pelanggan lelaki yang selalu singgah di kedai serbaneka, tempat mereka bekerja. Seingat Rabunah, sebelum ini dia pernah bersua secara tidak sengaja dengan lelaki itu di kedai buku dan pada hari ini, sekali lagi mereka dipertemukan tanpa dirancang-rancang.

“Lelaki bisu?”

“Err...abaikan apa yang saya cakap tadi. Ya, saya masih ingat awak. Awak yang minat baca buku komik tu kan?” balas Rabunah, ramah bunyinya tetapi sekadar menghormati akan sapaan salam yang diberi lelaki itu kepadanya tadi. Lelaki itu tersenyum lagi, kali ini lebih manis leretannya. “Awak buat apa dekat sini?” soal Rabunah menyembunyikan rasa gugup di hati.

“Petang-petang memang saya suka berjoging di taman ni. Cadang hendak berehat kejap di pondok ni, kemudian ternampak pula awak sedang asyik membaca buku. Maaflah kalau saya mengganggu. Buku apa yang awak baca tu?” terang lelaki itu, tidak lekang dengan senyuman ikhlasnya. Rabunah semakin laju pula degup jantungnya. Lekas saja dia melarikan anak matanya dari terarah memandang riak bersih wajah lelaki yang lunak menatapnya.

“Buku ni...” jawab Rabunah lalu menunjukkan muka depan buku yang dipegangnya itu kepada lelaki tersebut. “Baru nak mula membaca,” tambah Rabunah lagi sambil mengharap tiada lagi soalan yang diaju lelaki yang tidak dikenali namanya itu lagi. Masakan dia pula yang mahu bertanya?

Dentistry student ya?” tanya lelaki itu lalu dibalas anggukan Rabunah. “Kesedaran masyarakat kita dalam menjaga gigi sudah lebih baik berbanding dulu. Ramai yang tak tinggal untuk jalani rutin pemeriksaan gigi dua kali dalam setahun. Tapi ramai juga yang tak tahu, selain penjagaan gigi yang sempurna, pengambilan makanan juga sama pentingnya. Seperti contoh, pengambilan kerap buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan berserat dapat menyihatkan gigi. Kandungan xylitol dalam fiber yang ada pada buah dan sayur dapat menghalang pertumbuhan bakteria streptococcus mutans yang menyumbang kepada kerosakan gigi. Sebab itu, sekarang ini banyak ubat gigi di pasaran mengkomersialkan xylitol bagi melariskan produk mereka,” terang lelaki itu bersahaja membuatkan Rabunah terjeda.

“Err... banyak awak tahu tentang dental care?” tanya Rabunah kehairanan. Bukan sembarangan orang yang boleh tahu tentang istilah-istilah pergigian seperti yang diterangkan lelaki itu tadi. Rabunah menjarakkan dirinya sedikit bila mana lelaki yang berpijama sukan dan tergantung sehelai tuala putih di lehernya, duduk melepas lelah di pondok rehat itu. Peluh yang membasahi dahi lelaki tersebut kering dengan sendiri disapu angin petang yang nyaman sekali.

“Tidaklah banyak yang saya tahu cuma saya suka membaca. Dan buku yang ada di tangan awak tu, antara buku yang pernah saya baca. Tulisan Dr. Ellie Phillips banyak bercerita tentang apa yang saya cakap tadi. Sedapnya sushi!” ujar lelaki itu barangkali memilih untuk mengubah topik perbualan. Rabunah segan-segan pula hendak menyua paket sushi itu kepada lelaki yang duduk berhampiran dengannya. Mahukah dia?

“Ambillah satu...” pelawa Rabunah teragak-agak. Lelaki itu tersenyum menampakkan barisan giginya yang putih, cantik tersusun. Lelaki itu dengan cermat mengambil sepotong sushi itu lalu disuapkan ke dalam mulut.

“Okeylah, kita jumpa lagi. Terima kasih ya untuk sushi tadi. Saya sambung larian saya. Assalammualaikum.” ucap lelaki itu mengakhiri perbualan. Sekejap saja kelibat susuk lelaki itu menghilang di balik pemandangan hijau di taman tersebut. Rabunah tersengih sendiri tiba-tiba. Entah kenapa hatinya rasa senang sekali.

Beberapa meter di hadapan, tidak jauh dari pondok rehat itu, tiga pasang mata terbeliak menyaksikan drama sebabak yang membuatkan rahang mulut masing-masing ternganga sampai ke bawah. Wawa, Alin dan Azlie melopong tidak percaya! Rabunah dengan lelaki bisu handsome sedang duduk berdua-duaan! Dunia mahu kiamatkah? Berlari-lari anak ketiga-tiga mereka menghampiri Rabunah yang masih tersenyum seorang diri.

“Rabunah...!” jerit Azlie membuatkan Rabunah tersentak.

“Kalau iye pun, janganlah panggil nama penuh aku sampai satu taman KLCC ni boleh dengar!” balas Rabunah pura-pura marah. Ketiga-tiga kawannya yang lengkap berpakaian sukan, duduk mengelilinginya dengan pandangan yang sukar sekali untuk Rabunah tafsirkan. Apakah mereka nampak apa yang berlaku tadi? Habislah aku jadi bahan! Bisik resah hati Rabunah.

“Dah lama kau sampai, Una?” tanya Azlie memulakan bunga-bunga sembang. Lelaki itu mengenyitkan mata pada Wawa dan Alin yang masing-masing menjongketkan kening. Ketiga-tiga mereka ibarat berkongsi bahasa rahsia. Rabunah menyedari akan pakatan sulit kawan-kawannya itu.

“Setengah jam awal. Tadi dekat rumah aku, cuaca macam nak hujan. Itu yang aku keluar awal sikit.” jawab Rabunah jujur kerana itulah yang sebetulnya.

“Ecececeh... bukan ada temujanji dengan kekasih hati ke?” soal Azlie mula mengusik Rabunah yang sebolehnya cuba berlakon selamba. Wawa dan Alin sudah berdeham-deham, sambil mencuit-cuit sesama sendiri. “Alah Una, tak payah nak cover line. Kita orang tak marah pun, tumpang gembira adalah. He he he.” sakat Wawa pula disertai anggukan laju Alin yang tersengih-sengih seperti kerang busuk.

“Kau orang cakap apa ni? Aku tak fahamlah,” dalih Rabunah sedangkan dia sudah dapat membaca akan usikan kawan-kawan baiknya itu. Pastinya tadi, mereka nampak segala-galanya. Manalah aku hendak meletak muka? Adoi!

“Tak faham ke buat-buat tak faham? Sejak bila kau boleh rapat dengan lelaki bisu handsome pujaan kami tu? Standard artis kau kan, pandai sembunyikan hubungan cinta. Ha ha ha.” serang Alin sambil tergelak-gelak. Namun gelak yang dibuat-buatnya itu kedengaran seperti orang cemburu saja bunyinya. Wawa dan Azlie sudah menggoncang-goncang bahu Rabunah, memaksa perempuan itu bercerita dengan lebih terperinci akan apa yang dilihat mereka tadi.

“Ya ALLAH, korang ni. Bila masa pulak aku ada cintan-cintun dengan mamat tu?” nafi Rabunah hendak mengelak diri. Takut pula asyik disebut-sebut yang dirinya jatuh cinta, betul-betul pula menjadi kenyataan. Memang bernasib malanglah lelaki yang menjadi kekasihnya itu.

“Boleh percaya ke ni? Habis, siap bersuap-suap segala tu? Ha ha ha!” tambah Azlie mensensasikan lagi keadaan.

“Gediklah kau, Azlie. Pandailah kau menambah cerita! Tak baik tau buat fitnah. Okeylah aku cerita dari mula. Aku tak mahu dalam kepala kau orang ada gambaran bukan-bukan pulak. Bukan aku tak tahu, masing-masing otak kuning,” hujah Rabunah menyebabkan suasana gamat dengan gelak tawa mereka berempat. Wawa, Alin dan Azlie teruja memasang telinga. Rabunah menceritakan satu demi satu detik-detik yang barangkali manis untuk disimpan kejap dalam hatinya tanpa siapa-siapa pun mengetahui.

“Aku rasalah kan... kau dengan lelaki bisu handsome tu dah tertulis jodoh untuk bersama. Kalau tidak, kenapa dalam ramai-ramai orang di taman KLCC ni, dengan kau pulak dia boleh terserempak? Kau tak sedar ke Tuhan dah tunjukkan sesuatu pada kau?” provokasi Azlie, sengaja mahu menduga perasaan Rabunah yang masih lagi bijak berlagak tenang.

“Banyaklah kau! Malas aku nak layan. Ha! Kata mahu jogging? Ini dari tadi dok pot pet pot pet, apa kes?” cantas Rabunah lalu menyimpan buku dan tuala putih di dalam beg selempangnya. Manakala plastik sushi yang sudah habis itu dibuang ke dalam tong sampah. Perempuan itu sudah berdiri membuat senaman ringan, memanaskan badan sebelum berlari. Azlie, Wawa dan Alin turut sama melakukan senaman regangan. Empat sahabat itu berlari senada mengikut rentak alunan bayu.

“Una, kau ada tanya nama lelaki bisu handsome tu tak?” tanya Azlie yang berlari di sebelah Rabunah, bergosip tidak sudah-sudah.

“Lah, tak habis lagi cerita mamat tu? Manalah aku tahu! Aku tak tanya pun. Dia pun tak perkenalkan diri dia,” jawab Rabunah cuba mengambil nafas. Bercakap sambil berlari membuatkan dia sedikit tercungap-cungap.

“Kenapa kau tak tanya, Una? Kau ni pun satu! Senang-senang je lepaskan peluang keemasan. Paling tidak, kau ambillah nombor telefon dia. Boleh sms-sms. Tak pun, tanya nickname Facebook dia. Boleh kami semua add dia. He he he.” tambah Alin pula, merenyam tidak habis. Geram Rabunah diasak dengan kenakalan kawan-kawan baiknya itu yang memang suka mencari peluang untuk mengenakannya. Rabunah memecut lariannya lebih laju, meninggalkan Azlie dan Alin di belakang. Wawa paling kasihan sekali, termengah-mengah tidak larat hendak mengejar. Sudahlah badan perempuan itu sedikit gempal dari yang lain. Baru berlari sedikit, sudah lencun tubuh bermandi peluh.

Rabunah ketawa kecil apabila melihat ragam Wawa, Azlie dan Alin yang tidak mampu lagi berlari, penghujungnya mereka berjalan kaki perlahan-lahan. Rabunah menunggu mereka di tengah-tengah jambatan yang melintasi tasik taman itu. Dalam pada itu, menyelinap rasa bangga bila mana menyaksikan kebanjiran pelancong-pelancong asing di taman itu yang rata-rata sedang mengambil gambar, barangkali mahu mengabadikan momen-momen indah berlatar belakangkan pancuran air menjulang tinggi dan menara berkembar Petronas yang gah memukau.

“Baru lari tak sampai beberapa minit, dah pancit semua. Apa daa? Ha ha ha!” perli Rabunah sebaik saja tiga sahabat itu menunjukkan muka. Berombak turun naik dada masing-masing kekurangan oksigen. Azlie yang baru tenang rentak nafasnya, kembali berantakan. Lelaki itu terkelu lidahnya tiba-tiba. Wawa dan Alin pun turut terkasima. Mereka bertiga seolah-olah dipukau akan satu kuasa. Tidak berkelip walau sepicing pun pandangan mata.

“Weh, korang ni kenapa?” tanya Rabunah lalu menggawang-gawangkan tangannya ke muka ketiga-tiga kawannya.

“Bbb...bbbelakang kau... Una...” jawab Alin tergagap-gagap. Matanya bersinar-sinar apabila susuk mapan yang sedang berlari itu semakin menghampiri mereka berempat.

“Belakang aku? Siapa?”

Rabunah berpusing tubuhnya dan denyut jantungnya automatik berdetak lebih cepat dari biasa. Aduh, lelaki ini hendak apa lagi?

“Maafkan saya. Ada awak terjumpa tuala putih saya, saya rasa tertinggal di pondok rehat tempat kita duduk tadi,”

“Tuala putih?” tanya Rabunah semula. Sekali lagi otaknya dikerah untuk bekerja keras. Rabunah baru teringat! Pantas saja dia membuka beg selempangnya dan menyelongkar isi dalamnya.

“Ya ALLAH, maafkan saya. Saya tak sengaja simpan tuala awak ni. Tadi saya kemas-kemas, semua benda saya masukkan dalam beg. Nah, ambillah balik tuala awak,” terang Rabunah yang sudah kalut, bimbang kalau-kalau lelaki itu memarahinya. Wawa, Alin dan Azlie masih statik, tidak ubah seperti patung lilin yang sedang kaku berdiri.

“He he he. Tak apa tak apa. Terima kasih mmm...” balas lelaki itu tetapi seperti tergantung saja ayatnya.

“Nama dia Una!” celah Azlie tiba-tiba. Rabunah menjegilkan biji mata. Lelaki budiman itu tergelak kecil. Murah betul dengan senyumannya.

“He he he. Terima kasih ya Una. Bye. Jumpa lagi.” sekali lagi kelibat susuk lelaki itu lenyap ditenggelami panorama hijau taman itu. Sebaik saja lelaki itu hilang dari pandangan mata, Wawa, Alin dan Azlie bagai diserang histeria. Menjerit ketiga-tiganya sampaikan beberapa pasang mata mencuri pandang mereka sekumpulan.

“Una...! Machonya suara dia...! Aku dah hampir-hampir nak rebah tadi!” Alin menggedik, siap dengan mimik-mimik mukanya sekali. Pura-pura meletak tangan di atas dahi dan berlakon pengsan.

Tough betul badan mamat tu kan? Sebelum ni, asyik hadap dia pakai office attire je. Nah, sekali dia pakai sleeveless, semua ketul-ketul tersembul. Ya ampun, tak tidur malam aku dibuatnya ni! Untungnya kau, Rabunah!” melambung-lambung Wawa memuji. Sengaja mahu mensensasikan keadaan. Masing-masing yang kelelahan kerana kepenatan berlari seketika tadi, kembali bersemangat tiba-tiba.

“Korang kalau lelaki tu, masing-masing hidup kan? Dah... dah... aku nak beli air mineral ni. Siapa nak ikut?” tanya Rabunah cuba melarikan diri dari terus mendengar imaginasi-imaginasi melampau kawan-kawan perempuannya itu. Azlie menawarkan diri. Wawa dan Alin masih lagi rancak bersembang, dan sudah tentu tajuk perbualan mereka adalah tentang lelaki tadi.

“Andai kata lelaki tu syok dengan kau... apa penerimaan kau, Una?” terpacul soalan cepumas keluar dari mulut Azlie. Rabunah ketawa besar. Soalan jenis apakah ini?

“Azlie... Azlie... kau ni pun dua kali lima sama dengan Wawa dan Alin. Perkara tu tak mungkin akan terjadi. Peratusnya aku rasa 0.001. Ha ha ha!” jawab Rabunah menggeleng-gelengkan kepala.

“Tapi dalam peratusan kecil 0.001 yang kau cakap tadi, potensinya tetap ada bukan? Tiada yang mustahil dalam dunia ni, Rabunah.” usik Azlie tersengih kerana dapat membuatkan Rabunah tertelan dengan kata-kata sendiri. Rabunah menjelirkan lidah. Kuasa dia hendak melayan!
Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.