Home Cerpen Fantasi Dino - sebuah fiksyen fantasi
Dino - sebuah fiksyen fantasi
A. Darwisy
26/10/2013 14:25:03
4,159
Kategori: Cerpen
Genre: Fantasi

Sekali lagi Lembah Lenggong menjadi tumpuan dunia. Bahkan dua orang pegawai atasan dari Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) turut menghadiri perbincangan tertutup yang diadakan kerajaan Perak bagi menjelaskan keadaan sebenar tentang apa yang ditemui. Sekumpulan pakar arkeologi juga paleontologi Universiti Sains Malaysia yang terlibat dalam penemuan menggemparkan ini dipanggil bagi memberikan hujah dan pendapat masing-masing. Lebih 3 jam mereka bersidang dan kemudiannya dua orang wakil dari pertubuhan antarabangsa itu dibawa ke tapak carigali.

Doktor Suraya mengekori dari belakang. Meski kepakarannya dalam disiplin ilmu antropologi tetapi berdasarkan pengalamannya dalam kes manusia bersayap tiga tahun dulu, profilnya dipandang tinggi. Malahan buah fikirnya dinanti-nanti. Profesor Malik, pakar sejarah negara yang mempunyai hubungan yang baik dengan Doktor Suraya, berlapis dahinya sedang memikirkan sesuatu. Doktor Suraya melambatkan sedikit langkahan kakinya bagi menyamai rentak tokoh sejarahwan itu.

“Prof fikirkan apa tu?”

“Betapa benarlah ayat-ayat ALLAH Subhana wa Taala,”

“Maksud prof?” Doktor Suraya menanti apa yang bakal keluar dari mulut lelaki yang begitu handal dalam bidangnya tetapi sentiasa tawaduk dan merendah diri.

“Behold! in the creation of the heavens and the earth; in the alternation of the night and the day; in the sailing of the ships through the ocean for the profit of mankind; in the rain which God Sends down from the skies, and the life which He gives therewith to an earth that is dead; in the beasts of all kinds that He scatters through the earth; in the change of the winds, and the clouds which they Trail like their slaves between the sky and the earth; (Here) indeed are Signs for a people that are wise.” Profesor Malik membaca terjemahan dari sepotong surah Luqman ayat 10. Lelaki yang sudah melepasi usia separuh abad itu berdiam diri untuk beberapa ketika sebelum menyambung hujahnya.

“Dabbah dalam Al-Quran membawa makna binatang yang besar. Berijtihadkan ayat ALLAH ini tidak mustahil apa yang kumpulan penyelidik kita temui sewaktu kerja-kerja pemetaan geofizik dua hari lepas...”

“Binatang prasejarah?” celah Doktor Suraya tidak sabar. Profesor Malik mengangguk. Pun begitu, itu cuma pandangan peribadinya saja.

“Perak Man yang ditemui di Lembah Lenggong ini pada tahun 1991, timelinenya 11,000 tahun yang lalu. Itupun sudah menggemparkan dunia arkeologi, apatah lagi yang ini. Apa pandangan Suraya?”

“Saya cuma berharap binatang itu tidak wujud lagi di zaman sekarang, Prof...” canda Doktor Suraya seraya tersengih. Profesor Malik ketawa lepas. Beberapa langkah lagi hendak sampai ke tapak eskavasi yang dikawal ketat oleh pihak berkuasa, tanah yang dipijak oleh mereka terasa bergegar bagaikan dilanda gempa bumi. Keadaan menjadi panik tiba-tiba .

“Gegaran apa tu?” tanya salah seorang daripada ahli kumpulan penyelidik yang sudah berasa cuak. Doktor Suraya tertelan air liur. Sempat hatinya berbisik, janganlah masin mulut aku tadi!

Langkah masing-masing terjebat. Mereka yang terdiri daripada 12 orang kesemuanya saling memandang sesama sendiri. Dan kali ini, gegaran kedua berlaku lagi. Ada yang terduduk ke tanah lantaran tidak dapat seimbangkan diri. Profesor Malik sempat berpaut pada dinding gua. Begitu juga Doktor Suraya. Hati kedua-duanya sudah berasa tidak enak. Apa mungkin ada penjelasan logik di sebalik bumi yang bergoncang ini?

“Nak teruskan masuk ke dalam ke, Prof?” bisik Doktor Suraya. Mereka sekarang ini betul-betul di depan Gua Gunung Runtuh yang merupakan lokasi tapak carigali berkenaan. Gua yang menjadi saksi kepada penemuan rangka manusia tertua yang pernah dijumpai di Malaysia.

“Kita tunggu beberapa minit dulu,” balas Profesor Malik lalu melekapkan cuping telinganya ke tanah. Mahu mendengar pergerakan tanah mengikut caranya. Mungkin berlakunya tanah longsor di kawasan berhampiran yang menyebabkan gegaran tadi. Putus Profesor Malik meski dia sendiri tidak pasti dengan teori bersifat hipotetikalnya itu.

Keadaan kembali reda dan kumpulan penyelidik termasuk Profesor Malik, Doktor Suraya dan wakil dari pertubuhan Unesco mengambil keputusan untuk terus masuk ke dalam gua. Beberapa orang dari Jabatan Muzium dan Antikuiti yang sudah berada di tapak carigali, menyambut kehadiran mereka semua. Penjelasan secara panjang lebar telah diberikan kepada pegawai-pegawai Unesco tentang perjalanan kerja di tapak yang secara tidak sengaja membawa kepada penemuan rangka binatang yang belum dapat dipastikan secara sahih pentarikhan radiokarbonnya.

Pun begitu dari apa yang terzahir di penglihatan mereka sekarang ini, Profesor Malik percaya rangka fosil tulang besar yang ditemui ini adalah dari jenis Sauropod. Salah satu spesis dinosaur yang mempunyai empat kaki, serta leher dan ekor yang panjang. Spesis yang dikelaskan secara saintifik sebagai binatang maun atau herbivor yang memakan tumbuh-tumbuhan. Fosil yang mungkin hidup sekitar 165 juta tahun dahulu.

“Malaysia ada dinosaur? Prof rasa masyarakat dah bersedia dengan berita begini?” Doktor Suraya ragu-ragu.

“Hendak tak hendak, mereka perlu diberitahu. Jika tidak, sampai bila-bila masyarakat kita tidak celik tentang ilmu kajipurba ni. Lagipun tidak mustahil Malaysia suatu ketika dulu didiami binatang-binatang prasejarah ini. Teori Hanyutan Benua adalah salah satu sebabnya. Bukankah dulu bumi merupakan satu dataran mega yang dikenali sebagai superbenua. Secara geografinya, kita berada di benua yang sama kerana bercantum sejak berjuta tahun dahulu. Selepas berlakunya pemisahan benua pada peta dunia, kita berpecah-pecah sepertimana sekarang. Fosil binatang prasejarah yang ditemui di serata dunia, tidak terkecuali di negara-negara jiran kita, membuktikan yang tanah semenanjung kita ini pun kebarangkalian menjadi habitat spesis dinosaur. Tinggal lagi, penyelidikan perlu terus dijalankan.” Profesor Malik bercakap atas dasar pandangan ilmiahnya. Doktor Suraya bersetuju.

“Penerangan Prof buat saya kecut perutlah pula. Nampak sangat bumi yang kita diami ini dah terlalu lama kitar hayatnya,”

“Tapi masih ramai lagi yang tak sedar akan hakikat ini, Suraya. Melakukan kerosakan di bumi ALLAH sewenang-wenangnya. Itu belum lagi membuat dosa dan maksiat tanpa sedikitpun takut pada-Nya. Bila-bila masa saja ALLAH boleh menggoncangkan dunia ini ikut kemahuan-Nya.”

Profesor Malik menutup perbincangan itu dan bergerak menyertai mereka yang lain di dalam gua yang menyimpan seribu satu rahsia itu. Doktor Suraya terkesan jiwanya dengan kata-kata Profesor Malik. Dia mempelajari sesuatu hari ini.

***

Doktor Suraya baru balik dari berjumpa dengan Puan Aidah, Penolong Kurator di Muzium Arkeologi Lenggong, Perak. Rangka fosil tulang binatang prasejarah yang ditemui di dalam Gua Gunung Runtuh itu sekarang ini dibawah penjagaan muzium selepas hampir sebulan ditemui. Menurut Puan Aidah, fosil itu dipercayai Diplodocus, tergolong dalam kumpulan dinosaur raksasa pemakan daun. Sepanjang pemanduan balik, Doktor Suraya teringat semula butir-butir bicaranya dengan orang kuat muzium arkeologi itu.

“Tapi saiznya tidaklah sebesar mana ya, puan?” ujar Doktor Suraya lebih kepada bertanya sebenarnya. Replika yang dibuat oleh pihak muzium dan dipamerkan di tengah-tengah lobi utama muzium itu, diperhatikan penuh rinci. Diplodocus dewasa mencapai ukuran 177 kaki panjang dan beratnya mencecah 11,000 kilogram. Tetapi replika yang dibina untuk tatapan pengunjung muzium ini kira-kira satu pertiga dari saiznya yang asal.

“Berkemungkinan ini anaknya. Teori saya, Dino yang kecil ini terperangkap di dalam gua lalu ditinggalkan kumpulannya. Sepertimana yang kita ketahui, Diplodocus bergerak secara berkumpulan dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Dan berkemungkinan juga Lembah Lenggong merupakan kawasan akuatik yang menjadi habitat Dino jenis ini.” Puan Aidah sekadar memberi pendapatnya.

“Kalau begitu, puan rasa kita boleh jumpa rangka fosil Dino yang dewasa?”

“Ada biaya dari kerajaan pusat, insyaALLAH penyelidikan ini akan diteruskan. Sayang kalau kita matikan saja usaha ini setakat ini saja. Penemuan ini baru satu permulaan...” ucap Puan Aidah penuh semangat sekali. Sejam berada di sana, Doktor Suraya bergerak pulang.

Dering telefon bimbit mengejutkan perempuan itu. Doktor Suraya yang sedang memandu, segera memakai handsfree untuk menjawab panggilan.

“Awak di mana sekarang, Suraya?” Profesor Malik bertanya sejurus mengucap salam.

“Saya baru balik dari muzium Lenggong, Prof.”

“Saya ingatkan awak dah balik KL. Tukar haluan pemanduan awak sekarang juga. Saya dan lain-lain tunggu awak di Sungai Perak,” tegas saja nada Profesor Malik. Perempuan itu berdebar dadanya tiba-tiba.

“Kenapa, Prof? Apa yang ada kat sana?”

“Awak kena saksikan dengan mata kepala awak sendiri. Cepat!”

“Baiklah...baiklah...” Panggilan ditamatkan. Doktor Suraya memecut kereta yang dipandunya, mengubah haluan menuju ke Sungai Perak. Sungai yang kedua terpanjang di Malaysia dan mempunyai tiga empangan hidroelektrik yang besar dibina di sana. Debaran dalam dadanya semakin bertambah. Doktor Suraya berasa detak jantungnya berdegup laju luar biasa.

Beberapa minit di atas jalan raya, akhirnya Doktor Suraya sampai ke tempat yang dimaksudkan. Kelihatan orang ramai sudah berkerumunan di sana. Doktor Suraya mencari-cari kelibat Profesor Malik. Kenapa ramai orang di sini? Apa yang ditengok mereka? Gumam Doktor Suraya dalam hati. Profesor Malik yang menyedari kehadiran doktor perempuan itu, terus datang dekat. Doktor Suraya dibawa melepasi pita kuning yang direntangkan. Sekumpulan anggota beruniform yang Doktor Suraya percaya dari Angkatan Tentera Malaysia, menganggukkan kepala tanda memberi hormat. Doktor Suraya keliru dengan apa yang berlaku.

“Awak pandang ke sana, Suraya...” Profesor Malik menuding jari ke satu arah, nun di tengah-tengah Sungai Perak. Doktor Suraya terbeliak biji matanya.

“MasyaALLAH!!”

Meremang bulu romanya satu badan. Lidah Doktor Suraya tidak henti-henti bertahmid. Profesor Malik tersenyum melihat reaksi doktor perempuan itu.

“Diplodocus? How it can be possible? Allahu akbar!”

Suara binatang prasejarah itu menggamatkan kawasan di sekitar Sungai Perak itu. Doktor Suraya tergamam. Dia tidak sedar, langkahnya setapak demi setapak mara ke hadapan. Dino dewasa yang sedang asyik memakan tumbuh-tumbuhan dari pokok-pokok yang tumbuh di pinggir Sungai Perak itu langsung tidak mempedulikan keberadaan orang ramai yang sedang teruja memerhatikannya.

Doktor Suraya cuba untuk berdiri lebih dekat dengan binatang prasejarah itu. Kalau boleh, dia mahu menyentuhnya.

“Suraya, jangan terlalu dekat!” laung Profesor Malik apabila mendapati perempuan itu sudah jauh terkehadapan. Leher Diplodocus yang panjang itu bergerak dan kepalanya dirundukkan ke bawah. Menyamai ketinggian Doktor Suraya yang sudah tercegat berdiri kaku. Binatang prasejarah itu menghidu-hidu bau perempuan itu dari atas ke bawah. Walau mahu gugur jantungnya ketika itu, Doktor Suraya cuba mengawal diri. Lagipun dia percaya, spesis Sauropod ini bukan jenis pemangsa yang memakan daging. Pun begitu, tawakalnya tetap pada yang Satu. Hela nafas dan dengus kasar Dino dewasa itu membuatkan rambut Doktor Suraya menggerbang ke belakang seperti ditiup angin. Mata binatang itu yang hijau kebiru-biruan seakan-akan mahu berbicara dengannya.

“Subhanallah walhamdulilah wala ilaha illallah wallahu akbar walaa haula wala quwwata illa billahil aliyil azim,” bisik Doktor Suraya. Hanya itu yang mampu keluar dari mulutnya ketika itu. Dan seperti memahami akan zikrullah yang meniti di bibir Doktor Suraya, Dino dewasa itu mengeluarkan bunyi yang membuatkan semua yang mendengar, terpegun seketika. Mereka bagaikan saling berinteraksi antara satu sama lain.

Doktor Suraya memberanikan diri cuba untuk menyentuh binatang prasejarah itu. Kulit kasar lagi menggerutu Dino dewasa itu diusap-usap. Kalaulah binatang itu boleh bercakap dalam bahasa manusia, barangkali sudah berpuluh-puluh soalan sudah ditanyakan Doktor Suraya. Dari mana dia datang sebenarnya? Adakah cuma dia seekor saja yang tinggal atau ada lagi yang lain? Bagaimana dia boleh selamat dari kepupusan total sejak 65 juta tahun dahulu?

Dino dewasa itu mengangkat semula batang lehernya yang panjang dan menyambung rutinnya memakan daun-daun. Doktor Suraya berlari-lari anak kembali mendapatkan Profesor Malik tidak jauh dari situ.

“Awak buat kami kecut perutlah, Suraya!” Doktor Suraya tersenyum saja.

So, what’s nextProf?”

“Kita minta Kerajaan Malaysia untuk tidak tunduk kepada usaha pihak antarabangsa yang sudah tentu mahu mengekstradisi binatang prasejarah ini. Sebab habitatnya sudah di sini. Kalau ada campurtangan asing yang mahu Dino dewasa ini dipindahkan, saya khuatir yang satu ini akan turut diancam kepupusan.” Profesor Malik bertegas dalam ucapnya. Mata masing-masing mengarah ke binatang prasejarah itu semula. Bagaikan menonton sebuah dokumentari di layar lebar rasanya.

***

Seluruh kawasan Sungai Perak dikawal ketat oleh segerombolan unit beruniform bersenjata Angkatan Tentera Malaysia. Kawalan ketat ini dibuat bagi mengelakkan pencerobohan dari mana-mana pihak dari luar mahupun dalam yang cuba memasuki kawasan itu tanpa izin dari kerajaan Malaysia. Begitu juga di seluruh kawasan Gua Gunung Runtuh yang ditutup dari dikunjungi oleh para pelawat. Penyelidikan dan eskavasi arkeologi di situ diperhebatkan dengan penyertaan pakar paleontologi dari negara Australia dan Amerika.

Dua minggu selepas penemuan rangka fosil tulang Dino kecil, ahli penyelidik sekali lagi dikejutkan dengan penemuan serpihan tengkorak kepala mirip seekor dinosaur dari jenis theropod. Atau lebih tepat lagi Tyrannosaurus Rex, makhluk maging yang paling ditakuti. Lokasinya tidak jauh dari rangka fosil tulang Dino kecil yang dijumpai sebelum ini. Doktor Suraya berasa tidak sedap hati tidak semena-mena.

“Prof, saya harap saya silap...”

“Apa maksud awak?”

“T.Rex! Apa mungkin predator tu...masih hidup?”

Profesor Malik tidak punya jawapan untuk itu. Selang beberapa ketika kemudian, kedua-dua mereka dikejutkan dengan bunyi jeritan dan das tembakan. Bergegas Profesor Malik dan Doktor Suraya berlari ke tempat kejadian. Doktor Suraya menutup mulutnya. Nyata, jangkaannya benar-benar berlaku. Bukan seekor tetapi dua ekor makhluk maging prasejarah itu berada di depan matanya sekarang. Kedua-dua ekor itu saling mengeluarkan bunyi nyaring seakan sedang berkomunikasi dalam bahasa primitif mereka.

“Suraya, lekas masuk ke dalam jip!!” laung Profesor Malik yang sudah menghidupkan pacuan empat rodanya. Doktor Suraya kehilangan rentak nafasnya. Hampir-hampir dia tersadung kakinya dek panik berlari. Selamat punggungnya mendarat di tempat duduk sebelah pemandu, perempuan itu berkalih ke belakang. Buntang matanya apabila melihat seorang demi seorang yang tidak sempat melarikan diri, menjadi ratahan binatang prasejarah itu. Keadaan menjadi kelam-kabut tiba-tiba. Profesor Malik memecut kenderaannya selaju yang mungkin.

“Dari mana mereka muncul?” tercungap-cungap Doktor Suraya bertanya meski dia tahu, mereka masing-masing tidak punya jawapan sama sekali.

“Kalau saya kata, mereka mengalami perubahan biologi evolusioner, awak rasa ia logik Suraya?”

“Saya tak tahu... saya tak tahu... Otak saya dah tak boleh berfikir apa-apa sekarang. Tapi, kenapa Prof cakap macam tu?” Doktor Suraya yang masih menggigil badannya, tidak mampu berfikir secara tenang.

“Struktur biologi mereka masih sama tetapi saiz mereka lebih kecil. Barangkali binatang-binatang prasejarah ini terpaksa menyesuaikan diri dengan persekitaran sekarang.”

“Maknanya... mereka berkembang biak. Sama seperti seekor gajah yang berjurai keturunan dari mammoth. Begitu?” soal Doktor Suraya semula.

“Itu hanya teori saya,”

“Lagilah saya takut mendengarnya, Prof!”

Jip yang dipandu Profesor Malik sudah melalui jalan utama. Doktor Suraya yang baru hendak menarik nafas lega, tiba-tiba perasan sesuatu dari cermin pandang belakang. Dia lekas menoleh.

“Prof!! T.Rex tu kejar kita!!”

Profesor Malik tertelan air liur. Haiwan pemangsa itu tidak akan mengejar mereka melainkan ada sesuatu yang dimahukannya. Lelaki itu mengerling ke arah beg sandang yang tergalas di bahu Doktor Suraya.

“Apa dalam beg awak, Suraya?”

“Tak ada apa-apa...” jujur Doktor Suraya menjawab. Dia sendiri naik bingung.

“Deria bau binatang itu kuat. Barangkali awak ada bawa apa-apa dari tapak carigali tadi?”

Doktor Suraya mengerah otaknya bekerja. Dan tangannya kalut memunggah isi dalam beg sandangnya itu. Mungkinkah ini penyebabnya? Doktor Suraya menunjukkan botol bersaiz silinder kecil berisi larutan yang diambil dari fosil batu berhampiran serpihan tengkorak kepala yang dipercayai Tyrannosaurus Rex itu.

“Larutan apa ni, Suraya?”

“Saya sendiri tak pasti lagi. Saya hendak bawa ke makmal untuk penyelidikan,”

“Mungkin darah, mungkin juga bahan kumuhan.”

Perbincangan Profesor Malik dan Doktor Suraya bubar selepas terdengar bunyi helikopter di atas mereka. Kelihatan dua buah helikopter sedang berlegar-legar di udara dan di atas jalan raya pula, empat buah kenderaan tempur berperisai kecil Angkatan Tentera Malaysia sedang bersiap-sedia dengan sebarang kemungkinan. Dua ekor T.Rex yang mengejar pacuan empat roda Profesor Malik sudah dikepung. Berdas-das tembakan pelali dilepaskan ke arah kedua-dua ekor binatang primitif itu. Seekor jatuh tumbang manakala seekor lagi masih tidak menunjukkan sebarang kesan.

Keadaan menjadi tidak terkawal apabila Dino pemangsa itu mulai mengganas. Sebuah kenderaan tempur terbalik di atas jalan apabila ia menyerang secara tiba-tiba. Selepas sebuah, sebuah lagi menjadi mangsa. Nyata, kekuatan binatang primitif itu benar-benar mencetuskan huru-hara. Sebuah helikopter yang terbang rendah turut terhempas apabila binatang itu melompat ke atas helikopter tadi dan menyebabkan ia hilang imbangan untuk mendarat sempurna. Sudahnya, satu letupan bergempita apabila helikopter itu menjunam ke bawah. Jurupandu berserta seorang lagi penumpang di dalamnya mati di tempat kejadian. Doktor Suraya yang menyaksikan kekalutan itu, terlopong diam.

Bertalu-talu peluru sedatif dilepaskan ke arah T.Rex yang mengamuk itu. Dua nyawa anggota tentera sudah melayang. Mereka tidak mahu binatang primitif itu terlepas ke bandar. Jika tidak, alamatnya petaka bumi Lenggong itu.

“Hey! Sini!!” Doktor Suraya sekali lagi bertindak berani mati. Profesor Malik tidak sempat menghalang. Perempuan itu sudah berlari sambil botol berisi larutan di tangannya, digawang-gawangkan ke udara. Dino pemangsa itu melirik matanya tajam memandang ke arah Doktor Suraya.

“Suraya, awak buat apa ni? Jangan bahayakan nyawa sendiri!!” Laung Profesor Malik sekuat hati.

Binatang primitif itu mendengus kencang. Nyata sekali, Doktor Suraya berjaya menarik perhatian makhluk maging berkenaan. Ia tidak menunggu masa yang lama untuk menyerang. Doktor Suraya hanya mampu bertawakal kepada ALLAH. Dia memejam matanya rapat-rapat. Dalam masa yang sama, tiba-tiba saja bumi bergegar. Gegarannya menyerupai gegaran yang pernah mereka rasai ketika berada di Gua Gunung Runtuh tempoh hari. Doktor Suraya membuka matanya semula.

“Dino!!”

Doktor Suraya terperanjat apabila melihat binatang prasejarah itu seperti sedang berlari mahu melindunginya. Dengan kekuatan ekor yang ada pada Diplodocus itu, ia melibas T.Rex yang mahu menerkam batang tubuh Doktor Suraya. Terpelanting T.Rex itu dan terlentang di atas tanah. Dino dewasa itu mengangkat kakinya tinggi mahu memijak lawannya yang lemah.

“Jangan! Biarkan dia hidup, Dino!” jerit Doktor Suraya dan serta-merta kaki yang diangkat Dino dewasa itu diturunkan perlahan-lahan. Saksi kejadian termasuk Profesor Malik sendiri, tergamam tidak percaya. Apa mungkin binatang prasejarah itu memahami akan arahan Doktor Suraya?

“Terima kasih...” ucap Doktor Suraya lembut. Mata hijau kebiru-biruan milik Dino dewasa itu redup memandangnya. Kepala binatang prasejarah itu ditundukkan menyamai ketinggian Doktor Suraya. Bagaikan seekor binatang peliharaan yang mahu dimanja-manja dan dibelai-belai, Dino dewasa itu menggesel-geselkan kepalanya ke badan Doktor Suraya. Batang tubuh perempuan itu dihidu-hidu. Mereka bagaikan ada pertalian emosi antara satu sama lain. Setelah beberapa ketika, Dino dewasa itu kembali ke Sungai Perak semula. Setiap derap langkah binatang prasejarah itu menggegarkan seisi bumi Lenggong.

***

Profesor Malik berlari-lari anak ke arah Doktor Suraya. Telapak tangan lelaki itu mendarat di bahu Doktor Suraya yang baru saja meletakkan komputer riba di atas meja. Terkejut perempuan itu apabila disergah sedemikian rupa. Lelahnya menjawab soalan-soalan daripada pihak wartawan, belum lagi hilang. Sidang akhbar di Putrajaya ekoran berita tentang penemuan dinosaur selama 2 jam lebih tadi, amat memenatkan. Mana mungkin dinosaur boleh wujud di zaman milenium ini? Persoalan yang lebih mencabar, kenapa baru sekarang binatang-binatang prasejarah ini memunculkan diri mereka? Selama ini, dimanakah keberadaan mereka? Sampaikan Doktor Suraya tidak tahu hendak menjawab bagaimana.

“Maaf, buat awak terkejut Suraya. Saya teruja sebenarnya hendak beritahu awak satu perkara. Hmm... press conference tadi macam mana?” Profesor Malik menyimpan dulu perkhabaran yang mahu dikongsinya itu apabila melihat kelesuan di tampang Doktor Suraya.

“Media ambush saya dengan soalan-soalan yang saya tak mampu nak jawab, Prof.” Keluh Doktor Suraya.

“Biasalah... saya ada tengok sekejap tadi di TV, mereka siarkan live. Awak dah cuba bagi penjelasan yang sebaiknya kepada semua orang.” Profesor Malik menggariskan senyuman di wajah, memberi semangat kepada perempuan berjiwa kental itu.

“Prof nak beritahu saya tentang apa tadi?”

“Mari ikut saya...”

Profesor Malik mendahului. Doktor Suraya terkial-kial mengikut dari belakang. Mereka menuju ke bilik inkubator yang terdapat di dalam makmal itu. Profesor Malik menuding jari ke satu arah. Doktor Suraya mencerunkan pandangannya. Terbeliak biji mata perempuan itu.

Archeologist kita menjumpainya di sekitar Gua Gunung Runtuh pagi tadi...”

“Berapa banyak?”

To be exact... 36 biji telur,”

“Ya ALLAH!”

Doktor Suraya terbius akalnya. Profesor Malik lalu menceritakan kronologi pertemuan 36 biji telur yang dikatakan telur dinosaur itu. Ukurannya besar, sekitar 25 sentimeter hingga 1 meter. Awalnya, mereka sangkakan batu-batuan pelik tetapi melihatkan saiz diameternya yang sekata, mereka menghubungi pakar geologi untuk mensahihkannya. Menurut pakar geologi, berkemungkinan apa yang ditemui itu adalah fosil telur dinosaur.

“Dalam 36 biji telur itu, hanya 2 biji ini yang dikatakan masih hidup...”

“Hidup? Maksud prof?” Doktor Suraya tersentak.

“Ya, hidup. Selepas menjalankan imbasan, 2 biji telur ni punya benda hidup di dalamnya. Sebab itulah, pihak makmal meletakkannya di bilik ini.”

Doktor Suraya tidak tahu sama ada mahu gembira dengan penemuan ini atau merasakan ia satu malapetaka. Telur binatang prasejarah dari jenis apakah? Dibuatnya telur dinosaur dari keluarga pemangsa dan memakan daging, tidakkah mendatangkan musibah nanti? Teringat tentang makhluk maging, Doktor Suraya terus bertanyakan kepada Profesor Malik tentang dua ekor dinosaur T.Rex yang sudah ditempatkan di satu bilik kebal khas.

“Dua ekor T.Rex tu, apa cerita prof? Sampai bila kita mahu kurung binatang tu?” tanya Doktor Suraya. Profesor Malik mengangkat bahu. Itu di luar bidang kuasanya.

“Tapi saya ada dengar ura-ura dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara yang... mereka mahu ambil alih tugas menjaga binatang-binatang prasejarah tu,”

“Ambil alih? Maksud prof?”

“Mereka bercadang mahu meletakkan binatang-binatang tu ke tempat habitat yang sesuai,”

Terbelalak biji mata Doktor Suraya mendengarnya. Makhluk maging itu mahu dilepas bebas ke habitat mereka?

What? Saya tak fikir itu satu cadangan yang bijak, Prof. Binatang prasejarah yang kita cakapkan sekarang bukan seperti Dilpodocus di Sungai Perak tu tapi ini T.Rex. T.Rex yang makannya bukan daun tapi daging... termasuk daging manusia!” Doktor Suraya menggeleng-gelengkan kepala. Ah, kusut!

“Eh, bunyi penggera amaran!” Profesor Malik meluruskan jari telunjuknya naik ke atas. Doktor Suraya turut memasang telinga. Dan beberapa saat selepas itu, bergema satu makmal negara itu dengan satu pengumuman yang memeranjatkan. Doktor Suraya dan Profesor Malik saling memandang sesama sendiri. Keadaan menjadi kecoh tiba-tiba. Apatah lagi apabila semua orang di dalam makmal itu bertempiaran lari.

Doktor Suraya terpasung kakinya tercegat berdiri. Dua ekor T.Rex yang ditempatkan di dalam bilik kebal khas selama beberapa hari ini, boleh pula terlepas. Dan sekarang, kedua-dua ekor binatang primitif itu sedang berlegar-legar di dalam bangunan makmal berkenaan.

“Saya rasa deria bau mereka yang kuat dapat menghidu sesuatu. Apa yang mereka cari?” usul Profesor Malik apabila melihat gerak-geri dua ekor binatang itu yang seperti sedang berinteraksi antara satu sama lain. Dari gerakan mata dan bunyi yang keluar dari binatang itu, Profesor Malik yakin pengamatannya tidak silap.

“Mungkin apa yang mereka cari ada di dalam bilik ujikaji darah di sana,” jawab Doktor Suraya lalu menunjukkan ke arah bilik tersebut. Di sanalah sampel larutan yang diambil dari fosil batu berhampiran serpihan tengkorak kepala dipercayai Tyrannosaurus Rex tempoh hari, sedang diujikaji.

“Betullah, Suraya! Mereka ke sana...” Bilik ujikaji darah itu dirempuh kedua-dua binatang prasejarah berkenaan. Mujurlah kaca yang diperbuat untuk bilik itu tahan lasak, maka rempuhan tersebut tidak memberi sebarang kesan. Dua ekor T.Rex itu makin baran.

“Hey, sini!!” sekali lagi Doktor Suraya bertindak berani. Jeritan perempuan itu menarik perhatian dinosaur yang mencerun pandang ke arahnya. Doktor Suraya menelan air liur. Tindakan nekadnya itu ibarat mahu menempah maut. Doktor Suraya berlari pantas keluar dari tingkat yang menempatkan bilik makmal, bilik inkubator dan bilik ujikaji darah itu. Dia bertindak begitu supaya dinosaur-dinosaur itu tadi tidak melakukan lebih banyak kerosakan. Ini kerana di situlah nadi operasi makmal tersebut.

Doktor Suraya bersiul nyaring. Dua ekor T.Rex itu saling berasak mengejar Doktor Suraya yang terlebih dulu akal liciknya merencana satu pelan bertindak. Sampai di satu foyer yang agak luas, dia memberhentikan langkahnya tiba-tiba.

Asta la vista!” ucap Doktor Suraya sambil tersengih. Satu butang merah sebesar telapak tangannya, ditekan pantas. Automatik tirai besi empat segi turun dari atas, mengurung kedua-dua binatang prasejarah itu menyebabkan pergerakan mereka terbejat. Profesor Malik yang termengah-mengah berlari mengekori Doktor Suraya, menaikkan ibu jarinya ke atas. Lelaki itu tersenyum seraya menggeleng-gelengkan kepala.

***

Doktor Suraya duduk bersendiri di pinggir Sungai Perak. Setiap kali kedatangannya, Dino dewasa yang mendiami kawasan itu akan menampakkan dirinya. Diplodocus, si pemakan daun itu akan keluar dari tempat persembunyiannya hanya apabila Doktor Suraya berada di situ. Binatang prasejarah itu akan menghidu-hidu bau badan Doktor Suraya dan kemudian akan menyambung rutinnya memakan daun-daun pokok di sekitar Sungai Perak itu.

Sedang larut melayan perasaan, tiba-tiba Doktor Suraya merasakan tanah yang didudukinya itu bergegar. Gegarannya tidak sekuat mana tetapi tetap terasa momentumnya.

Dari kejauhan, Doktor Suraya melihat seekor lagi dinosaur, sama spesis dengan Diplodocus, menghampirinya. Saiznya separuh dari saiz Dino dewasa yang berada di depannya sekarang. Kedua-dua ekor binatang prasejarah itu saling bergesel kepala mereka sebaik bertemu. Dan kemudian, Dino kecil itu merapatinya. Doktor Suraya tergamam. Esok hari, pasti bumi Perak sekali lagi mendapat liputan sensasi!

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.